Assalamualaikum wbt
Sehingga tengahari tadi, badan saya berbau kambing. Bukan kerana tiba-tiba saja keluarga saya ada menternak kambing di belakang rumah tetapi kerana saya tidak mandi-mandi lagi sejak hari semalam menguruskan kawasan belakang rumah saya.
Semalam, sebaik sampai dari Penang, rumput di keliling rumah baru saja dipotong. Jadi, selesai Asar, saya memulakan operasi mencakar rumput di sekeliling rumah. Tapi sebelum Maghrib, halaman belakang yang kedua (adeh, tak reti nak cerita, rumah saya ada dua halaman belakang) masih belum sempat saya sudahkan.
Jadi malam tadi saya berniat. Hari ini tidak boleh online di waktu pagi. Kena jauhi internet. Jadi sebaik emak, ayah dan adik-adik meninggalkan rumah pagi tadi, saya terus mengemas rumah, sarapan nasi lemak yang emak masak dan terus saya bekerja di luar rumah semula.
Matahari sudah meninggi, barulah selesai semuanya. Dan tangan saya melepuh-lepuh. Tolong! Tolong! Kambing ini melepuh tangannya. Kasihan dia. Eh, kambing ada tangankah?
Kalau ikutkan hati saya, saya hendak robohkan rumah arnab yang terletak di sudut belakang halaman ni. Sudah tiada arnab pun. Apa kata kalau digantikan dengan kandang untuk dua ekor kambing. Berjasa juga kalau memelihara kambing. Rumput keliling rumah takkan panjang-panjang punyalah. Cumanya, siapa nak bersihkan tahi kambing tu nanti ye. Huhu. Dan saya khuatir kalau ayah saya membaca cadangan ini. Saya takut kalau-kalau dia teruja dan merealisasikan idea memelihara kambing ni. Mati saya, siapa nak jaga nanti. Pagi-pagi saya seorang saja yang ada di rumah ni.
Kalau perasan, dalam gambar di bawah ini ada dua buah beg plastik besar di hujung sana halaman. Sebenarnya, emak saya ni mengamalkan budaya kitar semula dengan tegarnya. Katanya, di sekolah kita ajar budak-budak supaya membudayakan kitar semula. Jadi kita sendiri pun kenalah buat. Jadi dalam plastik tu ada barang plastik dan aluminium yang diasingkan yang menunggu masa saja untuk diambil oleh orang kutip barang kitar semula ni. Kalau sayalah, tin susu manis ke, botol kicap ke, semuanya saya buang dalam plastik sampah yang sama dan hantar ke tong sampah. Saya kira, nanti ada la yang asing-asingkan bahan-bahan ini. Nampak gayanya, kesedaran sivik saya masih rendah. Tiba-tiba insaf dan rasa sayangkan bumi menggunung tinggi. Jadi, mari contohi emak saya. Budayakan amalan kitar semula. Sayangi bumi kita.

Sepanjang bekerja di luar rumah tadi, dua ekor kucing inilah yang menemani saya. Maka saya pun berborak-boraklah dengan mereka. Kambing berborak dengan kucing menggunakan bahasa manusia. Hahaha.

Sekarang, kedua-dua halaman belakang ni sudah bersih dari sebarang rumput panjang. Siapa-siapa yang teringin nak bergolek sakan, dijemput datang ke halaman belakang rumah saya. Hehehe.

Ha, Kaklong, Nan, Adi dan semua cucu Tok Lebak, silalah tatap rambutan ni puas-puas. Jangan risau. Ni gambar rambutan kebun sebelah. Bukan rambutan Tok. Rambutan Tok ada banyak sangat lagi. Balik cepat sebelum puasa ok. Kita balun sama-sama.
Nota 1: Ada sesiapa perlukan tukang kebun? Hehe. Upah boleh dirunding. 
Nota 2: Selamat bergraduasi untuk kembar saya si Salman Faris! Yeay! Kita dah tamat belajar!