Kasut

Assalamualaikum wbt

Apa khabar dunia? Rindunya nak menulis. Padahal baru 36 jam berjauhan dari blog. Gian sungguh nak menulis ni. Memandangkan ayam saya sedang diperap di dapur, baik saya menulis dulu.

Saya melihat trafik keluar masuk blog ini. Lucu pula dibuatnya. Ada yang menemui blog ini menggunakan kata carian ‘hiasan dalaman Bangunan Sultan Abdul Samad’. Sejak bilalah saya menulis tentang hiasan dalaman ya. Mesti encik-encik yang mencari kecewa apabila hanya menemui entri saya keluar bersama teman serumah dulu.Yang lucunya, bukan seorang yang mencari menggunakan kata carian itu. Ada tiga orang. Lebih kurang sajalah susunan ayatnya. Saya rasa, ini mesti budak-budak universiti mana entah ni sedang mencari maklumat yang sama. Jangan dibuat kerja tu dengan memasukkan hiasan dalaman bangunan di Rusia sudahlah ya. ๐Ÿ˜‰

Saya punya Google Reader penuh. Menteil yang jarang update pun berderet-deret dia update kali ni. Jaga Menteil. Masa saya sibuk inilah dia update sekali banyak ye. Diya pun sama. Yang ni lagilah banyak. Ada tiga blog Diya yang sangat aktif dikemaskinikan sejak kebelakangan ini. Ampun ya Menteil dan Diya. Saya tak sempat nak menjenguk blog semua lagi. Buat yang lain juga sama. Kak Inah, Am, Sweet Thinker, Ainul, Thia, Kak Su, Kak Aizal, kawan-kawan di Plurk (Huhuhu. Saya sangat suka dengan komuniti kawan-kawan di Plurk. Mereka memang best!) dan juga semua email yang dikirimkan. Ampun sangat-sangat. Saya tiada masa lagi hendak membaca semuanya.

Hari ini, mari dengar saya cerita mengenai kasut. Dulu sewaktu tadika, datang ke sekolah pakai kasut Bata yang comel-comel tu. Di hujung tahun tu, untuk majlis penyampaian hadiah, setiap pelajar dikehendaki membeli sepasang kasut sekolah saiz sendiri berwarna putih dan diserahkan kepada pihak tadika untuk dibalut. Kedekut sungguh tadika saya waktu tu. Kasut yang sudah dibalut itu kemudian dihadiahkan semula kepada pelajar ketika majlis penyampaian hadiah. Mungkin ini caranya untuk memberi semangat kepada para pelajar untuk melangkah ke alam sekolah rendah. Tapi kena beli sendirilah hadiah tu. Hehe.

Sayangnya, saya bersekolah rendah di sekolah swasta agama. Dari uniform hinggalah kasut kami semuanya berbeza dengan sekolah kebangsaan. Kasut saya berwarna hitam. Jadi, kasut yang dibeli dan dihadiahkan untuk diri sendiri ketika tadika itu tak digunakan untuk sesi persekolahan langsung.

Sewaktu darjah satu, emak membelikan kasut hitam yang boleh digilap. Bukannya kasut hitam jenis kain kanvas. Tapi sebaik naik saja ke darjah tiga, saya dan juga Kaklong sudah mula pandai meminta emak membelikan kasut hitam Pallas Jazz tu saja. Tak payah yang kulit boleh digilap. Ini kerana kami berdua mewakili sekolah dalam bola jaring. Kasut hitam sekolah pun boleh digunakan untuk bermain terus. Tak payah susah-susah hendak membawa kasut salin yang lain pula. Saya berterusan menyukai kasut hitam Pallas Jazz sehingga tamat darjah enam. Orang kata macam lelaki pun saya tak kisah langsung. Maklumlah. Kasut jenis itu bertali. Kawan-kawan rapat yang turut mewakili bola jaring pun memakai kasut yang sama. Tiada nak bersusah payah membawa kasut salin untuk Pendidikan Jasmani ataupun latihan bola jaring.

Naik ke tingkatan satu, buat pertama kalinya saya memakai kasut sekolah berwarna putih. Baru belajar nak mengapur kasut. Hahaha. Terasa janggal juga berkasut putih tapi kira layan sajalah ya. Kali ini, sekali lagi saya mewakili bola jaring untuk pasukan 15 tahun ke bawah. Sepasukan dengan Kaklong. Waktu itu, hampir satu pasukan semuanya menggunakan kasut hitam Pallas Jazz. Yang otai-otai sikit beranilah menggunakan kasut yang nampak macam ganas ala-ala All America warna hitam. Sungguh bagi saya, yang memakai kasut All America hitam bertapak getah warna putih pada ketika itu nampak ganas dan terserlah keotaian mereka. ๐Ÿ˜ˆ

Naik ke tingkatan dua, saya sudah menjadi pengawas. Jadi, tamatlah riwayat kasut putih. Saya sudah tidak mempunyai sebarang kasut putih sejak itu. Kebetulan, ketika tingkatan tiga juga saya masih menjadi pengawas dan seterusnya ketika melangkah ke KISAS sewaktu tingkatan empat, uniform rasmi kolej ialah kasut hitam yang dipadankan dengan baju-kain putih-biru seperti sekolah harian biasa. Ini juga merupakan kali pertama saya memakai seragam putih-biru ini (sekolah menengah rendah saya berkain hijau gelap).

Sayangnya, sewaktu di KISAS, baik putera atau puteri diwajibkan memakai kasut hitam yang boleh digilap. Siap ada kursus khas mengajar protokol berkasut dan cara-cara menggilapnya oleh pakcik bomba. Kelakar kan? Nak tahu petua menggilap kasut yang terbaik? Kiwikan kasut dan kemudian lalukan di atas api lilin untuk mendapatkan kesan kilatan yang termasyhur di dunia. Hahaha. ๐Ÿ˜†

Begitulah kisahnya. Hidup saya sejak sekolah rendah sehingga tamat tingkatan lima hanya berkasutkan kasut hitam saja. Jenama yang patut memberi saya dan Kaklong anugerah pelanggan paling setia ialah Pallas Jazz. Setia betul kami menggunakan kasut jenis itu. Kami tak reti nak meminta jenama-jenama lain. Tak tahu jenama pun satu hal juga. Yang saya tahu, walau sedahsyat manapun kasut tu digunakan, baik ke sekolah mahupun untuk bermain bola jaring (juga hoki), pernah saya tidak menukar kasut saya selama dua tahun. Cayalah kan.

Puncanya kerana saya bersama emak dan adik beradik ada menonton sebuah drama arab yang bertajuk Hiza’. Hiza’ maksudnya kasut. Waktu itu saya dalam tingkatan satu. Hiza’ mengisahkan sepasang adik beradik yang hidup susah. Pernah sehingga si adik berlari-lari balik sekolah untuk membolehkan kasutnya diserahkan untuk dipakai oleh si abang pula. Si abang pula asyik didenda kerana lewat tiba ke sekolah. Jadi, si abangnya ni memang hebat berlarilah kan. Hari-hari berlari ke sekolah kerana sudah terlewat. Maka pada suatu hari, abangnya nekad masuk pertandingan rentas desa di bandar itu semata-mata untuk memenangi hadiah yang ditawarkan. Acara itu menawarkan hadiah sepasang kasut putih untuk pemenang tempat kedua. Tahu apa kesudahannya? Walau bersungguh macam manapun si abang untuk menempatkan dirinya di tempat kedua, dia tetap menang sebagai juara. Jadi, Umar, si abang, dan Fatimah, si adik, tidak dapat memiliki hadiah sepasang kasut itu. Sedih menonton drama itu. Menangis-nangis jugalah kami adik beradik. Emak pula asyik menyebut: Ha, tengok tu orang susah macam mana. Jadi, memang terkesanlah hati kami ni kan.

Saya belajar sesuatu daripada drama itu. Kalau kita senang dan mudah saja hendak dapat apa yang kita mahu, jangan kita lupa ada orang yang hidup susah dan bergantung pada apa yang mereka miliki seadanya saja. Mungkin bagi saya dan adik beradik senang saja mahu kasut itu, kasut ini, barang itu, barang ini. Tapi kami lupa bahawa ramai lagi orang di kampung saya itu yang susah. Yang masih menerima sumbangan Baitulmal. Yang layak menerima wang fidhyah dan lain-lain.

Perkara ini realiti, kan? Di mana-mana saja masih ada lagi orang yang dhaif. Kalau kita rasa kita berada dalam zon selesa kita, berpada-padalah dalam hidup sebagai tanda kita meneladani kesusahan mereka. Dan jangan lupa kita ada tanggung jawab yang perlu dilunaskan untuk mereka. Melalui zakat. Ahha. Kali ini saya tolong Acai pula. Siapa nak bayar zakat, boleh jumpa Acai ya. Dengan wajah tersenyum dia sanggup melayan encik-encik dan puan-puan sekelian. Yang bujang-bujang pun dia layan dengan mesra tau. ๐Ÿ˜‰

Nota 1: Insya Allah ada masa saya akan melawat blog semua.

Nota 2: Tadi terserempak dengan Annas jejaka Syria itu. Dia malu, saya lagilah malu. Hihik. ๐Ÿ˜ณย  Lama dah tak nampak dia sebenarnya walaupun rumah kami ni selang dua pintu saja. ๐Ÿ˜‰

Posted on February 25th, 2009 by Sarah  |  52 Comments »

Semangat Setahun Lalu

Assalamualaikum wbt

“Conversation starts with a question.”

Seseorang menyebutkan ini kepada saya suatu masa dulu. Dan saya sangat menyetujuinya untuk masa itu. Saya belum pernah bertemu dengan seseorang yang bertanya begini kepada saya ketika saya tiada mood: Dalam pada awak takde mood ni, apa yang awak rasa awak ada mood nak buat sikit?

Saya betul-betul tidak tahu apa jawapan terbaik yang boleh saya berikan. Bila sedang tiada mood, biasanya otak terasa kosong daripada sebarang agenda. Sehinggakan soalan yang sebegini mudah pun terasa sangat susah untuk dijawab.

Saya cuba menyenaraikan beberapa perkara yang terasa seperti hendak dilakukan ketika itu kepadanya. Tapi kemudian saya menarik balik segala yang telah saya kemukakan. Kata saya: Bukan. Sebenarnya takdelah terasa nak buat sangat pun ni semua.

Dia mengulas sedikit. Katanya, tahap menjauhkan diri dari segala aktiviti dan menjadi pengabai tegar (ignorant) yang ada pada saya pada waktu itu setinggi tembok Gaza. Nasihatnya, saya kena berhadapan dengan apa yang terjadi. Tak boleh lari. Kena hadapi juga semuanya.

Saya bertanya, kalaulah hal itu berkaitan dengan studi, maksudnya, perlukah saya menjauhkan diri daripadanya? Dan kalau ia berkaitan dengan orang, perlukan saya menjauhkan diri daripadanya? Responnya, kalau itu berkaitan dengan studi, wajiblah didepani. Kalau itu berkaitan dengan orang, usaha dulu sebaiknya untuk jauhi andainya itu yang terbaik. Tapi kalau diri sendiri tahu yang suatu hari nanti kita tetap mahu kembali padanya, buat apa larikan diri. Berdepan dengan keadaan tu dari awal-awal lagi adalah yang terbaik.

Bagi saya, pendapatnya itu sangat bernas tetapi saya tidak nyatakan padanya betapa saya sangat menyetujuinya. Nanti dia kata, saya ni asyik bersetuju saja. Bagaikan tiada yang cela pada pendapatnya. Saya cuma sudahi sesi itu dengan berkata:

“Actually, what a person needs when she/he in depressed is a person to talk to.”

Sesungguhnya saya mula mencari apa punca yang menyebabkan saya tiada mood pada ketika itu dan lebih berani berdepan dengan masalah itu. Masalah itu cukup besar untuk orang seperti saya ini. Alhamdulillah masalah itu sudah lama selesai walaupun mengambil masa yang agak lama. Setidak-tidaknya, dengan nasihat dan pandangan yang saya terima pada malam itu membuatkan saya mula berani menjadi saya yang lebih tegas dan berdepan dengan keadaan.

Sebenarnya, sejak pagi tadi, saya rasakan seperti ada sesuatu yang saya lupa. Bila sudah malam, baru saya teringat bahawa kekuatan yang saya bina dalam diri ini disimbah ke dalam diri saya tepat setahun yang lalu. 20 Februari 2008.

Nota 1: Terlalu banyak perkara yang pertama kali saya terima/buat/tahu berlaku pada 18-20 Februari 2008.

Nota 2: Semua yang termaktub di dalam entri hari ini ada kaitan dengan 20 Februari 2008. Termasuk instumental Jangan Bilang Tidak. Ini piano piece yang paling saya gemari.

Nota 3: Esok saya akan memulakan posting baru. Obstetrics. Subjek ulangan. Sepanjang semester akhir ni, setiap posting hanya sekejap-sekejap saja. Selamat berhujung minggu untuk semua.

Nota 4: Entri melankolik. Klise sungguh. Sarah, tolonglah jangan menulis macam ni dah. Dah tua nanti baca semula, mesti rasa sebak. Suami, anak, cucu baca pun menangis sama.

Posted on February 20th, 2009 by Sarah  |  7 Comments »

Kisah Di Hospital (ii)

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah posting selama dua minggu di Forensic Medicine sudahpun berakhir. Kami mendapat tanda tangan doktor kami sehari awal. Jadi, saya akan bercuti sehari pada hari esok sebelum menyambung posting seterusnya pada hari Sabtu.

Ketika dalam perjalanan balik dari hospital, saya dan Farah bercerita tentang pengalaman dengan beberapa orang doktor yang paling meninggalkan sejarah selama berada di sini. Maka, tercetuslah idea saya untuk menyenaraikan doktor-doktor yang paling saya ingati dan kenapa mereka begitu signifikan dalam hidup saya selama saya di sini.

Prof. Zurabyan – Beliau merupakan profesor saya untuk subjek Bioorganic Chemistry ketika di tahun satu dulu. Umurnya sudah tua. Sudah seperti Albert Einstein saja rupanya. Kelasnya setiap Sabtu pagi pukul 8.30. Ketika itu, hostel saya terletak di barat daya Moscow dan kelas pula nun di timur laut Moscow. Perjalanan mengambil masa sejam setengah ke dua jam untuk ke sana. Jadi, kami semua terpaksa keluar seawal 6.45 atau 7 pagi untuk tiba ke sana tepat pada masanya.

Malangnya ketika di kelas, apa yang beliau ajar langsung tidak difahami. Mana tidaknya. Beliau kuat merokok. Bila masuk ke kelas untuk mengajar, baru bercakap sedikit, beliau sudah terbatuk-batuk. Kalau tak teruk, tak mengapalah juga, kan. Ini sampai termengah-mengah. Dalam Bahasa Rusia, masa rehat disebut ‘peririv’ dan merokok pula disebut ‘kurit’. Tetapi dengan Prof. Zurabyan, dia menyebut rehat sebagai ‘kuririv’ kerana baginya itu masa untuk merokok. Masya Allah. Yang buat saya tidak boleh lupa kepadanya ialah kenangan saya dan Farah yang pulang lewat malam ke hostel ketika musim sejuk tahun itu kerana terpaksa menunggu Prof. Zurabyan untuk menjawab soalan colloqium dengannya. Entah ke mana saja dia menghilang. Saya dan Farah tercongok di pejabatnya untuk menjawab soalan oral dengannya dari tengahari sehingga 8 malam! Berbuka makan biskut sekeping seorang saja pada pukul 4 petang itu. Tiada air. Bayangkanlah bila dah pukul 8 malam tu, punyalah lembik kami berdua sebab tak makan apa-apa lagi. Di department itu memang tiada kafe di dalam bangunan. Kedai terdekat memerlukan kami berjalan kaki keluar dari situ. Menyusahkan. Sudahnya berlaparlah kami sehingga balik ke hostel. Ini gara-gara beliau yang hilang entah ke mana. Dan bila kami hendak pergi kepadanya untuk menjawab soalan, dia pergi merokok pula. Aduh. Sabar jelah.

Bila kami sudah selesai final exam untuk subjek itu, kami pun sudah tidak menemuinya lagi. Ramai yang mengatakan bahawa beliau sudah meninggal dunia. Memang tak mustahil pun kerana beliau memang sudah sangat tua.ย  Hehe. Tapi ada sekali tu ketika di tahun tiga, saya ke Pejabat Dekan. Saya ke stalovaya (baca: kantin, tapi hakikatnya bukanlah kantin). Baru saja nak melangkah masuk ke sana, tiba-tiba saya terserempak dengannya. Terkejut juga saya waktu kerana kononnya beliau sudah meninggal. Tapi ni ada lagi ni. Huhu. Dengan rambutnya yang sudah putih, badan bongkok, yang saya mampu ucapkan padanya ketika itu hanyalah: Zdrastvuitye (ucapan selamat secara hormat apabila bertemu seseorang). Dia mengangguk-ngangguk saja. Dalam hati saya berkata: Eh eh, hidup lagi ya dia ni rupanya. ๐Ÿ˜†

Prof. Yonkina – Beliau merupakan seorang guru Physiology. Saya bukan pelajarnya. Tapi ramai yang memberitahu ketika colloqium (ujian bulanan), sangat susah untuk lepas dengannya. Saya tidak pernah mengenali wajahnya sehinggalah ketika semester kedua di tahun dua, beliau kerap memberi lecture. Sebelum itu, ada yang melawak dengan saya. Kata mereka, kalau tak kenal beliau sekarang pun tak apa. Nanti final exam dapatlah saya mengenalinya. Uishh. Simpang malaikat la hai. Saya dapat membayangkan susahnya menjawab final exam dengannya.

Sudahnya, ketika final exam, saya betul-betul terkena dengannya! Saya duduk selama 45 minit untuk soalan oral bersamanya. Segala benda ditanyanya! Menggeletar Ya Rabbi rasanya waktu tu. Di sebelah saya ada meja seorang doktor lain. Ada tiga orang pelajar sudah selesai menjawab dengan doktor itu, saya masih tidak selesai lagi. Huhu. Tapi Prof. Yonkina betul-betul berjaya membuat saya seram sejuk. Yang seronoknya, walau apapun soalan yang ditanyanya, semuanya mengena pada topik pujaan hatiku. Huhu. Yang paling saya ingat ialah soalan terakhir saya. Tentang Sleep Disorder dan kaitannya dengan Higher Nervous System. Fuh. Tajuk kesukaan tu! Tapi berbaloi Alhamdulillah. Saya dapat 5. Hehe. (Excellent = 5, Good = 4, Satisfactory = 3, Fail = 2).

Dr. Gulyaev – Beliau merupakan doktor untuk subjek Internal Disease ketika saya di tahun tiga. Ya Rabbi. Sukanya saya pada doktor ni. Jatuh cinta gitu. Beliau sangat hebat di mata saya. Ya Rabbi sukanya. Tak reti nak cerita macam mana. Beliau sangat tenang orangnya. Kebetulan pada tahun itu, masalah tulang belakang saya semakin teruk. Beliaulah yang merawat dan menolong saya. Makinlah saya sayang kepada doktor ni.

Hospital saya untuk subjek ini dikenali sebagai sangat lenient kerana para doktor di situ ramai yang tak berapa mengajar sangat tetapi lebih kepada membiarkan pelajar membuat persediaan sendiri. Tapi Dr. Gulyaev ni lain daripada yang lain. Saya hanya sempat menjadi pelajarnya ketika semester pertama saja. Semester kedua, saya memang belajar sendiri saja kerana doktor saya untuk semester itu ‘sibuk bebenor’ dengan hal lain. Ketika final exam, saya berharap sangat bahawa saya akan menjawab soalan oral dengan Dr. Gulyaev. Berdebar-debar saya menunggu pada siapakah credit book saya diberikan (credit book = buku rekod keputusan peperiksaan). Oh. Gembiranya saya. Buku saya diambil oleh Dr. Gulyaev. Sebaik duduk di hadapannya, saya mengucapkan selamat dan beliau terus bertanyakan khabar saya. Wahaa! Beliau masih ingat akan saya. Suka. Suka. Suka. Huhu.

Ada dua sebab kenapa saya mahu menjawab soalan oral final exam itu dengannya. Pertama kerana, saya sudah studi teruk untuk subjek itu. Saya tidak main-main membuat persiapan untuk subjek itu sebab memang ada yang ambil mudah saja kerana hospital itu lenient sangat ketika exam. Jadi, saya mahu disoal seadilnya dan bukannya ala kadar saja. Dr. Gulyaev terkenal sebagai seorang yang serius dan tidak bias. Jadi saya berharap agar dapat menjawab dengannya. Keduanya kerana, saya banyak menggunakan material dan nota daripanya. Untuk semester pertama, kerana beliau sendiri yang mengajar kumpulan saya. Untuk semester kedua, saya berusaha mendapatkan nota daripada pelajar-pelajar yang diajarnya. Jadi, saya memiliki set lengkap nota yang diajarnya. Sangat lengkap segala material yang diajarnya. Itu sebab saya sangat suka!

Dr. Gulyaev sangat memberika kesan yang besar dalam hidup saya. Saya mengidolai caranya. Sistemnya bekerja. Sifatnya secara peribadi juga hemah dan budi bahasanya. Beliau membuat saya mengubah tafsiran saya terhadap orang sini kerana sifatnya yang sangat suka membantu. Beliau membuat saya berhasrat hendak menjadi sehebatnya. Beliau membuat saya mula mempunyai matlamat yang tersendiri dalam bidang ini. Beliaulah pembuka jalan itu. Beliaulah punca segalanya.

Ketika mengikuti posting Ophthalmology di hospital bersebelahan hopital itu ketika di tahun lima, saya pernah terserempak dengannya ketika dalam perjalanan balik. Saya mengucapkan selamat. Beliau membalas dengan senyuman dan mengangkat tangan kanannya ke arah saya. Huwaaa. Saya bagaikan mendapat suntikan semangat waktu tu. Balik tu, terus saya bercerita dengan housemates saya tentang Dr. Gulyaev. Kalau kamu jadi housemates saya, kamu tahulah sendiri berapa kerap saya bercerita tentang Dr. Gulyaev ini. Terlalu kerap! Hahaha. ๐Ÿ˜†

Panjangnya cerita saya ni. Ni baru tiga orang doktor ketika pre-clinical years. Ada lagi ni. Nantilah saya sambung dalam bahagian ketiga pula ya.

Nota 1: Kisah Di Hospital (i) ada di blog lama. Ini episod kenangan yang seterusnya.

Nota 2: Ketika dalam perjalanan balik dari hospital tadi, saya jatuh seperti nangka busuk. Jalan penuh dengan ais. ๐Ÿ˜†

Nota 3: Maaf. Saya hanya sempat mengikuti perkembangan semua melalui Google Reader saja buat masa ini. Inipun ada banyak sangat yang saya tak sempat baca lagi. Maaf amat ya.

Nota 4: Selamat hari lahir buat Hazreen (20 Februari). Terima kasih banyak-banyak ye Hazreen. Terkejut dapat buku-buku tu tadi. ๐Ÿ™‚

Posted on February 19th, 2009 by Sarah  |  25 Comments »

Kisah Buku

Assalamualaikum wbt

Disebabkan semalam tidak dapat langsung untuk menghubungi keluarga, maka tadi terus saya menelefon emak di rumah. Tidak banyak yang dicelotehkan dengan emak kali ini. Topik hari ini berkisar tentang perkembangan adik-adik dan buku cerita.

Emak bertanya sama ada saya masih mahukan koleksi buku-buku cerita sewaktu kecil-kecil dulu. Saya bertanya apa yang hendak emak buat dengan buku-buku itu. Kata emak, emak hendak berikan kepala sekolah rendah saya dulu kerana banyak buku yang rosak ketika banjir yang lalu. Saya terus bersetuju saja. Tetapi kemudian, emak bercerita bahawa Kaklong ada menyuruh emak menyimpan beberapa buah buku yang dia sayang. Contohnya Maniam The Rubber Tapper.

Lalu emak bertanya sekali lagi, dalam banyak-banyak buku koleksi Enid Blyton yang ada di rumah, masih adakah buku yang saya mahu simpan. Baru saya teringat, saya ada beberapa buah buku yang sangat bermakna untuk saya. Saiznya hampir sama seperti buku-buku Enid Blyton cuma ini versi Bahasa Melayu. Saya mengingatkan emak supaya mengasingkan kesemua buku yang berkisar tentang Sekolah Seri Melur. Dari Tingkatan Satu di Seri Melur sehinggalah Tingkatan Lima.

Koleksi ini bermula dengan sebuah buku yang dihadiahkan oleh Makde saya sempena hari lahir saya yang ke tujuh pada 1992. Saya dalam darjah satu. Saya tahu buku itu ada sambungannya pada siri-siri yang seterusnya tetapi saya tidak meminta ayah belikan. Sudahnya, saya hanya mampu untuk memiliki tujuh buah lagi sambungan untuk siri itu ketika tahun 1997 (darjah enam).

Kebetulan saja ketika itu saya terjumpa buku-buku untuk siri itu dijual murah (kerana buku lama yang sudah tidak diminati) dengan harga RM1 sebuah. Beberapa tahun sebelum itu, saya ada menjumpai siri ini dijual di kedai buku di bandar saya itu. Tetapi harganya RM5.50 untuk sebuah buku. Saya tetap tidak mahu meminta ayah belikan. Jadi saya diamkan saja. Sehinggalah ketika darjah enam, saya ke sebuah kedai untuk menempah tanda nama baru untuk sekolah. Di sana, saya terlihat buku itu di rak buku. Harganya cuma RM1. Saya punyalah gembira.

Esoknya saya datang lagi ke situ untuk mengambil tanda nama yang telah siap dibuat. Saya membawa RM10. Untuk tanda nama itu, saya perlu membayar RM1.50. Dengan baki RM8.50 itu, saya memborong tujuh buah buku siri tersebut. Dengan baki RM1.50, saya pulang menaiki bas. RM10 yang saya bawa itu adalah hasil tabungan sendiri. Nekad saya sejak darjah satu itu akhirnya tercapai iaitu untuk membeli buku-buku sambungan yang saya miliki hadiah daripada Makde itu dengan duit sendiri. Saya puas hati walaupun mengambil masa bertahun-tahun untuk memilikinya. Oh. Sebak pula.

Tiba-tiba saya teringatkan dua buah buku cerita yang emak hadiahkan kepada saya dan Kaklong ketika kami darjah satu dan dua. Hadiah hari lahir. Ketika itu emak mengajar di Mentakab dan seingat saya emak membeli buku tersebut melalui promosi buku yang datang ke sekolah emak. Tajuknya ialah Anjing Yang Malang dan Rumput Di Tepi Pagar. Saya dan Kaklong selalu bergaduh buku mana satukah milik masing-masing. Saya menyuruh emak menyimpan juga dua buah buku ini kerana nilai sentimental yang dimilikinya.

Menurut emak, kesemua edisi Sesame Street dan The Owl Family (koleksi ensiklopedia kanak-kanak seperti Sesame Street yang berkulit keras) tidak akan diberikan kerana sudah uzur benar keadaannya. Mana tidaknya. Dulu-dulu waktu kami kecil-kecil, kami dipaksa membaca buku-buku ini. Kalau hari Sabtu emak terpaksa ke sekolah, balik dari sekolah emak akan bertanya buku mana yang kami sudah baca. Sudah habis pun, kami akan ulang baca lagi. Inilah latihan kami dulu-dulu untuk memahirkan Bahasa Inggeris. Adik-adik sekarang sudah lain. Bukan macam zaman kami tiga beradik yang teratas. Punyalah kena kawal, kena paksa baca macam-macam. Tapi seronok sungguh kenangan itu.

Dan yang terakhirnya, saya menyuruh emak menyimpan buku bertajuk Ito The Green Alien. Inilah buku yang paling bersejarah dalam hidup saya. Kalau Kaklong menyuruh emak menyimpan buku Maniam The Rubber Tapper kerana dulu dia menangis-nangis ketika dipaksa membaca buku itu, saya lain pula ceritanya. Dulu saya lebih suka membaca buku Sherlock Homes. Waktu itu baru tadika atau darjah satu. Tak padan dengan umur. Buku budak-budak yang nipis-nipis saya ketepikan. Jadi saya dipaksa membaca buku Ito The Green Alien. Saya memberontak. Nak tahu apa yang saya buat sebagai tanda protes?

Saya lari dari rumah. Saya lari ke rumah Tok saya. Dan sebenarnya, rumah Tok saya cuma terletak 200 meter saja dari rumah saya. Hahaha.

Apa-apapun, saya sangat sayang kesemua koleksi buku yang pernah Kaklong, saya dan Nan miliki sejak kecil dulu. Termasuklah koleksi buku sirah yang ayah belikan dulu-dulu. Zaman adik-adik di bawah kami, koleksi mereka sudah sedikit lain. Sudah ada ensiklopedia sains yang lebih cantik dan canggih. Tapi persoalannya, adakah adik-adik saya yang lain betul-betul memanfaatkan apa yang mereka miliki itu? Setiap kali balik bercuti, saya mesti tarik Aiman dan Azizi duduk di ruang tamu bersama saya semata-mata untuk mengajak mereka membelek-belek buku-buku yang emak ayah belikan untuk mereka. Sudahnya, tinggal saya seorang saja yang ralit dengan segala info menarik yang terdapat di dalamnya. Tentang pelbagai eksperimen. Memanglah menarik, kan. Mereka pula sudah ke depan TV menonton Sponge Bob dan The Blue’s Clue.

Adoi. Dilema susahnya kanak-kanak zaman dulu dan sekarang berbeza, kan? Emak, sila suruh Adam, Azizi dan Aiman baca apa yang Ngah ceritakan ni. Biar mereka sedar sikit susah senang kami ni dulu-dulu macam mana. Bukan sesenang hati boleh meminta itu ini dan sanggup bersusah menyimpan duit belanja semata-mata untuk memiliki sesuatu buku itu dengan duit sendiri. Ngah ingat lagi. Nan dulu-dulu pun menyimpan duit belanja sendiri untuk membeli siri Detektif Conannya tu.

Oh ya. Selamat bertemu kembali untuk kawan-kawan dari blog lama saya. Maaf lambat memaklumkan. Semoga kita dapat menyambung ukhwah di sini pula ya. Mari berkenalan semula.

Hai. Saya Sarah. Siti Sarah Mohd Shukor. Saya masih saya yang sama cuma telah berpindah rumah dan berjiwa lebih gagah. Jangan harapkan apa-apa daripada saya. Saya menulis sebagai teguran dan kenangan untuk diri sendiri. Apa yang baik harap dapat dikongsi bersama dan apa yang tidak baik diteguri. Oh ya. Sekarang saya seorang pengabai yang tegar. Jika ada yang cari pasal dengan saya seperti dulu, saya tidak teragak-agak untuk membela diri. Kan saya dah kata. Saya kini berjiwa gagah kerana saya adalah Sarah. Marilah perkenalkan diri kamu pula ya.

Nota 1: Saya teringat-ingat kenangan dipaksa membaca buku-buku Bahasa Inggeris dengan kuat oleh emak dulu-dulu. Kalau salah, kena tegur. Huhu. Malu seh kalau salah. ๐Ÿ˜›

Nota 2: Gembira akhirnya saya tidak perlu merahsiakan lagi tentang blog ini. Selamatlah untuk semuanya ya! ๐Ÿ™‚

Posted on February 15th, 2009 by Sarah  |  43 Comments »

Jika Naif Tuntutlah Ilmu

Assalamualaikum wbt

Saya masih ingat lagi apa yang berlaku dalam ujian bulanan untuk kali pertama ketika saya berada dalam darjah satu. Saya bersekolah di sebuah sekolah swasta agama. Salah satunya ialah subjek Akhlak. Untuk ujian itu, semua soalannya objektif (seingat saya). Cuma soalan-soalannya semua ditulis dalam Jawi. Tulisan itu bukan masalahnya. Saya kira semua soalan-soalan yang ada ketika itu semuanya senang belaka.

Tapi, ada satu soalan yang sehingga hari ini akan buat saya tersenyum bila teringatkannya. Terutamanya ketika hendak tidur.

Soalan berbunyi: Kita disunatkan untuk tidur menghadap ke arah:

a) Sejadahย ย ย ย  c) Kiblat

b) Dindingย ย ย ย  d) Bantal

Kisahnya, sebelum saya berpindah ke rumah yang sekarang, saya dan keluarga menetap di sebuah rumah sewa sementara menunggu rumah kami siap dibina. Rumah sewa itu terletak berdekatan dengan rumah Tok. Di kaki bukit rumah Tok. Ketika itu saya di tadika. Rumah kami siap sekitar Ogos tahun itu juga.

Ketika di rumah sewa itu, saya ditempatkan sebilik dengan Kaklong. Katil kami saiz permaisuri kerana kami memang permaisuri emak ayah. Haha. Mengarut. Saya bersebelahan dinding dan Kaklong tidur di bahagian yang tidak berdinding. Di tepi katil kami ada ruang untuk solat. Tapi biasanya kami akan solat di bilik solat yang bersebelahan dengan pintu ke dapur. Kami kena solat di situ sebab emak hendak memeriksa bacaan dalam solat kami. Kalau salah, kena titik jari. Kalau betul? Bolehlah keluar cepat dari situ dan boleh tengok TV cerita Thailand bersiri ‘Mi Ek’. Menangis-nangis tengok cerita tu. Kalau sebelum tu dah kena titik jari sebab salah hafalan bacaan dalam solat, menangisnya tu lebih banyaklah, kan.

Kisahnya lagi, kedudukan bilik solat tu dari bilik saya hanya bersebelahan saja. Kiranya, di sebelah dinding tempat saya menyandar dari atas katil bahagian saya tidur ialah bilik solat tu. Arah kiblat di rumah itu lurus saja. Kalau masuk dari pintu utama, terus sajalah kiranya. Terus menghadap kiblat. Nak solat di beranda depan pintu rumah pun boleh juga kalau nak. Dari pintu utama juga boleh terus nampak ke pintu bilik saya.

Di dalam bilik, katil diletakkan secara melintang. Mesti penat kamu semua nak membayangkan segala rajah pintu rumah, arah katil, arah kiblat semua ni kan? Tak mengapa. Teruskan saja baca kalau larat. Bila katil diletakkan melintang dari muka pintu bilik, bermaksud arah kiblat juga sudah berubah menjadi di sebelah kanan saya jika saya berbaring. Dinding pemisah dengan bilik solat juga sudah berada di sebelah kanan saya.

Apabila tidur malam, emak terangkan dengan ayat lurusnya: Hadaplah ke kanan. Ke dinding tu. Jadi saya dan Kaklong yang masih kecil ni pun faham bahawa eloknya tidur kita tu ialah mengiring ke kanan dan menghadap ke dinding.

Dah dapat meneka apakah jawapan saya untuk soalan ujian bulanan subjek Akhlak tu? Ya. Jawapan saya ialah b) Dinding. Punyalah yakin saya menjawab soalan tu. Dalam hati saya waktu tu, saya terbayang-bayang kedudukan katil saya ketika di rumah sewa itu dulu. Terbayang-bayang keadaannya saya berbaring di atas katil saiz permaisuri zaman Puteri Hang Li Po tu. Memang yakinlah jadinya saya ni, kan. Padahal, keyakinan yang sesat lagi menyesatkan. Kalaulah emak tahu inilah yang saya bayangkan ketika menandakan jawapan saya itu, mesti saya kena titik jari lagi. Mana tidaknya. Emak mendidik anaknya tidur menghadap kiblat dan mengiring ke kanan. Yang saya percaya, tidur perlu mengiring ke kanan dan menghadap dinding.

Jadi selepas daripada ujian itu, saya dapat satu lagi ilmu. Tidur menghadap ke arah kiblat itu adalah sunat. Ada hikmahnya. Kalau-kalau kita mati dalam tidur, kita mati menghadap ke arah yang sepatutnya. Bersiap-sedia. Dan bila dah besar panjang, belajar pula bidang perubatan, saya dapat tahu pula hikmah tidur mengiring ke kanan.

Dapat mengelakkan heart and lung congestion. Situasi di mana jantung kita overload atau dilimpahruahkan dengan kitaran darah yang lebih banyak dikembalikan ke jantung ketika kita berbaring. Disebabkan kita mengiring ke kanan, proses melimpahruahkan darah ke jantung yang terletak di sebelah kiri akan terbantut. Lung congestion pula ialah situasi paru-paru kita menjadi terlebih lembap gara-gara heart congestion tadi. Paru-paru yang lembap boleh menyebabkan kita batuk dengan teruk dan semput nafas dengan teruknya di waktu malam. Sebab itu, eloknya kita tidur dengan meninggikan sedikit paras kepala daripada dada.

Hidup ini untuk terus belajar. Kalau kecil-kecil dulu penuh dengan ajaran sesat yang kepala sendiri tafsirkan (sampaikan saya pernah percaya tak gosok gigi sebelum tidur boleh mengundang lipas datang menggigit bibir sedangkan faedahnya adalah untuk kebersihan mulut dan mengelakkan caries gigi), tapi semakin kita membesar, semakin kita penuhi diri kita dengan ilmu.

Tolabal ilmu minal mahdi ilal lahdi. Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad.

Dulu saya naif. Emak mesti terkejut membaca pengakuan saya yang satu ini. Emak nak titik tak jari Ngah bila Ngah balik nanti? ๐Ÿ˜‰

Nota: Bila menyebut tentang rumah sewa kami tu, saya akan teringat dua peristiwa. Nan terkena kejutan elektrik yang teruk di tangannya dan kisah saya dan Kaklong belajar masak nasi sehingga terbakar tikar getah di dapur pada umur 6 dan 8 tahun.

Posted on February 8th, 2009 by Sarah  |  27 Comments »