Author Archive

Kehilangan

Assalamualaikum wbt

Dulu saya pernah ada seorang kawan baik. Yang sangat baik, rapat dan memahami. Sejak tahun pertama, itulah orang yang paling saya percayai di sini. Sewaktu cuti musim sejuk tahun kedua, itulah teman saya belajar secara maksimum untuk persiapan peperiksaan Anatomy. Dan begitu juga sebaliknya bagi dia. Berkongsi nota, menegur kalau malas dan mendengar bebelan saya adalah perkara lumrah kalau dia buat perangai.

Di saat duit JPA masuk lambat, kami pernah berkongsi duit mana yang ada (emak masukkan duit untuk saya) dalam tempoh hampir sebulan. Sama-sama ke pasar membeli barang dan memotong perbelanjaan bulan itu untuk berjimat. Susah senang bersama-sama pada waktu itu.

Ketika saya menyewa di luar, dialah teman yang paling banyak menolong ketika saya susah. Banyak betul dugaan ketika di tahun tiga. Tapi seronok. Susah senang itulah yang membuatkan saya menghargai dia sebagai sahabat baik saya di sini. Hampir setiap hari akan bergayut di telefon menceritakan ‘perkara terkini’ dengannya. Macam-macam terma yang kami cipta yang hanya kami fahami. Botol, Daging, Ikan, Air, Hot-hot eh dan macam-macam lagi. Lucu sungguh. Dia pandai dan rajin memasak. Kagum betul saya. Jadi, selalulah saya dapat makan apa-apa yang saya hajatkan (sebab dia bagi peluang saya membuat permintaan). Roti canai, murtabak, popia dan macam-macam lagi. Oh ya. Kami berdua pernah terkenal sebagai pembuat kuih cek mek molek seawal kedatangan kami di sini! Dulu, jika saya buatkan roti canai, dia akan buatkan kuahnya. Semua tahu, kuah dalnya sangat sedap.

Mulai tahun keempat, tidak tahu di mana salah silap hujung pangkalnya, kami mulai menjauh. Jika sedikit tak mengapa saya rasa. Tapi ini terpisah yang bagaikan ada tembok tinggi. Sehinggakan, jika kami bertembung mata dan mata pun ibaratnya satu perkara janggal. Inikan pula berborak mesra.

Jujurnya, saya sedih. Saya sedih bila dia sakit, saya tidak meletakkan haknya sebagai sahabat pada tempatnya. Saya sedih sebab persahabatan kami ibaratnya sudah tidak wujud langsung. Dan saya rasa seperti mustahil untuk dapat menyambung kembali persahabatan seperti dulu.

Aduh. Melankolik pula cerita kali ini. Sebenarnya saya tidur awal malam tadi dan bangun pagi ini, saya teringatkan dia. Sebenarnya dari semalam saya asyik teringatkan kisah persahabatan sekerat jalan ini. Saya fikir-fikir semula di mana silapnya. Tapi tak tahulah pada siapa dan di mana punca semua ini terjadi. Benda dah nak jadi, tak dapat buat apa juga kan.

Tapi, memang lumrah kehidupan, tak semuanya kekal sampai bila-bila. Berhadapan dengan kehilangan adalah sesuatu yang perlu kita hadapi dengan kuat hati. Biarpun sekarang kita rasa kita sudah berada dalam zon selesa kita sendiri, bersiap sedialah menghadapi sebarang bentuk kehilangan yang bakal mendatang lagi.

Saya juga sedang mempersiapsediakan diri untuk rasai kehilangan lagi…

Posted on February 13th, 2008 by Sarah  |  35 Comments »

Moskovskaya Metropolitena

Assalamualaikum wbt

Moscow Rapid Transit System (Metro) adalah pekhidmatan pengangkutan yang paling penting di bandaraya ini. Mempunyai 11 jaringan laluan yang menghubungkan seluruh pelosok kota ini, jaluran-jaluran ini dikenal pasti berdasarkan warnanya yang berbeza. Sebagai contoh, jaluran pertama lebih dikenali dengan nama Jaluran Merah (Krasnaya Linia atau Red Line). Daripada 11 jaluran ini, 9 jaluran adalah jaluran panjang dan penting dan 2 lagi adalah jaluran pendek.

Menurut laporan The Moscow Times di penghujung 2007, purata 2.3 juta warga Moscow menggunakan perkhidmatan Metro pada hari-hari bekerja. Memang tidak dinafikan, setiap pagi Metro memang padat dan sendat namun tiada apa yang dapat menyebabkan perkhidmatannya menjadi lambat sebaliknya sentiasa tepat dan sangat cepat. Bagi insan kecil seperti saya, menjadi mangsa penyekan orang adalah biasa. Tetapi untungnya, jika saya tersepit di celah-celah orang ramai yang sedang berdiri, saya tidak perlu risau jika tidak dapat berpaut pada tempat pemegang. Sesungguhnya badan orang di sekeliling saya adalah dinding lembut yang boleh saya bersandar jika saya hampir terjatuh. Jadi kebiasaannya, saya perlu memasang kuda-kuda seperti hendak bersilat supaya tidak terjatuh ketika berdiri di dalam metro yang bergerak laju.

Walaupun saya selalu memilih untuk berdiri dan bersandar di pintu belakang yang tertutup, tetapi saya kerap ditawarkan tempat untuk duduk. Lebih-lebih lagi pada waktu pagi. Mungkin bagi mereka, saya ini kanak-kanak sekolah yang terpaksa ke sekolah bersendirian pada waktu pagi. Untung menjadi orang bersaiz kecil ini. Jadi, saya boleh duduk membaca. Atau, kalau tidak cukup tidur pada malam sebelumnya, perjalanan ke hospital yang jauh boleh digunakan untuk mengqadha’ tidur dengan nyenyaknya.

Sistem tiket yang kami gunakan adalah kad metro yang perlu diaktifkan dengan membayar secara bulanan. Istilah lainnya adalah top up. Kali pertama saya tiba di sini dahulu, bayaran top up bulanan hanyalah 65 ruble sahaja. Itu pada tahun 2003. Setiap kali tahun baru menjelma, harganya semakin naik. Kini pada tahun 2008, harganya ialah 180 ruble. Hampir 2 kali ganda daripada harga dulu! Kad ini mempunyai cip di dalamnya. Menggunakannya sama seperti menggunakan kad sentuh dan lalu (touch ‘n’ go) di Malaysia. Tapi yang lebih istimewa, pada kad tersebut ada gambar dan butiran ringkas pemiliknya.


Di bawah ini ialah laluan setiap hari saya ke hospital. No. 1 ialah stesyen di mana letaknya International Hostel Spartivnaya. No. 2 ialah tempat saya melakukan pertukaran laluan metro untuk hari Isnin, Rabu dan Jumaat dan hospitalnya terletak di No. 3. Untuk hari Selasa, Khamis dan Sabtu, tempat pertukaran adalah di No. 4 dan hospitalnya terletak di No. 5. Sangat penat! Ini belum termasuk jarak menaiki trolley bus atau tram dan jarak jalan kaki.

Motivasi ke-2: Boleh kuruskan badan. Hooray!

Posted on February 10th, 2008 by Sarah  |  43 Comments »

Hidup Baru

Assalamualaikum wbt

Saya kira ini entri terakhir saya sebelum kelas bermula hari Jumaat ini. Tiada apa yang hendak saya katakan cuma mulai Jumaat ini sehingga bulan April nanti, saya tidak akan ada banyak masa untuk menulis di sini. Jadual saya padat. Di bawah ini ialah jadual Tahun 5, Semester 10 untuk group saya, Group 6. (Saya buka dan download dari website MMA, dalam Bahasa Rusia. Mungkin kamu tak faham. Boleh klik untuk gambar yang jelas).


Yang saya gariskan hijau ialah subjek-subjek untuk bulan Febuari dan yang digariskan dengan warna merah adalah subjek-subjek untuk bulan Mac. Ke semuanya terletak di hospital yang berbeza dan jauh. Seawal 7.15 pagi saya perlu bertolak dari rumah. Sepanjang Febuari (Infectious Diseases dan Traumatology), kelas bermula dari jam 9 pagi sehingga 2.30 petang. Hanya akan tiba di rumah sekitar jam 4 petang. Beginilah setiap hari termasuk Sabtu. Sepanjang Mac pula (Pediatric dan Psychiatry), kelas setiap hari dari jam 9 pagi sehingga 4.30 petang. Alhamdulillah tiada kelas pada hari Sabtu. Dan ada 7 disiplin mempunyai Final Exam untuk sem ini!!!

Tinggal dulu ya semua. Jaga diri, jaga iman. Kamu semua sentiasa di hati saya 🙂

Motivasi: Setahun je lagi nak habis, Sarah!

Rabbi yassir wala tu’assir… Wahai Tuhanku, Kau permudahkanlah dan jangan Kau susahkan… Amin.

Posted on February 6th, 2008 by Sarah  |  49 Comments »

Nota Kecil Di Bangunan Dekan

Assalamualaikum wbt

Semalam saya berjaya mendisiplinkan diri untuk bangun awal pagi seperti hari lazim ke kelas. Tepat jam 6.15 pagi, jam yang dikunci pun berbunyi.

Pagi masih gelap. Tiba-tiba saya mendapat mesej daripada seorang kawan. Katanya mahu berjumpa dengan segera di lobi bangunan dekan yang terletak di Trubetskaya Street. Tidak jauh dari rumah. Kurang lebih 10 minit saja berjalan kaki. Saya bersiap pantas. Melihat suhu Moscow di internet. Tidak sejuk. -2’C saja. Saya hanya mengenakan blaus biru muda dan tudung biru putih dan disarungkan dengan kot labuh hitam separas lutut. Cukup.

Tibanya di sana, saya melepasi pintu kawalan keluar masuk pelajar. Selepas menunjukkan pas pelajar, mata saya melilau melihat sekeliling lobi. Kawan itu tiada. Saya terpusing-pusing di tangga utama menuju ke Dewan Persidangan Saintifik di tingkat satu. Tak semena-mena, saya didatangi seorang pelajar tempatan yang bertanyakan nama saya. Selepas saya mengiyakan nama saya Sarah, pelajar tahun 5 dari Malaysia, pelajar itu menghulurkan sekeping nota kecil. Katanya, nota buat saya.

Sarah,
Saya tunggu dalam Conference Hall.
Cepat. Nanti awak lambat.
-Kawan-

Saya pelik. Lambat untuk apa pula? Saya tetap mendaki tangga menuju ke dewan itu. Dari jauh saya lihat pintu utamanya yang di hadapan, di sisi kanan dewan terbuka luas. Dari situ, orang di luar boleh melihat pentas dan layar di hadapan. Sebaik tiba di situ, saya tercegat. Melihat satu susuk yang sedang hebat membuat pembentangan di atas pentas. Lengkap dengan sebuah laptop, LCD dan layar putih yang memaparkan projek pembentangan. Dia kelihatan kemas dan bertambah hebat dengan mikrofon yang sedang dipegangnya itu.

Iya. Itu kawan saya. Yang tadi dicari-cari. Berkemeja ungu gelap. Bertali leher kuning cair yang cocok dengan kemejanya. Saya terpegun melihat pembentangannya dari luar dewan. Ya Allah. Hebatnya dia… Siapa-siapa sajalah aku ini Ya Allah… Siap dengan tajuk besarnya tertayang di skrin itu: ‘To Expedite, Confirmation, Maintainance and Follow-Up Projects’. Saya terasa kerdil berdiri di situ.

Tiba-tiba telefon bimbit saya berbunyi. Saya laju mengeluarkannya dari poket dan membuka membuka lipatan flipped phone itu. Nyatanya, setelah menekan satu butang, bunyinya berhenti. Tapi saya tidak mendengar sebarang suara apatah lagi berbual. Yang dapat saya lihat, jam digital pada telefon berkelip-kelip menunjukkan jam 7.15 pagi.

Ya ampun! Saya bermimpi rupanya! Jam 6.15 pagi tadi saya telah terbangun seperti biasa tapi kemudiannya tertidur semula. Hanya saja apabila alarm kedua yang saya setkan pada jam 7.15 berbunyi, baru saya tersedar sepenuhnya.

Logiknya juga, universiti saya masih bercuti. Sangat jarang ada pelajar berlegar-legar di lobi bangunan dekan. Keduanya, universiti saya sebuah akademi perubatan sepenuhnya. Tiada kursus selainnya ditawarkan di sini. Tetapi pembentangan kawan saya itu berkisar tentang bidang kejuruteraan. Dan ketiganya kawan saya itu di Malaysia. Bukannya di Moscow ini.

Kesimpulannya, lain kali terus bangun apabila alarm berbunyi. Jangan snooze. Kelas sudah hampir bermula semula. Bahaya amalkan snooze alarm dah lepas ni. Faham tak, Sarah?

Uwaa… Mimpinya rupanya saya pagi tadi! Oh, hati. Rindukan Malaysiakah kamu? Titik, titik, titik.

Posted on February 5th, 2008 by Sarah  |  39 Comments »

Dunia Saya

Assalamualaikum wbt

Subuh pagi tadi, bumi di luar bagai hamparan permaidani putih. Serba putih. Salji turun dengan lebat tapi halus-halus saja butirannya. Sekitar pukul 10.30 pagi, tiba-tiba matahari menerik. Terik sungguh. Sehinggakan keping-keping salji dibirai atap jatuh mencair. Dan salji di langit luruh sebagai hujan. Bumi basah. Saya terasa panas kerana baru sudah bersenam. Membuat regangan ringan saja. Tapi gembira melihat ada terik kuning masuk ke bilik.

Jam 11.30 pagi, saya duduk di meja. Membaca buku dan makan biskut. Biskut Fitness. Tekak mahukan nasi lemak. Tapi siapa yang rajin mahu masak? Saya tersenyum membaca kisahnya Khairul Azzam. Untung Ayatul Husna punya abang sepertinya. Saya tiada abang. Jadi saya cemburukan Ayatul Husna. Boleh tak begitu?

Saya toleh memandang tingkap. Langit luas melaut. Langit hari ini sangat biru. Oh, hati saya gembira. Sudah terlalu lama tidak nampak rona biru terang di langit. Ada tompok-tompok putih juga. Cantik. Lama juga saya memandang langit tanpa menyedari air di dalam gelas sudah menyejuk.

Saya tarik gelas mampir ke diri. Saya pusingkan badannya. Ada gambar empat ekor anak kucing comel. Padanya tertulis:

Dlya tebya, s lyuboviyu… Buat kamu, dengan penuh kasih…

Saya tersenyum. Dan terus tersenyum. Ironinya, gelas ini dibeli sendiri, bukan dihadiahi 🙂

Posted on February 4th, 2008 by Sarah  |  27 Comments »