Ujian Itu Tanda Allah Sayang
Petang tadi saya dirompak. Rompak? Betulkah terma itu? Hmm. Yang pasti, segala barang saya dalam beg sandang saya hilang sekelip mata.
Saya hilang kad pelajar, kad pelajar anatarabangsa (ISIC), kad metro, kad bank, kad insurans, kad debit, kad hostel, kad pengenalan diri sementara (kerana pasport saya sedang diproses untuk urusan visa, kami panggil spravka) duit sekitar RM220, credit book (yang merekodkan keputusan exam sejak tahun 1, kami panggil zachut book) dan kamera Sony D55.
Yang sedihnya, ketika mencari-cari kemungkinan beg saya itu dicampak ke dalam tong sampah besar yang mengumpulkan sampah di belakang bangunan hostel, saya lihat kot saya disidaikan pada tong sampah itu dan satu-satunya barang saya yang terselamat ialah buku koleksi sajak saya yang saya sentiasa bawa kemana-mana. Buku itu pun terdampar separuh lembap di atas jalan tar. Alhamdulillah selamat. Di dalam buku ini jugalah saya coretkan artikel-artikel untuk majalah persatuan pelajar untuk beberapa edisi yang telah saya siapkan. Tinggal untuk submit saja. Syukur Ya Allah.
Saya memanjat tong sampah itu mengais-ngais sampah di permukaan untuk mencari juga beg saya. Saya sedih tapi saya tak mampu menangis setitis pun pada waktu itu. Ahli team futsal perempuan yang lain masih setia di situ menolong mencari-cari. Saya menyuruh yang lain terus naik dulu untuk solat Maghrib. Saya bertemankan Ika cuba memikirkan arah jalan yang mungkin dilalui oleh si pencuri dan kemungkinan di manakah dia membuang beg itu. Paling kurang, saya berdoa semoga saya dapat mencari semula credit book saya itu. Kami merentas kawasan apartment dan taman permainan kecil dalam gelap waktu Maghrib menuju ke arah kawasan tong sampah besar di situ. Tibanya di situ, sekali lagi saya memanjat tong sampah itu dan menguis-nguis sampah dengan niat dapat menemui beg itu dan credit book saja. Cukuplah saya temui credit book itu saja. Tetap tidak berjumpa. Saya dan Ika balik untuk solat.
Alhamdulillah, buat pertama kalinya saya tidak berniat untuk membawa handphone ke lecture pada petang tadi. Saya malas kerana bagi saya memang tiada sesiapa yang akan menghubungi saya dalam tempoh itu. Sebaik sampai di bilik, saya ada terasa hendak menangis tapi saya rasa saya tak redha dengan ujian Allah ini jika saya menangis. Perkara pertama yang saya lakukan ialah solat Maghrib dan kemudian menghantar SMS kepada ayah saya memaklumkan hal ini. Saya minta tolong ayah tolong selesaikan kad bank baru untuk saya. Tak lama kemudian, Kaklong menegur saya di YM untuk mendapatkan gambaran sebenar kejadian. Kaklong bertindak sebagai orang tengah antara saya dan keluarga. Selesai segalanya. Terima kasih kepada Atiqah Asbi kerana meminjamkan saya kad banknya yang kedua untuk memudahkan urusan penghantaran wang. Hmm. Saya tiada duit pun sekarang ni. Walau sesen. Apa-apapun, terima kasih kepada keluarga saya yang sedang cuba menyelesaikan segalanya yang berkaitan dengan kad bank saya.
Bila difikirkan semula, ujian yang saya lalui ini tidaklah sebesar mana. Saya tidak rugi banyak seperti sesetengah orang yang lain. Kebetulan, pagi tadi selepas pulang dari rumah mayat, saya membayar bil telefon rumah untuk tempoh 3 bulan. Jadi, saya sudah kurangkan duit dalam purse saya. Kad metro saya pula akan tamat tempoh sebaik masuk bulan November ini kerana sudah genap 5 tahun. Kad insurans saya akan tamat 24 Oktober ini. Maksudnya, saya akan menerima kad baru pada minggu hadapan. Kad debit saya pula memang tak dipanjangkan tempohnya lagi kerana saya balik Malaysia. Tamat Ogos lalu. Nasib baik dah tamat tempoh. Kalau tak, orang itu boleh gunakan kad saya itu sesuka hati dan bilnya akan dicaj ke telefon bimbit saya. Alhamdulillah. Kad pelajar, kad pelajar antarabangsa, kad bank, kad hostel dan kad pengenalan diri sementara (spravka) insya Allah boleh dibuat semula di Deans Office Isnin ini. Tiada masalah tentang ini. Telefon bimbit juga Alhamdulillah saya tidak bawa. Kamera yang hilang itu saya tak terkilan langsung. Ada rezeki, ada duit, dapatlah gantinya nanti. Sekarang ni itu semua tidak penting langsung. Cuma yang saya bimbangkan ialah credit book saya. Sistem di sini, setiap kali exam, kita akan mendapat tanda tangan pengesahan daripada doktor-doktor dan pensyarah-pensyarah yang men-viva kita. Katanya, saya perlu pergi menemui kesemua pensyarah-pensyarah tersebut untuk memenuhkan semula credit book saya. Takkanlah sekuno tu? Takkan tiada rekod dalam komputer? Mustahil. Saya harapkan penyelesaian yang lebih mudah, Ya Allah…
Saya tenang di sini kerana saya yakin pasti ada hikmah disebalik segala yang terjadi. Pasti. Dan saya tenang kerana saya ada rakan serumah yang sangat menenangkan dan memahami. Cumanya, sekarang ini saya money-less 🙁
