Bajet Perbelanjaan

Assalamualaikum wbt

Mari bercerita tentang kewangan. Bajet. Selaku seorang yang masih belum mempunyai gaji ataupun sebarang bentuk pendapatan sampingan yang lain, saya bergantung sepenuhnya kepada duit simpanan sendiri. Tetapi jika saya perlu pergi ke mana-mana di luar dari bandar, ayah pasti akan menghulurkan duit. Jika keluar bersama emak pula, memang hampir semuanya masih dibayar oleh emak.

Memandangkan tidak lama lagi saya akan mula bertugas, saya sudah mula mengumpulkan stok pakaian. Saya suka berbaju kurung. Jadi sudah semestinya target saya ialah baju kurung. Bermula dengan sesi temuduga kira-kira tiga minggu yang lalu, saya sudah mula membeli baju baru. Waktu itu, emak yang belikan. Beli baju siap di butik. Kami juga ada ke kedai kain membeli tiga helai kain pasang yang belum dijahit. Pun emak yang bayarkan. Kosnya sudah seratus lebih untuk tiga pasang kain dan tudungnya.

Dua minggu lepas, saya ke kedai baju lagi. Membeli baju kurung siap. Dua pasang sekali harung. Hampir dua ratus melayang. Terdahulu sebelum itu, saya membeli dua pasang kasut. Nasib baik ketika membeli kasut itu, ada potongan harga yang bagus. Tapi tetaplah juga melayang duit saya hampir seratus ringgit.

Tiga pasang kain yang dibelikan oleh emak hari tu saya hantar ke kedai jahit di kampung saya. Tukang jahitnya adalah kawan adik saya. Ini kali pertama saya cuba menghantar padanya. Lagipun kedai jahit lain sudah tidak mengambil tempahan kerana tempahan raya sudah cukup banyak diterima mereka. Jadi saya tinggalkan kain saya pada Puteri, tukang jahit itu.

Saya meneruskan pencarian baju kurung untuk stok bekerja nanti. Tapi di dua buah butik yang saya pergi bersama Kaklong pada minggu lalu, tiada satupun yang memenuhi citarasa saya. Sudahlah baju raya pun saya tiada lagi, hendak mencari baju kerja lagi. Aduh. Kena fikirkan bajet lagi. Pening kepala. Satu hal lagi, susah sebenarnya hendak mencari baju kurung yang kena dengan citarasa saya sebenarnya. Kerana kebanyakan jenis kain sekarang ini adalah jarang. Lagi mahal, lagi jarang. Dah jumpa yang cantik pun, masalahnya jarang pula. Jenis kain yang sebegini memerlukan si pemakainya mengenakan inner (t-shirt di bahagian dalam untuk mengelakkan kejarangan). Masalahnya, saya cukup rimas kalau hendak kena pakai inner. Cukuplah hidup di Moscow dulu, setiap kali hendak pakai baju kurung, kena pakai inner sebab cuaca sejuk. Ini, balik ke Malaysia, pun kena pakai inner lagi. Alasan, sebab hendak bergaya. Huish. Tak kuasa saya. Apa mereka ni tak rasa panas, kah? Jadi saya lagi sanggup bersusah payah mencari baju yang tidak memerlukan inner. Yang tidak jaranglah yang lagi bagus. Baru betul syariat berpakaian.

Petang tadi, tempahan baju saya yang tiga pasang itu telah siap. Saya pergi mengambilnya. Tiga pasang baju kurung, RM75 upahnya. Ini nilai upah di tempat saya. Sungguh berbaloi. Saya memang suka baju kurung yang ditempah. Lebih selesa. Nampaknya lain kali boleh ke kedai Puteri lagi. Jahitannya cukup kemas.

Dan mahu tidak mahu, dalam minggu ini, saya kena mencari paling kurang tiga helai baju lagi untuk mencapai target stok baju kerja saya. Untuk baju raya, saya kena memilih salah satu daripada baju-baju yang sudah dibeli ini saja. Tiada baju khas untuk baju raya. Serius saya katakan, untuk menyelesaikan proses mengumpul baju ini, saya perlu membuat bajet yang ketat. Kalau tidak, duit mengalir macam air tanpa saya sedar ke mana perginya ia.

Saya meletakkan bajet RM500 untuk lapan helai baju kurung beserta tudung. Alhamdulillah, emak ada menyumbang sama. Jadi saya dapat mengurangkan kosnya sedikit. Setakat ini, bajet saya masih belum lari. Kesimpulannya, membuat bajet itu memang penting untuk mengelakkan kita terlebih belanja. Mesti ada antara kamu yang mengatakan bajet ini cukup besar. Salah tu. Ini sudah kira kecillah ni untuk lapan helai baju dan beberapa helai tudung. Sehelai baju kurung siap sekarang ni berharga RM65 ke atas tau.

Sebenarnya saya bukan tidak ada baju kurung langsung. Ada memang ada. Tapi banyak yang sudah lama-lama. Yang zaman SPM dulu pun ada lagi. Saya ni tak meninggi dah pun. Jadi masih muat baju-baju dulu. Tapi takkanlah hendak kerja pun masih pakai baju 7-8 tahun sudah. Setiap tahun, saya akan membawa balik sehelai dua baju kurung baru ke Moscow. Jadi, baju baru saya tidaklah banyak mana. Anak terbiarlah katakan. Hahaha. Jadi, inilah masanya saya kena mengumpul semula stok baju untuk keperluan saya dalam masa terdekat ini. Lagipun, ke mana pun saya pergi, saya memang berbaju kurung. Kecuali keluar tanpa perlu turun dari kereta. Yang ni pakai seluar baju tidur saja pun tak mengapa. Muahaha.

Dalam sibuk menyediakan kelengkapan hendak bekerja nanti, saya ada terfikir juga. Ini baru kelengkapan baju kerja. Kalau hendak kahwin nanti macam pula? Beribu-rabanlah habis jawabnya. Jadi, marilah kita jangan berkahwin sekarang. Berkahwinlah kita apabila duit sudah berkepuk nanti ya. Hahaha.

Nota 1: Apa yang memelikkan saya, sekarang saya pakai baju kurung saiz XS.  Dulu-dulu pakai S. Tapi sekarang S adalah besar untuk saya. Wahaaa. Takdelah gemuk mana pun saya, kan! :mrgreen:

Nota 2: Tapi bila timbang berat badan sewaktu menjalani pemeriksaan kesihatan minggu lepas, MASYA ALLAH! Sudah naik hampir 7 kg!!!!! Melebihi batas norma sungguh! :shock: :| :sad:

Nota 3: Iyelah. Iyelah. Saya gemuk. Saya memang gemuk. :???:

Posted on August 31st, 2009 by Sarah  |  18 Comments »

Ramadhan Di Malaysia

Assalamualaikum wbt

Diam tak diam sudah sepuluh hari kita semua berpuasa. Dan itu bermakna selama itu jugalah saya tidak mengemaskinikan blog ini. Ikutkan hati hari-hari saya mahu menulis tapi disebabkan saya tidak dapat online dari laptop saya di dalam bilik, maka perasaan hendak menulis dan bercerita itupun terbantut.

Apa nikmatnya berpuasa kali ini? Bagi saya ada dua nikmat yang paling utama. Pertamanya, sepanjang sepuluh hari ini, baru hari semalam saya menyentuh dapur. Mana tidaknya, hari-hari emak memasak untuk berbuka dan bersahur. Sedikitpun saya tidak memasak sepanjang cuti sekolah seminggu ini. Hari semalamlah merupakan hari pertama saya masuk ke dapur semula untuk memasak sepanjang Ramadhan ini. Itupun sekadar hendak menyediakan puding karamel. Menu utama tetaplah juga dimasak oleh emak.

Kalau dulu di Moscow, balik saja dari hospital setiap petang, siapa yang bertugas memasak pada hari itu akan kelam kabutlah memasak di dapur supaya dapat menyempatkan menu utama siap dimasak sebelum waktu berbuka tiba. Menu pun sangat sederhana. Sejenis lauk, sejenis sayur, buah tembikai dan kurma. Kalau ada yang rajin dan berkesempatan, barulah ada pencuci mulut seperti kuih-muih tradisional, bubur atau pai.

Keduanya, Ramadhan kali ini saya berada dalam keadaan lapang. Jadi, waktu untuk bertadarus dapat diperuntukkan dengan banyaknya. Selepas sahur mengaji. Selepas Subuh mengaji. Selepas Zohor pun mengaji. Selepas Maghrib mengaji lagi bergitu juga selepas selesai Tarawikh. Pendek cerita, laju betul dapat membaca kali ini. Dalam masa lima hari sudah tamat sepuluh juzuk.

Kalau di Moscow dulu, hanya selepas sahur, Maghrib dan di tengah malam sebelum tidur saja sempat mengaji. Keterikatan dengan jadual hospital, tanggung jawab di rumah dan ulangkaji serta persediaan sendiri di bilik membataskan segalanya. Bila sudah di hujung-hujung Ramadhan, kadang-kadang tu masih berbaki sepuluh juzuk. Maklum sajalah. Orang perempuan ada fitrah daruratnya yang tersendiri. Jadi akan ada beberapa hari yang tertinggal untuk bertadarus. Maka di saat akhir itulah, sanggup bersengkang mata bangun sahur awal dan tidur lewat semata-mata untuk menamatkan bacaan Al-Quran dalam tempoh sebulan Ramadhan. Alhamdulillah. Kelapangan kali ini sangat bermakna rupa-rupanya.

Bercerita tentang makanan pula, saya makan apa saja yang emak saya masak. Apa saja. Kalau emak masak telur dadar sajapun mungkin saya akan makan padahal saya tidak suka telur pun. Tapi sebab emak yang masak, mesti sedap punyalah. Pasar Ramadhan pun setiap selang sehari saya akan jengah. Saya sudah dapat makan semua kuih yang saya teringin kecuali dua. Badak berendam dan Puteri Mandi. Jenuh saya mencari di tempat saya ni, tiada pula yang menjualnya. Mungkin kurang mendapat sambutan jadi tiada yang menjualnya kali ini. Oh ya. Sebenarnya sudah hampir tujuh tahun saya tidak ke Pasar Ramadhan. Kali terakhir saya ke Pasar Ramadhan ialah ketika musim SPM di penghujung tingkatan lima di Klang dulu. Nostalgia sungguh.

Tapi setiap kali ke Pasar Ramdhan, saya akan pergi bersama adik-adik dan Kaklong. Jadi saya akan mengutamakan apa yang adik-adik selerakan. Biasanya mereka lebih berhajatkan air daripada kuih-muih. Apa tidaknya. Kalau beli kuih sekali pun, yang dijamah mereka hanya seketul seorang dari seringgit setiap jenis kuih. Bukankah membazir? Sudahnya, baki kuih akan kami bungkus dan bawa ke masjid untuk moreh. Sejak itu, adik-adik pun kurang gemar hendak membeli kuih lagi dan hanya mencari sesuatu yang mereka hajati saja. Conothnya kebab atau tau fu fa.

Dan pada hari ini, negara kita meraikan sambutan Hari Kebangsaan yang ke-52. Besar maknanya sambutan kali ini buat saya. Mana tidaknya. Sudah lima tahun saya tidak berada di Malaysia pada tarikh ini. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur atas nikmat keamanan dan keharmonian yang masih dikekalkan-Nya buat kita semua. Moga-moga Malaysia kekal berdiri atas nama Malaysia berdaulat, rakyat berbilang kaum masih tetap bersatu dan saling menghormati antara satu sama lain, agama Islam dijunjung di samping tidak menghina dan mengabaikan hak agama lain. Semoga Allah terus memelihara negara kita.

Nota: Ada lagi cerita-cerita lain akan menyusul. Apapun sekarang nak kena keluar isi minyak kereta dulu. Nak kasi penuh tangki. Harga minyak naik lagilah. Dan-danlah nak naik masa ni kan. =__=

Posted on August 31st, 2009 by Sarah  |  13 Comments »

Ramadhan Al-Mubarak

Assalamualaikum wbt

Sebaik saja saya siap menulis entri lepas, tiba-tiba bekalan elektrik terputus. Jadi terbantutlah niat saya hendak menulis entri baru. Disebabkan tiada elektrik selama dua jam setengah, maka selama itu jugalah saya mengemas rumah dan rak kasut luar rumah sebab disuruh oleh ayah. Saya tahu kenapa ayah meyuruh saya mengemas rak kasut itu. Sebab di tepi rak kasut itu ada kotak kucing ayah bersama empat ekor anaknya yang comot pada pandangan mata saya yang tidak menyukai kucing sangat ni.

Pagi ini terasa gembira sikit. Saya dapat berhubung semula dengan dua orang kawan lama saya. Izzaidi dan Wahida. Kami bertiga ni sekelas dari tingkatan 1 sampai 3. Selepas PMR, tiga-tiga berpindah mengambil aliran sains di sekolah yang berlainan. Tapi sehingga ke hari ini kami masih berkawan.

Tengahari pula saya sempat berbual sekejap dengan Faaiqah dan Kak Anisa. Tapi dengan dua-dua pun tidak dapat berbual lama. Ada maslah dengan talian. Senang terputus. [Update: Faaiqah baru telefon semula. berborak lama dengan dia. Seronoknya!] Dua-dua ni kawan baik saya. Sudah lapan tahun saya mengenali kedua-duanya. Kak Ani sudahpun selamat melahirkan anaknya sebulan yang lalu. Seronok sungguh dapat berbual dengan mereka.

Saya sebenarnya hendak bercerita tentang hal lain. Tapi saya rasa macam tidak berperasaan hendak cerita pula. Lepas ni nak kena hantar Tok ke bank pula dan saya kena mengemas bilik Kaklong, Nan dan Adi yang akan balik pada hari esok. Kan dah kata yang saya ni penganggur terhormat sebab saya sibuk mengalahkan YB. :cool:

Senja ini kita akan mula melihat anak bulan. Bukan kitalah. Tapi ahli-ahli yang faqih dalam bidang ini. Kalau tiada aral, esok kita akan mula berpuasa. Eh, terasa sebak menulis ayat ini. Ya. Ramadhan sudah hampir tiba. Jadi sebelum saya menyudahi entri ini, saya ingin memohon maaf atas segala silap dan salah selama ini. Semoga kita saling meredhai sesama kita.

Mari kita hidupkan Ramadhan kita kali ini dengan penghayatan ibadah yang lebih lagi. Baik dari segi puasanya, tadarus Al-Qurannya atau apa-apa saja amalan lain termasuk tarawih dan berzakat. Semoga Ramadhan kali ini lebih baik dari tahun lalu. Kita kena minta ini sungguh-sungguh. Rugi kita kalau disia-siakan Ramadhan kali ini. Siapa tahu, ini Ramadhan terakhir kita di dunia ini. Lagipun, Ramadhan adalah bukti Allah itu sangat menyanyangi kita semua. Bulan ini dicurahkan-Nya dengan seribu keberkatan, ditutupkan pintu neraka, dihentikan azab kubur, dibukakan seluas-luasnya pintu syurga dan dilipatgandakan ganjaran untuk semua amalan kebaikan.

Semoga ibadah puasa kita tahun ini diterima oleh-Nya dan tadarus kita di bulan barakah ini menjadi perisai kita di akhirat nanti. Selamat berpuasa buat semua.

Nota 1: Sudah 6 tahun saya tidak berpuasa di rumah. Akhirnya… (Ya Allah, memang sebak sungguh ni…) :cry: Bersyukurnya aku, Ya Allah! Sempat lagi aku menunaikan ibadah puasa bersama keluarga.

Nota 2: Tidak kira di mana pun kamu semua berpuasa pada tahun ini, saya doakan kesihatan kamu semua dalam keadaan yang baik, tiada yang sakit-sakit. Sebenarnya, keterasingan dan kejauhan itu mengenalkan kita dengan satu lagi nikmat berpuasa iaitu sabar.

Nota 3: Saya akan rindu suasana sibuk-sibuk memasak untuk berbuka selepas pulang dari hospital di Moscow dulu-dulu. Rindunya pada PENA, WANIE, FATT, DIBA, EMY dan SHA!

Posted on August 20th, 2009 by Sarah  |  39 Comments »

Hidup Seorang Penganggur

Assalamualaikum wbt

Sepanjang minggu lepas saya memang tidak berperasaan langsung mahu menulis apa-apa. Tapi minggu ini, kalau boleh setiap satu jam rasa hendak menulis lagi. Kalau bolehlah. Tapi tak boleh. Jadi tiadalah entri setiap satu jam tu. Hidup menjadi penganggur memang begini. Cita-cita tu tinggi menggunung tapi kadang-kadang buatnya tidak. Memang tidak elok berstatus begini lama-lama.

Minggu lepas saya demam sekejap. Sekali harung, ada tiga orang yang demam di rumah ni. Saya dan dua orang adik. Selama empat hari yang demam itu, macam biasa, saya hanya melepek saja. Bila sudah sihat, ada banyak pula aktiviti lain yang saya lakukan. Sampaikan, hendak menghadap internet pun tidak sempat. Sudah malam barulah saya menekun di depan laptop. Tapi hendak online pun penuh dugaan dan cabaran. Internet asyik terputus-putus saja. Boleh bengang jadinya.

Hari Isnin dan semalam pula, saya terlibat dalam pemeriksaan kesihatan yang dilakukan ke atas pelajar-pelajar sekolah emak saya. Hari Isnin lepas masih ok lagi. Tiada ragam yang pelik-pelik sangat yang saya temui ketika memeriksa mereka kerana yang datang ke bilik pemeriksaan semuanya yang demam agak teruk juga. Jadi mereka ni tidak banyak mulut sangat. Muka sedih saja. Monyok tak usah cakaplah kan. Tapi hari semalam, masya Allah… Macam-macam soalan pelik-pelik budak-budak ni bertanya. Sampai ada yang saya tak tahu macam mana nak menjawab semula.

Contohnyalah, ada seorang budak lelaki tahun 5 ni, dia bertanya: Doktor, kalau kita biar hingus kita lama-lama, nanti hingus kita jadi keras kan? Saya pun jawablah: Sebab tu kita kena hembus hingus kita. Jangan nak sedut-sedut ke dalam. Kena bersihkan hidung tu. Kemudian dia menambah: Tapi kalau hingus tu dah keras kan, kita boleh korek-korek hidunglah, kan? Saya macam… err… terdiam sekejap. Saya jawab semula: Hah, koreklah kalau nak korek sangat. Muahaha. Tak senonoh betullah soalan. Jawapan akhir saya pun tak senonoh juga. Sebenarnya itu yang dia nak dengar sangat. Alasan dibolehkan mengorek hidung. Sabar ajelah budak-budak ni.

Yang paling ketara, saya lihat ramai kanak-kanak yang tidak mendapat pemeriksaan telinga, hidung dan tekak (ENT) dengan betul. Ada dua kes kelenjar tonsil membengkak yang saya jumpa yang agak teruk sehinggakan saluran makanannya menjadi sangat sempit kurang dari 1 cm. Saya seronok dapat menceritakan kepada budak-budak ini tentang anatomi mulut mereka. Kenapa bahaya jika saiz kelenjar itu sangat besar. Siap melukis-lukis lagi. Ada seorang pelajar ni, dia pelajar kelas akhir tahun 5. Tapi saya lihat dia sangat cepat menangkap penerangan berkaitan ilmu-ilmu perubatan ni. Siap boleh menerangkan semula kepada kawan-kawannya. Dia juga mempunyai banyak pengetahuan am tentang kesihatan. Kata saya dalam hati, budak ni ada potensi menjadi doktor suatu hari nanti. Amin!

Oh ya. Sepanjang seminggu ini juga, mestilah ada hari-hari yang saya sangat pasif sampai tak tahu nak buat apa dah. Kebetulan Selasa lepas saya ada temujanji dengan doktor gigi. Dan pada hari itu juga saya kelam kabut menguruskan Tok saya yang tidak berapa sihat. Saya pula asyik gelap mata saja. Sampaikan tengah memandu pun, tiba-tiba gelap mata. Nasib baik sudah menghampiri kawasan rumah. Jadi dengan tak semena-mena, saya telah membeli sesuatu pada hari itu. Eh, bukan sesuatu, tapi dua suatu! Huhu.

Sebenarnya saya hendak muatnaikkan gambarnya di sini. Tapi sekarang ni saya tengah online menggunakan PC di dapur. Eh, sila jangan bayangkan PC ini terletak di sebelah dapur masak maka saya menulis entri sambil memasak ke apa. Dapur rumah saya ni luas macam ruang tamu. Ada sudut komputer dan ruang TV juga. Haa. Tak pasal-pasal dah menceritakan plan rumah pula. Buang imaginasi PC-dapur-memasak jauh-jauh ok. Huhu. Awal-awal tadi saya menulis entri ini di dalam bilik menggunakan laptop saya. Internet pula tidak boleh digunakan dari laptop saya secara tiba-tiba. Gambar dua suatu itu ada di dalam laptop. Pen drive saya pula baru saja hilang. Jadi tak dapatlah untuk saya pindahkan gambar dari laptop ke PC ini. Alasan punyalah panjang, kan. Alasan pendeknya ialah, marilah kita menamatkan entri tak berfaedah ini di sini. Saya nak kemas rumah dululah. Daa~

Sekejap sekejap. Dalam pada membuang masa membaca entri tak berfaedah saya ini, entri Tawaran Istimewa jangan terlepas pandang pula ya. Sudah ramai yang membuat tempahan. Anda bila lagi? 😉 Ok. Daa~

Nota: Saya rasa saya sangat rajin hari ni. Kejap lagi saya update lagi. Huhu. :mrgreen:

Posted on August 20th, 2009 by Sarah  |  5 Comments »

Tawaran Istimewa

Nota: Entri ini adalah sticky post sehingga Jumaat malam. Entri baru boleh didapati di bawah entri ini.

Assalamualaikum wbt

  • Apa perasaan kamu semua apabila membaca Al-Quran tetapi tidak dapat memahami apa yang sedang dibicarakan Allah kepada kita menerusi susunan ayat-ayat indah-Nya itu? Mesti ada rasa terkilan, kan.
  • Lebih-lebih lagi jika kita tidak mempunyai asas Bahasa Arab. Maksud ayat-ayat yang dibaca adalah seratus peratus bergantung kepada Al-Quran terjemahan.
  • Pernahkah kamu terfikir untuk membaca Al-Quran dan dapat mengetahui maksud setiap patah perkataan yang dibaca itu? Teringin? Mahu menambah ilmu asas Bahasa Arab dan Al-Quran?

Ini jalan penyelesaiannya.

quran syaamil

Dapatkan Syaamil Al-Quran Terjemahan Per Perkataan.

Mashaf Al-Quran terjemahan ini didatangkan dalam versi Al-Quran Al-Karim berterjemahan penuh juga per perkataan. Syaamil Al-Quran Terjemahan ini membolehkan kita mengetahui maksud setiap patah perkataan yang dibaca disamping menambahkan kefahaman kita dalam asas Bahasa Arab.

Mashaf ini adalah hasil terbitan Indonesia. Ia sudah mula boleh didapati di Malaysia pada harga pasaran RM150. Ada juga yang boleh didapati dengan harga RM129.

Tapi jangan risau.

Saya boleh membantu bagi sesiapa yang berminat untuk mendapatkan Syaamil Al-Quran Terjemahan per perkataan ini pada harga RM100 saja.

Saya jamin, memiliki senaskhah Syaamil Al-Quran Terjemahan ini adalah sangat berbaloi dan dapat menambahkan kefahaman dan penghayatan kita ketika membaca Al-Quran. Ini adalah satu alternatif yang tidak boleh dilepaskan!

Sempena Ramadhan yang sudah hampir tiba selang sehari atau dua lagi, apa kata kita ambil kesempatan Ramadhan kali ini untuk cuba menambahkan penghayatan kita dalam memahami Al-Quran.

Sesungguhnya, Al-Quran adalah perantaraan Allah berbicara tentang segalanya dengan kita semua. Jangan lepaskan peluang untuk mendengar dan memahami Allah bercerita dengan susunan kalam-Nya yang terindah dan puitis.

Untuk tempahan, sila hubungi saya melalui email di sarahmohdshukor[at]gmail[dot]com. Berikan detail diri, alamat, nombor telefon dan kuantiti. Warna yang available buat masa ini hanyalah yang mempunyai corak daun coklat itu saja. Tempahan dibuka sehingga hari Jumaat malam 21 Ogos 2009 jam 11.30 malam.

Posted on August 19th, 2009 by Sarah  |  35 Comments »