Ilmu

Assalamualaikum wbt

(I)

Sebulan yang lepas, saya menandakan satu agenda penting untuk saya ikuti pada hari ini di dalam kalendar saya. Awake craniotomy. Tepat jam satu pagi tadi, online webcast bermula. Hanya satu yang boleh saya katakan. Subhanallah!

Craniotomy bukanlah satu prosedur yang ringkas. Kepakaran dalam pelbagai disiplin bekerjasama untuk menjayakannya. Inikan pula untuk satu prosedur yang melibatkan otak yang dilakukan dalam keadaan pesakit itu sedar untuk membolehkan pakar mengakses sama ada prosedur itu mengganggu sistem saraf yang tertentu atau tidak. Jadi, pakar boleh berinteraksi dengan pesakit dan memintanya melakukan beberapa perkara mengikuti arahan untuk memastikan sistem sarafnya tidak terjejas.

Segala puji hanya layak untuk Allah. Tanpa ilmu yang dipinjamkannya kepada kita, semua ini adalah mustahil.

(II)

Kami bertiga di rumah ini bagaikan burung hantu di waktu malam. Bila malam, semuanya segar berjaga menghadap buku masing-masing. Bila siang, kami menjadi burung ciak pula. Awal-awal pagi lagi semuanya sudah berjaga. Pertamanya kerana Subuh masuk seawal 3.30 pagi. Keduanya, untuk sambung membaca.

Tidur memang tidak teratur. Makan pun apa yang sempat saja. Kalau saya, tidur duduk menyandar di kepala katil itu seperti perkara biasa untuk dua, tiga hari kebelakangan ini. Bangun pagi, sakit pinggang macam orang mengandung lapan bulan!

Untuk saya, sengsara ini akan berakhir kurang dua bulan daripada sekarang. Mungkin sudah boleh mula tersenyum sedikit. Tapi masih belum lebar.

(III)

Esok, kami bertiga wajib ke hospital untuk membuat pemeriksaan kesihatan sebagai atlit. Eceh. Macam atlit profesional pula. Kami akan bertolak meninggalkan Moscow pada petang Khamis ini.

Saya tidak sabar hendak keluar dari rumah. Sudah empat hari saya terperuk di dalam rumah saja. Otak sudah separuh mati.

Nota: Saya sangat rindukan keluarga di Malaysia.

Posted on April 22nd, 2009 by Sarah  |  6 Comments »

Dinamika Hidup

Hidup, dengan hati berat-terikat
bagai angin tak reti bertiup
air tak reti mengalir.
Terpekung menadah sisa-sarat
menuntun hidup penuh darurat.

Hidup, kalau dibiar indah
ada yang dengki, datang membenci
tangan tak hulur, mulut memaki.
Yang berat lagi membeban
yang terikat lagi bersimpul.

Inikah manusia?
Datang dengan hasad
pergi dengan suka?
Alasannya:
“Oh, aku terlupa.
Maafkan aku.
Akukan manusia.”

Angin dibiar hentap
lama-lama berkepam.
Air dibiar bertakung
lama-lama membusuk.
Lepaskan mereka
Hidup lebih bahagia tanpa ini semua.

Cari angin yang kuat
air yang deras
hidup dihempuk asakan
ubatnya pada nyaman dan segar.
Sehabisnya, dinamika itu ada.
Lebih baik begini.

Sarah Mohd Shukor
20 April 2009
16-205, Bolshaya Piragovskaya.

Nota: Akhirnya, terisi juga buku sajak tu.

Posted on April 20th, 2009 by Sarah  |  5 Comments »

Demimu Gambar Konvokesyen

Assalamualaikum wbt

Setelah berbual dengan Wanie, Pena dan Sha sambil menjamah jemput-jemput ikan bilis bercicahkan sos cili Kimball, saya mendapat satu kesimpulan.

Saya harus menurunkan berat badan untuk konvokesyen nanti! Gambar konvokesyen nanti akan kekal selamanya. Takkan mahu lihat muka sendiri comot versi umur lepasan SPM dulu dalam gambar itu. Oh, tidak. Tidak.

Demimu gambar konvokesyen, saya akan berusaha!

Nota 1: Tapi hari-hari pun ada saja halangan untuk pergi jogging. Macam hari ni, SNOWING pula tiba-tiba! Apakah?

Nota 2: Alang-alang hari berangin, nak main layang-layanglah. Boleh lari-lari juga. Jom Nad, jom Diya! *Hoho. As if I have so many time to spare!*

Posted on April 19th, 2009 by Sarah  |  29 Comments »

Doa Buat Mak Tam

Assalamualaikum wbt

Kelmarin saya berbual dengan adik. Dia memberitahu bahawa seorang ibu saudara kami sedang sakit di Pulau Pinang. Kanser katanya. Saya bertanya lanjut tapi dia tidak reti untuk menjelaskan dengan lebih lanjut. Tapi saya boleh faham melalui penerangan ringkasnya.

Dalam pada berbual itu, sempat adik saya memberikan sedikit nasihat. Adik saya tidak banyak bercakap orangnya. Tapi sekali dia memberi nasihat atau pandangan, yang keluar daripadanya hanyalah yang jitu dan bernas saja. Tidak perlu berfalsafah panjang tentang segala macam ujikaji, teori atau ilmu itu ini. Yang pendek dan mudah tapi rasional dan relevan sudah lebih daripada mencukupi.

Konsepnya mudah. Lebih banyak seseorang itu berfalsafah, lebih banyak dia membuka peluang kepada kebarangkalian yang memungkinkan kesilapan.  Hidup yang dipenuhi falsafah bagaikan tidak berpijak di bumi nyata. Terkurung dalam satu selaput yang masih samar-samar. Yang tidak jelas hasilnya apa. Kebarangkalian itu adalah sesuatu yang tidak pasti dan saya sendiri tidak suka akan hal itu.

Tamat cerita adik. Berbalik kepada kisah ibu saudara saya. Subuh gelap pagi tadi, sekitar 5.45 pagi, saya mendapat panggilan telefon daripada emak ayah. Saya sedang membaca ketika itu. Saya berlari ke dapur untuk mengelakkan Pena terganggu tidurnya. Emak tersalah menjangka waktu.  Itu yang ditelefonnya di awal pagi. Nasib baik saya memang sudah segar berjaga. Melalui cerita ayah, barulah saya jelas akan keadaan ibu saudara saya itu. Saya berharap, kemoterapi yang akan dilaluinya memberikan kesan yang positif. Semoga Mak Tam dapat bertahan. Saya hanya mampu mengirimkan doa buat Mak Tam.

Nota 1: Tadi sempat berborak dengan Makcik Ina sekejap. Comelnya suara Makcik Ina dalam telefon. Macam anak dara lagi. :mrgreen:

Nota 2: Saya memang tidak suka orang berfalsafah dengan saya. Nak berfalsafah, carilah tempat lain. Bukan di sini. Blog ini bukannya tempat membuat eksperimen bersifat peribadi kamu, kamu dan kamu. Sekian.

Posted on April 19th, 2009 by Sarah  |  2 Comments »

Dugong Jadian

Assalamualaikum wbt

Pukul 5.30 dan 6.30 pagi tadi, tiga orang rakan serumah saya telahpun bertolak menuju ke destinasi masing-masing. Tinggallah saya, Wanie dan Emy saja. Dan di saat ini, saya tinggal berseorangan. Wanie dan Emy ke kelas. (Berita terkini: Wanie baru saja sampai. Ngehehe)

Saya membentang tilam lembek (baca: comforter) di atas lantai. Saya membawa turun buku dan membaca sambil meniarap. Gembiranya. Hari sedang hujan lebat di luar. Sejuk. Suhu hanyalah 3’C saja. Ni nak membebel sekejap. Kononnya sudah musim bungalah sangat. Sudah hujan. Siang lagi panjang. Tapi suhu tetaplah sejuk. Kadang-kadang, suhu di waktu malam masih lagi negatif. Ini sudah lebih dari pertengahan April. Daun masih belum berputik. Pokok semuanya masih gondol. Bunga apatah lagi. Aishh.

dscn3041

Read the rest of this entry »

Posted on April 18th, 2009 by Sarah  |  30 Comments »