Duit, Infaq Dan Nikah

Assalamualaikum wbt

Tiba-tiba saya teringat suatu insiden di kafe hospital lebih kurang sebulan lebih yang lalu. Ketika itu saya masih di Jabatan O&G. Saya masih lagi bersama Nisa, sepupu saya, di wad antenatal. Jika Nisa ada masa, dia yang akan turun membelikan makanan tengahari untuk saya. Sekiranya dia oncall dan saya pula yang berpeluang turun ke kafe, saya akan membelikan untuknya pula.

Jadi pada suatu hari itu, saya tidak oncall, Nisa oncall dan kami sama-sama kelaparan. Saya menawarkan diri untuk turun ke kafe membelikan makanan untuknya. Seperti biasa, rutin air kami adalah sama. Nescafe ais. Saya memilih sejenis lauk untuknya dan sejenis sayur. Begitu juga saya. Saya bajet, harganya sekitar RM7.50 saja. Tiada masalah tu. Insya Allah memang cukup duit yang saya ada dalam poket. Oh ya. Saya jenis yang tidak membawa dompet ke hospital. Maksud saya, saya tidak akan mengusung dompet di dalam beg mahupun poket sebab sudah serik dicuri orang tahun 2009 dulu. Jadi, saya lagi selesa membawa sejumlah wang yang secukupnya saja di dalam poket. Biasanya kalau saya bawa RM10 di dalam poket, saya boleh bertahan selama tiga hari.

Begitu juga kesnya dengan hari itu. Saya yakin pada hari sebelumnya itu, saya ada memasukkan RM10 ke dalam poket. Jadi sebaik saja sampai di kaunter, harga makanan yang saya beli ialah RM7.50. Saya menyeluk poket. Alamak! Yang ada hanyalah helaian duit seringgit dan beberapa keping duit syiling saja. Terkial-kial saya mengira helai demi helai duit yang ada. Dan jumlah yang saya dapat ialah RM7 sahaja. Sebenarnya orang kafe itu sudah kata tidak mengapalah jika saya tidak cukup duit dulu kerana saya agak rapat dengannya. Tapi saya segan untuk berhutang dengan pihak kafe. Tiba-tiba, orang seterusnya yang beratur di sebelah saya untuk membayar di kaunter itu menegur:

“Eh, Kak Sarah! Takpe. Nah guna duit saya dulu. Tak cukup 50 sen ye?”

Ooo. Rupa-rupanya, itu adalah junior saya ketika bersekolah di Al-Mukmin dulu. Najwa namanya. Kakaknya merupakan rakan sekelas saya sehingga tamat darjah 6 dan tiga tahun bersama-sama di Al-Khairiah. Najwa sedang menjalani latihan praktikal Dietitian di Hospital Temerloh.

“Alamak. Terima kasih banyak-banyak ye, Najwa. Tak sangka jumpa kamu kat kafe ni.”

Begitulah kisahnya. Kesimpulannya, doktor ni bukannya banyak duit pun. Huhu. Cuba tengok saya. Duit pun tak cukup nak bayar makanan di kafe. Cemas-cemas lagi nak kena berhutang dengan orang kafe. Insiden ni sebenarnya mengetuk hati saya seketika. Baru saya tersedar. Allah nak bagi peringatan pada saya, sudah membersihkan harta dengan berinfaq ke belum. Sama ada sedar atau tak, selain zakat, infaq juga merupakan cara kita membersihkan harta, hati dan nafsu kita. Dan yang paling jelas maksudnya, infaq ni dapat membantu meringankan beban saudara seagama kita. Inilah salah satu sumbangan kita di jalan dakwah.

Sebelum berpisah dengan Najwa, dia bertanya:

“Eh, Kak Sarah dah nak kawin ye?”

Saya tersenyum padanya.

“Insya Allah. Jemput datang bulan tiga nanti ye.”

Iya. Insya Allah, saya akan mendirikan rumah tangga kurang sebulan dari sekarang. Kita cerita-cerita di lain entri ya. Mohon didoakan semuanya berjalan lancar ya =)

Nota: Asyik stress je saya di Surgical ni. Oncall selang sehari. Habis hilang seri muka. :mrgreen:

Posted on February 15th, 2011 by Sarah  |  37 Comments »

Amal Dan Niat

Assalamualaikum wbt

“Daripada Umar R.A katanya, Rasulullah S.A.W telah bersabda: Sesungguhnya tiap-tiap suatu perkara itu bergantung kepada niat. Bagi seseorang itu apa yang telah diniatkannya. Jika hijrahnya adalah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya adalah kerana Allah dan Rasul-Nya. Jika hijrahnya adalah kerana dunia atau kerana wanita yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya adalah berdasarkan apa yang diniatkannya.”

2010 akan berlalu. Sekejap sungguh saya rasakan tahun ini. Memang seperti sebulan sahaja tempohnya. Biasanya saya memasang niat dan azam setiap kali Maal Hijrah dan hanya azam-azam berbentuk kerjaya dan perancangan peribadi yang saya tetapkan mengikut kalendar Masihi. Tapi disebabkan memang tidak sempat hendak menulis ketika Maal Hijrah yang lalu, saya rangkumkan muhasabah diri 2010 di sini beserta niat dan azam untuk 1432 Hijrah dan 2011. Semoga Allah redha.

Alhamdulillah, dari segi kerjaya, saya semakin stabil. Saya akui masih ada kekurangan di beberapa aspek tapi secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan pencapaian saya pada tahun ini. Sepanjang 2010, saya sempat berada di Jabatan Orthopedic, Paediatric dan O&G. Orthopedic bukanlah bidang pilihan saya. Memang tak minatlah. Tapi saya bersyukur sebab telah melaluinya dengan, saya kira, agak baik. Cuma mungkin bidang tugasnya tidak sesuai untuk yang saya bertubuh kecil, saya tidak terfikir hendak menyambung dalam bidang ini. Saya masih teringat pengalaman oncall dan membuat prosedur Above Knee Amputation (AKA) untuk seorang pesakit yang beratnya 125 kg. Sebaiknya kakinya diputuskan di bahagian peha dan saya perlu mengangkat bahagian yang telah dipotong itu untuk diletakkan ke tepi, masya Allah. Senak saya dibuatnya. Berat Ya Rabbi. Hampir-hampir saja bahagian itu terlepas daripada tangan saya kerana terlalu berat. Saya rasa beratnya lagi sikit hampir menyamai berat saya. Saya rasa mesti berkerut muka saya ketika itu.Saya harap selepas ini saya tidak perlu melalui pengalaman sebegitu lagi. :roll:

Jabatan Paediatric pula sangat memenatkan. Menguji ketahanan mental dan fizikal. Pernah dalam sebulan tu saya oncall sebanyak 13 kali. Maksudnya apa? Iya. Setiap selang sehari saya oncall. Emak kata, rumah ini ibarat hotel saja untuk saya. Saya hanya sempat pulang untuk mandi, tidur, keesokan paginya bangun, mandi, keluarkan baju kotor daripada beg oncall, pergi kerja dan oncall, esoknya balik rumah sudah senja, penat, kemudian tidur, dan berulanglah kitaran hidup saya selama sebulan. Itu sekitar bulan Julai kalau tidak silap. Ditambah pula hati sedang bermujahadah, terasa sangat hebat ujian waktu itu. Terasa masa berlalu dengan sangat lambat.

Di Jabatan O&G pula, saya rasakan ketenangan. Mungkin kerana ini bidang yang saya minat. Minat sangat. Walau oncall sibuk yang teramat sangat pun saya tidak kisah kerana saya minat dengan bidang kerja saya. Tapi apakan daya. Kalau kita minat separuh mati sekalipun tapi orang tak nampak minat dan kesungguhan kita ni, tak ke mana juga, kan. Tiba-tiba teringat pengisian usrah beberapa minggu lepas. Topik yang dibincangkan: Allah tak pandang hasilnya. Allah pandang pada usaha kita. Ok. Muhasabah diri semula. Apapun juga nilaian orang terhadap saya, saya dah jadi tak kisah. Yang penting, saya dah usaha yang sebaik mungkin. Walaupun saya agak stress dalam menghadapi hari-hari terakhir di jabatan ini, tapi saya bersyukur kerana walaupun saya masih seorang HO, tapi saya sudah dua kali berpeluang membuat Caesarean Section sepenuhnya dengan dipantau oleh MO saya! Dari skin incision sampailah ke skin closure. Alhamdulillah! Kenapa MO saya bagi saya peluang ini walaupun sebenarnya ini bidang tugas seorang MO? Kerana MO saya tahu saya berniat untuk menyambung dalam O&G. Amin. Semoga dipermudahkan!

Cukup refleksi tentang kerja. Sedikit refleksi tentang keluarga. Alhamdulillah, dalam tahun ini emak dan ayah telah menerima dua orang menantu. Kaklong telahpun mendirikan rumah tangga dengan Abang Hashim di penghujung Mei lalu dan Nan pula baru saja mendirikan rumah tangga dengan Farah di pertengahan Desimber baru-baru ini. Dua rezeki besar untuk keluarga. Saya bersyukur saya tinggal bersama emak ayah di rumah. Setidak-tidaknya, saya dapat meringankan beban mereka, terutamanya emak, ketika hendak membuat persiapan kenduri. Faham-faham sajalah bagaimana persiapan kenduri dijalankan, kan. Saya masih ingat ketika menyiapkan bunga telur untuk majlis Kaklong. Saya membuat bunga telur dan goodie bag di dalam bilik saya. Datang seorang tetangga ke rumah saya kira-kira seminggu sebelum majlis. Dia menjengah ke bilik saya. Tanyanya: Ini ke pengantinnya? Ok. Saya faham, makcik. Makcik tersalah anggap saja. T____T Mentang-mentanglah segala bunga telur dengan pahar-paharnya ada di bilik saya dan penuh dengan goodie bag semua tu, dia ingat saya pula pengantinya. Bukan sekali dua orang ingat begitu. Tapi tak apalah. Yang saya terasa hati ialah apabila ada yang menyangka saya ini kakak kepada Kaklong dan dilabel sebagai “kakak pengantin ni doktor, dia tak kawin lagi” oleh beberapa orang. Mungkin ramai. Lantaklah. Bukan isu besar. Kan saya dah kata, berkahwin bukan dalam agenda saya untuk tahun 2010. Hehe. Tapi sungguh. Saya seronok dapat memudahkan kerja-kerja persiapan perkahwinan Kaklong dan Nan. Oh. Kalau saya kahwin nanti, agak-agak mereka ada masa tak nak tolong saya pula? Entah-entah dua-dua sudah sangat sibuk dengan anak-anak. Hehe. Ok. Tinggalkan topik ini. =)

Jadi, kesimpulannya, untuk tahun 2010 ini, saya memanjatkan syukur ke hadrat Allah. Sekali lagi, Allah makbulkan segala niat, azam dan target saya. Alhamdulillah. Saya berniat mahu buat yang terbaik dalam kerjaya, dipermudahkan untuk melalui ujian dan susah payah sepanjang zaman HO ini, semakin stabil ekonomi dan juga emosi, solat seawal yang boleh walau sedang sibuk yang macam mana sekalipun dan juga belajar untuk kembali membuka hati. Semuanya Allah makbulkan. Kurnia-Mu sungguh di luar jangkauan.

Jadi, untuk tahun 2011 dan 1432 Hijrah ini, saya tidak mahu meletakkan target yang terlalu tinggi. Cukup sekadar lebih baik daripada tahun 2010. Atau dalam erti kata lainnya, naik setapak lagi. Saya berdoa agar dapat menamatkan housemanship saya dengan baik tepat pada masanya September nanti sekaligus dapat bertukar status daripada seorang HO kepada seorang MO. Dan kalau diizinkan-Nya, saya berharap agar dapat dipindahkan ke hospital sekitar Selangor atau Kuala Lumpur. Kenapa? Itu kita cerita kemudian ya =) Saya berharap jalan saya dipermudahkan untuk menyambung dalam bidang yang saya minati.

Kalau tahun lepas, saya berniat agar dapat solat di awal waktu walau sibuk yang macam mana sekalipun, tahun ni saya mahu naik tarafkan lagi. Kalau boleh bukan sekadar menjaga waktu solat, tapi saya mahu amalan ma’thurat saya istiqamah setiap hari. Malu saya nak mengaku. Sepanjang tahun ni, seminggu tu cuma 3 ke 4 hari saja saya berjaya menamatkan ma’thurat dengan sempurna. Itupun atas sebab hafalan. Kalau tak hafal, entah-entah tak baca langsung saya dibuatnya. Tapi macam mana ya nak menyempatkan diri. Kadang-kadang solat Asar pun terkejar-kejar sebab ada kes-kes menanti. Hmm. Orang malas banyak beralasan, Sarah. Ok ok. Kita kena cuba. Perkara yang dilazimkan di mulut lama kelamaan akan menjadi fasih dan satu kebiasaan, kan.

Seperkara lagi, saya mahu hati saya tetap dan istiqamah dengan usrah dan tarbiah. Tak boleh pandang remeh perkara ni. Dari zaman masih bergelar pelajar lagi saya selalu ingatkan diri saya tentang hal ini. Usrah ni sumber kekuatan dan keluarbiasaan untuk diri saya. Kalau saya down, lepas tu dapat berkumpul dengan teman-teman seusrah, saya rasa semangat saya naik dua kali ganda. Yang sedih-sedih semuanya hilang. Yang kuat-kuat dan bertenaga saja menjadi teman saya pulang. Ini untungnya berusrah. Tak kiralah dulu atau sekarang. Saya rasakan ‘zuuup’ dan nikmat yang sama. Ya Allah. Jangan Kau tarik nikmat hidup dipimpin tarbiah ini. =)

Kalau tahun 2009 dulu menjadi pemisah antara saya yang remaja dan dewasa, saya sifatkan 2010 sebagai tahun yang lebih mematangkan saya sebagai seorang dewasa. Bukan semua orang dewasa itu matang, setuju tak? =)

Dan kalau untuk tahun 2010 saya berdoa supaya dapat belajar untuk membuka hati, boleh tak kalau untuk tahun 2011 ni saya berdoa semoga dapat bergelar isteri? Hehe. No comment. Daa~ ;-)

Selamat tahun baru 1432 Hijrah dan 2011 Masihi.

Nota 1: Ada beberapa azam lagi terpaksa saya pendamkan dulu. Mungkin nanti saya akan coretkan juga. ;-)

Nota 2: Ada banyak tarikh-tarikh penting dalam hidup saya berlaku sepanjang 2010. Terima kasih Ya Allah kerana Kau permudahkan. :smile:

Nota 3: Saya ada satu azam untuk tahun 2012 dah ni. Hebat tak. :mrgreen: Tapi kena realisasikan salah satu daripada azam 2011 ni dulu. Hehe~

Nota 4: Insya Allah ada beberapa perkhabaran yang akan saya update kan untuk sahabat-sahabat semua di sepanjang tahun 2011 ini. Stay tuned~

Stay tuned fi sabilillah~

Posted on December 31st, 2010 by Sarah  |  30 Comments »

Hanya Impi Dalam Mimpi

Assalamualaikum wbt

Saya tak pasti virus apa yang berleluasa kini tapi yang pasti, sejak tiga hari lepas, andai saja saya ada masa terluang ketika menghadap laptop, saya akan membuat tiga perkara ini:

1) Melihat-lihat gambar kahwin orang lain. Serius tak ada kerja betul saya ni. Yang cantik-cantik tu akan buat saya tersenyumlah. Lepas itu, boleh pula mengomen itu ini seorang diri pada apa-apa yang tidak kena pada pandangan mata saya. Solekan tak comellah. Baju ketat sangatlah. Hihi.

2) Membelek set-set pelamin yang menjadi pilihan ramai pada masa kini. Kebanyakannya jenis panel. Sanggup tu saya meninjau dari satu website ke website yang lain. Bukan hendak buat apapun. Tengok saja. Lepas tu teruja seorang diri. Lepas tu macam ada sedikit berangan-berangan. Kalau boleh mahu pelamin yang macam buaian. Ngeeee~

3) Melihat hiasan hantaran kahwin dan barang-barang yang biasa dijadikan pilihan hantaran dewasa kini. Ini agak subjektif sebenarnya. Sebab citarasa semua orang adalah berbeza. Ada yang suka hantaran yang kompleks. Yang sarat gubahannya. Kalau saya, saya suka yang ringkas. Cukup sekadar ada bunga segar sebagai hiasan pada setiap dulang itu. Boleh begitu? Barang hantaran pun satu hal lagi. Set minyak wangi, kasut, beg tangan semua tu adalah terlalu biasa dan saya tak pakai semua tu. Boleh tak kalau dibuat kelainan dengan memberikan/diberikan iPhone4 ke, Canon EOS 7D ke. Tapi untuk saya, cukuplah sekiranya diberikan sebuah stethoscope Littmann berwarna UNGU. I mind you. Ungu tu. Mana nak cari =p Paling tidak pun, sehelai jubah hitam bersulam benang silver di lengan SAIZ SAYA. I mind you sekali lagi. Mana nak cari saiz saya ni. =p

Dan bila saya fikir-fikir semula, buat apa saya buang masa melihat semua ni. Bukannya nak kahwin pun lagi. Serius buang masa, kamu tahu. Sebab semuanya cantik-cantik dan akan mendatangkan rasa keterujaan yang tinggi di lubuk sanubari.

Disebabkan sangat acap melihat gambar kahwin, mimpi di malam hari pun terbawa-bawa segala keterujaan ini.

“White-cream… Simple yet very sweet.”

Posted on July 9th, 2010 by Sarah  |  21 Comments »

Sunyi

Assalamualaikum wbt

Di saat ini tengah rasa sunyi yang teramat sunyi. Apa mahu buat? Hidup pun serba-serbi keseorangan. Sunyinya. Hmm. Cuti empat hari ni nak buat apa kalau dah seorang diri kan. Kita layan pokok bunga sajalah. Bunga ros pun sedang berputik dan ada yang dah mula berkembang. Ironinya hidup. Cuti dalam sunyi. Sunyi dalam cuti.

Hmm. Nanti malam nak kemaskinikan blog lagilah. Kembali ke asal. Blog peneman duka-lara.

T_____________________T

Posted on July 8th, 2010 by Sarah  |  5 Comments »

Dua Hari Tanpa Tekanan

Assalamualaikum wbt

Sejak hari Sabtu lepas saya sudah mula demam. Tapi digagahkan juga diri untuk bekerja. Sehinggalah hari ini. Sakit-sakit badan, batuk, selesema, semuanya ada. Saya mendapat MC dua hari dan disuruh oleh specialist saya untuk berehat di rumah agar tidak menjangkiti bayi-bayi di wad.

Jadi, apa yang saya lakukan sepanjang hari ini ialah terbaring di bilik, tidur, bangun untuk makan ubat dan kemudian menyambung tidur kembali. Memang ini rehat habis-habisan namanya. Kalau sebelum ini saya menjalani oncall secara selang sehari sampai ada yang naik merajuk dah dengan kesibukan saya yang payah benar melekat di rumah, akhirnya saya betul-betul diberikan rehat yang memang memuaskan hati. Harapnya bulan Julai nanti takkan sesibuk ini lagi.

Tetapi, dalam pada saya sangat sibuk di jabatan ini, saya rasa segalanya serasi dengan jiwa saya. Cuma, apa yang membengangkan ialah apabila terpaksa oncall dengan orang yang kita tidak suka untuk oncall bersama mereka. Maaf saya katakan. Saya menjadi sedikit ‘pilih bulu’ sekarang ini. Semuanya kerana ada satu kaum di jabatan saya ni yang sangat bersifat perkauman dan menjaga kepentingan para doktor sesama kaum mereka saja yang sememangnya berjumlah hampir 2/3 daripada jumlah doktor yang ada.

Ketika saya satu-satunya Melayu di dalam jabatan saya di wad NICU/SCN, asyik saya saja yang dibuli. Menyampah gila. Sakit hati dibuatnya. Pernah sampai saya menangis di tengah malam ketika oncall kerana tertekan dikerjakan sebagai hamba oleh mereka sedangkan kawan yang oncall bersama saya haram sedikitpun dikerah untuk membuat itu ini hanya kerana mereka sebangsa. Sumpah, ini bukan main-main. Ini memang realiti yang terjadi.

Jangan salahkan saya mengapa saya berbaur perkauman sebegini sekali. Ini semua salah mereka. Tapi saya akui, bukan semua kaum itu yang bersifat begini. Saya masih menghormati beberapa rakan sekerja daripada kaum itu yang sangat tinggi nilai budi bahasanya dan sangat profesional ketika bekerja. Pokok pangkalnya, kalau tidak mahu hidup dibenci orang, jadilah seorang yang berlaku adil supaya kita juga dilayan dengan seadilnya.

Rahmat di sebalik demam kali ini ialah saya dapat berehat sepuas-puasnya setelah sebulan lebih bekerja tanpa cuti dan dapat merehatkan mata daripada melihat si kaum itu di wad dan sekali gus merehatkan hati daripada membenci. Hihi~

Ok. Sedikit cerita tentang bayi di atas. Comel, kan? Secomel doktor yang mendukungnya. Hahaha~ Melawak saja. Bayi ini merupakan anak Orang Asli yang lahir pramatang. Dilahirkan ketika berumur 27 minggu, dirawat di NICU kerana RDS dan kemudian dipindahkan ke SCN setelah stabil. Ketika gambar ini diambil, umurnya sudah mencecah 6 minggu. Maksudnya, sudah 6 minggu juga dia tinggal di wad. Ketika berumur 3 minggu, emaknya pulang ke rumah kerana ada anak kecil lain di rumah dan sangat jarang datang melawatnya di wad. Maklum sajalah. Warga Orang Asli biasanya mempunyai masalah pengangkutan untuk ke hospital walaupun sudah diuruskan masalah ini dengan JHEOA.

Jadi dalam tempoh 3 minggu tanpa ibunya, bayi ini paling senang jika diuruskan oleh saya. Sudahlah mukanya comel. Baik dengan saya pula tu. Lagilah saya suka, kan. Hehe. Hakikatnya, ibu bapa bayi ini tidak beragama (walaupun nama mereka rata-ratanya seperti orang Islam yang lain-lain). Tapi, setiap pagi ketika membawa bayi ini ke bilik prosedur untuk mengambil darah atau memasang branular, saya suka berselawat dengannya dan mengulang-ulangkan syahadah bersamanya. Hampir dengan semua bayi saya buat begini. Kalau sedang tertekan dengan kerja, dapat pula berselawat di awal pagi sekitar jam 4 pagi bersama bayi-bayi ini, hati terasa sangat tenang.  Sangat-sangat tenang. Mereka pun tidak menangis bila saya sedang melakukan sebarang prosedur ke atas mereka ketika itu.

Kini bayi ini sudah bernama. Namanya Adam. Adam A/L Mahir. Saya berdoa satu hari nanti namanya akan menjadi Adam Bin Abdullah.

Nota 1: Dulu-dulu, jika saya sedih atau tertekan dengan kerja, saya simpan semuanya seorang diri sebab bagi saya, kalau cerita pun, bukannya orang faham apa yang saya hadapi. Tapi sekarang ni, ada seorang kawan saya ni selalu menjadi mangsa mendengar bebelan saya tentang kerja. Hehe. Kasihan dia. Harap-harap dia bersabar ada kawan macam saya ni. :roll:

Nota 2: Kalau tiada aral, esok saya updatekan majlis perkahwinan sepupu saya dan sahabat baik saya pula. ;-)

Posted on June 29th, 2010 by Sarah  |  4 Comments »