Moscow Yang Cantik

Assalamualaikum wbt

Punyalah saya berkobar-kobar hendak menulis tengah malam tadi (maklum sajalah, dah dua hari perasaan nak menulis tu tak berapa muncul), tapi saya mengalami hosting problem sekejap. Disebabkan itu, kerja saya ialah membelek-belek gambar sepanjang musim cuti ini termasuklah aktiviti kami serumah semalam.

Selepas solat Asar sekitar 2.45 petang, Wanie dan Diba sudah bertolak dulu menuju ke Pejabat Dekan kerana hendak menyelesaikan urusan visa. Jadi kami semua berpakat untuk berjumpa di stesyen metro yang terdekat saja. Saya ada meminta tolong mereka menghantarkan buku kredit (buku rekod kelas dan peperiksaan) saya ke Bahagian Pelajar.

Tapi kemudian, Diba menelefon saya mengatakan bahawa Bahagian Pelajar tidak mahu menerima buku kredit saya kerana saya tidak memenuhi semua credit hours lagi. Saya kepelikan. Kelas pun tak pernah ponteng, exam pun tak pernah pending, macam mana boleh jadi begini. Terasa bengang juga tapi saya terus bersiap dan ke sana. Rupanya ada sedikit salah faham waktu itu. Bahagian Pelajar tersalah rupanya. Ikutkan hati, memang boleh semakin moody dengan apa yang terjadi (Ya lah. Kita tak salah tapi dipersalahkan pula) tapi disebabkan ayat akhir Elena tu, saya betul-betul rasa gembira.

Dipendekkan cerita, maka saya bersama Pena, Fatt, Wanie, Diba dan Mily pun terus ke Yiponskaya Kuhniya (Japanese Kitchen) di Okhodny Ryad (Center). Aktiviti makan-makan bermula. Kadar tukaran Ringgit ke Ruble sekarang ialah RM1 bersamaan 10 Rubles. Sangat menguntungkan kami. Kalau dulu nak makan diluar, kami semua akan berkira jugalah. Jadi kedekut sangat sebab selalu buat kami rasa tak berbaloi. Elok masak sendiri dan makan puas-puas di rumah. Tapi dengan rate Ringgit-Ruble yang setinggi ini, kami rasa lapang dada bila hendak membeli barang. Bak kata kawan, terasa macam orang kaya sekejap. Sekejap sajalah. Nanti krisis ekonomi berakhir, sakitlah semula kami di sini.

dd

Kemudian kami mengambil keputusan untuk berjalan-jalan di sekitar Center saja. Punyalah lama kami tidak masuk ke GUM, sebuah pusat beli-belah yang sangat berprestij di Moscow. Ya lah. Buat apa masuk pun kalau nak beli air pun buat kita berfikir 7-8 kali. Memang berprestij sungguh. Tapi kami masuk untuk berjalan-jalan saja dan menikmati hiasan dalaman bangunan itu yang sangat cantik. Konsep bangunan ini ialah bandar lama (premis-premis yang ada berbentuk tingkap dari laluan pengunjung dan bertingkat-tingkat siap dengan jambatan dan segalanya). Yang menjadikannya bukan bandar betul ialah kedudukannya di dalam bangunan. Tapi jika dilihat bumbungnya, penuh dengan lampu lip-lap gantung-gantung tu seperti yang kita rasai bila melalui depan bangunan Sultan Abdul Samad atau keadaan jalan raya ketika malam Merdeka.

cc

Kami keluar melalui pintu belakang GUM dan terus menuju ke St. Basil Cathedral yang terletak di laman Red Square. Walaupun suhu sangat sejuk semalam, tapi semangat kami untuk bergambar sakan tetaplah tidak luntur (ceh ayat!).

bb

Dan apabila telah sejuk sampai tak sanggup lagi hendak memegang kamera di tangan, tak sanggup lagi berjalan di atas muka bumi beratapkan langit (ceh lagi sekali), kami mengambil keputusan untuk singgah minum kopi panas di Coffee House di Manezh Underground Shopping Complex. Kali ini kami masuk ke bawah tanah pula. Kami berada di tingkat -3. Maksudnya, tingkat terdalam sekali di kompleks itu.

aa

Selesai minum kopi panas (macam orang tua saja bunyinya), kami pun pulang. Bila sampai di rumah, masing-masing sibuk membelek internet mahu mencari harga telefon yang mereka ada fikir-fikirkan untuk membuat perbandingan harga. Mana tidaknya! Jika dulu harga iPhone 8G di sini ialah 18000 Rubles (bersamaan RM2800) tapi sekarang dengan rate yang ada, harga 18000 Rubles itu maksudnya iPhone itu hanya RM1800 saja! Tapi saya bukan kaki kumpul gadget atau mengikuti perkembangan semasa. Cukuplah telefon saya ni boleh digunakan untuk menelefon dan menghantar mesej. Oh ya. Saya teruja tentang satu benda saja. Nokia N95 harganya hanya RM850 saja! Waiyoooo! Bulat mana melihatnya! Masya Allah. Ini memang murah Ya Rabbi ni. Ok ok. Kena mengucap banyak-banyak bila menyebut tentang benda-benda ni. Tak cukup iman, tak pasal-pasal nanti ada yang memiliki Sony Ericsson baru pula. Yang pasti, Nokia kita boikot.

Sampai di rumah, saya menerima bungkusan DHL kiriman emak ayah. Dapat kad hari lahir (cukup dah koleksi saya enam tahun di sini) beserta kad bank. Alhamdulillah. Terima kasih emak, ayah.

Kesemua kolaj gambar untuk entri kali ini adalah hasil susunan Wanie. Saya malas dan tak berseni dalam bab menyusun kolaj secantik ni. Wanie memang kreatif bab-bab ni. Kalau nak lihat lebih banyak gambar aktiviti kami sepanjang cuti musim sejuk 2009 ini, boleh baca di sini dan tengok di sini. Tapi yang terkahir ni ialah Rumah Hansel And Gretel yang saya janji-janjikan. St. Basil Cathedral dilitupi salji!

ee

Nota 1: Apa yang Bahagian Pelajar (Elena) di Pejabat Dekan katakan ialah: “Awak tu tunggu masa nak grad je dah”. Bagi saya ayat tu betul-betul menggembirakan saya! *menari mencucuk langit*

Nota 2: Saya sentiasa menyukai Moscow ketika musim sejuk. Terlalu cantik untuk mata saya. Nanti mesti saya akan merindui Moscow yang cantik ini.

9 Responses to “Moscow Yang Cantik”

  1. snm says on :

    Masya Allah Sarah..cantekkknyaaa..xde rezki ke sana..dpt tgk gmbar pun jadi laa 😀

    saya dh baygkan klu la Rumah Hensel n Gretel tu btol2 dr coklat, harus saya gigit2 patahkan di situ juga! :p

    Reply

  2. kak izzah says on :

    memang cantik! thanx for sharing with us! =)

    Reply

  3. alang says on :

    jeles sesangat yang amat teramat dgn angah…
    mesti rindu gler nnt bl dh blk m’sia..

    Reply

  4. chi am says on :

    cantik nya! *eh terbayang sarah berlalri mencucuk langit pulak 😛

    Reply

  5. diya says on :

    owh. cuma gambar last je dapat view. lain, masih tak muncul2. tapi, takpe. dah tgk kat blog wanie sblm KS post entri ni lagi. hehehe

    KS, N95 yang jenis mcm mana eh? yang flip ke atas ke?

    Reply

  6. Nurlulu says on :

    Betul kata SNM, masyallah cantiknya. Saya ni dah lama ikut perkembangan sarah, sampailah sarah tutup buku dan buka buku baru ( blog la sy maksudkan) huhu anyway, nikmatilah sepuas2nya saat dan waktu ketika di sana. Nanti dah balik, rindu rinduan pula. (^-*)

    Reply

  7. akak says on :

    memang cantik..amat cantik..cantik sungguh la..:)

    Reply

  8. haritz says on :

    Begitu cantik Russia sama seperti palestin. Rohaizad ada pge kat blog dia. Mmg cantik. Tak sanka Palestin ada tempat2 menarik camtu. Semua tu tinggall kenangan je skrg.

    Reply

  9. Yasir Tamizi says on :

    Ramai nya gambar gadis-gadis.
    Cantiknya. Cantiknya Moscow. Ha Ha.

    Reply

Leave a Reply