Cerita Raya
Assalamualaikum wbt
Oh. Saya geram bila membaca entri kawan-kawan di Google Reader saya. Semuanya bercerita tentang raya. Haa. Ni saya nak cerita tentang raya saya pula. Hahaha.
Raya saya tahun ini sangat istimewa. Ketika berbuka puasa di hari terakhir Ramadhan, saya sempat memecut balik berbuka di rumah bersama seluruh ahli keluarga. Kaklong, Nan dan Adi sudahpun berada di rumah. Selesai berbuka ala kadar, tidak sempat lagi mendengar alunan takbir di TV, saya sudah memecut kembali ke hospital. Oh ya. Sejak mula bekerja, saya memang menjadi perempit terhebat. Dalam masa 10 minit, saya sudah tiba di hospital semula.
Sekitar 8 malam itu, saya sudah mula membuat night review di wad. Tiba-tiba saya terdengar suara seorang pesakit saya menyapa: Selamat hari raya, doktor. Doktor tak cuti ke? Dia tersenyum-senyum ke arah saya. Eh, baru saya teringat malam itu adalah malam raya. Ya. Itulah ucapan raya yang pertama sekali saya terima untuk tahun ini. Saya mengucapkan yang sama kepadanya. Saya menambah: Saya tak cuti. Tahun ni kita beraya sama-samalah di wad ye, Pakcik. Dia tersenyum saja kepada saya.
Apabila saya sampai ke cubicle saya yang paling hujung (ini cubicle untuk subacute cases), saya terdengar sayup-sayup suara takbir di ruangan TV di sebelah cubicle itu. Saya menjenguk ke situ setelah selesai membuat review di bilik itu. Beberapa orang pesakit saya yang stabil dan boleh berjalan sedang menonton TV di situ. Mereka terus menyapa: Selamat hari raya, doktor. Saya pun membalas dengan ucapan yang sama kembali. Mereka sedang mendengar alunan takbir.
Waktu itu saya terasa sangat sayu. Sayu kerana mengenangkan inilah kali pertama saya mendapat ucapan raya daripada pesakit sendiri dan meraikan malam raya saya di hospital bersama mereka. Keduanya, saya merasa sayu kerana terkenangkan ahli keluarga saya yang sedang berkumpul di rumah. Tak sangka pula saya, tahun ini saya tetap tidak dapat meraikan raya bersama mereka. Malam itu, walau ke wad mana pun saya, ada saja pesakit yang mengucapkan Selamat Hari Raya. Berbeza sungguh perasaannya, tau.
Keesokan paginya, selesai saja Subuh, saya sudah meninggalkan rumah. Waktu itu, hanya emak, ayah dan Kaklong saja yang sudah bangun. Sebelum pergi, emak menyuruh saya menjamah Laksa Penang yang emak sediakan. Haa. Rumah saya memang terkenal dengan Laksa Penang setiap kali hari raya. Untuk tidak kempunan, saya menjamah beberapa sudu laksa itu. Kemudian, saya menyalam emak dan ayah. Selepas itu, saya terus bertolak ke hospital. Ada satu rahsia tau. Ketika di dalam kereta pagi itu, saya termenangis sikit. Sebak tak pasal-pasal saja pagi tu. Maklum sajalah. Banyak sangat lagu raya yang syahdu-syahdan berkumandang di radio. Sampai buat saya terfikir banyak kali: Kenapalah saya jadi doktor.
Selepas selesai ward round pagi itu, sekitar 11 lebih, saya dibenarkan rehat agak lama. Kata kawan-kawan sekerja yang bertugas di hari raya itu, mereka akan cover kerja saya. Mereka suruh saya pergi menikmati raya. Hehe. Terharu betul saya dengan kawan-kawan saya ni. Yang saya ingat, waktu itu, Dr. J dan Dr. K yang berbangsa India yang mengambil alih kerja saya sehingga jam 2 petang. Kebetulan, memang tiada apa sangat pun dah. Semuanya sudah selesai dan tiada discharge summary pun yang perlu disiapkan. Jadi, saya pun pulang ke rumah dengan perasaan yang sangat gembira.
Sampai saja di rumah, meriahnya suasana! Berbelas-belas buah kereta tersadai di atas bukit rumah saya. Semua emak saudara, ayah saudara dan sepupu-sepapat sedang makan-makan di rumah Tok, Tok Cik dan Mak Tam Chinor. Di rumah saya juga sedang penuh. Sebaik saja masuk ke rumah, semuanya menyerbu saya. Yang kecil-kecil ni lagilah. Semua datang nak bersalam. Sayangnya, tiada duit raya pun yang saya hulurkan. Muahahahaha.
Saya berkumpul bersama emak, ayah dan adik beradik. Kami bersalaman sesama kami dulu. Dan HOYEAH! Saya mendapat duit raya daripada Kaklong dan adik saya Nan. Maklum sajalah. Mereka berdua ni dah lama bekerja. Hihi. Selesai bersalaman, saya terus ke rumah Tok saya. Bertemu Tok dan emak serta ayah saudara. Rumah Tok buat nasi minyak. Terus saya menjamah sedikit. Kemudian sesi bergembar bersama sepupu-sepupu. Besar-besar dah kami semua. Betapa lamanya dah saya tidak rasakan suasana begini.
Kemudian, saya ke rumah Tok Chik dan Mak Tam Chinor saya yang berdekatan. Di rumah Tok Chik, saya bertemu Adha. Dua pupu saya merangkap teman bermain sewaktu kecil dulu. Masya Allah. Saya tak cam langsung bahawa itu adalah Adha! Lainnya dia. Dah macam ayah orang. Hahaha. Begitu juga beberapa orang yang lain. Sampaikan, ada beberapa orang adik saudara sebelah Tok Chik langsung saya tidak kenal.
Balik saja ke rumah, saya terus masuk bilik dan tidur. Hahaha. Nak buat macam mana. Malam sebelumnya tu, saya balik rumah pukul 1.30 pagi. Pukul 5 pagi sudah bangun. Saya sangat tak cukup tidur. Masuk saja Zohor, saya bangun solat dan terus bersiap untuk ke hospital semula. Sekitar pukul 6 petang, specialist saya menyuruh saya balik saja. Katanya: You pergi enjoy raya puas-puas dulu. Dulu you belajar pun tak dapat raya. Sekarang dah balik Malaysia pun tak dapat raya. Sudah, sudah. You balik. I’ll get someone else to get your job done.
Muaaaaah! Thank you Dr. Cheong and Dr. Tin!
Balik saja ke rumah, saya terus ke dapur mencari laksa emak. Masya Allah. Kuahnya dah tinggal serdak saja. Saya terus mencapai mangkuk dan melantaklah saya seorang diri di dapur. Elok saja selesai Maghrib, saya sudah masuk tidur. Keesokannya, saya sudah meninggalkan rumah seawal 5.45 pagi.
Kebetulan, selepas raya, saya berkesempatan merawat bekas ustaz saya sendiri. Pada hari beliau dibenarkan pulang, isterinya yang juga merupakan bekas ustazah saya datang menghampiri. Beliau menghulurkan sebungkus plastik berisi sesuatu. Kami bersalaman tanda perpisahan. Ustazah mengucapkan terima kasih atas perhatian yang saya berikan ke atas suaminya sepanjang beliau ditahan di wad. Saya terharu menerima ucapan terima kasih daripada ustazah saya. Beliau menyuruh saya menerima plastik yang diberikannya itu. Katanya, itu rezeki raya saya kali ini. Sebaik saja ustazah berlalu, mata saya terkebil-kebil seketika. Saya menerima sebekas kuih raya daripadanya. Dunia ini penuh asam garam. Saya sendiri tidak pernah menyangka akan merawat guru-guru saya sendiri. Mungkin, inilah bentuk khidmat bakti yang boleh saya kembalikan buat mereka.
Pada Sabtu minggu lepas, keluarga saya membuat rumah terbuka. Emak menjemput rakan-rakan guru, kawan-kawan emak ayah dan teman sekolah adik-adik untuk ke rumah. Sayangnya saya tiada di rumah pun pada hari itu. Eh, silap. Adalah kejap saya di rumah pada petang itu. Saya cilok balik ke rumah sekejap untuk mengambil baju kerana pada malam itu saya on call. Kata emak, orang tak putus-putus bertandang. Menu pada hari itu ialah nasi minyak. Huuu… Saya terlepas suasana meriah itu. Cuma sebelum saya bertolak balik ke hospital semula, saya sempat bertembung dengan segerombolan cikgu-cikgu yang datang bersama keluarga masing-masing.
Dan raya kali ini, saya hanya sempat bertakbir sebanyak satu pusingan saja. Saya agak terkilan akan hal itu. Tunggu. Tunggu Raya Haji nanti. Saya mahu bertakbir sepuas-puasnya. Insya Allah.
Nota: Saya ada cerita tentang saya masuk wad. Maksud saya, saya sendiri yang ditahan di wad. Huhu. Tungguuuuu~
Selamt kembali ke tanah air…….
Reply
Bila lah blh jumpa kan? no matter whether u are in overseas or back home, its still difficult to meet up. Why laa kan?
Love always,
A. Wann
Reply
kak,thia setia untuk baca,baca dan baca kisah hidup akak. huhu
take care!
Reply
wah.. sempoi giler gambar raya =)
Reply
sangat suke gmba yg awal tu… sempoi but sweet!
selamat hari raya sarah… 😉
Reply
Salam KS,
10 minit je dari rumah ke hospital ye. Kalau camtu waktu tengah hari pun boleh balik sekejap untuk lunch, takyah pergi kantin 😛
Selamat Hari Raya KS =)
Reply
oho..ks mula keje b4 raye ea..kt wad medical lg…nape kte tidak brtemu ye..klu tau la mst sy cr ks..hehe
Reply
salam sarah,
selamat hari raya ke…20 ^^…
ok juga lah…ada juga berayanya kan…
wah…raya haji cuti lama ka? ^^
rumah sarah n sedara mara dekat-dekat eh?…
Reply
comelnya si iman.. 😛
selamat hari raya, sarah.. 😆
Reply
seronok lak tgk gmbr2 ks..
mcm ni upernya gaya dr raya ye..
Reply