Senario Malaysiaku
Assalamualaikum wbt
Semenjak kebelakangan ini, jika saya bertangguh untuk menulis sesuatu dan merancang untuk menulis di lain waktu perihal yang ditangguhkan itu, jangan haraplah saya akan menulisnya langsung. Kalau ikutkan, sudah ada tiga perkara yang saya tangguhkan. Dan disebabkan saya memang tidak berperasaan cinta yang mendalam sangat terhadap blog ini sejak kebelakangan ini, saya memang tidak berniat untuk menunaikan apa yang saya tangguhkan dulu.
Sejak DS Najib dengan rasminya naik menjadi Perdana Menteri kita yang keenam, kejutan demi kejutan dapat kita saksikan. Dimulakan dengan pembebasan 13 tahanan ISA. Juga penarikan semula arahan penggantungan Harakah dan Suara Keadilan selama tiga bulan yang dikeluarkan oleh KDN yang berkuat kuasa serta merta. Dua perkara pertama yang dilakukan ini nampaknya menyebabkan rakyat memang berlapang dada sungguh dengan DS Najib. Berbaik sangkalah tu. Tapi tak kurang juga yang berhati-hati menanti apakah pendekatan memenangi hati rakyat yang seterusnya. Dan setiap hari, rakyat bagaikan ternanti-nanti apakah lagi kejutan dan pembaharuan yang akan diterima oleh Malaysia.
Hari ini, terlalu banyak kejutan yang kita terima. Kes Altantuya. Barisan kabinet baru DS Najib. Wow banyak kali wow saya hari ini. Dari celik mata sehingga tengahari ini, berkali-kali dah wow, wow, wow. Saya tak berniat hendak mengulas panjang. Pergilah dengar berita, baca surat khabar, jenguk laman web rasmi sana sini yang meletakkan senarai penuh kabinet baru. Buat apa saya ulas pun. Tersalah tulis sikit pun dah jadi isu besar pula nanti.
Yang saya terasa lucu dan ironi ialah Khairy yang tidak wujud dalam senarai baru ini. Sebaliknya Mukhriz dan ketua-ketua sayap UMNO yang lain ada disenaraikan. Juga beberapa muka baru yang tidak disangka akan naik (bagi sayalah). Dan terasa kelakar bila melihat ada orang lama yang pernah dikeluarkan kini sudah dimasukkan kembali. Kalau orang lama dikeluarkan, itu tak apalah. Mungkin idea orang baru lebih bernas untuk diadaptasikan dalam slogan Satu Malaysia. Yang pergi ambil semula orang lama, ada alasan yang bernas tak untuk menjelaskan kenapa? Saya nak wow lagi sekalilah.
Kelakar oh kelakar.
Nampaknya Hamid Albar dah tiada. Azalina pun dah tiada. Drama bertajuk apa pula yang akan muncul di kalangan pemimpin kita nanti ya. Dah tiada jaguh wanita untuk perang mulut. Dah tiada sinikal-sinikal santai Hamid Albar. Yang ada, mungkin jawapan-jawapan tanpa sokongan ilmu oleh Zahid Hamidi dan Ahmad Shabery Chik. Kita tunggu. Kita lihat nanti apa akan jadi.
Cuma suka untuk saya nyatakan, saya bersetuju dan hendak melihat corak kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri kita sekali gus merangkap Menteri Pelajaran. PPSMI mansuh boleh tak, Tan Sri? Ada berani?
Atau, apakah mungkin Dafi akan terus-terusan berpolitik bagi pihak ayahnya? Ok ok. Kita tunggu. Kita lihat nanti apa akan jadi.
Kelakar memanglah kelakar. Tapi negara kita tetap negara kita. Semoga mana-mana yang negatif dalam kabinet baru ini akan dineutralkan dengan adanya positif daripada beberapa kepimpinan yang saya yakin akan menjalankan tanggung jawab mereka dengan sebaiknya.
Tapi tolonglah satu perkara wahai ahli-ahli politik negara. Buanglah sikap mengutuk hentam herdik sana sini. Nak tahu apa kawan saya berbangsa Tan Tan Tan di sini tanya? Tanyanya: Malaysia ni kecil saja. Tapi gaduh pasal politiknya tak sudah-sudah. Apa yang direbutkan sangat tu?
Ha. Jawablah. Jawab. Saya tak jawab. Saya senyum-senyum. Di akhirnya saya sudahi dengan satu kenyataan: Selagi ada duit dan pangkat, kat mana-mana pun dalam dunia ni akan ada orang yang kejarkan benda-benda ni semua.
Rasulullah S.A.W bersabda: βTiap-tiap seorang daripada kamu adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab ke atas orang yang berada di bawah pimpinannya. Seorang ketua negara bertanggung jawab ke atas rakyatnya dan akan disoal oleh Allah akan kepimpinannya. Seorang isteri bertanggungj awab di rumahnya dan akan disoal berkenaan tanggungjawabnya, seorang anak pula bertanggungjawab ke atas harta bapanya dan dia juga akan disoal, begitu juga seorang hamba atau yang bekerja dengan majikan, bertanggungjawab kepada majikannya. Setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungj awab ke atas apa yang dipimpinnya.β (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Rasulullah S.A.W bersabda: “Ia (iaitu kepimpinan) adalah amanah dan di akhirat ia menjadi kehinaan dan penyesalan kecuali mereka yang mengambilnya dengan hak dan melaksanakan tanggung jawab yang diamanahkan di dalamnya.” (Riwayat Muslim)
Nota 1: Ini pendapat peribadi saya sebagai rakyat Malaysia.
Nota 2: Suhu di Moscow sudah panas. Nampaknya petang ni boleh pergi jogging. Tapi daun hijau masih belum berputik. Alhamdulillah atas nikmat cuaca yang nyaman ini, Ya Allah.