Kisah Empat Bulan

Assalamualaikum wbt

Lamanya tak menulis di sini. Terasa kosong otak bila hendak mula menulis. Mungkin sebab penat masih belum hilang. Mungkin sebab mengantuk. Mungkin juga sebab sudah terlalu banyak cerita yang tertangguh, jadi sekarang sudah tidak rasa teruja hendak berkongsi di sini. Entahlah. Tapi saya rasa alasan paling tepat kerana saya sangat sibuk.

Nak dipendekkan cerita, cerita untuk tempoh empat bulan yang pernah saya sebutkan tu saya rangkumkan dalam tiga perenggan sajalah ya. Alhamdulillah. Saya sudah sebulan selesai menamatkan posting Orthopedic saya. Nampaknya, jiwa saya bukan ke arah tulang belulang ni. Saya memang sama sekali tak berminat. Jiwa saya tak terasa berada di situ. Huhu. Orthopedic memang santai. Pergi tidaklah seawal mana. Hari yang tidak oncall, pukul lima sudah boleh pulang. Kalau oncall pun, keadaannya tidaklah sedahsyat ketika saya di Medical dulu. Terlalu banyak bezanya. Dah saya menyudahi posting saya kali ini tanpa perlu membuat pembentangan di CME. Iya-iya saja saya bersungguh-sungguh menyiapkan slide saya dengan sebaiknya. Siap tak cukup tidur. Tapi sudahnya bos saya hanya menyuruh saya meninggalkan slide itu di PC di wad saja. Untungnya nasib. Huhu.

Dalam tempoh empat bulan itu juga, saya terlepas untuk membuat entri hari lahir buat adik-adik saya yang tidak pernah saya lupa untuk sediakan entri khas untuk mereka sebelum ini. Kekangan masa. Minta maaf Azizi dan Aiman. Saya juga terlepas hari lahir ayah dan emak. Apapun, mereka tahu saya sayang mereka dengan sangat.

Dan dalam tempoh empat bulan ini juga, keluarga saya telah menerima seorang ahli keluarga yang baru. Alhamdulillah. Kaklong telah selamat berkahwin dengan Abang Hashim. Untuk cerita kenduri Kaklong, tunggu entri seterusnyalah ya. Saya tiba-tiba sudah menguap. Petanda entri terpaksa diberhentikan secara tiba-tiba sekali lagi.

Kenapa saya cepat sangat mengantuk sekarang ni? Sebab, saya kini berada di Jabatan Pediatrik. Hari-hari hidup saya bersama bayi-bayi yang comel dan gebu. Dan saya sedang menjalani oncall secara selang sehari.

Ya Rabbi… Sangat memenatkan. Dan penuh dengan tekanan.

Sehingga saya tanpa sengaja telah mengabaikan insan-insan penting dalam hidup saya. Hmm. Ni dah menguap-menguap ni, ada potensi tertidur di tepi laptop lagi ni. Kasihan dia untuk kesekian kalinya.

Nota: Dan saya sangat suka dengan perkembangan dalam tempoh empat bulan ini. ;-)

Posted on June 14th, 2010 by Sarah  |  5 Comments »

Kononnya…

Assalamualaikum wbt

Dengan bersemangat, saya berhajat hendak menulis panjang pada malam ini. Tapi tiba-tiba pula menguap. Mengantuk dah datang. Kita sambung cerita hari esok sajalah ya.

Esok, kita buat cerita panjang rangkuman kisah empat bulan. Macam-macam rasanya yang hendak saya cerita. Tapi serius memang tak boleh tulis malam ni. Mengantuk sangat dah ni.

Selamat malam semua.

🙂

Posted on May 13th, 2010 by Sarah  |  13 Comments »

Sweet 17

Assalamualaikum wbt

Sudah tujuh belas tahun berlalu. Alhamdulillah saya masih mengingati setiap inci ceritanya dengan jelas. Mungkin Allah memang mahu saya mengingatinya supaya saya sentiasa memperbaharui rasa syukur saya seacapnya.

Setiap 1 Mei akan saya kenangi sebagai hari lahir kedua saya. Dan 1 Mei juga mengimbau kenangan setahun lalu ketika saya bersama-sama teman-teman terbaik saya di Moscow keluar bersama-sama.

1 Mei penuh memori. 1 Mei untuk diinsafi. 1 Mei juga untuk disyukuri.

Selamat ulangtahun yang ke-17, Sarah. You’re just a sweet 17. ;-)

Nota : 1 Mei Hari Pekerja. Dan pada 1 Mei saya bekerja. Ish…

Posted on May 1st, 2010 by Sarah  |  7 Comments »

Berita Gembira

Assalamualaikum wbt

Baru saja rasanya saya duduk berehat-rehat di rumah. Tiba-tiba, cuti dah habis. Tak puasnya lagi. Esok dah mula kerja semula. Tak puasnya! Kononnya saya berniat mulia hendak pulun membaca sepanjang lima hari bercuti ni. Sudahnya, sampai ke hari ini pun, satu buku pun saya tak buka. Langsung tak bersentuh pun. Tak kisahlah. Namapun cuti. Memang patut saya berehat puas-puas. Lantaklah apa nak jadi nanti.

Alhamdulillah, semalam adik saya Adnan selamat bertunang dengan Farah. Insya Allah majlisnya bulan Disember nanti. Meriah sungguh majlis di Ampang semalam. Rombongan lapan buah kereta dari pihak lelaki. Huhu.  Kedua-dua Tok sebelah Pahang dan Penang pun ada. Emak dan ayah pun nampak lega saja selepas selesai semuanya.

Dan sebelum itu, insya Allah Kaklong pula akan melangsungkan perkahwinan pada penghujung Mei ini. Selama ini saya simpan saja semua cerita ini. Buat apa kecoh-kecoh, kan. Hehe. Tapi sekarang kad sudahpun mula diedar. Jadi saya pun berkongsi berita gembira ini dengan semua. Kalau ada masa, saya ceritakan apa lagi persiapan yang telah dibuat oleh keluarga saya. Untungnya emak dan ayah. Menyambut dua orang menantu sekaligus tahun ni. Dan saya pun untung juga. Dapat seorang abang  dan adik ipar sekali harung tahun ni. Hehe.

Dan di majlis hari semalam, saya akhirnya bertemu muka dengan sahabat baik saya Acai (Faisal Rahim) yang saya kenal sejak tiga tahun lepas. Dialah Official Photographer (OP) untuk majlis tu. Mula-mula tu malu juga saya bila jumpa dengan dia ni. Tapi rupa-rupanya, Acai ni lagilah pemalu! Tak sabar nak tengok hasil gambar semalam.

Di sebelah petangnya pula, saya akhirnya telah berjumpa dengan sahabat saya Nadia (Nadia Yuna) yang selama ni hanya berhubung melalui internet dan telefon saja. Kami sudah berkawan baik sejak tiga tahun lepas tapi baru semalam berkesempatan untuk berjumpa.

Dan sekarang, saya kembali terperuk di dalam bilik saya sambil kusut memikirkan: Bila saya akan cuti lagi???????????

Nota 1: Menunggu VERSUS tiba di tangan. 😉

Nota 2: Terasa dah gemuk semula. Aduhai.

Posted on March 21st, 2010 by Sarah  |  11 Comments »

Sesat Dan Tenggelam

Assalamualaikum wbt

Saya rasa seperti tenggelam dalam dunia sendiri. Semua yang saya lakukan seperti terkepung antara saya dan dinding ruang lingkup kehidupan saya. Tidak terkeluar sedikit pun daripada ruang itu.

Kalau pergi kerja, ulang-alik di jalan yang sama. Tidak perlu masuk bandar pun. Isi minyak kereta pun di stesyen minyak antara rumah saya dan hospital. Di hospital pula, ruang lingkup saya meliputi kerja-kerja di wad dan klinik. Kadang-kadang, kalau ada mood, saya turun makan di kafe. Kalau tiada mood, saya lebih sanggup balik makan di rumah saja selepas habis kerja di waktu petang. Kerja saya sama saja setiap hari. Dan saya rasa usaha saya untuk memantapkan semula ilmu neuroanatomy saya seperti melepas batuk di tangga saja. Kalau dulu, saya sentiasa cuba untuk memberikan impresi yang baik kepada pakar. Tapi kali ini, saya tahu, mesti pakar kecewa kalau ada soalan-soalan yang tidak berjaya dijawab oleh saya.

Alasan saya cuma satu. Saya rasa sesat dalam dunia sendiri. Serba tidak kena. Sekarang ini saya sangat tidak sabar menantikan hari Rabu tiba. Saya mengambil cuti yang agak panjang untuk menguruskan hal keluarga dan untuk mengecaj kembali semangat dan prestasi diri.

Harap-harap, cuti ini nanti membawa perubahan dalam diri saya. Saya mahu menjadi saya yang dulu.

Rabbi yassir wala tu’assir.

Nota 1: Saya terasa jauh dengan segalanya. Lebih-lebih lagi dalam situasi sekarang ni.

Nota 2: Saya tahu ada seorang rakan sekerja saya membaca blog saya. Saya harap awak simpan cerita-cerita di sini antara kita saja ye.

Posted on March 14th, 2010 by Sarah  |  11 Comments »