Belajar Daripada Kehidupan

Assalamualaikum wbt

Ulang-alik saya ke hospital setiap hari sentiasa dipenuhi dengan gelagat manusia. Saya suka memerhati dan berfikir. Insiden yang terkesan di hati, saya akan teladani. Apa yang kurang memberangsangkan, saya akan cuba jauhi. Ini cara saya belajar daripada kehidupan.

(I)

Ketika lalu di hadapan bangunan pentadbiran di sebelah bangunan hostel ini, kelihatan beberapa orang berpangkat besar sedang merokok secara berjemaah di hadapan muka pintu utama. Mereka semuanya muda-muda dan masih tegap bergaya. Saya yakin, mereka bukan calang-calang orangnya. Bangunan di sebelah ini sentiasa dikunjungi oleh bangsa asing dari seluruh dunia atas urusan kerja.

Apa yang buat saya melihat ke arah mereka bukanlah kepulan asap rokok yang bulat-bulat keluar dari mulut mereka. Bukan juga gelak tawa berdekah-dekah itu. Tetapi saya melihat ke arah dua orang daripada mereka yang secara sengaja membaling puntung rokok itu ke atas lantai di hadapan mereka. Mungkin itu perkara biasa kerana tukang sapu akan membersihkan semula kawasan merokok itu. Tetapi, apa yang buat saya terus memandang tingkah empat orang lelaki muda itu ialah, dengan kewujudan seorang pakcik tua yang bekerja sebagai tukang sapu di situ, perbuatan itu adalah sangat tidak sopan. Pakcik itu mengaut puntung rokok yang dicampakkan tadi dan sejurus selepas itu, seorang lagi lelaki membaling puntung rokoknya pula. Saya terdiam. Saya berjalan perlahan saja ketika itu sambil memandang ke arah lelaki-lelaki itu dan juga pakcik tua yang memegang pengaut sampah itu.

Empat orang lelaki itu terus berbual dan pakcik itu masih diam saja. Saya akui, memang itu kerja pakcik itu. Tetapi tindakan mereka semua dengan sengaja membuang puntung rokok itu sedang pakcik itu berada di hadapan mereka adalah sangat tidak sopan. Saya merasakan keadaannya sangat ironi waktu itu. Antara persoalan usia dan adab. Juga kemanusiaan dan belas kasihan. Ketika betul-betul melintas di hadapan pakcik itu, yang saya mampu lakukan untuk menyejukkan hatinya ialah senyum. Moga-moga dia tidak terasa dirinya dihinakan kerana masih ada orang biasa ini yang memberi senyum padanya.

Pelajaran kehidupan pada hari itu, setiap orang ada harga diri dan hak untuk dihormati.

(II)

Ketika sedang menunggu tram di tepi jalan dalam perjalanan balik dari hospital, ada seorang lelaki mabuk jatuh di atas jalan raya. Saya dan kawan-kawan dapat melihat kejadian itu. Lalu lintas agak terganggu semata-mata untuk menunggu lelaki itu dipindahkan ke tepi. Yang nyata, lelaki itu mengalami transient alcoholic paralysis akibat pengambilan alkohol yang berlebihan. Saya pasti, kalau kami semua mendekatinya, baunya adalah sangat busuk.

Kawan lelaki tadi (mungkin juga abangnya) cuba mengangkatnya bangun dan membawanya ke tapi. Tetapi dia terlalu berat dan lembik untuk dipaksa berdiri. Kakinya sudah hilang deria rasa dan ototnya juga lemah (paresis) yang bersifat sementara. Dia memang terkulai saja di situ. Kepalanya saja yang terangguk-angguk. Tiba-tiba, datang seorang lelaki muda yang menyeberang ke tengah jalan itu dan menolong lelaki seorang lagi tadi untuk mengangkat si mabuk itu. Dia menggunakan pendekatan yang garang dan memaksa. Dia paksa lelaki mabuk itu untuk berdiri. Dia papah dan mengusung lelaki itu ke pondok bas di tepi jalan.

Di pondok bas itu, lelaki itu didudukkan dan lelaki yang segar itu terus menyalami si lelaki muda yang datang menolong. Lelaki muda itu kemudiannya ke kiosk menjual air di tepi pondok bas itu. Dia membeli sebotol air mineral dan membawanya kepada lelaki mabuk itu. Saya kira dia hendak memberi lelaki itu minum. Sebaliknya, dia membasuh muka lelaki mabuk itu dan berkata: Kalaupun kau tak malu pada diri sendiri, tapi malulah pada negara. Semua orang tu (sambil menunjuk kepada kami pelajar-pelajar antarabangsa yang berdiri berhampiran dengan mereka) tengok kau. Buat malu negara sendiri je. Ubahlah diri tu biar orang hormat sikit.

Pelajaran kehidupan pada hari itu, jangan kita malukan diri sendiri. Maruah diri, bangsa, negara dan agama adalah amanah yang kita kena jaga.

(III)

AA: Tahu tak kita dah ada PM baru?
ZZ: PM baru? Bila nak ganti?
AA: Eh, dah tukar dah pagi tadi. Tak tahu ke?
ZZ: Ooo. Yeke. Diorang ada buat pihanraya ke untuk lantik PM baru?
AA: (Apakah manusia ini?) Mana ada pilihanraya. Ni kan sistem lepas kuasa terbaru yang dah jadi tradisi dah kat Malaysia. Dulu Mahathir lepaskan pada Paklah. Ni Paklah lepaskan pada Najib pulaklah.
ZZ: Najib la yang jadi PM kita ni?
AA: Aduh! Ye la. Habis tu siapa?
ZZ: (Senyum busuk)
AA: Ikutlah sikit perkembangan negara. Benda penting yang jadi sejarah negara pun tak tau, ni payah ni.
ZZ: (Terus tersenyum busuk)

Pelajaran kehidupan hari itu, walau di bumi manapun kita berpijak, walau langit apapun yang dijungjung, ingatlah asal usul dan hargailah negara. Perkara bersejarah beginipun tak dihiraukan. Tarik kewarganegaraan nanti, baru tahu.

Nota 1: Kehidupan adalah sesi persekolahan yang sarat dengan pengajaran.

Nota 2: Semoga ada perubahan demi perubahan yang DS Najib boleh bawakan untuk Malaysia. Kerja kita, berdoa sajalah. Buat masa ini saya masih positif. Sudah termaktub dengan rasminya itulah PM kita yang ke-6. Semua ini mesti ada hikmahnya.

14 Responses to “Belajar Daripada Kehidupan”

  1. cikgu jawe says on :

    betul kata awak. dunia kehidupan sekolah paling besar untuk belajar ttg nilai. tapi hanya bg mrk yang mahu berfikir.

    aku mengharapkan malaysia lbh elok dgn PM baru. moga negara amana, rakyat terjaga dan agama terbela. 🙂

    Reply

    Sarah Reply:

    Kalau tak fikir ataupun ada berfikir tapi masih tak terasa apa2, tak jadi jugak kan, cikgu.

    p/s: Cikgu memang dah taknak update langsung ke? Ke cikgu ada blog lain dah? Taknak tinggalkan link kat saya?

    Reply

  2. inah says on :

    sangat suka entry sarah kali ini..sarat dengan pengajaran 🙂

    sarah comel..teruskan berusaha yea..belajar rajin2 🙂

    hujan emas di negeri org, hujan batu di negeri sendiri..lebih baik di negeri sendiri :mrgreen:

    Reply

    Sarah Reply:

    Kutip emas banyak2 bawak balik negeri sendiri 😎

    Reply

  3. Yeop says on :

    Salam Sarah,

    Pelajaran yang baik untuk semua…terima kasih sarah.

    Jauh perjalanan luas permandangan dan banyak pengalaman..!!

    Salam.

    Reply

    Sarah Reply:

    Kalau tak berjalan jauh pun tapi ambil pengajaran dari segala apa yang terjadi dalam kehidupan walaupun skop kehidupan tu kecik je pun, dapat pengalaman dan pengajaran jugak.

    Reply

    Yeop Reply:

    Setuju.

    Reply

  4. djambu says on :

    salam. peribahasa melayu yang tepat.
    “hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri – lebih baik negeri sendiri’

    punbegitu, mentaliti seharusnya begini:
    “pergi ke negeri orang, kumpul emas dan bawa pulang” 🙂

    pendapat saya, wlpn ada orang xminat politik, tapi isu-isu politik dan negara perlu cakna sbb segala perkara yg berlaku dlm negara akan memberi kesan kpd warga negara. jangan nanti negara dan hak2 bangsa dah tergadai, baru nak tersedar…

    Reply

    Sarah Reply:

    Yeop, saya setuju 100% dengan apa awak kata ni!

    Reply

  5. emperor sara says on :

    woah..u’re absolutely right.. life would b even meaningful if people can think lik this.. an eye-opener story for everyone.. sumtimes we forget that the best way to view a picture is not merely from an angle but from different angle..this way, u’ll notice that even a simplest thg happen 2 u, there’s purpose that ALLAH design to teach human 2 think more, n whine less..
    kudos 4 u..thx 4 sharing!! 😉

    Reply

    Sarah Reply:

    “Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?” (diulang banyak kali dalam Surah Ar-Rahman)

    Maksudnya kat sini, setiap yang Allah jadikan tu adalah untuk kita kaji dan syukuri. Termasuklah juga setiap kejadian yang kita dah saksikan. Untuk kita kaji dan pelajarinya. Ni nikmat dari Allah untuk kita belajar sesuatu.

    Kan Sara kan 😉

    Reply

  6. ytmz says on :

    Tarik kerakyatan lekas.

    Moga halal sahaja Transformasi tajaan DS Najib.

    Reply

    Sarah Reply:

    Setakat ni nampaknya halal belaka lagi. Tapi nanti kalau ada yang tak halal dalam transformasi ni, nak buat apa? Reformasi semula ke? Patutnya kena buat Evaluasi je kot. Betulkan mana yang salah daripada apa yang sedia ada.

    Eh, evaluasi tu muhasabah la kan? 😉

    Reply

    ytmz Reply:

    Muhasabah arabnya, Penilaian melayunya.

    Reply

Leave a Reply