Tempat Tumpah Rezeki

Assalamualaikum wbt

Dalam entri sebelum ini saya ada menyatakan bahawa saya sudahpun ditukarkan ke hospital lain. Iya. Di sinilah titik tolaknya saya memulakan tugas sebagai seorang Medical Officer (MO). Alhamdulillah saya ucapkan. Allah sangat mempermudahkan jalan saya sewaktu menjadi seorang HO dulu.

Di kesemua enam posting yang telah saya lalui sebagai seorang HO (Medical, Orthopedic, Paediatric, Obstetric and Gynaecology, Surgical dan Anaesthesiology), tiada satupun yang saya tersangkut. Rekod kerja juga baik, tiada tindakan disiplin atau tatatertib, tiada tempoh extension dan pernah dua kali menjadi ketua HO di dua buah jabatan. Syukur saya panjatkan ke hadrat Ilahi. Tanpa rahmat dan redhanya, saya tidak mungkin dapat menjalani ujian ini dengan baik.

Tips untuk semua adik-adik pelajar perubatan dan para HO yang lain: Jaga disiplin diri, jangan berkira jika terpaksa datang awal dan pulang lewat, jaga hubungan baik dengan tenaga kerja hospital yang lain, tahu kes pesakit kamu lebih daripada pakar, sentiasa memperbaiki diri dengan membaca dan bertanya, merendah diri dan jaga hubungan dengan Allah. Insya Allah, semuanya akan berlalu dengan baik walaupun kadang-kadang tak seperti yang dirancang. Kena marah itu ini dek MO atau pakar tu biasalah, kan. ;-)

Ok. Berbalik ke cerita asal. Atas percaturan-Nya, saya dihantar bertugas di Hospital Kuala Lipis berkuat kuasa pada 19 September lepas. Hanya Allah yang tahu apa hikmahnya. Lain yang saya rancang, lain pula yang jadi. Perancangan awal, saya memohon untuk kekal di Jabatan Anaesthesiologi di Hospital Temerloh. Tapi sebaliknya saya mendapat surat pertukaran pula. Dan sayangnya rayuan saya semuanya tidak dilayan. Waktu itu suami saya baru saja menamatkan kontrak kerjanya di Putrajaya untuk menemani saya. Jadi, ada jugalah peneman saya di Kuala Lipis.

Ketika sedang bercuti selepas menamatkan housemanship saya, memang terlalu banyak saya dan suami mengembara. Berulang-alik Temerloh-Putrajaya-Kuala Lipis-Temerloh. Begitulah lebih kurang. Kami ke Kuala Lipis lebih awal untuk mencari rumah sewa. Tapi memang tiada rezeki nak dapat rumah sewa. Semuanya penuh! Setelah emak ayah dan umi baba pun turut ke Lipis bersama kami untuk mencari rumah sewa, akhirnya kami ambil keputusan untuk menyewa di hotel dulu sementara menanti jika ada kekosongan rumah sewa. :???:

Alhamdulillah. Rupanya memang rezeki saya di sini agaknya. Saya disambut dengan sangat baik oleh seluruh warga hospital. Hari pertama melapor diri, saya terus kena bekerja. Untuk sementara waktu ini, saya ditempatkan di Jabatan Pesakit Luar (OPD) sebelum diserap penuh ke Jabatan Anaesthesiologi. Kalau ikutkan ada dua orang lagi doktor yang bertugas bersama saya di OPD tapi masing-masing juga ada tanggung jawab lain. Jadi, kadang-kala, saya bertugas sendirian di bahagian klinik bersama dua orang lagi MA dan terpaksa memberi rawatan kepada seratus lebih pesakit sehari!

Penatnya hanya Allah yang tahu. Hakikatnya kami masih kekurangan MO dan pakar di sini. Insya Allah pada tahun baru ini sebuah bangunan baru akan mula beroperasi. Jadi sekarang ni, menurut pengarah, kami sedang menanti kedatangan lebih ramai MO dan pakar dari luar untuk memenuhi kuota.

Syukurnya, suami saya ada bersama saya di sana. Ada beberapi hari yang saya terpaksa pulang jam 11 malam kerana sedang tag call bersama kawan saya, dialah yang akan menjemput saya. Ketika saya di hospital, suami saya duduk di hotel membaca jurnal-jurnal sebagai persediaan viva masternya. Di hospital pula, saya memang tak sempat nak berhenti makan tengah hari. Sudah pukul 2 pun masih ramai lagi di klinik. Saya gagahkan juga menghabiskan pesakit yang datang untuk sesi pagi dan kemudian baru saya berehat sekejap. Berehat yang dimaksudkan ialah solat Zohor dan dan menikmati bekal air Milo panas yang saya bawa di dalam termos kecil. Itu saja. Nak makan memang tak sempat dan tak ada selera.

Biasanya, balik saja dari kerja, saya akan sakit pinggang yang teramat sangat. Maklum sajalah. Saya ke sana dalam keadaan mengandung 26 minggu, kepenatan berulang alik Temerloh-Putrajaya-Kuala Lipis-Temerloh, bergerak ke seluruh hospital berjalan kaki dan menaiki tangga, duduk terperap di OPD dari jam 8 pagi sehingga 6 petang untuk merawat pesakit, tidak makan dan hanya sempat minum bekal air yang dibawa dari hotel. Pernah sekali tu sebaik masuk saja ke kereta selepas pulang dari kerja, saya mengalami sakit belakang yang teramat sangat sehingga mengalir air mata. Suami saya memandu pulang dan di bilik, saya tidak lalu makan kerana terlalu sakit. Saya hanya terbaring mengiring sambil membengkokkan kaki untuk mengurangkan rasa sakit.

Suami sayalah yang akan mengurut belakang saya. Kasihan saya melihatnya. Sampai sakit-sakit jarinya kerana mengurut belakang saya. Terima kasih ya, abang…

Pada hari Jumaat 2 minggu lepas, saya terlibat dengan satu mesyuarat di Hospital Temerloh. Mesyuarat itu di sebelah pagi. Saya dan suami bertolak balik ke Temerloh pada Khamis malam itu selepas saya habis kerja. Penatnya tidak terkata. Sampai saja di Temerloh, dua-dua pun tidur mati! Keesokannya saya menghadiri mesyuarat di HoSHAS dan sebelah petangnya saya hanya berehat di rumah saja kerana terlalu penat.

Pada petang Ahad itu, kami bersiap-siap untuk pulang ke Kuala Lipis. Tetapi, ada ujian lain pula yang datang. Ujian yang lebih besar. Dua serentak. Sederap ke atas bahu saya. Untuk memujuk hati dengan setiap ujian yang datang ini, saya selalu berkata: Mesti ada hikmahnya kenapa semua ni terjadi. Mesti ada! Mesti ada! Mungkin belum masanya lagi untuk saya tahu dan nikmati apakah hikmahnya. :roll:

Apa ujiannya, tunggu entri seterusnya.

Sesungguhnya, kita merancang, Allah juga merancang. Dan Allahlah sebaik-baik perancang…

Nota: Saya rasa dah sampai masanya saya kena tukar gambar dan description di Tentang Sarah tu. Hehe. :mrgreen:

Posted on October 11th, 2011 by Sarah  |  20 Comments »