Jemputan Walimah

Assalamualaikum wbt

Semamangnya kami sekeluarga amat menantikan kehadiran bulan Disember. Akhirnya Disember tiba juga dan hari yang ditunggu-tunggu akan menjelma. Insya Allah, pada bulan ini sekali lagi keluarga kami akan bertambah ahlinya. 🙂

Pada hari esok, 11 Disember 2010, adik saya Adnan akan mendirikan rumah tangga bersama pasangan pilihannya, Farah. Mereka telah bertunang pada Mac lalu. Majlis akad nikah akan berlangsung di rumah farah di Ampang dan majlis resepsi akan berlangsung pada 12 Disember 2010 di Dewan Perdana Felda. Majlis di sebelah lelaki pula akan berlangsung pada 18 Disember ini di rumah kami di Temerloh.

Di kesempatan ini, saya mewakili keluarga berbesar hati untuk menjemput rakan-rakan pembaca yang berkesempatan untuk bertandang ke Temerloh pada 18 Disember ini untuk sama-sama meraikan pasangan Adnan dan Farah. Kalau waktu Kaklong kahwin saya saya tidak sempat hendak menjemput rakan-rakan semua, jadi kali ini, bagi sesiapa yang berdekatan, sudi-sudilah bertandang ya. 🙂

Hari semalam saya berkata kepada emak: Macam tak percaya je Nan nak kahwin dah. Teringat lagi dulu-dulu dia ganas sangat pergi rejam ayam lepas tu bakar buat macam ayam panggang. Siap ada hati lagi tu nak makan ayam tu. Adui. Gelak saja emak mendengar apa yang saya katakan. Dan saya pula terasa mata seperti sedikit bergenang. Saya ni kan sensitif orangnya. =p

Ya. Adik saya akan bergelar suami orang! Buat Nan, selamat memikul amanah dunia dan akhirat. Selamat mejadi imam yang memimpin dengan sebaiknya. Selamat pengantin baru Nan dan Farah!

Nota: Kaklong bertemu jodoh dengan kawan sekolah menengahnya. Nan pula bertemu jodoh dengan kawan seuniversitinya. Saya nanti dengan kawan sehospitalkah? :cool:

Posted on December 10th, 2010 by Sarah  |  41 Comments »

Kerana Manisnya Epal

Assalamualaikum wbt

Cuti saya untuk hujung minggu kali ini ditarik balik di saat-saat akhir. Kecewa sungguh saya pada hari Jumaat lepas setelah diberitahu tentang hal ini. Saya sudah berjanji untuk menghadiri majlis perkahwinan Fathiyyah dan Umair di Gombak.

Jadi saya nekad. Saya selesaikan semua kerja siap-siap pada hari Jumaat itu. Saya pulang ke rumah sekitar pukul 10 malam dan datang awal ke wad pagi tadi supaya saya dapat baik awal untuk terus bertolak ke KL. Pukul 12 tengahari, semuanya selesai. Saya singgah di rumah sekejap untuk menjemput sepupu saya, Linda, yang akan menemani saya ke KL dan kemudian terus bertolak.

Alhamdulliah. Sempat juga saya bertemu Fathiyyah dan Umair. Atau lebih tepat lagi, akhirnya bertemu juga saya dengan Fathiyyah secara empat mata. Boleh pula si pengantin comel ni menangis bila bertemu saya =) Thia, selamat pengantin baru. Ingat semua pesanan Umamah yang bijaksana itu ya =) Untuk Umair, jaga Thia baik-baik ya.

Dari KL, saya terus ke Shah Alam untuk menghantar Linda. Dia akan memulakan Masternya minggu depan. Juga hendak melawat Adi di sana. Geram jugalah tadi sebab sesat-sesat di Shah Alam ketika mencari rumah Adi. Tetapi, sebaik saja Adi tahu saya oncall pada hari esok, terus dia menawarkan untuk menghantar saya pulang ke Temerloh semula.

Selepas menghantar Linda ke rumah sewanya, kami bertolak pulang. Saya tertidur kepenatan di sepanjang perjalanan. Adi memandu sendirian. Saya hanya tersedar ketika kereta sedang menaiki bukit rumah.

Sebaik saja melangkah ke dalam bilik, saya terdengar bunyi cicak. Sudah seminggu cicak itu tak berbunyi. Saya terbaring di tepi handphone yang sedang dicaj.

Malam ini saya menangis sepenuh hati…

Posted on August 1st, 2010 by Sarah  |  52 Comments »

Walimah Nisa Dan Nabil

Assalamualaikum wbt

Sebelum saya kehabisan cuti, baiklah saya kemas kinikan juga cerita di majlis perkahwinan sepupu saya. Elok seminggu selepas majlis Kaklong dan Abang Hashim, sepupu saya pula melangsungkan perkahwinan di Seri Kembangan. Nisa dan Nabil. Nisa ini merupakan sepupu yang paling saya rapat di sebelah Pahang. Kami sebaya. Sejak kecil, kami berlumba dalam segala perkara terutamanya pelajaran. Semua benda mesti akan dibanding-bandingkan. Itu yang menjadi peransang untuk kami buktikan kami boleh buat yang terbaik untuk mengatasi antara satu sama lain. Tapi sudahnya, keputusan segala peperiksaan kami sentiasa sama saja dari UPSR sampailah ke SPM. Huhu.

Saya tidak bercuti penuh pada hujung minggu itu. Saya hanya dapat pelepasan untuk hari Ahad saja. Sebaik selepas habis oncall pada pagi Sabtu itu, saya terus bertolak ke Seri Kembangan. Nasib baik ada adik saya Adi. Dia yang memandu kereta dan saya hanya tidur saja. Mana tidaknya. Malam sebelumnya itu ketika oncall, saya tidak tidur walau sepicing pun.

Kisahnya, Nisa dan Nabil kedua-duanya merupakan graduan Perubatan UIAM Kuantan. Insya Allah kalau tiada aral, mereka berdua juga akan berkhidmat di Hospital Temerloh bersama saya. YEAY~ YEAY~ YEAY~ Gembira tak terkata saya bila saya dapat tahu akan hal ini pada malam semalam! Saya akan ada kawan baik yang terbaik! Taklah saya sunyi keseorangan lagi!

Di petang hari pernikahannya, saya berbual berdua dengan Nisa di dalam bilik. “Ngah menang dalam banyak aspek. Ngah graduate awal dari awak. Ngah kerja awal dari awak. Ngah earn gaji awal dari awak. Tapi Ngah kalah dalam satu aspek la. Awak dah kawin dah pun. Ngah entah bila la pulak.”

Kami tergelak saja dengan kesimpulan itu. Dalam hati, hanya Allah saja yang tahu. Sob sob sob.

Ok. Bersurai. Esok saya kerja.

Selamat pengantin baru Nisa dan Nabil!

Posted on June 30th, 2010 by Sarah  |  2 Comments »

Berita Gembira

Assalamualaikum wbt

Baru saja rasanya saya duduk berehat-rehat di rumah. Tiba-tiba, cuti dah habis. Tak puasnya lagi. Esok dah mula kerja semula. Tak puasnya! Kononnya saya berniat mulia hendak pulun membaca sepanjang lima hari bercuti ni. Sudahnya, sampai ke hari ini pun, satu buku pun saya tak buka. Langsung tak bersentuh pun. Tak kisahlah. Namapun cuti. Memang patut saya berehat puas-puas. Lantaklah apa nak jadi nanti.

Alhamdulillah, semalam adik saya Adnan selamat bertunang dengan Farah. Insya Allah majlisnya bulan Disember nanti. Meriah sungguh majlis di Ampang semalam. Rombongan lapan buah kereta dari pihak lelaki. Huhu.  Kedua-dua Tok sebelah Pahang dan Penang pun ada. Emak dan ayah pun nampak lega saja selepas selesai semuanya.

Dan sebelum itu, insya Allah Kaklong pula akan melangsungkan perkahwinan pada penghujung Mei ini. Selama ini saya simpan saja semua cerita ini. Buat apa kecoh-kecoh, kan. Hehe. Tapi sekarang kad sudahpun mula diedar. Jadi saya pun berkongsi berita gembira ini dengan semua. Kalau ada masa, saya ceritakan apa lagi persiapan yang telah dibuat oleh keluarga saya. Untungnya emak dan ayah. Menyambut dua orang menantu sekaligus tahun ni. Dan saya pun untung juga. Dapat seorang abang  dan adik ipar sekali harung tahun ni. Hehe.

Dan di majlis hari semalam, saya akhirnya bertemu muka dengan sahabat baik saya Acai (Faisal Rahim) yang saya kenal sejak tiga tahun lepas. Dialah Official Photographer (OP) untuk majlis tu. Mula-mula tu malu juga saya bila jumpa dengan dia ni. Tapi rupa-rupanya, Acai ni lagilah pemalu! Tak sabar nak tengok hasil gambar semalam.

Di sebelah petangnya pula, saya akhirnya telah berjumpa dengan sahabat saya Nadia (Nadia Yuna) yang selama ni hanya berhubung melalui internet dan telefon saja. Kami sudah berkawan baik sejak tiga tahun lepas tapi baru semalam berkesempatan untuk berjumpa.

Dan sekarang, saya kembali terperuk di dalam bilik saya sambil kusut memikirkan: Bila saya akan cuti lagi???????????

Nota 1: Menunggu VERSUS tiba di tangan. 😉

Nota 2: Terasa dah gemuk semula. Aduhai.

Posted on March 21st, 2010 by Sarah  |  11 Comments »

Berita Gembira

Assalamulaikum wbt

Diam tak diam, sudah dua minggu saya tidak mengemaskinikan blog. Terlalu banyak yang terjadi tetapi memang tiada masa hendak menghadap PC lama-lama. Ada tiga perkara yang sangat menggembirakan. Mari saya ceritakan satu persatu.

Pada 2 Januari yang lepas, saya bercuti sehari untuk berkumpul bersama ahli keluarga sebelah Pahang yang lain di Serdang. Ada majlis pertunangan seorang sepupu saya. Sudah lama tidak berkumpul beramai-ramai begitu. Raya Puasa dulu pun saya tidak sempat berkumpul sebgitu sekali dengan mereka semua.

Sebaik selesai majlis, saya bersama sepupu saya yang bertunang itu terus ke Bangi. Kami menghadiri majlis perkahwinan kawan kami. Selamat pengantin baru buat Liyana dan Shuhaimi. Liyana merupakan antara kawan yang saya rapat ketika di KISAS dulu. Kebetulan pula, Liyana dan sepupu saya ini sama-sama menyambung dalam bidang perubatan di UIA Kuantan. Dan Alhamdulillah, saya sempat bertemu dengan ramai kawan lama ex-KISAS. Tidak berjanji pun tapi kebetulan semuanya datang serentak pada masa yang sama. Errr… Ada yang sudah tidak cam langsung saya. Katanya, saya terlalu kurus. Auwww. Dengan berkahwinnya Liyana, habislah ketiga-tiga orang kawan baik saya sudah berkahwin. Faaiqah, Hidayah dan Liyana. Wahai kawan-kawan, doakanlah saya pulak ye. Hohoho.

Apa yang membuatkan saya terlalu sibuk sejak kebelakangan ini ialah final assessment saya untuk posting ini. Siapa sangka, diam tak diam, sudah empat bulan saya bekerja. Dan yang paling penting, saya sudah tamat Medical posting saya dengan jayanya! Saya tidak kena extend! Yeay lagi sekali. Saya berjaya buat yang terbaik sewaktu viva dengan specialists dan Timbalan Pengarah Hospital minggu lepas. Yeay lagi dan lagi!

\(^____^)/

Kalau orang lain sedang berdebar-debar takut untuk menghadapi susah-payah posting ini, saya sekarang sudah sangat berlapang dada, senang hati. Saya sudah melepasi posting yang terberat di hospital saya. Selepas ini, saya akan ke Orthopedic pula. Walaupun ketika dalam posting ini saya berdepan dengan kerenah beberapa orang kawan yang  tidak adil, tetapi pada masa yang sama saya dikurniakan kawan-kawan yang sangat baik. Terutamanya teamwork yang terbaik ketika bersama Dr. SD dan Dr. LMK juga dua orang kawan terbaik yang saya ada, Michele dan Fahmi. Di Orthopedic nanti, saya masih lagi bersama Michele. Yeay!

Dan saya juga sangat gembira atas pertemuan pada 3 Januari lalu. Menyesal saya menghilangkan diri selama empat tahun ini. Sangat menyesal. Semoga Allah permudahkan saya untuk menebus kesilapan dulu.

Nota 1: Saya bertemu Ikhuwan junior di Moscow dulu baru-baru ini. Kebetulan dia ada urusan di Hospital Temerloh. Asyik makan saja kerjanya bila keluar dengannya. Rasa macam dah buncit dah ni. :mrgreen:

Nota 2: Rasa macam nak ke Melaka saja. 🙂

Posted on January 15th, 2010 by Sarah  |  14 Comments »