Archive for the ‘Life’ Category

Allah Ada Bersamamu, Anak Syurgaku.

Assalamualaikum wbt

Jumaat yang penuh barakah.

Sewaktu menjemput Izz di tadikanya sebentar tadi, saya terlihat 2 orang budak lelaki yang baru saja turun dari van sekolah dan berlari menuju ke rumah mereka. Di pintu pagar rumah tersebut, kelihatan seorang kanak-kanak perempuan sedang menunggu di situ. Barangkali itu adik kepada 2 orang budak lelaki tersebut.

Saya terbayangkan Izz dan Zayd. Mungkin suatu hari nanti beginilah keadaan mereka. Berlarian pulang ke rumah sekembalinya dari sekolah. Tapi sayangnya, rezeki untuk seorang adik perempuan menanti mereka di pagar rumah masih belum ada. Atau setepatnya, rezeki seorang adik untuk mereka berdua belum lagi tiba.

Atau yang lebih tepat, rezeki itu baru saja kembali semula kepada penciptanya.

Selesai Subuh pagi tadi, mama menyambut sendiri kelahiran janin mama yang berusia 3 bulan. Missed miscarriage yang hanya mama tahu 11 hari yang lalu. Alhamdulillah ala kulli hal. Sempurna keluarnya beserta kantung. Sebesar tapak tangan sudah saiznya. Allah lebih menyayanginya lebih daripada apa yang bakal mama dan ayah berikan.

Allah Maha Tahu apa yang terbaik untuk kita sekeluarga. Allah Maha Penyayang mendatangkan rasa bahagia dan gembira buat kita sekeluarga apabila diberitakan perkhabaran adik baby akan lahir tahun depan. Allah jugalah Yang Maha Baik memudahkan pemergian anak syurga ini. Kerana Allah itu Maha Segala Tahu apa hikmahnya dan kenapa dipinjamkan seketika lalu terus diambilNya tanpa sempat zahirnya dipeluk-cium, ditatap-tatang, disusu, dididik dan disayangi sepenuh jiwa. Allah memang Maha Tahu kenapa waktu ini yang dipilihNya untuk mengambil kembali anak syurga ini.

Di hari Jumaat yang penuh barakah ini, mama dan ayah berlapang dada dengan pemergian ini. Kami yakin ada hikmah yang sangat besar mengapa semua ini direncanakan ke atas kami. Dan salah satunya ialah, mama dan ayah tahu, ada seseorang sedang menanti mama, ayah, Abang Izz dan Abang Zayd di syurga. Nantikan kami di sana. Semoga Allah ampunkan dosa-dosa mama dan ayah untuk berkumpul bersama kamu di syurga nanti.

Petang tadi, sebaik tiba di rumah Tok Wan dan Tok di Temerloh, ayah mengebumikan jasad kecilmu di tanah subur di belakang rumah. Sayu hati mama tatkala meletakkan balutan kecil itu ke dalam tanah. Kerana buat masa ini, ini sajalah rezeki mama dapat melihat jasad kamu buat kali terakhirnya, yang lahirnya terlalu awal, terlalu kecil dan tanpa nyawa. Semoga kita bertemu lagi nanti di syurga.

Bermainlah di sana.
Bergembiralah.
Allah ada bersamamu, anak syurgaku.

Mama,
28 Ogos 2015

Posted on August 28th, 2015 by Sarah  |  4 Comments »

Sebuah Keinsanan

Assalamualaikum wbt

Selasa lepas, 28 Julai 2015, saya perlu menghadiri mesyuarat dan lawatan tapak ke Hospital Kajang untuk dua buah projek naik taraf yang akan berlangsung serentak. Sepatutnya saya ke sana dengan menggunakan khidmat pemandu dan kereta jabatan. Tetapi di saat akhir sejurus sebelum bertolak, saya dimaklumkan bahawa pemandu yang sepatutnya membawa saya mendapat cuti sakit (MC) kerana tidak sihat. Saya mula susah hati. Kereta saya sudah dihalang orang di tempat parking umum. Macam mana untuk saya ke sana.

Alhamdulillah, Sister (Ketua Jururawat) yang bertugas menjaga negeri Selangor bersama saya tidak kemana-mana pagi itu. Dia menawarkan diri untuk ke sana bersama saya menggunakan keretanya. Dia juga faham akan keadaan saya yang sudah seminggu lebih tidak berapa sihat. Makabertolaklah kami ke sana dan segala urusan di sana hanya selesai pada pukul 1.40 tengahari.

Dalam perjalanan pulang ke Ibu Pejabat, kami terasa keadaan penghawa dingin keretanya bagaikan tak berfungsi. Terlalu panas dan berbahang. Sebaik tiba di lorong susur keluar dari bandar Kajang untuk masuk ke Lebuhraya Silk, tiba-tiba kereta Sister tersebut secara automatic telah terkunci steeringnya. Kereta tidak boleh dibelokkan ke kiri atau kanan. Suhu kereta mendadak naik dan sistem brake tangan dan bateri menyala lampunya tidak padam-padam. Alhamdulillah ketika itu kereta kami memang berada di lorong paling kiri dan terdapat lorong susur tambahan sebelum masuk ke Silk. Sister saya pun terus memberhentikan kereta di tepi jalan dan kami keluar dari kereta. Di sebelah kiri bahu jalan terletaknya Gereja Methodist Cina Kajang.

Kami membuka injen dan mula membuka penutup radiotor. Air diisi, tapi masih belum menyelesaikan masalah. Dalam keadaan panas terik itu, Sister saya itu dapat menghubungi abang iparnya yang tinggal di Sungai Ramal untuk mendapatkan bantuan. Pomen (workshopman) juga sudah dihubungi untuk datang ke situ.

Memandangkan keadaan di tepi jalan itu terlalu terik, kami menghampiri pagar gereja tersebut untuk berteduh. Tiba-tiba kami berdua disapa oleh seorang lelaki yang sedang mengecat dinding tadika yang terletak paling hadapan dalam kawasan gereja tersebut.

Sebaik mengetahui duduk perkara yang terjadi kepada kami, lelaki tersebut menyuruh kami masuk ke perkarangan gereja itu. Dengan penuh ramah, beliau menyuruh kami masuk berteduh di depan tadika gereja tersebut yang redup berbumbung.

Kami menerima pelawaannya dengan penuh rasa terima kasih. Alhamdulillah, barulah hilang sedikit rasa hendak pitam saya berjemur di tengah panas sebelum itu.

Kami berbual sedikit tentang proses baik pulih dinding tadika yang sedang dilakukannya. Tidak berapa lama kemudian, abang ipar Sister saya pun tiba. Dengan pertolongannya pula, beliau menghantar saya pulang terus ke Ibu Pejabat manakala Sister dan pomen menuju ke bengkel terdekat.

Alhamdulillah. Hari itu Allah beri kesempatan untuk saya terus melihat dan merasai kebaikan, keinsanan dan erti hidup saling memerlukan.

Terima kasih kepada pihak Gereja Methodist Cina Kajang yang membenarkan kami menumpang berehat di perkarangan gereja tersebut. Jasa kalian akan kami kena selamanya.

Posted on July 31st, 2015 by Sarah  |  No Comments »

Selamat Hari Raya

Assalamualaikum wbt

Selamat Hari Raya Aidilfitri untuk semua!

Dalam pada saya duduk membebel meluahkan dilema hati seorang perempuan di bulan Ramadhan, dalam pada saya rasa sempat tak sempat nak khatamkan Quran untuk Ramadhan kali ini, dalam pada saya tak menang tangan nak uruskan anak-anak, kerja rumah dan tugasan di tempat kerja, rupa-rupanya, semua itu Allah sempatkan saya untuk laksanakannnya. Semuanya sempat. Di subuh hari terakhir Ramadhan, sempat juga saya khatamkan Quran. Sempat juga saya sediakan biskut untuk Zayd yang sesuai dimakan olehnya di musim-musim raya ni. Sempat juga saya kemas beg baju untuk 4 orang yang penat jiwa dan raga fikir nak bawa apa untuk balik kampung. *pecah kepala*

Baiknya Allah itu.

Jadi kisahnya raya kami kali ini di Batu Pahat. Di kampung sebelah ibu mertua saya. Kami tiba ke sana sehari sebelum raya. Kesemua adik beradik ipar dan biras saya pun beraya di sana. Kali ini saya sempat buat macam-macam benda di kampung Atuk. Saya seronok melihat anak-anak saya dapat mengenali kaum keluarga di sana. Cuma yang tak berapa seronoknya kami terpaksa duduk di hotel kali ni. Ikutkan saya, saya tak suka. Saya lebih suka duduk beramai-ramai di rumah keluarga dan masak-masak segala makanan raya ke, sarapan pagi ke, makan tengahari ke, makan malam ke semuanya bersama-sama. Bukan setakat tunjuk-tunjuk, arah-arah tahu-tahu dah siap semuanya depan mata. Minta saya dijauhkan dari sifat dan sikap buruk begini.

Petang raya kedua kami pulang ke Temerloh. Memang Waze suruh ikut jalan entah ceruk mana entah. Ada jalan yang melalui gugusan felda yang saya tak pernah lalu sejak lahir tapi hanya setakat pernah dengar namanya. Lalu jalan dalam 100%. Dan tidak bertembung dengan kesesakan lalu lintas langsung. Itu yang paling penting. Kalau tak, berulanglah sejarah beraya di tahun pertama perkahwinan dulu. Sedang mengandung, tersekat dalam kesesakan sehingga mengambil masa 7 jam untuk sampai ke Temerloh dari Batu Pahat dan sedang dalam fasa muntah-muntah yang belum reda. Allah sajalah yang tahu betapa tertekannya saya apabila berada dalam kesesakan sebegitu.

Alhamdulillah pada malam hari raya ketiga, kesemua adik beradik saya berkumpul di rumah emak dan ayah. Bila tiba di rumah emak, barulah saya jumpa lemang, rendang, laksa dan nasi putih untuk dimakan. Kebulur nasi yang amat sangat dah. Huhuhu. Hari raya kelima barulah kami pulang ke Putrajaya kerana pada hari ini, saya dan suami sudahpun mula bekerja kembali.

Gambar raya tahun ini tak ada yang betul-betul menjadi. Sebab Izz dan Zayd masing-masing dengan fe’elnya yang tersendiri. Ini baru anak 2. Kalau sudah 3, tak ada langsung kot gambar raya agaknya. Haha.

Selamat hari raya sekali lagi! Nanti saya sambung cerita mee hailam terlebih banyak kejadian di bulan puasa dulu yang tak sempat nak dikongsikan lagi.

 

IMG-20150717-WA0056_1

 

Posted on July 22nd, 2015 by Sarah  |  No Comments »

Definisi Berpuasa

Assalamualaikum wbt

Ketika memandu pulang ke rumah pada hari semalam, saya memasang radio kereta untuk memecah kebosanan tersekat dalam kesesakan lalu lintas. Walaupun jarak antara Ibu Pejabat KKM ke rumah saya sebenarnya hanya 8 km, tapi kesesakan di persimpangan Alamanda tu teruk betul. Untuk melepaskan diri keluar dari perkarangan Parcel E menerusi pintu belakang tu cukup azab rasanya bagi orang yang sangat anti-jam seperti saya ni.

Kembali ke cerita asal.

Di radio sedang keudara berita jam 6 petang. Petikan berita berbunyi:

“6 lelaki ditahan JAWI atas kesalahan makan dan minum secara terbuka di bulan puasa dan merokok di khalayak ramai.” (bacalah dengan lenggok penyampai berita radio)

Saya hairan dengan bunyi petikan berita tersebut. Saya rasa sepatutnya berita tersebut berbunyi ‘makan, minum dan merokok secara terbuka di bulan puasa’ untuk mengetengahkan kesalahan yang dilakukan oleh pelaku-pelaku terbabit dengan jelas. Ini kerana makan dan minum juga merokok itu adalah tidak dibenarkan dari terbit fajar subuh sehinggalah masukknya waktu Maghrib. Sebaliknya, petikan berita tersebut boleh membawa maksud, merokok adalah dibenarkan tetapi jika dilakukan secara tertutup dan bukan di khalayak ramai. Seperti ada dua kesalahan pula di situ. Sedangkan kesalahan lelaki-lelaki tersebut adalah sama iaitu tidak berpuasa di bulan Ramadhan.

Kenyataan sebgini boleh mengelirukan orang ramai. Nanti ada yang mentafsir, merokok itu boleh tapi secara tertutup dan bukan di siang hari. Sedangkan, merokok itu bukan saja boleh membatalkan puasa dan salah dilakukan di khalayak ramai, malah merokok adalah haram hukumnya sama ada di bulan Ramadhan ataupun tidak dan secara tertutup ataupun terbuka.

Kelmarin, Izz kata dia berpuasa.

“Mama, hari ni Izz puasa. Izz tak makan je. Izz minum air je. Tapi pagi tadi Izz makan sikit je. Izz minum air je yang banyak.”

Ini definisi puasa Izz buat masa ini. Kita tengok apa pula definisi puasa baginya setahun lagi ye. Lek lek lu. Dia baru 3 tahun 6 bulan je.

IMG_20150403_015516

Posted on June 24th, 2015 by Sarah  |  No Comments »

Setahun Di Sini

Assalamualaikum wbt

22 Jun. Genap setahun saya berpindah dari Pahang ke Putrajaya. Waktu itu saya masih belum habis berpantang. Tarikh itu juga betul-betul genap seminggu sebelum Ramadhan tahun lepas bermula.

Setahun berlalu, apa konklusinya?

Bermula dengan drama di hari pertama di Putrajaya, sudah pasti setahun ini penuh dengan ceritanya. Lebih banyak yang menyakitkan hati dan menjengkelkan perasaan. Memang banyak situasi yang menekan ketenangan. Selalu saja saya terapit antara dua kenyataan.

Itu sebabnya kenapa saya tidak pernah sukakan kehidupan di Putrajaya ini. Semuanya plastik dan sangat menjelekkan. Semakin tahu dan kenal akan realiti lakonan kehidupan. Nampak yang elok-elok di luaran, tapi hakikat sebenar semuanya kotor lagi memualkan.

Hari-hari saya menghitung hari kapankah akan tamat tempoh bersama JPA. Supaya boleh kembali menetap di tempat yang lebih kampung dan tenang. Dan orangnya tidak plastik dan bermuka-muka.

Saya benci Putrajaya.

KAHKAHKAH. Cliche sangat kau, Sarah. Ambik bantal pergi nangis dalam bilik sorang-sorang. Kbai!

Orang Putrajaya jangan marah, okay. Ini luahan hati sang gadis simplistik dari kampung yang sedang melayan durja hati tentang hakikat kehidupan yang ditempuhi sepanjang bermastautin di sini.

Posted on June 22nd, 2015 by Sarah  |  1 Comment »