Archive for the ‘Life’ Category

Kisah Buku

Assalamualaikum wbt

Disebabkan semalam tidak dapat langsung untuk menghubungi keluarga, maka tadi terus saya menelefon emak di rumah. Tidak banyak yang dicelotehkan dengan emak kali ini. Topik hari ini berkisar tentang perkembangan adik-adik dan buku cerita.

Emak bertanya sama ada saya masih mahukan koleksi buku-buku cerita sewaktu kecil-kecil dulu. Saya bertanya apa yang hendak emak buat dengan buku-buku itu. Kata emak, emak hendak berikan kepala sekolah rendah saya dulu kerana banyak buku yang rosak ketika banjir yang lalu. Saya terus bersetuju saja. Tetapi kemudian, emak bercerita bahawa Kaklong ada menyuruh emak menyimpan beberapa buah buku yang dia sayang. Contohnya Maniam The Rubber Tapper.

Lalu emak bertanya sekali lagi, dalam banyak-banyak buku koleksi Enid Blyton yang ada di rumah, masih adakah buku yang saya mahu simpan. Baru saya teringat, saya ada beberapa buah buku yang sangat bermakna untuk saya. Saiznya hampir sama seperti buku-buku Enid Blyton cuma ini versi Bahasa Melayu. Saya mengingatkan emak supaya mengasingkan kesemua buku yang berkisar tentang Sekolah Seri Melur. Dari Tingkatan Satu di Seri Melur sehinggalah Tingkatan Lima.

Koleksi ini bermula dengan sebuah buku yang dihadiahkan oleh Makde saya sempena hari lahir saya yang ke tujuh pada 1992. Saya dalam darjah satu. Saya tahu buku itu ada sambungannya pada siri-siri yang seterusnya tetapi saya tidak meminta ayah belikan. Sudahnya, saya hanya mampu untuk memiliki tujuh buah lagi sambungan untuk siri itu ketika tahun 1997 (darjah enam).

Kebetulan saja ketika itu saya terjumpa buku-buku untuk siri itu dijual murah (kerana buku lama yang sudah tidak diminati) dengan harga RM1 sebuah. Beberapa tahun sebelum itu, saya ada menjumpai siri ini dijual di kedai buku di bandar saya itu. Tetapi harganya RM5.50 untuk sebuah buku. Saya tetap tidak mahu meminta ayah belikan. Jadi saya diamkan saja. Sehinggalah ketika darjah enam, saya ke sebuah kedai untuk menempah tanda nama baru untuk sekolah. Di sana, saya terlihat buku itu di rak buku. Harganya cuma RM1. Saya punyalah gembira.

Esoknya saya datang lagi ke situ untuk mengambil tanda nama yang telah siap dibuat. Saya membawa RM10. Untuk tanda nama itu, saya perlu membayar RM1.50. Dengan baki RM8.50 itu, saya memborong tujuh buah buku siri tersebut. Dengan baki RM1.50, saya pulang menaiki bas. RM10 yang saya bawa itu adalah hasil tabungan sendiri. Nekad saya sejak darjah satu itu akhirnya tercapai iaitu untuk membeli buku-buku sambungan yang saya miliki hadiah daripada Makde itu dengan duit sendiri. Saya puas hati walaupun mengambil masa bertahun-tahun untuk memilikinya. Oh. Sebak pula.

Tiba-tiba saya teringatkan dua buah buku cerita yang emak hadiahkan kepada saya dan Kaklong ketika kami darjah satu dan dua. Hadiah hari lahir. Ketika itu emak mengajar di Mentakab dan seingat saya emak membeli buku tersebut melalui promosi buku yang datang ke sekolah emak. Tajuknya ialah Anjing Yang Malang dan Rumput Di Tepi Pagar. Saya dan Kaklong selalu bergaduh buku mana satukah milik masing-masing. Saya menyuruh emak menyimpan juga dua buah buku ini kerana nilai sentimental yang dimilikinya.

Menurut emak, kesemua edisi Sesame Street dan The Owl Family (koleksi ensiklopedia kanak-kanak seperti Sesame Street yang berkulit keras) tidak akan diberikan kerana sudah uzur benar keadaannya. Mana tidaknya. Dulu-dulu waktu kami kecil-kecil, kami dipaksa membaca buku-buku ini. Kalau hari Sabtu emak terpaksa ke sekolah, balik dari sekolah emak akan bertanya buku mana yang kami sudah baca. Sudah habis pun, kami akan ulang baca lagi. Inilah latihan kami dulu-dulu untuk memahirkan Bahasa Inggeris. Adik-adik sekarang sudah lain. Bukan macam zaman kami tiga beradik yang teratas. Punyalah kena kawal, kena paksa baca macam-macam. Tapi seronok sungguh kenangan itu.

Dan yang terakhirnya, saya menyuruh emak menyimpan buku bertajuk Ito The Green Alien. Inilah buku yang paling bersejarah dalam hidup saya. Kalau Kaklong menyuruh emak menyimpan buku Maniam The Rubber Tapper kerana dulu dia menangis-nangis ketika dipaksa membaca buku itu, saya lain pula ceritanya. Dulu saya lebih suka membaca buku Sherlock Homes. Waktu itu baru tadika atau darjah satu. Tak padan dengan umur. Buku budak-budak yang nipis-nipis saya ketepikan. Jadi saya dipaksa membaca buku Ito The Green Alien. Saya memberontak. Nak tahu apa yang saya buat sebagai tanda protes?

Saya lari dari rumah. Saya lari ke rumah Tok saya. Dan sebenarnya, rumah Tok saya cuma terletak 200 meter saja dari rumah saya. Hahaha.

Apa-apapun, saya sangat sayang kesemua koleksi buku yang pernah Kaklong, saya dan Nan miliki sejak kecil dulu. Termasuklah koleksi buku sirah yang ayah belikan dulu-dulu. Zaman adik-adik di bawah kami, koleksi mereka sudah sedikit lain. Sudah ada ensiklopedia sains yang lebih cantik dan canggih. Tapi persoalannya, adakah adik-adik saya yang lain betul-betul memanfaatkan apa yang mereka miliki itu? Setiap kali balik bercuti, saya mesti tarik Aiman dan Azizi duduk di ruang tamu bersama saya semata-mata untuk mengajak mereka membelek-belek buku-buku yang emak ayah belikan untuk mereka. Sudahnya, tinggal saya seorang saja yang ralit dengan segala info menarik yang terdapat di dalamnya. Tentang pelbagai eksperimen. Memanglah menarik, kan. Mereka pula sudah ke depan TV menonton Sponge Bob dan The Blue’s Clue.

Adoi. Dilema susahnya kanak-kanak zaman dulu dan sekarang berbeza, kan? Emak, sila suruh Adam, Azizi dan Aiman baca apa yang Ngah ceritakan ni. Biar mereka sedar sikit susah senang kami ni dulu-dulu macam mana. Bukan sesenang hati boleh meminta itu ini dan sanggup bersusah menyimpan duit belanja semata-mata untuk memiliki sesuatu buku itu dengan duit sendiri. Ngah ingat lagi. Nan dulu-dulu pun menyimpan duit belanja sendiri untuk membeli siri Detektif Conannya tu.

Oh ya. Selamat bertemu kembali untuk kawan-kawan dari blog lama saya. Maaf lambat memaklumkan. Semoga kita dapat menyambung ukhwah di sini pula ya. Mari berkenalan semula.

Hai. Saya Sarah. Siti Sarah Mohd Shukor. Saya masih saya yang sama cuma telah berpindah rumah dan berjiwa lebih gagah. Jangan harapkan apa-apa daripada saya. Saya menulis sebagai teguran dan kenangan untuk diri sendiri. Apa yang baik harap dapat dikongsi bersama dan apa yang tidak baik diteguri. Oh ya. Sekarang saya seorang pengabai yang tegar. Jika ada yang cari pasal dengan saya seperti dulu, saya tidak teragak-agak untuk membela diri. Kan saya dah kata. Saya kini berjiwa gagah kerana saya adalah Sarah. Marilah perkenalkan diri kamu pula ya.

Nota 1: Saya teringat-ingat kenangan dipaksa membaca buku-buku Bahasa Inggeris dengan kuat oleh emak dulu-dulu. Kalau salah, kena tegur. Huhu. Malu seh kalau salah. 😛

Nota 2: Gembira akhirnya saya tidak perlu merahsiakan lagi tentang blog ini. Selamatlah untuk semuanya ya! 🙂

Posted on February 15th, 2009 by Sarah  |  43 Comments »

Rindu

Assalamualaikum wbt

Sepanjang hari ini, saya tidak boleh menghubungi nombor Celcom langsung. Saya menghantar mesej kepada emak ayah, tidak sampai. Saya hubungi Kaklong dan Nan. Pun tidak dapat. Email pun tidak berbalas. Lan, Adi dan Adam juga menggunakan Celcom. Bila teringat Azizi menggunakan nombor Maxis, di Malaysia sudahpun tengah malam. Tak sampai hati hendak kacau. Yang saya dapat hubungi hanyalah Nisa sepupu saya.

Sewaktu makan nasi tadi, saya menonton sebuah drama Melayu yang bertajuk Nasi Goreng Ikan Sepat. Ya Rabbi. Menangis-nangis saya dibuatnya. Sudahlah sedang teringat-ingatkan keluarga. Tengok pula drama yang sedih begitu. Tersedu-sedu saya seorang diri. Pantang sungguh saya dengan kisah-kisah keluarga begini. Air mata saya jadi murah. Saya tak tahu apa yang saya sedihkan. Mungkin untuk cerita itu tadi, saya sedih bagaimana seorang nenek itu perlu bekerja susah untuk membesarkan cucunya. Saya teringatkan siapa sebenarnya ya? Emak saya, Tok saya atau saya cuba membayangkan keadaan saya berada dalam situasi itu?

Hari ini Hari Kekasih kononnya ya? Ada yang sambut? Jangan. Salah tu. Sampai ada fatwa kata boleh jatuh hukum murtad jika menyambutnya. Saya tak berani mengulas panjang. Dulu pun saya dah pernah ulas. Pendek ceritanya, cukuplah kita tahu ini bukanlah satu sambutan yang harus dalam Islam sebaliknya diharamkan. Sejarahnya saja dah menceritakan bagaimana Islam dipermain dan diperbodohkan. Untuk yang bukan Islam pula, apa hari lain tidak boleh nak berkasih sayangkah? Pelik sungguh manusia ni. Setiap hari pun kita boleh menyatakan kasih sayang kita. Kalaupun tidak secara nyata, dalam doa pun kita sudah boleh menyampaikannya. Jangan kerana hanyut di alam percintaan, semuanya kita redah. Semuanya kita relakan.

Di penghujung drama yang saya tonton itu tadi ada disudahi dengan sepotong kata-kata: Kita tidak selamanya muda untuk melakukan dosa dan tidak pernah tua untuk bertaubat.

Nota: Saya RINDU. Pada SEMUA yang PENTING dalam HIDUP saya. Di MALAYSIA.

Posted on February 14th, 2009 by Sarah  |  18 Comments »

Setapak Demi Setapak

Assalamualaikum wbt

Kelmarin saya menyelongkar akaun Friendster saya. Rupanya, saya ni memang selalu ketinggalan zaman dengan mesej daripada kawan-kawan. Ada banyak juga mesej berbentuk peribadi dan bukannya jenis yang sesedap hati memanjangkan mesej yang entah apa-apa. Selepas membersihkan kotak inbox, saya tergerak hati untuk menjenguk blog pertama saya yang bertapak di atas platform Friendster.

Saya melihat tarikh entri pertama saya. 16 Mei 2005. Lama dah tu. Hampir empat tahun. Saya baca semula beberapa entri di situ. Baru saya sedar, konsep saya yang suka meletakkan nota 1, 2, 3 dan seterusnya itu sudah lama bermula. Aktiviti membelek blog lama ini saya lakukan ketika senggang rehat dua malam lepas.

Semalam pula, saya mengambil keputusan untuk terus menutup blog lama Dunia Sarah itu daripada umum. Berkira-kira seminit dua. Kemudian terus saja saya lancarkan niat itu. Wow. Ada sedikit sedih. Tapi ada juga sedikit lega. Sedih kerana hubungan dua hala dengan kawan-kawan di blog lama sudah terputus 100% (jika mereka masih belum menjumpai blog ini). Lega kerana saya tak perlu berfikir tentang kebarangkalian ada tangan-tangan yang masih tak tahu menghormati erti privasi orang lain dengan sengaja meninggalkan URL blog baru ini di entri terakhir itu dan hanya bergelar anonymous saja. Pening ya nak berurusan dengan karenah manusia.

Dan siang tadi, pulang saja dari hospital, saya dan Fatt menekun di meja masing-masing dengan misi yang sama. Qadha’ internet. Muehehe. Kalau hari-hari lain masing-masing menekun dengan buku masing-masing, hari ni kita enjoy. Eceh. Macam slot drama Puteri pula. Gedik je.

Jadi, misi saya siang tadi ialah menghapuskan blog pertama saya di Friendster itu. Puas saya mencari di mana letaknya setting untuk blog itu. Akhirnya jumpa juga dan terus saya hapuskan blog itu. Kali ini tiada rasa terkilan pun. Ke semua entri lama di sana saya telah pindahkan ke blogspot saya sejak mula menulis di sana lagi. Kiranya kenangan menulis sebagai kanak-kanak pada umur 20 tahun masih tersimpan rapi.

Saya dah tutup blog lama saya kepada umum. Blog di Friendster pula dah dihapuskan untuk selamanya. Sekarang tinggal blog ini saja. Langkah seterusnya yang akan saya ambil ialah untuk memberitahu kepada kawan-kawan di blog lama tentang blog ini. Tapi buat masa ini, biar tutup dulu blog itu. Tunggulah esok atau Ahad nanti baru saya buka semula dan beritahu tentang hal ini.

Kenapa saya terfikir untuk mengambil keputusan ini kerana saya tersentuh dengan komen-komen yang ditinggalkan. Ada 81 komen kesemuanya. Orang kata apa, cair sekejap hati ni. Saya tahu isu seperti di blog lama mungkin akan timbul lagi. Dalam hidup, kita takkan selamanya dapat memuaskan hati setiap orang. Setiap orang ada cara berfikir yang tersendiri. Ada pendapat dan pendirian yang tersendiri. Jadi, untuk kali ini kalau ada apa-apa yang terjadi lagi, pendirian saya macam yang dah biasa saya sebutkan, menjadi pengabai. Pengabai tegar. Ignorance is bliss. Huhu.

Ok. Saya hendak kongsikan sebuah nasyid. Sudah sangat teramat lama Ya Allah Ya Rabbul Izzati (melampau metaforanya) saya mencari nasyid ini. Kebetulan salah seorang pembaca yang meninggalkan komen di entri lepas memiliki nasyid ini. Dulu, bila saya cari untuk muat turun, saya tak pernah jumpa. Nama penyanyinya pun saya tak tahu, macam mana nak jumpa kan. Bila dia hantarkan saya nasyid ini lewat email tadi, saya terus muat naikkan di Imeem saya. Tapi di Imeem saya, nasyid ini bukan versi penuh. Tapi bila dengar di WMP, penuh pula. Ajaib rasanya. Jadi saya ambil saja yang telah dimuatnaikkan oleh orang lain. Nasyid Rinduku nyanyian BPM. Apa-apapun, terima kasih Syazana. KS memang dah lama sangat teramat lama Ya Allah Ya Rabbul Izzati mencari nasyid ni. Tak sangka kamu membaca blog ni rupanya. Terima kasih sekali lagi.

Nota: Dua tahun sudah saya ada memenangi pertandingan sajak sempena Maulidul Rasul. Tajuknya Rindu Dengan Sangat. Sumber inspirasi yang membuak-buakkan rasa rindu dan syahdu cinta buat Rasulullah ialah nasyid ini.

Posted on February 13th, 2009 by Sarah  |  16 Comments »

Jumaat Itu Indah

Assalamualaikum wbt

Akhirnya Jumaat tiba juga. Sejak semalam lagi saya tak sabar-sabar menanti tibanya hari ini. Pertamanya kerana bagi orang seperti saya, kehidupan yang terikat dengan rutin hospital memang memenatkan. Apabila sampai di rumah, rehat sekejap dan kemudian sudah mula membuka nota. Sebelah senjanya berhenti makan dan malamnya kembali menyepi di meja dengan nota-nota revisi. Di dalam kepala pula akan terfikir-fikir tentang kelas pada keesokan harinya. Kena membuat persiapan ke kelas lagi. Jadi kitaran tu takkan sudah selagi Jumaat belum tiba.

Keduanya kerana secara peribadi, menelaah pada hari cuti tanpa gangguan perasaan bimbangkan kelas pada keesokan harinya adalah lebih berkualiti. Dari semalam saya tak sudah-sudah menyebut tak sabarnya hendak habiskan kelas hari ni. Mana tidaknya. Malam tadi saya mengalami attention deficit disorder (ADD). Kronik juga. Baru baca seperenggan, fokus dan hilang. Mulalah terfikirkan itu ini.  ADD ini adalah satu masalah yang biasa ditemui di kalangan kanak-kanak. Mereka ini hiperaktif, tidak boleh duduk diam dan hanya boleh bertahan menekun dengan sesuatu perkara itu selama beberapa minit saja. Agaknya, saya ni masih ada aura kanak-kanak dalam jiwa kot.

Syukurnya, hari ini kami mendapat pelepasan awal. Macam bulan jatuh ke riba saja rasanya. Balik rumah, perkara pertama yang saya buat ialah minum air yang dibancuh pagi tadi. Disebabkan terkocoh-kacah hendak ke hospital, air yang masih panas dibancuh pagi tadi tidak sempat dihabiskan. Saya masukkan ke dalam peti. Dan sekarang, perut sudah lapar. Tapi saya tak mahu makan yang berat-berat lagi. Diet protein seperti emakkah? Tidak kot. Saya cuma hendak makan nasi petang nanti saja. Selain nasi, saya tak mahu sentuh. Huhu.

Petang ini bolehlah kembali menghadap nota dengan amannya. Tak perlu memikirkan tentang persediaan kelas. Hendak tahu kenapa untuk posting kali ini, bagi saya persediaan kelas itu merumitkan? Kerana setiap kali saya hendak mendapatkan sumber bacaan tambahan di internet, saya terpaksa melihat banyak gambar autopsi dan pelbagai perkara lain yang menyebabkan jantung saya mengalami palpitation.

Dahsyat sungguh kemelut jiwa yang melanda minda sedar dan separuh sedar saya sekarang. Sampaikan malam tadi, ketika melihat rakaman video autopsi, saya menjeling Fareena yang duduk membelakangi saya semata-mata untuk menyedapkan hati sendiri bahawa masih ada yang berjaga bersama saya di saat itu.

Nota: “Awak cari saya ke?” – “Sepanjang hidup saya, awak.”

Posted on February 13th, 2009 by Sarah  |  14 Comments »

Keberanian

Assalamualaikum wbt

Di sepanjang hari ini, baik di dewan kuliah atau ketika sesi kelas praktikal yang pertama untuk Forensic Medicine bermula, suasananya memang kelam kabut. Macam-macam terjadi.

Ketika masuk ke muzium khas yang terdapat di hospital tersebut, terkejut juga dibuatnya. Ada banyak simulasi kes jenayah ditempatkan di dalam muzium tersebut. Ada banyak moulage yang merakamkan detik-detik kematian kes-kes menarik. Jadi, ada banyaklah mata yang terbeliak, leher dijerut, lidah terjelir, tulang patah, kulit tersiat, daging terkoyak dan macam-macam lagi.Terbayang-bayanglah juga kiranya saya ni.

Balik dari hospital petang tadi, saya tidak berapa sihat. Makan ubat (dengan sengaja dilebihkan dosnya) dan terus pengsan tidur sampai ke petang. Sebaik segar, terus makan nasi. Mana boleh tak makan nasi dalam sehari. Pengsan semula dibuatnya nanti. Pengsan rindukan nasi. Huhu. Kemudian baru duduk menghadap nota. Saya utamakan ulangkaji untuk State Exam nanti. Persediaan untuk kelas esok sengaja saya letak tepi dulu. Hajatnya hendak mula membaca selepas mandi di tengah malam hari.

Selesai menutup nota ulangkaji, saya mula mencetak nota-nota tambahan yang saya ambil dari internet untuk tajuk hari esok. Tetapi dengan tiba-tiba saya terasa seram. Baru saya sedar bahawa tajuk yang hendak saya baca itu penuh dengan lakaran autopsi dan gambar-gambar yang boleh menyebabkan saya berpusing 360 darjah beberapa kali dalam masa seminit untuk memastikan tiada apa-apa di sekeliling saya. Sampaikan ada satu gambar tu (gambar saja pun, bukannya video atau apa), saya menutup kedua-dua tapak tangan ke muka. Mata hanya melihat skrin dari celah-celah jari saja. Bila gambar dah terpapar sepenuhnya di skrin, ceh, rupanya hanya gambar tali yang digunakan untuk satu kes bunuh diri saja. Saya ingatkan ada gambar orang tergantung sekali. Hahaha. Maka sayapun menggelakkan diri sendiri.

Tadi saya ada membelek update kawan-kawan di Google Reader (Kan dah kata. Saya memang ikuti update kamu semua 🙂 ). Salah satu daripadanya ada menyenaraikan filem-filem seram atau aksi yang ditontonnya kebelakangan ini. Salah satunya ialah Cannibal Holocaust. Saya teringat bahawa saya sudahpun menonton cerita itu. Sebuah filem kisah benar yang sebahagian daripadanya adalah daripada rakaman video asli oleh kumpulan penyiasat yang tak berapa nak cerdik tu.

Banyak unsur ganas, seram dan meloyakan. Saya pernah cerita bahawa saya loya dengan Milo, kan? Ya. Ketika menonton filem ini dulu (Oktober 2004), saya baru sudah minum Milo panas. Sudahnya saya termuntah dua kali. Pertama kerana saya tak tahan dengan Milo tu. Kedua kerana filem itu sendiri yang sangat memualkan.

Kenapa tiba-tiba saya melompat daripada cerita pasal persediaan tajuk hari esok terus ke cerita Cannibal Holocaust tu? Sebenarnya, tadi tiba-tiba saja saya pelik dengan diri sendiri. Dulu saya menonton filem itu seorang diri saja. Dalam bilik seorang-seorang saya saja. Ketika itu saya baru saja memulakan tahun dua saya di sini. Junior yang bakal ditempatkan sebilik dengan saya tiba lewat petang itu dari Malaysia.

Macam mana dulu-dulu saya boleh sangat berani ya? Filem Texas Chainsaw Story pun saya boleh tengok macam tu saja. Sekarang ni, jangankan nak tengok, tertengok trailer pun dah tutup mata. Saya terkena badi agaknya. Huhu. Sekarang ni, daripada saya menonton filem seram bersama housemates, saya lagi rela masuk bawah selimut dan selawat seorang diri bila terdengar bunyi seram jerit-jerit daripada filem yang ditontoni mereka.

Oklah. Panjang pula malam ni. Hampir 30 minit dah. Tamat masa bersama blog. Sekarang masa untuk menatap nota sedikit lagi. Kemudian tidur.

Nota: Saya membaca sedikit tentang latar belakang kerjaya seorang Forensic Pathologist. Mereka yang telah menyambung dalam bidang ini digelar sebagai pemegang Extreme Degree kerana kerjaya ini sememangnya sukar, memerlukan keberanian, kegagahan fizikal, kekuatan mental dan kreatif untuk berfantasi berada di pihak yang melakukan jenayah atau sebagai mangsa. Hebat sungguh otak mereka. Tak pelik doktor saya untuk kelas pertama pagi tadi memang gagah orangnya. Untuk makluman, dia adalah seorang perempuan. Tapi minta maaflah. Ini bukan bidang pilihan saya. 😀

Posted on February 12th, 2009 by Sarah  |  19 Comments »