Balik Kampung

Assalamualaikum wbt

Petang Jumaat yang lepas, saya pulang ke Penang bersama emak, ayah dan dua orang adik. Sebenarnya, sejak saya sampai hampir sebulan yang lalu, ini kali pertama saya balik ke kampung untuk bertemu keluarga di sana. Sebetulnya, pada hari Sabtu lalu, seorang sepupu saya melangsungkan perkahwinan. Itu yang digagahkan juga pulang walaupun terapit dengan macam-macam hal lain.

Sekitar pukul 11 pagi Sabtu itu, kami bertolak ke rumah Tok Nab di Penaga, berkumpul dengan saudara-saudara yang lain dan kemudian baru bertolak ke dewan tempat majlis berlangsung. Dewan itu tidak jauh dari rumah Tok. Sepupu yang berkahwin ini ialah anak kepada adik ayah saya, Makcik Zakiah. Kesemua adik beradik ayah berkumpul di situ pada hari itu. Sebetulnya ada ramai sepupu-sepupu sebelah Penang yang masih belum pernah saya jumpa atau kenal rapat. Tapi di majlis itu, saya berkesempatan mengenali mereka semua. Sepupu-sepupu yang sudah lama terpisah, sepupu-sepupu yang sudah lama tidak saya jumpa.

Kerja saya pada hari itu ialah menguruskan meja makan pengantin dan mengosongkan meja makan tetamu yang sudah beredar. Pada mulanya itu sajalah kerjanya. Lagipun saya ni ikut saja apa yang Mak Lang saya dan kakak-kakak saudara saya suruh buat. Sekali, bila pengantin lelaki tiba, saya telah disuruh menjadi pengacara majlis pula. Alamak! Saya memang menolak habis-habisan. Alasan saya: Sat lagi oghang pelik. Sarah cakap tak bunyi utagha sangat. Malu la sat lagi. Tapi Mak Lang, Paksu dan Kak Rini saya cakap: Hang bedai ja. Hahahaha. Maka, tak semena-mena, budak comot ini telah menjadi pengacara majlis perkahwinan sepupunya yang comel lotey itu. Eh, ini sungguh betul. Sepupu saya yang kahwin tu sangat cantik orangnya!

Apa-apapun, tahniah saya ucapkan buat sepupu saya, Nurul Hidayah Arifin dan pasangannya Muhammad. Kak Sarah doakan awak berdua bahagia selamanya dan dalam redha Allah sampai ke syurga ya. Hidup dalam rukun harmoni ok.

Dan bila dah berada dalam kenduri kahwin begini, soalan yang tak lekang dari mulut emak-emak saudara ialah: Hang bila lagi? Takkan takdak calon kot. Jawapan saya senang saja: Tu Kaklong tak lepas lagi tu. Hahaha. Padahal Kaklong nun jauh di Sarawak. Sesedap hati saja saya jual nama Kaklong. Tapi alasan yang paling kerap saya guna dan bagi saya jauh lebih realistik dan logik ialah: Laa… Sarah baru habis mengaji ja ni. Kasi chance la nak gheja, nak pegang duit sendiri dulu. Haa… Kan lagi harmoni sikit jawapan macam ni. Tapi bila difikir-fikirkan, memang level yang atas-atas semuanya sudah berkahwin. Kak Nija dah ada tiga orang anak. Kak Linda pun sama. Kak Rini pun dah ada anak. Along Hafiz pun baru saja dapat anak bulan lepas. Sekarang tinggal Jijan, Kaklong, Maya, saya dan Nan yang berada dalam kategori umur yang seterusnya. Habislah semua pun mesti asyik menujah ke arah kami saja. Tukar soalan lain boleh tak? Tak rocklah asyik tanya pasal kahwin aje. Kalau ada jodoh, sampai masanya semua orang pun kahwin. Ye dak?

Eh, mesti kamu semua nak tengok gambar kan? Hahaha. Ni satu lagi halnya. Saya tertinggal beg kamera saya di Pahang. Bengang sungguh saya dengan si Azizi dan Aiman yang pada mulanya berebut-berebut mahu mengangkat beg sandang kamera untuk dimasukkan ke dalam kereta. Sudahnya, tiada siapapun di antara mereka yang mengangkatnya. Jadi, tiadalah gambar walau sekepingpun di majlis itu. Nantilah saya minta anak saudara saya kirimkan gambarnya. Atau mungkin tag-tag di Facebook saja. Lagi mudah. Kalau saya rajin, nanti saya tulis entri baru untuk letak gambar di sekitar majlis saja. Hehe.

Sebaik saja pengantin beredar ke meja makan beradap, saya terus cabut lari dari majlis. Waktu itu sudah hampir pukul 3 petang. Saya mahu ke Butterworth pula. Ayah yang menghantar saya ke sana. Seorang kawan yang sama belajar di Moscow dulu melangsungkan perkahwinan pada hari yang sama. Tahniah diucapkan buat Norhidayah Mohd Suhimi dan Abd. Mustaqim Abd. Isham. Akhirnya bersatu juga awak berdua ya.

dyh-mus

Elok saja saya sampai di dewan itu, sesi fotografi bersama kawan-kawan baru hendak bermula. Kebetulan, memang agak ramai batch saya yang menghadiri majlis Hidayah dan Mustaqim. Terus saya bertemu pengantin, bergambar sikit-sikit dan kemudian terus balik. Ayah sedang menunggu di luar. Ada saudara sedang menunggu di rumah Tok Yam. Kena balik awal.

Jadi malam itu memang terdampar kepenatanlah saya. Tapi, hari Sabtu itu memang rekod sungguh. Dari pagi sampailah ke tengah malam saya tidak berhenti makan. Segala macam benda saya sumbat. Subhanallah. Saya ni berperut empat seperti lembukah? Ya Rabbi… Tu pun nasib baik tak sempat pekena Mee Udang Kepala Batas! Hohohoho liao!

Dan selamat hari lahir untuk Kaklong (9 Ogos) dan adik saya Adi (10 Ogos). Kami semua di sini mendoakan yang terbaik untuk awak berdua. Tak sabar tunggu awak berdua balik!

Nota 1: Tapi saya tak sempat jamah makanan pun di kedua-dua kenduri. Sibuk buat kerja.

Nota 2: Saya bertemu semula dengan sepupu saya, Haniff, anak Mak Lang Zaitun dan Pak Lang Zaid. Kali terakhir bertemu Haniff ketika itu dia berada dalam tingkatan 4. Itu kira-kira 6 tahun lalu. Selama ini kami hanya berhubung melalui internet saja. Mak aih. Kacak sungguh dia sekarang. Kan Anip kan. Segan akak dibuatnya. Hehe. :mrgreen:

Nota 3: Ehem. Budak silat itu sungguh kacak dan hebat. Suka suka. Abang janggut sejemput bertali pinggang kuning. 😆 😆 😆

Nota 4: Balik kampung raya nanti, saya nak buktikan saya sudah kurus semula ok. :evil:

Posted on August 10th, 2009 by Sarah  |  13 Comments »

Temuduga

Assalamualaikum wbt

Dalam seminggu ini, saya banyak menghabiskan masa terperuk dalam bilik. Perasaannya seakan-akan hendak menduduki State Exam yang lalu. Burkurung tak keluar-keluar. Sebab utamanya ialah saya mengulangkaji semula segala apa yang dipelajari dulu. Err… Sejak habis exam pada 11 Jun yang lalu, saya langsung tidak membuka buku. Memang cuti habis-habisan!

Kenapa saya perlu membuat ulangkaji? Kerana pada hari semalam (6 Ogos) saya perlu menghadiri temuduga untuk ambilan sebagai kakitangan perkhidmatan awam di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Putrajaya.

Alhamdulillah! Saya lepas dengan melalui sesi temuduga selama tiga minit sahaja! Rekod terpendek hari semalam. Huhu. Murahnya rezeki.

Nota 1: Dua hari lepas, saya terserempak dengan seorang kenalan sewaktu mengikuti SUNATHON (di Mersing dulu). Dia posting di Temerloh! WOW! (Nisa, sila diam. Hahaha) :mrgreen:

Nota 2: Saya rasa sekarang saya dah kena mula kena ambil tahu tentang urusan-urusan pembelian kereta dan yang sama waktu dengannya. :roll:

Posted on August 7th, 2009 by Sarah  |  16 Comments »

Tempat Jatuh Lagikan Dikenang

Assalamualaikum wbt

Minggu lepas dua orang adik saudara saya yang menuntut di UiTM Shah Alam bercuti selama seminggu kerana UiTM dikuarantin. Sudah lama kami tidak berpeluang mengunjungi jeti tempat kami selalu berkumpul sewaktu kecil-kecil dulu.

DSC_0194

Jadi sehari sebelum mereka pulang semula ke Shah Alam, saya dan Hidayah ditemani dua orang adik saya, Azizi dan Aiman, kami ke jeti kampung kami, berjalan-jalan di tepi jalan bawah bukit rumah kami dan sekitar kawasan sekolah di sebelah rumah kami.

DSC_0203

Suatu masa dulu, kanak-kanak di seberang sana sungai kawasan ini akan bersekolah di sekolah di sebelah rumah kami ini. Pengangkutan ke sekolah ialah bot. Disebabkan itu, jeti di hadapan sekolah itu sangat terjaga dan berjasa besar untuk anak kampung seberang itu.

DSC_0207

Tapi sekarang mereka tidak perlu menggunakan bot lagi. Bukan kerana sudah adanya jambatan. Mustahil tu. Nak letak berapa banyak jambatan pula kan untuk merentas Sungai Pahang di Temerloh ini saja. Tapi sebuah sekolah rendah baru sudah dibuka di seberang sana. Jadi, perkhidmatan bot sekolah juga sudah ditamatkan. Dan faktor ini, bagi saya, menjadi punca mengapa jeti itu kini terbiar dan penuh dengan semak.

Sayang sungguh saya melihatnya. Sebenarnya, jeti kampung saya ini sangat cantik. Dari jeti, kami dapat melihat pulau yang terletak betul-betul di tengah-tengah Sungai Pahang. Pulau Lebak namanya. Dari atas bukit rumah saya pun sudah boleh melihat pulau ini. Tapi dari jeti, permandangannya lebih jelas. Di tebing jeti juga ada didirikan tembok batu untuk mengelakkan tanah runtuh. Sekali lihat, rupanya seakan-akan pemecah ombak di kawasan pantai atau dinding empangan. Sayangnya sekarang ni, dengan segala semak samun yang ada, tembok batu itu langsung tidak kelihatan lagi.

DSC_0216

Kemudian kami mendaki bukit sekolah rendah di sebelah rumah kami itu pula untuk pergi melawat tadika kami dulu. Bagi Hidayah, di situlah juga letaknya sekolah rendahnya. Sebaik tiba di hadapan tadika, sayunya hati melihat keadaan Tadika Kemas Lebak itu. Rupa-rupanya bangunan kayu lama itu sudah tidak digunakan sebagai tadika. Bangunannya sudah uzur benar. Tadika pula sudah berpindah ke bangunan Pejabat Penghulu di sebelahnya. Nampaknya, tiada proses baik pulih dijalankan selama ini sehingga akhirnya bangunan kayu itu reput dimakan anai-anai. Tapi memang baguslah dipindahkan tadika itu ke bangunan baru. Demi keselamatan anak-anak yang belajar.

Kami balik ke rumah dengan menggunakan jalan belakang. Kami merentas kawasan rumah dan kebun orang. Sebaik sampai di depan rumah Tok, kami pun duduk makan rambutan gula batu sehinggalah kedengaran azan Maghrib berkumandang.

Indahnya bila dikenangkan semula zaman kanak-kanak saya membesar di kampung ini. Kenangan saya bersekolah di kampung hanyalah ketika tadika dulu. Sekarang, saya sudah tidak jumpa kawan-kawan tadika saya dulu. Tapi saya masih ingat nama-nama mereka semua. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat dan rakan-rakan bermain. Apa khabarlah kamu semua ya.

Nota 1: Dulu-dulu kalau kami tujuh orang perempuan ni turun ke jeti, mesti akan ada yang nak mengorat. Tahu-tahu sajalah perangai budak lelaki macam mana kan. Tapi sekarang ni, sumpah saya kata, orang kampung saya tak kenal saya dan kalau yang lelaki memang tak berani nak tegur-tegur saya tak memasal. Ngahaha. Adik saya report, dia kata ada kawan dia kata muka saya garang. Saya memang garang apa. 😎

Nota 2: Saya teruja bila tahu ada salah seorang kawan lama zaman tadika (dan sekolah menengah) saya dulu membaca blog ini. :o

Posted on August 7th, 2009 by Sarah  |  8 Comments »

Entri Emosi

Assalamualaikum wbt

Saya tak faham kenapa bila saya tulis entri yang berbunyi negatif sikit je, mulalah saya terima komen yang saya tak berminat nak baca. Tak kiralah, pasal malas ke, bosan ke, tertekan ke, sedih ke.

Saya tak maksudkan langsung yang saya tak hargai cuti dan masa lapang yang saya ada. Saya bukan maksudkan yang saya bosan dengan cuti saya ni. Saya maksudkan yang saya bosan sebab tiada kawan. Tanya emak saya. Berkali-kali dah saya katakan padanya yang saya sedih sebab kawan-kawan saya semuanya jauh. Saya bosan sebab saya tiada kawan yang tinggal berdekatan. Saya tak faham kenapa senang sangat nak salah tafsir benda yang mudah tu. Pasal aktiviti waktu cuti, takkanlah semuanya saya nak cerita di sini kot. Kalau setakat meneruskan hobi saya di waktu cuti ni, tu memang dah buat pun. Setakat nak menulis sajak, yang tu tak perlu ada kawan pun. Tapi ada situasinya memang kita nak bersama kawan. Tapi itu yang mustahil. Mungkin ada yang tak bosan 24 jam duduk sendiri-sendiri.

Tak payah mesej-mesej saya secara personal nak tegur-tegur tentang kenegatifan isi kandungan entri saya. Contact form yang saya sediakan di atas tu bukannya dikhaskan untuk tujuan itu. Maaf. Saya tidak suka. Saya cakap terus terang sebab saya rimas.

Saya ni bukannya pakar motivasi ke apa yang bersemangat sepanjang masa. Saya ni orang biasa. Apa tak boleh ke saya ada mood yang turun naik? Apa saya ni tak boleh rasa bosan ke? Tolonglah jangan salah faham dengan apa saya maksudkan dengan bosan tu. Saya bukan bosan dengan masa lapang yang saya ada. Bapaklah saya sukanya dengan cuti saya ni. Tapi saya bosan sebab tiada kawan-kawan tinggal berdekatan dengan saya. Dua perkara tu amatlah jauh berbeza maksudnya.

Patutnya saya tak payahpun nak emosional ke apa tentang hal ini. Tapi saya ni pun manusia biasa juga. Bengang betul saya bila disalahertikan pada perkara yang senang begini apatah lagi hal ni lumrah. Kalau nak baca cerita-cerita yang bermotivasi tinggi ke apa, bacalah laman web pakar motivasi. Anda pun senang hati.

Sekian.

Nota: Dan saya pun orang biasa yang boleh bengang bila-bila masa je.

Posted on August 3rd, 2009 by Sarah  |  No Comments »

Kebosanan Ini Membunuhku

Assalamualaikum wbt

Saya rasa hari-hari saya tidak berkualiti langsung sejak kebelakangan ini. Semalam, kebosanan betul-betul membunuh saya. Sedangkan pada masa yang sama saya sedar saya perlu membuat ulangkaji. Nota penuh di atas meja tetapi bacanya baru dua, tiga muka saja.

Bosannya tiada kawan berdekatan dengan rumah. Mati kutu saya duduk rumah tercongok seorang diri. Naik buai seorang diri. Termenung seorang diri. Melepek pun seorang diri. Makan seorang diri. Tidur lagilah seorang diri. Jadi buat masa ini, saya amat malas hendak mengemaskinikan blog dan saya nekad hendak membuat ulangkaji secara maksimum.

Salam. Daa~

Nota 1: Selamat pengantin baru buat Hanim dan Hanafee. Maaf tak dapat datang walimah awak berdua.

Nota 2: Kenapa tak ada kawan sebab semua kawan dah kahwin. :roll:

Posted on August 3rd, 2009 by Sarah  |  16 Comments »