Archive for the ‘Tazkiyatunnafs’ Category

Sepetang Di Tepi Para

Assalamualaikum wbt

Semalam, hampir seharian saya sendirian di rumah. Ahli rumah yang lain ada exam dan pulang lewat. Paling awal yang pulang adalah Emy dan Diba. Itupun mereka terus tidur selepas pulang. Saya memang sangat bosan kerana rumah sangat sunyi. Saya mengambil kesempatan untuk membuat persiapan intensif untuk exam pada hari esok. Selesai solat Asar, saya menyarung tudung dan memegang sedikit nota di tangan. Gayanya seperti hendak keluar saja kan. Tapi destinasi saya dekat saja. Di tepi tingkap bilik cuma.

Saya menurunkan langsir dan duduk di atas para di tepi tingkap. Sehinggakan, Emy dan Diba tidak tahu ke mana saya menghilang kerana tiada di bilik. Sedangkan, saya tersembunyi di sebalik langsir yang diturunkan. Rumah saya di tingkat dua. Sengaja saya duduk di situ. Boleh membaca sambil mengambil udara petang dan melihat orang lalu-lalang. Ada dua insiden terjadi.

Pertamanya, saya melihat sepasang suami isteri berjalan. Dari jauh, saya rasakan yang sebelah kiri dan mengikat rambut itu adalah si isteri. Bila sudah dekat dan mereka berhenti berbual dengan kawan yang ditemui di tengah jalan, baru saya tersedar rupa-rupanya saya tertukar. Yang berambut maha pendek itu adalah isterinya dan yang berambut panjang dan mengikatnya itu adalah suaminya. Kebetulan, si isteri sedang merokok dan bentuk badannya kurus sekeping seperti lelaki, sekali imbas terus saya rasakan dialah lelaki. Saya tersenyum seorang melihatkan keadaan itu. Saya terfikir, kan Islam itu sempurna. Lelaki dan perempuan dapat dibezakan kerana batas auratnya. Kalau dia bertudung dan cara berpakaian yang berbeza, dari jauhpun sudah boleh tahu yang mana lelaki, yang mana perempuannya.

Keduanya, sedang saya membaca-membaca di atas para di tepi tingkap itu, saya terlihatkan 3 orang anak muda lalu di kawasan luar bangunan. Sumpah, ketiga-tiganya kacak dan bergaya! Saya toleh melihat mereka. Dalam pada saya seakan mengelamun itu, baru saya sedar salah seorang daripada mereka sedang melihat saya di atas itu. Alamak. Saya terperangkap pula. Saya cepat-cepat alih pandangan ke arah nota. Tapi saya sudah tersenyum waktu itu kerana saya sedar lelaki yang memandang itu juga sedang tersenyum. Aduh. Malunya. Mengelamun punya pasal, saya tidak sedar saya telah merenung orang agak lama, dan direnung semula pula. Alah. Saya tahu lelaki itu jauh lebih muda. Jangan tertipu dek rupa dan ketinggian. Kalau itu yang menjadi ukuran, budak 10 tahun pun boleh saya anggap lebih dewasa daripada saya kerana ketinggiannya. Saya rasa, lelaki semalam itu umurnya sekitar 19-20 tahun saja.

Semalam suhu panas. 24’C. Terik sangat. Itu sebabnya saya duduk di tingkap. Bila panas, mata tidak mengantuk bila dengan niat duduk di bawah teriknya. Tapi angin kuat. Dari dalam bilik, saya boleh mendengar angin menderu-deru. Putik kapas pun kelihatan kencang dipikul angin berterbangan di udara. Sepanjang duduk di tepi tingkap semalam, saya dapat dengar bunyi anjing menyalak bermain-main dengan tuannya di luar sana, bunyi angin menderu dan bunyi dedaun berdesir tak henti-henti. Alam ini tak pernahnya sunyi.

Mereka semua sedang berzikir. Berzikir tak henti-henti. Lagu-lagu alam ini indah kerana semuanya melodi zikir. Tapi saya? Selepas Asar tadi duduk di atas sejadah hanya membaca Ma’thurat ringkas dan zikirnya juga sekejap saja. Sungguh, saya rasa malu pada alam dan lagu-lagu zikir mereka…

Melihat jam, sudah pukul 8.45 pm. Hari masih terang-benderang. Saya turun dari para tingkap, menyangkut tudung dalam almari dan kembali ke meja. Saya ambil buku sajak saya. Saya melukis. Gambar laut yang luas terbentang.

Posted on June 10th, 2008 by Sarah  |  18 Comments »

Sahabat Baik Saya Dah Kahwin!

Assalamualaikum wbt

Seperti yang saya ceritakan minggu lepas, inilah sahabat baik saya dari zaman kanak-kanak dulu yang baru saja mendirikan rumah tangga pada hari Ahad lepas. Tahniah buat Mahfuuzah dan Firdaus. Jenuh saya tunggu gambar dari kakak saya. Akhirnya petang Isnin barulah saya dapat. Rasa nak mengalir air mata saya tengok beberapa keping gambar yang kakak saya emailkan. Gembira sebab dah selamat dah jadi isteri orang dia ni ye. Ini gambar ketika selesai akad nikah. Persalinan pengantinnya pada hari itu bewarna merah jambu. Sangatlah manis. Dan apa yang buat saya lebih kagum dengan sahabat saya ni ialah dia tetap kekalkan tudung labuhnya ketika di hari perkahwinan. Alhamdulillah. Istiqamah sungguh. Jangan main-main tau dengan Mahfuuzah ni. Dia fasih berbahasa Arab! Jadi didoakan yang terbaik untuk Mahfuuzah dan Firdaus. Saya dah dipaksa oleh Mahfuuzah suruh ke Teluk Intan waktu balik bercuti nanti. Insya Allah panjang umur, ada kelapangan, sampailah saya ke sana nanti.

Lagi pasal isu kahwin. Tapi bukan saya yang hendak kupas. Mari dengar kuliah ringkas Ustaz Azhar Idrus ni. Suka betul saya lapangkan masa mendengar kuliahnya di youtube. Padat dan diselangi dengan humor yang buat keras pipi tersengih. Kalau ada masa, cuba-cubalah cari kuliah-kuliah lain dari Ustaz Azhar. Gerenti baik punya! (Topik cadangan: Ayah nakut dan Bidas ucapan Ummu Hadhari. Best amat!)

Nota: Alhamdulillah 1 exam dah selesai. Jawab oral depan lecturer dengan suara rock ala-ala Ella gitu. Hikss. Dalam perjalanan nak ke exam tadi, saya telefon kakak saya. Sempat pula bergosip sekejap. Dia bagitahu, semalam (Isnin), Ikram Dinzly (Zahar dalam cerita Bella tu) datang ke rumah saya. Aishh.. Pelik amat mamat tu. Buat apa datang rumah saya pula. Rupa-rupanya satu team penggambaran slot Gegar U di Astro tu singgah rehat-rehat dan bersiap-siap di rumah saya sebelum ke destinasi yang dituju. Huhu. Kaklong kata, dia budget je :p Tanya toilet kat mana pun kerek je. Huhu. Ironinya, rumah saya takde Astro pun. Tak main la Astro-Astro ni. Rosak budak-budak sekarang ni kalau banyak sangat hiburan diberi. (Hikss. Lucu pula sebab mula-mula saya salah eja nama Ikram tu. Macam bunyi sizzling mee pun ye juga!)

p/s: Yana, Ngah rasa macam tengah dengar Ayah De bercerita je bila dengar ceramah Ustaz Azhar ni tau. Hikss 😉

Posted on May 28th, 2008 by Sarah  |  13 Comments »

Menjadi Insan Berkualiti

Assalamualaikum wbt

Akhirnya, exam yang terakhir untuk tempoh dua bulan ini sudahpun berakhir. Alhamdulillah. Puji dan syukur layaknya hanya untuk Allah. Terima kasih buat rakan-rakan sekumpulan yang memberikan kerjasama terbaik untuk persiapan exam kali ini. Usaha kita sekumpulan memang tidak sia-sia. Juga buat emak dan ayah yang tidak putus mendoakan saya.

Dulu saya pernah menulis tentang satu nilai yang perlu kita ada untuk berjaya. Fokus. Itulah kuncinya. Tapi untuk melengkapkan diri menjadi seorang yang bergelar insan, kita perlukan elemen-elemen sampingan yang tidak kurang pentingnya untuk menjadi insan berkualiti.

Menghargai masa, bersabar, berhubung baik sesama kita, tidak lokek membantu, menerima ujian dengan berlapang dada dan yakin dengan ganjaran yang menanti. Ini semua antara elemen sampingan yang perlu dititikberatkan dalam diri kita.

Sebenarnya, kita tidak perlu duduk menekun membaca buku-buku motivasi yang spesifik berkisar tentang ciri-ciri orang yang berjaya hanya semata-mata untuk mencari rahsia kejayaan. Bongkakkah saya dengan berkata bergitu? Jangan salah faham. Sebenarnya ada sumber lain yang lagi tepat dan indah dalam mencirikan dengan lebih terperinci keperibadian insan yang berkualiti. Sumbernya tidak lain tidak bukan adalah Al-Quran.

Ciri-ciri yang saya senarai pendekkan di atas semuanya terkandung di dalam Al-Quran. Sebagai rujukan, sila rujuk surah Al-Asr ayat 1-3, surah Al-Hujurat ayat 10, surah Ali Imran ayat 103, surah Al-Hadid ayat 16 dan ayat yang menjadi pilihan ramai semestinya surah Al-Baqarah ayat 286. Kesemua ayat di atas menceritakan ciri-ciri yang perlu ditanam dan disebatikan dalam diri kita untuk menjadi insan yang berkualiti.

Disebalik kita perlu berusaha memberikan yang terbaik daripada diri kita, jangan kita lupa satu lagi ciri yang amat disukai Allah. Sebolehnya, ciri terakhir ini perlu kita kemas kinikan dari masa ke semasa. Itulah dia penyucian jiwa. Mengapa kita perlu menyucikan jiwa? Sebenarnya dalam sedar atau tidak, dalam kita ligat melengkapkan diri menjadi insan yang berkualiti untuk mencapai kejayaan, kita terlepas pandang skop rohaninya. Kita mengabaikan banyak benda. Kita asyik mencari zon selesa untuk kehidupan kita di dunia. Kita silap di sini. Jadi, kita diusulkan agar sentiasa menyucikan jiwa kerana kita tergolong sebagai orang-orang yang beruntung andai melaksanakannya. Inilah ciri yang diajarkan oleh Al-Quran dalam surah Asy-Syams ayat 7-10.

Dan persoalannya, kenapa kita perlu berusaha melengkapkan diri kita untuk menjadi insan yang berkualiti? Jawapannya mudah. Kerana setiap daripada kita mempunyai potensi dan keistimewaan yang tersendiri. Kita ini makhluk yang unik dan setiap yang unik itu mempunyai nilai entiti yang tersendiri.

Kalau ada yang kata dirinya tiada apa yang luar biasa, itu kurang tepat. Paling tidak, mungkin dia unik kerana pandai menggulungkan lidah atau boleh membunyikan siulan. Saya tidak unik dari segi siulan. Tapi uniknya diri saya kerana saya pandai berangan. Kamu pula bagaimana ya? =)

Hari buat dia:
Biar apapun yang kita lakukan, pokoknya adalah redha Allah. Kita tidak lagi berkualiti andai agama dibelakangkan.

Posted on April 15th, 2008 by Sarah  |  15 Comments »

Lihatlah Persamaan, Kesampingkan Perbezaan

Assalamualaikum wbt

Semakin menginjak usia, semakin ramai orang yang kita temui. Rupa pelbagai paras. Tingkah pelbagai ragam. Walaupun ada yang nampak sama, hati di dalam tiada siapa yang tahu. Bak kata pepatah, rambut sama hitam, hati lain-lain. Inilah fitrah kehidupan. Tidak semuanya sentiasa murni dan berniat baik.

Namun sejujurnya saya terkilan dengan sesetengah orang yang suka mengelas-ngelaskan orang lain berdasarkan fahamannya sendiri dan membolehkan wujud jurang antara mereka. Mungkin apa yang saya katakan ini masih tidak jelas. Jadi saya sertakan contoh orang yang sebegini.

Contohnya dalam satu komuniti itu, mereka memilih kawan-kawan berdasarkan pemahaman agama mereka. Jika tidak mencapai tahap yang mereka inginkan, orang itu akan dikelaskan bersama dengan satu kelompok yang tahapnya dikatakan lebih rendah. Bagi dia dan rakan-rakan yang dikatakan faham dengan mantap tentang semuanya ini akan bergerak bersama. Bagi saya, memanglah satu kewajipan untuk kita bergerak secara bersama-sama atau erti kata lainnya bersama jemaah tapi dengan tindakan mengelaskan orang lain dengan alasan sesetengah orang itu tidak faham dan dituruntarafkan dan bermacam-macam istilah lain, itu salah.

Penapisan mungkin patut dibuat tetapi bukanlah berbentuk zahiriah. Luaran tidak menampakkan warna sebenar seseorang itu. Dan jika pengelasan dibuat berdasarkan sifat luar saja, secara tidak langsung jurang itu akan jelas kelihatan. Lantas, mereka yang berada dalam kelas yang bawah ini akan merasa diri mereka diletaktepikan dan tidak membwa kepentingan dalam komuniti tersebut. Lantas, mereka akan lebih membawa diri.

Sungguhpun kelompok di atas tidak dengan umum mengiyakan pengelasan ini, namun ia dapat dirasai. Mereka akan terus aktif sesama mereka, bergiat sesama mereka. Justeru itu, apa akan terjadi dengan kelompok yang di bawah? Sudahlah dikelas-kelaskan, kini dipinggirkan pula dalam aktiviti-aktiviti kelompok di atas. Bukankah ini akan menyebabkan yang jauh bertambah jauh, yang rosak bertambah rosak.

Saya pernah melalui sendiri situasi ini. Kasta komuniti yang faham agama dan telah memodenkan gerakan mereka tanpa taktik yang betul. Yang buat jurang terlihat dengan jelas dan kelas-kelas ini dipandang dengan persepsi yang berbeza. Saya pernah diletakkan dalam kelas di atas. Tapi saya kurang bersetuju dengan cara pengelasan dibuat. Lain ideologi, orang itu ditolak tepi. Lain fahaman, orang itu dikemudiankan. Lain sifat luaran, orang itu diturunkelaskan. Dan apabila ada orang daripada kelas atas bergaul rapat dengan kelas yang lain ini, mereka turut dipandang lain. Lain yang bagaimana? Mereka turut dipandang teruk. Dipandang sebagai orang yang tidak betul-betul faham lagi dengan tanggungjawab mereka.

Saya melihat perkara ini begini. Jika semua yang baik-baik diliputi hidup bersama krim-krim pekat manis yang lazat, sampai bilalah kita boleh lihat seluruh komuniti itu merasai kelazatan krim itu. Kenapa tidak diratakan krim-krim pekat ini agar seluruh komuniti merasai manisnya, lazatnya dan cantiknya krim itu.

Seperti yang saya sebutkan tadi, saya pernah merasai pengelasan ini. Yang pada awalnya diletakkan dalam kelas di atas. Tapi saya tetap meneruskan hubungan baik dengan kawan-kawan dalam kelas yang di bawah yang dicipta golongan itu. Bagi saya, hubungan baik dengan semua perlu diteruskan. Jangan libatkan soal siapa lebih baik dan siapa yang kurang. Saya melihat, dengan mencampuri kawan-kawan yang dikategorikan sebagai lupa agama atau kurang menitikberatkan soal agama adalah suatu kemestian. Cuba bayangkan, jika kita hanya bergaul dengan orang yang dikatakan sama taraf dengan kita, siapa yang hendak membantu membetulkan kelas yang satu lagi? Dan sekiranya kita berada bersama-sama kelas yang satu lagi, kita mesra dengan mereka, boleh bawa berbincang dengan mereka, boleh melawak bila perlu dan boleh dengan lapang hati menegur jika kita tahu mereka berbuat salah.

Bagaimana dengan kelas yang di atas? Mereka jumud melihat yang di bawah sebagai kurang elok dan wujud jurang kemunikasi dan pergaulan antara mereka. Sudahnya apa? Yang dibawah kurang hormat pada yang di atas dan kepimpinan mereka juga selalu dipertikaikan. Berkomplot, berpolitik, mempunya varian mereka sendiri dan hanya terkepung dalam kelompok itu saja. Inilah tafsiran daripada orang lain terhadap mereka yang di atas. Ini silap. Ini tidak sepatutnya terjadi.

Yang di atas sepatutnya cuba meletakkan diri mereka dalam kelas di bawah. Supaya dapat memahami dengan lebih apa yang sedang berlaku dan mengesan di mana puncanya masalah jika benar mereka melihat rakan-rakan ini perlu diubah. Jika mereka masih keras dan kaku dengan pendapat dan cara mereka berfikir, sampai bila-bilapun mereka tidak akan dapat masuk dalam kelompok rakan-rakan ini.

Ingat. Tidak bermaksud dengan kita mencampuri mereka bermakna kita mengikut dan menyetujui mereka. Sebaliknya dengan berbuat baik dan mencampuri mereka membawa kelebihan kepada kita. Kita dapat memahami di mana punca masalah dan boleh menjadi tempat rujukan bagi mereka. Jika kita tahu apa yang mereka rancangkan, kita boleh menjadi orang yang cuba bertolenransi dan memberikan buah fikiran dan nasihat kita tentang apa yang sepatutnya mereka lakukan. Tapi jika jurang sudah wujud, bolehkah ini semua dilaksanakan?

Jangan terus-terusan menghakimi orang lain kerana perbezaan yang ada. Lihatlah pada persamaan yakni kita sebagai sesama Muslim agar kemashlahatan yang bersifat umum dapat dipelihara. Bermain dengan api tidak semestinya terbakar. Lumrahlah jika terasa bahangnya. Sebab itu pastikan kita sentiasa ada kawan yang boleh menjadi pancuran air untuk menyejukkan. Dan dalam masa yang sama terus berusaha memadamkan api yang marak tadi. Inilah konsep yang pernah dibawakan oleh Saidina Uthman bin Affan. Mencampuri ummat yang terseret jauh dengan penuh hikmah budi, kedermawanan dan lembut bahasa. Sudahnya, mereka kembali kepada agama kerana melihat adanya contoh yang terbaik pada masa itu. Pokok pangkalnya berikan masa dan sabar. Kasta modenisasi ini tidak relevan jika kita hendak melihat kelangsungan ilmu itu dapat sampai kepada rakan-rakan yang kurang memahami.

Saya minta maaf andai perkongsian kali ini agak tajam dan ada yang tersindir. Ini pendapat peribadi yang umum dan sebagai orang yang pernah merasai situasi ini, saya melihat ia sebagai suatu yang perlu dimuhasabahkan semula. Jangan kerana kita rasa kita betul, kita perlu berkeras dengan cara kita sebaliknya cubalah letakkan diri kita di tempat mereka. Mereka mahukan ilmu dan berubah juga cumanya tiada yang mahu cuba memahami naluri mereka yang sedikit keras itu. Sekeras-keras batu, air jugalah yang berjaya melekukkan. Sekeras-keras hati, indah budi dan nasihat yang sesuai jugalah yang dapat melembutkan.

Saya berhenti dulu. Perlu menyediakan air untuk orang yang akan pulang ke rumah sekejap lagi. Ya. Air sejuk juga dapat melembutkan hati orang yang penat bekerja =)

Hari buat dia:
Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-rang yang beriman dan beramal soleh. Yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.(103:1-3)

Posted on April 9th, 2008 by Sarah  |  31 Comments »

Dari Kerana Mata

Assalamualaikum wbt

Semalam saya buka email sebaik tiba dari kelas. Ada satu email dari seorang kawan. Agak lama tak mendengar khabar dia. Kurang lebih setahun setengah. Emailnya:

“Apa khabar? Tiba-tiba teringatkan awak. Mata awak yang coklat. Tu je. Teringatkan mata tu. Tiba-tiba je.”

Ok. Kalau macam tu, saya nak jadi macam kisah sirah Hassan Basri dengan seorang muslimah yang dia temui di jalanan dan jatuh cinta padanya kerana matanya. Lalu muslimah itu mengeluarkan matanya kerana disebabkan matanya menjadikan seorang hamba yang soleh boleh sasau angau. Sungguhpun bukanlah niat muslimah itu hendak memperagakan matanya yang cantik.

Tapi, kalau dalam dunia sekarang ada orang buat pengorbanan menjaga diri dan hati seperti yang muslimah itu lakukan, apa agaknya yang masyarakat kita katakan? Nak jadi Kassim Selamatkah? Tiada cara lainkah? Bodoh ke apa?

Sebenarnya yang saya nak cerita ialah tentang angin kuat sewaktu saya berjalan kaki masuk ke perkarangan hospital pagi tadi. Terlalu kuat. Dengan saljinya lagi. Saya memang tak boleh buka mata langsung. Dan pagi tadi saya pakai tudung belit-belit macam Arab tu. Sudahnya, saya ambil hujung tudung yang diselit di bawah dagu dan selitkan di sisi pipi kiri. Jadilah saya seperti berpurdah. Yang kelihatan hanyalah mata yang berkaca dua. Untuk menahan angin kencang sejuk yang berjaya memerahpadamkan pipi saya pagi tadi.

Memang saya dan Nan mewarisi mata ayah. Coklat. Ayah, awatlah cheq tak dapat hidung mancung ayah na? Huhu.

Nota: Dua, tiga hari ni saya teringat-ingat lagu iklan Scott Emulsion waktu kecil-kecil dulu.

Memancing bersama ayah
Kurasa bertuah
Pulang sebelum hujan
Ibu menerangkan kami ada kawan
Bernama Scott Emulsion.

Sungguh riang waktu membesar
Badanku jadi sihat dan kuat
Ibu menerangkan kami ada kawan
Bernama Scot Emulsion.

Hehe.

Posted on February 21st, 2008 by Sarah  |  34 Comments »