Hidup Seorang Penganggur

Assalamualaikum wbt

Sepanjang minggu lepas saya memang tidak berperasaan langsung mahu menulis apa-apa. Tapi minggu ini, kalau boleh setiap satu jam rasa hendak menulis lagi. Kalau bolehlah. Tapi tak boleh. Jadi tiadalah entri setiap satu jam tu. Hidup menjadi penganggur memang begini. Cita-cita tu tinggi menggunung tapi kadang-kadang buatnya tidak. Memang tidak elok berstatus begini lama-lama.

Minggu lepas saya demam sekejap. Sekali harung, ada tiga orang yang demam di rumah ni. Saya dan dua orang adik. Selama empat hari yang demam itu, macam biasa, saya hanya melepek saja. Bila sudah sihat, ada banyak pula aktiviti lain yang saya lakukan. Sampaikan, hendak menghadap internet pun tidak sempat. Sudah malam barulah saya menekun di depan laptop. Tapi hendak online pun penuh dugaan dan cabaran. Internet asyik terputus-putus saja. Boleh bengang jadinya.

Hari Isnin dan semalam pula, saya terlibat dalam pemeriksaan kesihatan yang dilakukan ke atas pelajar-pelajar sekolah emak saya. Hari Isnin lepas masih ok lagi. Tiada ragam yang pelik-pelik sangat yang saya temui ketika memeriksa mereka kerana yang datang ke bilik pemeriksaan semuanya yang demam agak teruk juga. Jadi mereka ni tidak banyak mulut sangat. Muka sedih saja. Monyok tak usah cakaplah kan. Tapi hari semalam, masya Allah… Macam-macam soalan pelik-pelik budak-budak ni bertanya. Sampai ada yang saya tak tahu macam mana nak menjawab semula.

Contohnyalah, ada seorang budak lelaki tahun 5 ni, dia bertanya: Doktor, kalau kita biar hingus kita lama-lama, nanti hingus kita jadi keras kan? Saya pun jawablah: Sebab tu kita kena hembus hingus kita. Jangan nak sedut-sedut ke dalam. Kena bersihkan hidung tu. Kemudian dia menambah: Tapi kalau hingus tu dah keras kan, kita boleh korek-korek hidunglah, kan? Saya macam… err… terdiam sekejap. Saya jawab semula: Hah, koreklah kalau nak korek sangat. Muahaha. Tak senonoh betullah soalan. Jawapan akhir saya pun tak senonoh juga. Sebenarnya itu yang dia nak dengar sangat. Alasan dibolehkan mengorek hidung. Sabar ajelah budak-budak ni.

Yang paling ketara, saya lihat ramai kanak-kanak yang tidak mendapat pemeriksaan telinga, hidung dan tekak (ENT) dengan betul. Ada dua kes kelenjar tonsil membengkak yang saya jumpa yang agak teruk sehinggakan saluran makanannya menjadi sangat sempit kurang dari 1 cm. Saya seronok dapat menceritakan kepada budak-budak ini tentang anatomi mulut mereka. Kenapa bahaya jika saiz kelenjar itu sangat besar. Siap melukis-lukis lagi. Ada seorang pelajar ni, dia pelajar kelas akhir tahun 5. Tapi saya lihat dia sangat cepat menangkap penerangan berkaitan ilmu-ilmu perubatan ni. Siap boleh menerangkan semula kepada kawan-kawannya. Dia juga mempunyai banyak pengetahuan am tentang kesihatan. Kata saya dalam hati, budak ni ada potensi menjadi doktor suatu hari nanti. Amin!

Oh ya. Sepanjang seminggu ini juga, mestilah ada hari-hari yang saya sangat pasif sampai tak tahu nak buat apa dah. Kebetulan Selasa lepas saya ada temujanji dengan doktor gigi. Dan pada hari itu juga saya kelam kabut menguruskan Tok saya yang tidak berapa sihat. Saya pula asyik gelap mata saja. Sampaikan tengah memandu pun, tiba-tiba gelap mata. Nasib baik sudah menghampiri kawasan rumah. Jadi dengan tak semena-mena, saya telah membeli sesuatu pada hari itu. Eh, bukan sesuatu, tapi dua suatu! Huhu.

Sebenarnya saya hendak muatnaikkan gambarnya di sini. Tapi sekarang ni saya tengah online menggunakan PC di dapur. Eh, sila jangan bayangkan PC ini terletak di sebelah dapur masak maka saya menulis entri sambil memasak ke apa. Dapur rumah saya ni luas macam ruang tamu. Ada sudut komputer dan ruang TV juga. Haa. Tak pasal-pasal dah menceritakan plan rumah pula. Buang imaginasi PC-dapur-memasak jauh-jauh ok. Huhu. Awal-awal tadi saya menulis entri ini di dalam bilik menggunakan laptop saya. Internet pula tidak boleh digunakan dari laptop saya secara tiba-tiba. Gambar dua suatu itu ada di dalam laptop. Pen drive saya pula baru saja hilang. Jadi tak dapatlah untuk saya pindahkan gambar dari laptop ke PC ini. Alasan punyalah panjang, kan. Alasan pendeknya ialah, marilah kita menamatkan entri tak berfaedah ini di sini. Saya nak kemas rumah dululah. Daa~

Sekejap sekejap. Dalam pada membuang masa membaca entri tak berfaedah saya ini, entri Tawaran Istimewa jangan terlepas pandang pula ya. Sudah ramai yang membuat tempahan. Anda bila lagi? 😉 Ok. Daa~

Nota: Saya rasa saya sangat rajin hari ni. Kejap lagi saya update lagi. Huhu. :mrgreen:

5 Responses to “Hidup Seorang Penganggur”

  1. hilman says on :

    Salam Sarah…

    Sebanarnya saya baru baca buku berkaitan dengan pengurusan waktu sambil menunggu on laptop. Di bawah ni serba sedikit kandungan nya berkaitan dengan penganggur. Bukan niat nak memandang serong, tapi untuk renungan bersama.

    Budak2 memang ikhlas bila bercakap. Tak pernah sorok apa yang die fikirkan. E, ni yang rasa nak balik kg lagi. huhuhuhu

    ——-

    Al-Baihaqi meriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Zubair. “Perkara yang paling tercela di alam ini ialah pengangguran.”[1]

    Jika insan tidak mempunyai kerja atau aktiviti yang menyibukkan batinnya dengan perkara harus yang dapat membantunya untuk kemaslahatan agamanya, zahirnya menjadi kosong tetapi hatinya tidak kosong: bahkan menjadi sarang syaitan bertelur dan menetas di situ, beranak pinak dengan cepat, lebih cepat dari haiwan [1].

    Apabila Saidina Umar nelihat orang yang mem[unyai penampilan terlalu ceria, beliau bertanya: “Adakah ia mempunyai pekerjaan?” Apabila dikatakan “Tidak.” Maka jatuhlah kedudukan orang itu pada pandangan Saidina Umar [1].

    [1]. Dr. Yusuf al-Qaradhawi, “Nilai & Pengurusan Waktu dalam Hidup Muslim”.

    Nota1: Sebenarnya kita bukan penganggur, tp suka cakap yang kita ni “penganggur”. Huhuhu

    Reply

  2. Saffa says on :

    Alasan pendeknya ialah, marilah kita menamatkan entri tak berfaedah ini di sini. Saya nak kemas rumah dululah. Daa~

    Hahaha…

    Kejap lagi saya update lagi.

    Saffa tungggguuuuuuu… 😀

    Reply

  3. enar says on :

    terima kasih sarah membuat pemerksaan kesihatan.becok suhail bercerita tentang dr sarah dan apa-apa nasihat diikuti dengan patuh dan serius 100%.

    tak laku semua nasihat2 lain dan rating populariti sarah dengan naik terus ke tangga ke atas.

    Reply

    Sarah Reply:

    Sama-sama Kak Enar. Tu la. Hari tu pun waktu check dia, ramai yang demam macam dia jugak. Jadi saya cerita kat diorang semua dalam 5-6 orang yang ada waktu tu cara2 nak urus diri waktu batuk dengan betul. Kesian tengok masing2 batuk tapi tak habis2 lagi kahaknya.

    Harapnya Suhail dah sihat dah ye.

    Reply

  4. Kasawari says on :

    takper sarah.. rehat2 dulu.. nanti Insya Allah ada la kerja..

    sgt lawak soalan budak tahun 5 tu.. he he..

    Reply

Leave a Reply