Belajar Daripada Kehidupan (ii)

Assalamualaikum wbt

(I)

Setiap pagi, ada seorang tukang cuci yang akan datang ke rumah untuk membersihkan dapur. Seorang wanita pertengahan usia. Ikutkan hati, malas rasanya hendak ada hubungan langsung dengan makcik itu kerana dia suka marah-marah. Pasti ada saja yang tidak kena. Agak kasar juga orangnya. Kalau pagi-pagi sudah dimarah, habis mood satu hari akan rosak.

Habit saya, bila dia masuk ke dapur, saya tidak akan menyapanya. Biasanya pada waktu itu saya berada di dalam bilik sedang bersiap-siap. Tapi sewaktu dia hendak keluar, saya akan berada di hadapan cermin di ruang tengah rumah. Sama ada sedang memakai tudung atau membersihkan kasut. Yang saya lakukan ialah mengucapkan terima kasih. Terima kasih di atas khidmatnya membersihkan dapur dan koridor kami.

Saya masih ingat akan pesan seseorang kepada saya tujuh tahun lalu. Katanya, ucaplah terima kasih kepada siapa saja walau di mana pun kita waktu itu jika kita tahu ia perlu. Dan bagi saya, apa yang makcik itu kerjakan, layak dianugerahkan dengan ucapan terima kasih. Saya kaji perubahan mood baik pada diri saya mahupun makcik itu. Sejujurnya, saya merasakan pagi saya berkualiti dan bermanfaat apabila berkesempatan mengucapkan terima kasih kepadanya. Untuk makcik itu pula, saya lihat dia ceria bila dihargai walau hanya dengan ucapan seringkas itu.

Minggu lepas, saya keluar dari rumah pada pukul 8.10 pagi. Sedang saya melalui koridor untuk turun ke pintu keluar, saya melalui lif tengah bangunan ini. Saya terberpaling melihat ke arah lif itu ketika melaluinya kerana ternampak seseorang sedang berdiri di situ. Rupa-rupanya makcik itu yang sedang berdiri di sudut dinding itu. Saya haya tersenyum saja padanya. Dalam hati, saya sebenarnya sangat tersentuh dengan apa yang saya lihat tadi.

Makcik itu sebenarnya sudah berumur. Sekitar 50-an. Dalam umur seperti itu, dia masih bekerja kasar untuk menyara dirinya. Air mukanya ketika saya lihat itu sangat menyedihkan. Mungkin dia berdiri di situ untuk mengambil rehat. Dia buat saya terasa sayu dengan khidmatnya setiap pagi yang membersihkan dapur dan koridor untuk tingkat satu hingga tiga.

Pelajaran kehidupan pada hari itu, janganlah melayani tukang cuci, tukang sapu atau siapa saja yang kita rasa tidak penting ini dengan layanan yang hina. Mereka juga manusia dan jasa mereka sangat besar untuk keselesaan hidup kita. Dengan mengucapkan terima kasih kepada mereka mungkin membawa makna yang besar untuk hati dan jiwa mereka.

(II)

Saya sedang berlari menuruni tangga escalator yang sedang bergerak. Dek kerana hendak mengejar waktu, saya terus berlari turun menuju ke bawah tanah. Sedang berlari, ada seorang perempuan dengan beg tangannya yang besar menghalang laluan saya dengan tiba-tiba. Saya terlanggar begnya. Laju saya mengucapkan: Izvinite. Maksudnya: Maafkan saya. Saya mendengar perempuan itu merengus kasar. Tapi itu bukan silap saya. Dia yang tiba-tiba menghalang laluan turun (bukan laluan berdiri) di atas escalator itu.

Sampai saja di tepi landasan, sedang menunggu metro sampai, perempuan itu tadi menunggu berhampiran dengan saya. Dia menjeling saya dari atas ke bawah. Macamlah saya ini tiada hidung, mata saya juling atau bibir saya sumbing. Saya membiarkan saja. Seminit kemudian, metro pun sampai. Kami menunggu di pintu masuk yang sama dan berdiri berdekatan saja di dalam gerabak itu.

Sampai di satu stesyen, ramai orang yang hendak turun di situ. Saya dari awal lagi sudah berdiri ke tepi, sambil memegang tiang supaya tidak jatuh dan supaya tidak menghalang laluan orang keluar masuk. Perempuan berbeg besar itu dimarah oleh seorang lelaki kerana menghalang laluan keluar orang ramai. Dia menjawab sedikit dan kemudian seorang lagi wanita di belakang lelaki itu pula yang marah kepadanya.

Sebetulnya, Stesyen Park Kultury memang sangat sibuk di waktu pagi. Orang berkejaran hendak keluar-masuk. Jika laluan terhalang, ini akan melambatkan perjalanan. Saya nampak perempuan itu tadi masih buat tidak kisah. Dua stesyen selepas itu, saya hendak turun. Saya mula bergerak menuju ke depan pintu. Perempuan itu tadi masih berdiri di tempatnya tadi. Tiba-tiba lelaki yang berdiri di sebelah kiri perempuan itu menegurnya. Lelaki itu menyuruhnya berpegang di palang di laluan tengah dalam metro itu supaya tidak menghalang orang menuju ke pintu. Perempuan itu akhirnya menurut.

Pelajaran kehidupan pada hari itu, cubalah berfikir untuk keselesaan dan kesenangan orang lain juga. Jangan rasa hendak ikut kepala sendiri saja. Tidak semestinya kepala kita ni sentiasa betul.

Nota 1: Adam sudah tukar aliran. Dia mengambil Lukisan Kejuruteraan. Semoga Adam boleh mengharunginya. Adam, ingat tawaran Ngah 2 tahun lagi ok.

Nota 2: Semalam saya mesej semua sepupu-sepupu saya sebelah Pahang. Saya tiba-tiba rindu sangat kepada arwah Chik saya. Saya mengajak mereka semua menyedekahkan Al-Fatihah untuk arwah. Saya teringat pesan Makde. Makde kata, Chik tiada anak untuk sedekahkan dia Al-Fatihah. Tapi Chik ada ramai anak saudara. Jadi, anak-anak saudara Chiklah yang bertanggungjawab untuk menyedekahkan Chik doa dari dunia.

Posted on April 5th, 2009 by Sarah  |  7 Comments »

Belajar Daripada Kehidupan

Assalamualaikum wbt

Ulang-alik saya ke hospital setiap hari sentiasa dipenuhi dengan gelagat manusia. Saya suka memerhati dan berfikir. Insiden yang terkesan di hati, saya akan teladani. Apa yang kurang memberangsangkan, saya akan cuba jauhi. Ini cara saya belajar daripada kehidupan.

(I)

Ketika lalu di hadapan bangunan pentadbiran di sebelah bangunan hostel ini, kelihatan beberapa orang berpangkat besar sedang merokok secara berjemaah di hadapan muka pintu utama. Mereka semuanya muda-muda dan masih tegap bergaya. Saya yakin, mereka bukan calang-calang orangnya. Bangunan di sebelah ini sentiasa dikunjungi oleh bangsa asing dari seluruh dunia atas urusan kerja.

Apa yang buat saya melihat ke arah mereka bukanlah kepulan asap rokok yang bulat-bulat keluar dari mulut mereka. Bukan juga gelak tawa berdekah-dekah itu. Tetapi saya melihat ke arah dua orang daripada mereka yang secara sengaja membaling puntung rokok itu ke atas lantai di hadapan mereka. Mungkin itu perkara biasa kerana tukang sapu akan membersihkan semula kawasan merokok itu. Tetapi, apa yang buat saya terus memandang tingkah empat orang lelaki muda itu ialah, dengan kewujudan seorang pakcik tua yang bekerja sebagai tukang sapu di situ, perbuatan itu adalah sangat tidak sopan. Pakcik itu mengaut puntung rokok yang dicampakkan tadi dan sejurus selepas itu, seorang lagi lelaki membaling puntung rokoknya pula. Saya terdiam. Saya berjalan perlahan saja ketika itu sambil memandang ke arah lelaki-lelaki itu dan juga pakcik tua yang memegang pengaut sampah itu.

Empat orang lelaki itu terus berbual dan pakcik itu masih diam saja. Saya akui, memang itu kerja pakcik itu. Tetapi tindakan mereka semua dengan sengaja membuang puntung rokok itu sedang pakcik itu berada di hadapan mereka adalah sangat tidak sopan. Saya merasakan keadaannya sangat ironi waktu itu. Antara persoalan usia dan adab. Juga kemanusiaan dan belas kasihan. Ketika betul-betul melintas di hadapan pakcik itu, yang saya mampu lakukan untuk menyejukkan hatinya ialah senyum. Moga-moga dia tidak terasa dirinya dihinakan kerana masih ada orang biasa ini yang memberi senyum padanya.

Pelajaran kehidupan pada hari itu, setiap orang ada harga diri dan hak untuk dihormati.

(II)

Ketika sedang menunggu tram di tepi jalan dalam perjalanan balik dari hospital, ada seorang lelaki mabuk jatuh di atas jalan raya. Saya dan kawan-kawan dapat melihat kejadian itu. Lalu lintas agak terganggu semata-mata untuk menunggu lelaki itu dipindahkan ke tepi. Yang nyata, lelaki itu mengalami transient alcoholic paralysis akibat pengambilan alkohol yang berlebihan. Saya pasti, kalau kami semua mendekatinya, baunya adalah sangat busuk.

Kawan lelaki tadi (mungkin juga abangnya) cuba mengangkatnya bangun dan membawanya ke tapi. Tetapi dia terlalu berat dan lembik untuk dipaksa berdiri. Kakinya sudah hilang deria rasa dan ototnya juga lemah (paresis) yang bersifat sementara. Dia memang terkulai saja di situ. Kepalanya saja yang terangguk-angguk. Tiba-tiba, datang seorang lelaki muda yang menyeberang ke tengah jalan itu dan menolong lelaki seorang lagi tadi untuk mengangkat si mabuk itu. Dia menggunakan pendekatan yang garang dan memaksa. Dia paksa lelaki mabuk itu untuk berdiri. Dia papah dan mengusung lelaki itu ke pondok bas di tepi jalan.

Di pondok bas itu, lelaki itu didudukkan dan lelaki yang segar itu terus menyalami si lelaki muda yang datang menolong. Lelaki muda itu kemudiannya ke kiosk menjual air di tepi pondok bas itu. Dia membeli sebotol air mineral dan membawanya kepada lelaki mabuk itu. Saya kira dia hendak memberi lelaki itu minum. Sebaliknya, dia membasuh muka lelaki mabuk itu dan berkata: Kalaupun kau tak malu pada diri sendiri, tapi malulah pada negara. Semua orang tu (sambil menunjuk kepada kami pelajar-pelajar antarabangsa yang berdiri berhampiran dengan mereka) tengok kau. Buat malu negara sendiri je. Ubahlah diri tu biar orang hormat sikit.

Pelajaran kehidupan pada hari itu, jangan kita malukan diri sendiri. Maruah diri, bangsa, negara dan agama adalah amanah yang kita kena jaga.

(III)

AA: Tahu tak kita dah ada PM baru?
ZZ: PM baru? Bila nak ganti?
AA: Eh, dah tukar dah pagi tadi. Tak tahu ke?
ZZ: Ooo. Yeke. Diorang ada buat pihanraya ke untuk lantik PM baru?
AA: (Apakah manusia ini?) Mana ada pilihanraya. Ni kan sistem lepas kuasa terbaru yang dah jadi tradisi dah kat Malaysia. Dulu Mahathir lepaskan pada Paklah. Ni Paklah lepaskan pada Najib pulaklah.
ZZ: Najib la yang jadi PM kita ni?
AA: Aduh! Ye la. Habis tu siapa?
ZZ: (Senyum busuk)
AA: Ikutlah sikit perkembangan negara. Benda penting yang jadi sejarah negara pun tak tau, ni payah ni.
ZZ: (Terus tersenyum busuk)

Pelajaran kehidupan hari itu, walau di bumi manapun kita berpijak, walau langit apapun yang dijungjung, ingatlah asal usul dan hargailah negara. Perkara bersejarah beginipun tak dihiraukan. Tarik kewarganegaraan nanti, baru tahu.

Nota 1: Kehidupan adalah sesi persekolahan yang sarat dengan pengajaran.

Nota 2: Semoga ada perubahan demi perubahan yang DS Najib boleh bawakan untuk Malaysia. Kerja kita, berdoa sajalah. Buat masa ini saya masih positif. Sudah termaktub dengan rasminya itulah PM kita yang ke-6. Semua ini mesti ada hikmahnya.

Posted on April 4th, 2009 by Sarah  |  14 Comments »

Sarah MS 1

Assalamualaikum wbt

Setiap Ahad, saya akan menghabiskan masa selama tiga jam di meja pingpong. Latihan berbentuk intensif. Sakit-sakit di setiap hujung jari kaki. Kesimpulan yang saya buat, untuk bermain pingpong, kita tidak sesuai menggunakan kasut potongan B. Kasut potongan B akan menyebabkan jari kaki tidak rapat dan lebih banyak ruang untuk bergerak-gerak. Sebaliknya, jika kasut potongan A yang lebih tirus, jari kaki akan rapat dan kaki akan kurang sakit dan lenguh selepas bermain.

Dalam permainan pingpong, badan akan selalu dibongkokkan sedikit ke hadapan sebagai persiapan untuk menerima bola dari pihak lawan. Jadi, kaki akan dibukakan untuk mendapatkan kestabilan badan dan bahagian pinggang ke bawah banyak digunakan untuk mengawal pergerakan mengejar bola. Jika kasut tidak kena dengan kaki, aktiviti ini akan menjadi amat menyakitkan.

Mulai minggu depan, saya terpaksa mengeluarkan semula kasut Adidas yang saya gunakan untuk bersukan dulu-dulu. Tadi konon-konon nak tunjuk kuat. Saya hanya memakai kasut Skechers yang biasa saya gunakan ke hospital. Sekarang kaki semua sakit-sakit. Padanlah muka sendiri, kan. Oh. Bukan saya seorang. Padan muka Wanie juga. Dia pun sama saja macam saya. Hahaha.

Oh ya. Baru teringat. Saya masih berhutang 70 Ruble kepada Wanie untuk duit teksi dan roti yang dibayarkannya tadi. Mahu ke bilik Wanie sekarang juga.

“Hai orang sebelah, orang di sini nak datang bayar hutang”, laung Sarah kepada Wanie yang sedang menekun di mejanya. Mari lihat jersi saya tahun ini. Ini jersi peribadi. Bukan jersi pasukan lagi. Senyum~

sarahms

Nota 1: Hari Isnin saya cuti sehari. Dapatlah qadha’ study.

Nota 2: Takziah untuk keluarga junior saya, Addi Mokhtar, atas pemergian ayahnya tengahari tadi. Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang yang beriman.

Nota 3: Saya seriau bila mendengar berita begini. Semoga emak dan ayah sihat-sihat saja di rumah. Esok Ngah telefon, ok.

Posted on March 29th, 2009 by Sarah  |  22 Comments »

Kemalasan

Assalamualaikum wbt

Sunyi sungguh rumah pada malam ini. Yang tinggal hanya saya dan Fatt. Fatt pun sudah terlelap. Yang lain, kemana kamu semua ni? KS dah mati kutu berseorangan saja dari tadi. Takkan hendak berborak dengan gambar kucingΒ  di gelas ni kot.

Saya seakan kurang berminat dengan blog semenjak kebelakangan ini. Tadi saya sempat melihat trafik keluar-masuk blog ini. Kalau dulu, pengunjung harian sekitar 400 ke 500 orang. Sekarang hanya 280 saja. Orang pun dah bosan hendak menjenguk sebab saya tidak update pun. Jujur saya katakan, saya malas. Ada banyak lagi benda lain yang boleh saya buat walaupun tidak menarik. Contohnya seperti membaca buku. Memang kurang menarik, kan. Boleh buat kita mengantuk secara percuma. Lebih-lebih lagi Neurologi. Terbukti jelas saya alah terhadap Neurologi. Tapi dipaksakan juga diri untuk membaca.

Plurk pun sudah tidak menarik bagi saya. Saya sudah kurang memberi respon. Alasan saya pun sama. Saya malas. Setakat meninggalkan jejak tiga, empat kali dalam sehari, kemudian terus saya keluar dari Plurk.

Dan disebabkan rumah sangat sunyi pada malam-malam minggu begini, saya membuka Facebook yang sudah agak lama diabaikan. Saya selalu mendengar budak-budak ni membuat pelbagai kuiz di Facebook. Tapi tidak pernah sekalipun saya terfikir hendak membuatnya. Tapi tadi, buat pertama kalinya, saya mencuba satu kuiz: What’s the first letter of the person you will fall in love with?

Mahu tahu jawapannya apa? A! Ya. Huruf A. Huhu. Tersengih, tersenyum, tergelak dan beberapa ‘ter’ yang lain dah pun saya termelakukan. A untuk apa? A untuk Akif! Pandainyaaa. Anak siapa ni? πŸ˜€

Ok. Sudah. Mengarut lagi. Saya tidak tahu bilakah momentum untuk menulis dengan baik akan kembali. Sejujurnya, alasan kepada semua perubahan ini ialah malas. Buat masa ini, saya cuma tidak malas untuk menunggu episod seterusnya cerita itu keluar hari Isnin nanti. πŸ™‚

Untuk tidak mengecewakan diri saya sendiri, saya harap semua dapat mendengar bait-bait muhasabah dalam nasyid di bawah ini. Wajib dengar.

Nota 1: Penat mengikuti perkembangan Perhimpunan Agung UMNO kali ini. Ha. Inilah antara aktiviti yang lebih berfaedah sikit daripada saya menulis blog. Tapi serius pelik. Yang ditolak rakyat, yang itulah dipilih di kalangan mereka. Nasib baik Muhyiddin ada. 😎

Nota 2: Didoakan yang baik-baik saja untuk Faaiqah, Nadia, Acai, Yasir dan Akak. Setiap hari mesti akan ada waktu yang buat saya teringat pada mereka ni.

Posted on March 28th, 2009 by Sarah  |  7 Comments »

Minggu Yang Padat

Assalamualaikum wbt

Sudah berhari-hari blog ini terbiar. Apa nak jadilah dengan saya ni. Tak bersyukur betul. Allah tarik nikmat nanti, baru tahu peritnya hidup tidak mempunyai blog. Huhuhu.

Apa yang buat saya hendak menulis ni pun setelah mendapat peringatan secara tidak langsung. Tadi saya cuba membuka Imeem saya seperti biasa. Tidak boleh pula. Adakah kerana sudah berminggu-minggu saya tidak membukanya? Cuak saya. Blog pun sudah berhari-hari tak dibuka ni. Nanti jadi macam Imeem pula. Boleh terkena tonic-clonic seizure agaknya kalau tidak boleh menulis di sini lagi. πŸ˜†

Ada banyak perkara yang terjadi dalam seminggu ini. Seperti biasa, hujung minggu saya tidak pernahnya kosong dan lapang. Sentiasa penuh dan meletihkan. Terlebih dahulu, pada hari Jumaat malam, saya terpaksa membatalkan usrah bersama adik-adik usrah saya kerana ada hal yang perlu saya uruskan (Mereka baca blog ni, kena terangkan elok-elok ni. Hehe). Bermula dengan hari Sabtu tengahari, saya menghadiri ceramah Fiqh Perubatan yang dikupas oleh Ustaz Muhammad Bin Abdullah Al-Amin. Saya sangat hendak kongsikan ilmu yang saya dapat di sini. Ilmu feqah dalam bidang perubatan bukan setakat untuk pengamal perubatan saja sebaliknya melibatkan semua orang kerana secara fitrahnya, kita yang bergelar manusia ini pasti ada masanya akan sakit dan memerlukan rawatan. Insya Allah, bila saya lapang nanti, saya akan kongsikan.

Seterusnya pada hari Ahad, di sebelah pagi saya menghadiri usrah seperti biasa. Sesi bersama rakan-rakan usrah saya adalah peruntukan masa yang paling menggembirakan dalam kitaran tujuh hari seminggu. Walaupun berjumpa tidak lama mana, tapi kesan dan ilmu yang diperolehi itu betul-betul dapat mendidik dan melentur hati. Aishh. Kenapalah hati saya ni keras dan pejal sangat. Nasib baik Allah campakkan saya hidup di kalangan kawan-kawan yang baik budi dan hati. Sumpah saya akan menyesal jika saya tidak mendampingi minyak wangi yang berkualiti ini.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Kawan yang soleh ibarat penjual minyak wangi. Apabila dia tidak memberi minyak wangi, kamu akan tetap mencium keharumannya. Sedangkan kawan yang buruk ibarat tukang besi. Sungguhpun kamu tidak dijilat oleh apinya, kamu akan tetap akan terkena asapnya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Balik saja ke bilik, saya terus menyelak buku sekejap. Sempat membaca satu kes saja. Tidak lama selepas itu, saya mendapat panggilan dari kawan saya nun di London sana. Oh. Terlamalah pula berbual. Kemudian, saya terus berkejar bersiap untuk menemankan Wanie ke pemilihan pemain untuk pasukan pingpong universiti. Dulu saya ada ceritakan tentang tanggung jawab saya untuk Intervarsity Game tahun ini kan? Dan ingat tak saya ceritakan bahawa saya meletak jawatan untuk dua jawatan saya baru-baru ini? Ya. Salah satunya ialah jawatan dalam pasukan pingpong universiti. Saya betul-betul berat hati hendak ke sana sebagai pemain lagi. Jadi saya pun meletak jawatan.

Jadi, ketika menemankan Wanie ke sana, saya membantu ketua pasukan, Ron, untuk proses pemilihan pasukan wanita. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Empat orang pemain telahpun dipilih termasuklah Wanie. Anet, salah seorang teman sepasukan dulu terlewat sampai dan tidak dapat mengikuti sesi pemilihan. Tapi di penghujung hari itu, Ron memaklumkan, dua orang junior yang terpilih itu tidak dapat bermain pula. Mereka menarik diri. Saya mengetengahkan nama Anet untuk dimasukkan ke dalam pasukan. Tetapi Ron meminta saya mempertimbangkan semula keputusan saya kerana sudah tidak ada orang lain yang hendak bermain. Lalu, keputusan muktamad pada hari Isnin lepas, saya terpaksa mewakili universiti sekali lagi ke Intervarsity Game di Volgograd. Waduh. Gawat nampaknya. Waktu itu nanti, hanya tinggal kira-kira sebulan seminggu saja sebelum final exam. FINAL OF THE FINALS!

Tadi saya melihat jam. Sudah lebih daripada 30 minit saya menghadap blog ini. Saya dah melanggar peraturan ni. Tapi untuk kali ni, saya memaafkan diri saya. Huhu. Pengecualian bersifat sesuka hati di Dunia Sarah. πŸ˜› Ok. Nak sambung menulis lagi ni. Melepas gian Mensyukuri nikmat. πŸ˜€

Biasanya, saya membawa buku Case Files saya ke mana-mana saja saya pergi. Pantang ada masa lapang, saya akan buka dan baca. Kadang kala, sempat juga saya jadikan alas lapik kepala untuk tidur di meja sewaktu rehat ketika di hospital. Sejuk rasa pipi bila berbantalkan kulit buku itu. Haha. Yang ini jangan ikut. Kurang asam betul siapa yang mengikut perangai kurang asam saya ni. Saya menukar kebiasaan dengan membawa buku Kisah Hidup 25 Nabi Dan Rasul pula. Tapi sempat dibaca sekejap saja ketika di dalam metro. Selebihnya, ketika ada masa lapang di hospital, ketika di dalam bas atau tram serta ketika dalam perjalanan balik, saya terasa kosong bila tidak ada buku Case Files itu untuk dibelek-belek.

Kononnya, saya meninggalkan buku itu kerana tidak puas langsung berehat pada hujung minggu yang lalu. Jadi, saya sengaja tidak membawanya kerana hendak melepaskan diri daripada ‘beban otak’ mendiagnos kes-kes yang ada di dalamnya. Sayangnya, saya rasa kehilangan dan kekosongan pula bila tidak membaca buku itu. Jadi, hari Isnin lepas, saya menekun di bilik menyambung bacaan saya. Aishh. Nak cerita pasal buku ni je pun sudah menggunakan dua perenggan. Entah apa-apalah saya ni.

Sebelum berhenti, sukalah kiranya saya mengumumkan bahawa saya kini sudah jatuh cinta. Dengan seseorang. Yang sempurna. Di mata. Dan hati saya. Akif Zamani. Watak dalam drama Dari Mata Arisa. Ya Rabbi. Saya terlalu sukakan drama ini. Janganlah ada yang berani nak kutuk. Saya akan pancarkan cahaya laser saya dengan kadar radiasi yang tertinggi sehingga kulit dan hati anda akan melepuh. Hahaha. πŸ˜†

Maaflah. Tak berfaedah pun entri kali ini. Sekadar tak mahu nikmat dibazirkan saja. Nanti ada senggang masa selepas selesai Pemilihan Ketua Wanita baru, Insya Allah saya akan menulis lagi. Eceh. Geli saya menyebutnya. Tadi ada kawan saya menghantar mesej. Mengkhabarkan kemenangan Khairy Jamaluddin. Apalah nasib UMNO di masa depan ya? Hehe.

Eh, saya sebenarnya terkejut menerima mesej itu. Sudah lama tuan pengirim tu tidak menghantar mesej. Nanti-nanti kirimlah lagi. Boleh menambah koleksi saya. Saya pun boleh tersenyum juga. Awak pun senyumlah juga, ya. Hehe. Oh, ok ok. Saya mengarut saja ni. Simpan keris. Jangan dihunus ya.

Baiklah. Pergilah kembali ke tempat kalian. Buat kerja baik-baik. Saya pun hendak kembali ke tempat saya semula. Tinggal dulu semua. Semoga kita semua menjadi orang yang tertawa dalam redha-Nya.

“Dan sesungguhnya Dialah yang menjadikan orang yang ketawa dan menangis.” (An-Najm 53 : 43)

Nota 1: Bila saya mengarut, memang mengarut sungguh. Maafkan saya.

Nota 2: -Encik Akif, terima kasih. -Untuk? -Sebab tolong saya tadi. -Oh. Biasa je. Lagipun saya tak suka orang kacau tunang saya. —> Masya Allah. Berkali-kali kot saya ulang episod 14!

Posted on March 25th, 2009 by Sarah  |  14 Comments »