Mesej Berantai 25 Muka

Assalamualaikum wbt

Sedang menunggu kes baru tiba di Kecemasan untuk di‘clerk’, saya dan dua orang kawan pergi ke kafe untuk mengisi perut. Jam sudah menunjukkan pukul 9.15 malam. Saya sangat lapar.

Sedang duduk-duduk menikmati air necafe ais yang dipesan, saya menerima satu SMS.

Selamat Hari Lahir, Sarah!

Sejurus kemudian saya menerima SMS lagi. Ucapannya sama. Tidak lama kemudian, saya menerima lagi SMS yang sama. Tiga. Empat. Lima. Enam… Sehingga yang kedua puluh lima! Semuanya daripada pengirim yang sama. Saya tersenyum-senyum seorang diri. Kemudian saya membalas:

Banyaknya. Terima kasih!

Balasnya:

Kalau 25 tu banyak, maksudnya dah banyaklah umur awak sekarang.

Saya tersenyum saja membaca balasannya itu.

Terima kasih emak dan ayah atas pengorbanan yang tak putus-putus sehingga kini. Kalau tiada emak dan ayah, siapalah saya pada hari ini.

Semoga perjalanan hidup saya di tahun ke dua puluh lima ini dirahmati oleh Allah dan dipermudahkannya dalam setiap urusan. Ada banyak yang ingin saya capai pada tahun ini dan saya bermohon moga Allah memberikan saya jalan yang terbaik untuk mendapat yang terbaik, insya Allah.

Nota: Dah masuk umur 25 nilah baru nak wujud macam-macam hal. Aduhai. ;-)

Posted on January 19th, 2010 by Sarah  |  31 Comments »

Kalau Suamiku Seorang Ustaz

Assalamualaikum wbt

Sejak petang semalam, saya terfikir-fikir tentang satu perkara ini. Ini semua ilusi saja. Yang saya bayang-bayangkan. Bukannya betul-betul terjadi. Apa yang saya fikirkan ini memang tidak berapa munasabah sangat tapi tidak mustahil boleh terjadi.

Saya terfikir, kalaulah saya berkahwin dengan seorang ustaz, satu hari nanti dia melarang saya menulis blog. Kata dia, blog ni banyak yang direpekkan daripada kenyataan. Uish. Mati kutu saya nanti. Kalau selama enam tahun ini bloglah teman baik saya, yang boleh saya kongsikan susah payah suka duka hidup menumpang di bumi orang dulu, tiba-tiba disuruhnya berhenti menulis. Uuuu… Apa saya nak buat masa tu nanti? Pilih blog atau pilih suami? Haha.

Lagi, saya terfikir. Mahukah seorang ustaz menerima cara saya seadanya? Saya ni biasa-biasa saja orangnya. Saya bukannya bertudung labuh bulat. Saya bertudung bawal segitiga biasa ni saja. Saya takut, mula-mula nak kahwin tu mungkin dia tidak kisah. Mungkin katanya, asalkan lengkap berstokin, pandai jaga adab, itu sudah mencukupi. Tapi dibuatnya lepas kahwin nanti disuruh memakai tudung labuh bulat, saya mesti macam terkena renjatan elektrik. Mungkin saya belum bersedia untuk berimej begitu kembali atas tuntutan kerja pada masa ini. Hmm… Entahlah. Pening kepala bila fikirkan hal ini. Huhu.

Lagi, saya terfikir. Bolehkah nanti untuk saya menyesuaikan diri dengan keluarga dia yang baik-baik semuanya. Maksud saya, kebanyakan ustaz mempunyai latar belakang keluarga yang dihormati dan disanjung oleh masyarakat setempat. Dibuatnya saya berkahwin dengan ustaz, di hospital saya dilihat masih memegang pesakit lelaki atau apa-apa sajalah yang berkaitan dengan pesakit lelaki, nanti maruah keluarga suami saya pula yang disebut-sebut. Katanya, apa punya menantulah yang keluarganya miliki. Saya tak mahulah hal itu terjadi. Tak pasal-pasal nama baik keluarga mereka tercemar. Dilema betul bila hal itu terjadi.

Lepas tu, malam tadi saya tidak lelap tidur. Sudah pukul 3 pagi tu, saya terjaga terus. Saya terkebil-kebil saja. Sekali lagi lamunan saya pasal berkahwin dengan ustaz ni kembali menjelma. Kalaulah dibuatnya saya kena berkahwin dengan ustaz, ada banyak kelebihan yang saya akan dapat. Setiap hari dapat mendengar dia mengalunkan Al-Quran dengan bacaan yang merdu. Oh. Memang impian hatiku. Kalaulah dia seorang Haafiz Al-Quran, lagilah banyak kelebihannya. Bila berjemaah bersamanya, dia boleh membaca surah-surah yang lebih panjang dengan alunan ala-ala kebanyakan para Haafiz gunakan. Suka betul saya.

Tapi, orang biasa yang bukan seorang ustaz pun ramai yang boleh mengalunkan Quran dengan merdu. Ramai yang hafal surah-surah panjang untuk dijadikan bacaan dalam solat. Ramai yang baik-baik. Cuma status mereka bukan ustaz saja.

Oklah. Tamat di sini saja repekan di pagi Ahad ini. Mimpi apalah agaknya kalau saya betul-betul bersuamikan seorang ustaz ya?

Selamat hari lahir yang ke-75 untuk Tok Halimah. Tok, kami semua mendoakan Tok sihat dan dapat melihat cucu-cucu Tok ni berumah tangga. Amin!

Nota: Ini entri pertama yang saya letakkan di bawah tag Soulmate. ๐Ÿ˜‰

Posted on January 17th, 2010 by Sarah  |  106 Comments »

Berita Gembira

Assalamulaikum wbt

Diam tak diam, sudah dua minggu saya tidak mengemaskinikan blog. Terlalu banyak yang terjadi tetapi memang tiada masa hendak menghadap PC lama-lama. Ada tiga perkara yang sangat menggembirakan. Mari saya ceritakan satu persatu.

Pada 2 Januari yang lepas, saya bercuti sehari untuk berkumpul bersama ahli keluarga sebelah Pahang yang lain di Serdang. Ada majlis pertunangan seorang sepupu saya. Sudah lama tidak berkumpul beramai-ramai begitu. Raya Puasa dulu pun saya tidak sempat berkumpul sebgitu sekali dengan mereka semua.

Sebaik selesai majlis, saya bersama sepupu saya yang bertunang itu terus ke Bangi. Kami menghadiri majlis perkahwinan kawan kami. Selamat pengantin baru buat Liyana dan Shuhaimi. Liyana merupakan antara kawan yang saya rapat ketika di KISAS dulu. Kebetulan pula, Liyana dan sepupu saya ini sama-sama menyambung dalam bidang perubatan di UIA Kuantan. Dan Alhamdulillah, saya sempat bertemu dengan ramai kawan lama ex-KISAS. Tidak berjanji pun tapi kebetulan semuanya datang serentak pada masa yang sama. Errr… Ada yang sudah tidak cam langsung saya. Katanya, saya terlalu kurus. Auwww. Dengan berkahwinnya Liyana, habislah ketiga-tiga orang kawan baik saya sudah berkahwin. Faaiqah, Hidayah dan Liyana. Wahai kawan-kawan, doakanlah saya pulak ye. Hohoho.

Apa yang membuatkan saya terlalu sibuk sejak kebelakangan ini ialah final assessment saya untuk posting ini. Siapa sangka, diam tak diam, sudah empat bulan saya bekerja. Dan yang paling penting, saya sudah tamat Medical posting saya dengan jayanya! Saya tidak kena extend! Yeay lagi sekali. Saya berjaya buat yang terbaik sewaktu viva dengan specialists dan Timbalan Pengarah Hospital minggu lepas. Yeay lagi dan lagi!

\(^____^)/

Kalau orang lain sedang berdebar-debar takut untuk menghadapi susah-payah posting ini, saya sekarang sudah sangat berlapang dada, senang hati. Saya sudah melepasi posting yang terberat di hospital saya. Selepas ini, saya akan ke Orthopedic pula. Walaupun ketika dalam posting ini saya berdepan dengan kerenah beberapa orang kawan yangย  tidak adil, tetapi pada masa yang sama saya dikurniakan kawan-kawan yang sangat baik. Terutamanya teamwork yang terbaik ketika bersama Dr. SD dan Dr. LMK juga dua orang kawan terbaik yang saya ada, Michele dan Fahmi. Di Orthopedic nanti, saya masih lagi bersama Michele. Yeay!

Dan saya juga sangat gembira atas pertemuan pada 3 Januari lalu. Menyesal saya menghilangkan diri selama empat tahun ini. Sangat menyesal. Semoga Allah permudahkan saya untuk menebus kesilapan dulu.

Nota 1: Saya bertemu Ikhuwan junior di Moscow dulu baru-baru ini. Kebetulan dia ada urusan di Hospital Temerloh. Asyik makan saja kerjanya bila keluar dengannya. Rasa macam dah buncit dah ni. :mrgreen:

Nota 2: Rasa macam nak ke Melaka saja. ๐Ÿ™‚

Posted on January 15th, 2010 by Sarah  |  14 Comments »

Hero Jalanan

Assalamualaikum wbt

Macam tidak percaya saja. Saya memulakan tahun baru saya ini dengan sesuatu yang sangat bersejarah. Saya beraksi di sebuah kemalangan jalan raya. Sepuluh tahun yang lalu saya tidak pernah terbayang akan bertindak seperti tadi. Sama sekali tidak pernah saya jangkakan.

Apalah agaknya yang menanti saya sepuluh tahun dari sekarang ya?

Nota: Pagi tadi asyik tersasul tulis tahun 2009 lagi dalam BHT patient.

Posted on January 2nd, 2010 by Sarah  |  11 Comments »

Erti Setahun

Assalamualaikum wbt

Diam tak diam, kita sudah pun menempuh tahun baru 1431 Hijrah dan dalam beberapa jam lagi, kita akan mencecah tahun 2010 pula. Terlalu cepat rasanya masa berlalu. Tahun lepas di waktu ini, saya bertidur-tiduran saja di atas katil. Melihat bunga api warna-warni di langit sempena menyambut kedatangan tahun baru. Saya tidak ke mana-mana. Bagi saya, duduk di rumah diam-diam dan berehat-rehat saja jauh lebih berguna dan membahagiakan.

Rupa-rupanya tahun baru kali ini juga saya pun begitu. Saya jamin, sekejap lagi selepas Isyak saya akan terdampar di atas katil sambil membaca buku. Sebelum pukul 10 malam, saya pasti sudah terlelap. Tambahan pula, saya sedikit demam. Baru menerima vaksin H1N1 pada hari semalam. Habis sakit-sakit satu badan.

Ini konklusi pencapaian diri saya untuk tahun ini. Banyak sungguh rezeki yang Allah kurniakan untuk saya tahun ini. Yang terbesar, saya telah tamat belajar dengan baik, tepat pada masanya. Ada satu rahsia yang tidak pernah saya ceritakan kepada sesiapun tentang peristiwa sebelum hari graduasi saya. Petang itu, saya keluar bersama kawan-kawan yang tidak mempunyai ahli keluarga yang bertandang untuk majlis konvokesyen kami. Kami ke sebuah coffee house di Arbat Street. Minum kopi sambil bercerita tentang kisah enam tahun kami mengembara bersama di Tanah Tsar itu. Penuh suka duka. Sebelum ke situ, saya bersama tiga orang kawan yang lain ke Manezh Shopping Complex untuk menemani dua orang kawan lelaki kami hendak membeli kemeja untuk majlis itu.

Ketika di dalam sebuah premis di situ, saya menerima mesej daripada emak bertanyakan aktiviti saya ketika itu. Saya menjawab sedang menemani kawan mencari baju untuk konvokesyen. Emak membalas:

“Sorry. Mak tak datang tengok Ngah konvo.”

Pendek saja balasan emak. Tapi dengan balasan yang pendek itu, air mata saya tak berhenti-henti mengalir. Habis satu pusat beli-belah itu dapat melihat saya berjalan sambil tersedu-sedan. Apabila ditanya oleh kawan-kawan saya yang bertiga itu apa sebabnya saya menangis, suara saya tidak keluar langsung. Saya sebak yang teramat sangat. Perit rasa tekak saya ketika itu. Yang saya tahu, saya sedih. Itu saja. Tapi saya tidak memberitahu kepada emak dan ayah langsung.

Alhamdulillah juga, kesemua azam saya untuk tahun 2009 telah tercapai. Semuanya! Hendak cemerlang dalam pelajaran. Hendak memulakan kerjaya. Hendak mula merasa memberi emak dan ayah duit hasil titik peluh sendiri. Dan walaupun baru mula bekerja, Alhamdulillah saya sudah mempunyai tabungan hasil titik peluh sendiri yang sangat memuaskan hati.

Insya Allah, untuk tahun baru 1431 dan 2010 ini, saya juga ada azam yang sudah tersenarai. Yang boleh diringkaskan, semestinya mahu yang terbaik dalam kerjaya, dipermudahkan untuk melalui ujian dan susah payah sepanjang zaman HO ini, semakin stabil ekonomi dan juga emosi.

Sejak masuk 1431 Hijrah, saya berazam untuk cuba solat seawal yang boleh walau sedang sibuk yang macam mana sekalipun. Saya cuba sehabis boleh. Setiap kali seakan teralpa dengan tugasan yang memang tidak berkesudahan, saya cuba alih tumpuan saya. Saya larikan diri sekejap. Bukan susah untuk solat dengan cepat. Saya solat seadanya dengan pakaian yang saya ada. Tidak perlu berlari ke surau tempat saya menempatkan beg telekung saya. Cukup pakaian saya sempurna menutup aurat, ada wudhuk, saya sudah boleh solat. Tambahan pula, dengan adanya rakan sekerja yang saling mengingatkan tentang solat, saya rasa makin terjaga waktu solat saya. Dan sumpah saya katakan. Apabila dalam keadaan tertekan dan tegang dengan bebanan kerja yang berlambak, dengan melarikan diri pergi bertemu Tuhan adalah waktu yang sangat menenangkan jiwa. Sampai boleh tersedu-sedu menangis mengenangkan betapa tenang dan damainya rasa hati dan jiwa pada waktu itu. Agungnya hikmah solat itu ya.

Konklusi teringkas tentang 2009, inilah tahun yang telah menjadi pemisah saya yang remaja dengan saya yang dewasa. Terlalu banyak pengajaran hidup yang telah saya tempuhi ketika di Rusia dan semua itulah yang telah mendidik dan membentuk saya dalam dan luar.

Oh ya. Tentang kahwin, sila jangan tanya saya lagi. Memang belum terfikir untuk ke arah itu lagi tapi saya akui saya kena belajar untuk kembali membuka hati. Hey hey hey. Ini fitrahlah, bukan. ;-)

Salam Maal Hijrah 1431 dan Selamat Tahun Baru 2010.

Nota: Banyak juga kisah duka sepanjang 2009 ini. Susah-payah hidup ketika di Moscow dan ketidakstabilan emosi. Tapi saya pemendam orangnya. Walau terpaksa berikat perut dan menangis air mata darah sekali pun, saya sanggup asalkan saya tidak menyusahkan orang lain.

Posted on December 31st, 2009 by Sarah  |  16 Comments »