Anak Era 80-an
Jika ada yang menanyakan saya perihal lagu-lagu terkini di Malaysia, saya angkat bendera putih awal-awal lagi. Baik nasyid atau lagu, saya biasanya ketinggalan dari segala segi. Biasanya, sekali saya sudah suka sesuatu lagu, saya setia menyukainya sehinggalah saya rasa betul-betul muak. Seperti sekarang ini, saya tidak tahu perkembangan lagu-lagu termasuklah nasyid yang menjadi pujaan ramai. Tentang artisnya apatah lagi. Sebab itu saya masih melayan lagu-lagu dan nasyid-nasyid lama sehingga ke hari ini.
Sewaktu kecil dulu, zaman saya dan Kaklong betul-betul kecil, ketika kami diberikan mikrofon untuk bermain-main di rumah, saya pun tidak tahu bagaimana saya boleh tahu lagu Isabella dan Fantasia Bulan Madu. Rock kapak habis ketika itu. Mungkin pengaruh daripada ramai dua pupu kami yang lelaki yang tinggal dengan neneknya (Tok Cik) di sebelah rumah Tok. Dari Abang Zani, Abang Jay, Abang Tilah, Abang Erry, Abang Mizi dan mungkin juga arwah Chik Joe. Mereka muda remaja dan sudah bersekolah menengah. Mungkin Abang Erry dan Mizi saja yang besar sikit saja daripada kami. Jadi, pengaruh abang-abang yang lain itulah yang menyebabkan kami terdedah dengan zaman rock kapak yang sedang mengganas ketika itu (pertengahan 80-an).
Sewaktu sekolah rendah, ketika saya dan Kaklong masih belum dipisahkan di bilik tidur yang berasingan, kami ada sebuah radio di dalam bilik. Saya dalam darjah 5 dan Kaklong pula darjah 6. Waktu itu, rancangan Pilihan Bersama di radio muzik yang ke udara dari jam 9 hingga 12 malam sangat kami nanti-nantikan. Kami sanggup teliti dan catit apa lagu-lagu yang telah dipilih oleh pendengar ruangan itu. Ketika itu, Kaklong sangat meminati kumpulan Exist. Waktu itu, Ezad baru saja masuk menjadi vokalis utama Exist menggantikan Mamat. Saya pula sangat gilakan kumpulan Umbrella. Aduhai. Bila sudah besar begini, baru saya terfikir, apalah yang istimewa sangat dengan kumpulan itu sehingga saya begitu gilakan mereka. Kebetulan ketika itu, di sekolah kami ada regu lawan mulut yang meminati kumpulan lain. Mimi adik kepada Kak Tikah, kawan baik Kaklong, dan juga Che’ Yah, adik Kak Piah, rakan sekelas Kaklong dan Kak Tikah. Mereka berdua sangat meminati kumpulan Slam. Jadi setiap kali berkumpul untuk latihan bola jaring pada setiap petang Selasa, pasti ada sesi berbalah mulut (orang Temerloh sebut bertaki) untuk memenangkan kumpulan masing-masing.
Ketika itu, apabila menjelangnya hujung minggu, saya akan sibuk mendengar rancangan Carta Mingguan di setiap stesyen radio yang saya dapat dengari dari rumah. Antaranya ialah Radio Muzik, Radio Malaysia Pahang, Radio Malaysia Negeri Sembilan, Radio Malaysia Kuala Lumpur, Time Highway Radio dan Best 104. Waktu itu masih belum ada Hot.fm dan yang seangkatan dengannya. Kalau boleh, saya hendak tahu di kedudukan manakah lagu-lagu kumpulan Umbrella berada pada minggu itu dan sebolehnya juga saya hendak tahu lagu-lagu manakah yang berjaya menjada juara carta. Ha! Sampai begitu sekali. Antara lagu-lagu hit kumpulan Umbrella ialah Ramalanku Benar Belaka, Bukalah Hatimu, Maruah, Retak Jangan Relai dan Rindu. Saingan hebat pada waktu itu semestinya lagu-lagu dari kumpulan Ukays yang tak pernah luput dek masa, tak lekang dek zaman. Lagu Sebak, Sesak, Seksa, Di Sana Menanti Di Sini Menunggu dan Kekasihku Di Menara adalah antara yang terhangat di corong-corong radio. Lagu-lagu Exist pula seperti Masih Terserlah Ayumu, Diammu Gunung Berapi, Alasanmu dan Anugerah. Fuh. Macam tidak percaya saya masih mengingati semua ini. Tak dilupakan juga kumpulan-kumpulan lain yang menjadi tumpuan saya seperti Fotograf (Luka Seribu Rindu), Scan (Kau Dipaksa Aku Terpaksa), Eye (Namamu Kini Menjadi Sebutanku), Arrow (Aku Tak Marah, Terimalah Sayang Cintaku Seadanya) dan juga Lestari (Mahligaimu Dari Air Mataku). Ha. Tajuk lagu masa itu semuanya panjang-panjang. Kalau boleh, satu ayat dalam lagu nak dijadikan tajuknya. Hehe.
Saya masih ingat lagi, pada tahun itu, saya memenangi Pertandingan Bercerita Peringkat Daerah. Hadiah tempat pertama pada waktu itu termasuklah wang saguhati sebanyak RM50. Tidak banyak manapun. Tapi dengan duit itulah, saya belikan hadiah hari lahir buat Kaklong berupa kaset Exist album Anugerah (1996) dan juga kaset Umbrella album Seribu Rahmat untuk diri saya sendiri. Hahaha. Nak minta pada ayah? Uh. Jangan harap. Ayah menentang kami mendengar lagu-lagu ini semua. Kaklong pada ketika itu sangat berani membeli majalah hiburan. Kena seludup masuk majalah itu melalui tingkap bilik untuk mengelakkan emak atau ayah nampak. Tapi seingat saya, pernah juga ditangkap oleh emak kerana membeli Mangga tapi Kaklong beralasan baik kononnya hendak membaca kisah adik Siti Musliha yang mendapat laporan eksklusif di dalamnya. Maka terselamatlah majalah yang itu daripada ayah sebab emak pun tumpang membaca cerita itu. Yang lain-lain? Hahaha. Walaupun telah disorokkan di dalam laci di dalam almari baju kami, ayah datang kutip, koyak-koyakkan dan dicampak bertaburan di perdu pohon manggis di tepi laman rumah. Hendak menangis pun sudah tidak berguna. Siapa suruh kami buat apa yang ayah larang. Kaklong memang kecewa betul waktu itu. Mana tidaknya. Duit untuk membeli majalah itu (ketika itu berharga RM3.50) disimpan daripada duit belanja.
Inilah zaman meningkat remaja kami dua beradik. Nasiblah kami berdua saja perempuan. Kalaulah saya ada adik perempuan, apalah agaknya kecenderungan muzik adik saya itu. Kalau dikisahkan adik-adik lelaki saya pula, si Adnan lebih meminati lagu-lagu seperti Redline95, Domino Effect dan Apple Trees. Bila masuk adik-adik yang lain, lagu-lagu Indonesia lebih menjadi minat mereka. Terutamanya Adlan dan Adam. Dari Sheila On 7 hinggalah Nidji dan macam-macam lagi. Zaman saya dan Kaklong dulu masih tiada radio IKIM.fm. Selepas tamat SPM baru saya menghabiskan masa dengan IKIM saja. Sebetulnya, zaman muzik-muzik saya ni hanya sekitar darjah 5 dan 6 saja. Masuk saja ke tingkatan 1, saya sudah tinggalkan semua ini. lebih matang. Dengar pun setakat dengar saja. Lebih-lebih lagi bila Kaklong sudah ke asrama, saya tiada teman untuk bercerita tentang kumpulan-kumpulan ini semua. Zaman rock kapak jiwang-jiwang dah lama ditinggalkan. Legasi nasyid mula mengambil tempat sekitar saya tingkatan 3 (sebab abang kepada Zaiti kawan saya ialah anggota In-Team), maka bertukarlah aliran muzik remaja pada waktu itu. Tapi jiwang tak ingat dunia juga! Kasih Kekasih-lah, Impian Kasih-lah, Nur Kasih-lah, dan segala kasih-kasih yang lainlah. Aduhai. Bila tamat SPM pula, UNIC mula menyengat dengan lagu CUDIPT dan Hanya Tuhan Yang Tahu. Masya Allah. Nasyid pun boleh tahan jiwangnya ya. Hehe.
Sebenarnya, emak dan ayah saya sangat tegas dalam bab-bab hiburan ini. Kami tidak boleh menonton rancangan Muzik-muzik dan Melodi dulu-dulu. Anugerah Skrin dan anugerah-anugerah yang lain pun tidak boleh juga. Kadang-kadang, kami berkeras cuba juga membuka TV walaupun ayah telah padamkan suisnya tapi tak lama selepas itu, ayah keluar dari bilik dan memadamkan TV semula. Ini bentuk didikan yang kami terima. Tapi saya berterima kasih kepada emak dan ayah, terutamanya ayah, kerana sangat bertegas dengan kami dalam memilih hiburan. Sejak Raihan muncul, era kegemilangan nasyid pun bermula. Tapi saya dan adik beradik lebih meminati Hijjaz kerana banyak nasyid yang Hijjaz nyanyikan mengimbau kenangan kami ketika sekolah rendah dulu, ketika kami popular dalam pasukan nasyid sekolah. Huhu. Dan bila munculnya Firdaus dan Mirwana, emak pun menyukai mereka dan kami pun terikut-ikutlah. Saya tak menyesal dengan didikan emak dan ayah. Bagi saya, sememangnya dunia hiburan ini jika tidak diletakkan satu garis pemisah boleh menyebabkan seorang remaja itu hanyut dan melupakan banyak perkara. Antaranya tentang perkara fardhu, adab pergaulan, batas aurat, terabai pelajaran sehingga menjejaskan masa depan dan melalaikan.
Ha. Entri ini menjadi bukti bahawa saya anak era 80-an. Ada yang segeng dengan saya? Sila tersenyum sendiri =)