Pertama Kali : Hari Pelaporan Izz Zamani

Assalamualaikum wbt

26 November 2015

Bismillahirrahmanirrahim.

Seharian saya bermesyuarat di Ibu Pejabat JKR di Jalan Sultan Salahuddin. Saya cuba bergegas untuk menghadiri sesi pelaporan di sekolah Izz. Saya yang memohon untuk dapat hadir lebih awal sebelum hari pelaporan yang dijadualkan atas dua sebab. Pertama kerana memang kami tidak dapat datang pada hari yang dijadualkan kerana ada urusan lain. Keduanya kerana kami tidak mahu Izz dibiasakan dengan ‘report card day‘ yang tipikal. Kami memilih untuk Izz lalui fasa awal persekolahannya ini sebagai taman bermain dan menimba pengalaman. Bukan tempat untuk dibanding-bandingkan siapa terbaik dan siapa tercorot walaupun sekolahnya memang tidak menggunakan sistem tersebut.

Saya tiba di sekolahnya hampir ke pukul 5.30 petang dan Principal nya sudahpun menunggu. Saya dibawa masuk ke biliknya dan sesi penerangan prestasi secara one to one pun bermula. Saya dimaklumkan secara terperinci tentang pencapaiannya selama 7 bulan bersekolah di situ (masuk sejak April 2015). Secara keseluruhan, memang penekanan yang diberikan untuk anak-anak di situ adalah tentang adab, etika, ahlak dan kemahiran asas kehidupan kerana itulah yang menentukan keperibadian anak-anak dalam fasa membesar dan membina identiti. Alhamdulillah, daripada tiga tahap pemarkahan untuk proses evaluasi, Izz memperoleh markah tertinggi bagi setiap aspek sosio-emosinya. Alhamdulillah.

Bagi aspek akademik, sebenarnya saya dan suami memang tidak meletakkan apa-apa target untuk Izz. Dia bermula lewat berbanding rakan sekelasnya dan pencapai bagi aspek akademik juga bukanlah yang paling kami utamakan kerana target kami menyekolahkannya pada tahun ini supaya dia dapat bersosial, belajar membina keyakinan diri, kepimpinan sesama rakan sebaya, adab dan berdikari. Tambahan pula, silibus yang saya buat sendiri untuk sesi pembelajaran di rumah lebih berkonsepkan santai dan gembira. Sebab itu apabila Principal nya memaklumkan bahawa subjek Bahasa Melayu yang paling Izz kuasai dengan bagus manakala English, Sains dan Matematik berada di tahap sederhana, langsung saya tidak berasa gundah atau risau. Yang paling menggembirakan hati saya petang tadi ialah bilamana Principal nya memberitahu, dialah yang paling ‘champion‘ dalam bab hafazan dan bacaan Iqra’ kerana lebih jauh mendahului rakan sekelasnya yang lain.

Secara purata, daripada tiga tahap pemarkahan evaluasi, Izz mendapat tahap tertinggi. Alhamdulillah thummalhamdulillah.

Laporan tahunan Izz itu saya lipat dan simpan ke dalam beg sandang belakang yang dibawa. Izz langsung tidak melihatnya. Dan Izz juga tidak perlu tahu segala markah yang telah dicapainya. Apa yang Izz tahu, malam nanti selepas mengaji dia dapat berbuat sesuatu yang menarik seperti yang telah saya janjikan kepadanya. Saya juga sudah memberitahunya bahawa sudah ada kotak baru (guna semula kotak dakwat mesin pencetak di pejabat yang sudah dibuang, sebelum ini dia pernah membuat buaya kotak menggunakan kotak buangan yang saya kutip di pejabat) untuk dibuat mainan baru bersamanya pada hujung minggu ini.

Selesai solat Maghrib, saya menunjukkan laporan prestasi Izz kepada suami. Kami sama-sama nekad untuk menambah baik pendekatan kami terhadap Izz supaya anak itu dapat melalui fasa pembesaran yang hanya dipenuhi dengan kegembiraan.

Siapa kata nombor yang menentukan prestasi atau kualiti anak-anak. Bagi anak-anak, kualiti itu ialah apabila hidup mereka sentiasa dipenuhi dengan kegembiraan.

Kisah ini saya abadikan sempena kali pertama saya menghadiri Hari Pelaporan anak. Terasa emosi sikit. Sebak. Sebab anak dah besar. More to come after this, insya Allah.

Izz-mama

#koleksistatussarah

Leave a Reply

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.