Kepentingan Bedah Siasat
Assalamualaikum wbt
Rutin harian masih seperti biasa. Di hospital hari ini, kami menambah ilmu baru tentang siasatan kes lagi yang memerlukan pembuktian secara klinikal. Hari ini berkenaan tentang pembuangan dan pembunuhan bayi.
Saya tidak pasti lagi bagaimana keadaannya secara realiti di Malaysia. Maksud saya, skop undang-undang berkenaan hal ini. Secara amnya, kes yang melibatkan kematian bayi yang dibunuh oleh ibu dalam tempoh 24 jam selepas dilahirkan, hukuman penjaranya adalah kurang daripada 5 tahun. Hal ini kerana kebanyakan ibu yang berbuat demikian adalah dipengaruhi keadaan mental yang kurang stabil. Bagi bayi yang dibunuh selepas 24 jam dilahirkan, hukumannya melebihi 5 tahun kerana dalam kes ini, biasanya faktor disengajakan adalah berkait rapat.
Saya tak bercadang hendak mengulas lanjut tentang hal ini. Cuma mungkin untuk kali ini, saya sekadar hendak memberikan pendapat saya tentang bedah siasat ke atas mayat. Di dalam Islam, kita perlu menghormati jenazah termasuklah untuk tidak menyakitinya. Ramai yang berpendapat melalui bedah siasat, kita sebenarnya menyakiti jenazah saja. Baik tidak payah buat.
Tetapi secara peribadi, saya menggabungkan pandangan agama dan kepentingan sains dalam hal ini. Islam menyuruh kita menghormati jenazah. Ya. Benar. Jadi, jika bedah siasat diperlukan untuk sesuatu kes itu, pasti ada sebab yang mendatari kes sehingga kematian seseorang itu perlu dibuktikan secara jelas. Saya bawakan contoh yang mudah. Kes bayi mati dibuang. Dalam kes ini, kita perlu membuktikan bahawa bayi tersebut mati dalam tempoh berapa lama selepas dilahirkan, apa punca kematiannya. Dijerut, dicekik, dibiarkan terdedah di tempat sejuk, dijemur panas atau dilemaskankah. Dan adakah bayi tersebut dilahirkan dalam keadaan cukup bulan atau tidak. Semua ini penting.
Dalam contoh yang saya berikan, kita perlukan bukti ini untuk menyabitkan kesalahan ke atas ibu atau bapa yang membunuh. Adakah kaitannya dengan keadaan kesihatan mental si ibu atau bapa dan lain-lain. Jadi, hal ini saling berkait. Satu lagi kes yang paling kerap terjadi ialah mati disebabkan kemalangan. Kita perlu membuktikan siapa si pemandu dan siapa pula yang mati sebagai penumpang. Melalui bedah siasat, kita dapat membuktikannya walaupun kedudukan mangsa-mangsa yang mati telah diubah atas tujuan untuk mendapatkan pampasan daripada pihak insuran. Kes sebegini banyak terjadi.
Cuma yang menjadi persoalan, adakah kita menjalankan bedah siasat itu secara baik atau mengasari jenazah. Jika menurut Islam, kita wajib menjaga aib jenazah agar tidak dihebohkan kepada ramai jika kita ada terlihat sesuatu. Jangan berkasar dengan mencampak sesuka hati saja organ-organnya. Ini semua berkait rapat dengan etika. Jika kita faham di mana letaknya tanggung jawab sesama manusia apatah lagi jika seagama, selisih pendapat tentang isu bedah siasat ini tidak lagi timbul. 🙂
Inilah pandangan saya tentang hal ini. Saya harap, penerangan saya ini sedikit sebanyak dapat menjelaskan keraguan tentang hal ini. Mungkin ada yang masih tidak bersetuju ataupun menolak mentah-mentah prosedur bedah siasat. Cuba fikirkan, jika kes itu berkaitan dengan jenayah yang kita tidak sangkakan, mahukah kita biarkan si penjenayah terus bebas tanpa diadili? Ya. Kita boleh menjawab, biar Allah saja yang membalasnya di sana nanti. Terpulanglah juga kepada semua untuk menilai hal ini bagaimana. 🙂
Tentang pembuangan dan pembunuhan bayi tadi, saya terfikir sejenak tentang sejarah silam. Kalau dulu di Zaman Jahiliyyah, anak perempuan ditanam hidup-hidup kerana dikatakan tidak membawa faedah dan menyusahkan. Di zaman orang Amazon sebelum kebangkitan Spartan di Greek, anak lelaki pula dibunuh untuk mengelakkan kaum lelaki yang sedia ada terpaksa bersaing dengan lelaki muda bagi mendapatkan perempuan. Nampaknya, martabat wanita amat rendah ketika itu. Fungsi wanita hanyalah sebagai pemuas nafsu. Dan ketika kebangkitan Spartan, anak lelaki yang lemah, cacat dan tidak sihat akan dibunuh dengan dicampakkan dari puncak gunung kerana mereka tidak dapat menyumbang bakti untuk ketenteraan pun.
Datangnya Islam, martabat manusia dinaikkan. Baik lelaki atau wanita. Kita mulia kerana Islam meletakkan kita sama tarafnya, tiada bezanya. Anak yang lahir pula adalah rezeki dan anugerah dari Allah. Tiada lagi pembunuhan anak dibenarkan. Yang membezakan darjat kita di sisi Allah ialah nilai taqwa kita.
Ehem ehem ehem. Gatal bebenor tekak saya ni ha. Gambar jam tangan di atas tu bukan sekadar teaser. Kelmarin saya menelefon emak bertanyakan pendapatnya untuk membeli jam baru. Emak mengizinkan. Jam saya yang sebelum ini dibeli pada bulan Ogos 2003. Sudah hampir 6 tahun beb. Saya cermat orangnya. Walaupun jam Polo San Fransisco saya itu masih elok lagi (permukaan saja yang dah tak lawa), tapi saya betul-betul hendak memiliki yang baru.
Untuk apa? To move on! 😎
Nota 1: Ini adalah pendapat peribadi saja.
Nota 2: Move on, Sarah! Yang sudah tu sudahlah. 😆
Nota 3: Jam tangan berikutnya saya tunggu hantaran kahwin jelah.