La Tahzan

Assalamualaikum wbt

Cuma cerita pendek. Malam semalam saya on call. Kebetulan di wad saya sendiri, tiada pesakit di cubicle saya kerana semuanya sudah dibenarkan pulang. Jadi pagi ini sebetulnya saya agak lapang sebab sewaktu ward round, tiada kes yang perlu saya bentangkan. Sebaik tamat on call sekitar 7.30 pagi, saya bergegas ke wad. Di sana bermulanya cerita.

Entah kenapa, disebabkan Dr. P itu, saya jadi sensitif yang teramat sangat. Benci betul perasaan yang begitu. Rasa mahu menjerit sekuat alam pun iya. Saya terus ke bilik HO on call yang terdapat di wad itu. Beg saya berada di situ. Kalau ikutkan hati, hendak saja saya lari balik. Sudahlah malam tadi saya sempat lelap hampir satu jam saja. Saya betul-betul bengang waktu itu. Sedih. Kecewa. Marah. Menyampah. Benci. Semua ada.

Sebaik saja masuk ke bilik itu, niat saya mahu menangis. Mahu lepaskan apa yang saya rasa. Tapi elok saja saya duduk di kerusi di dalam bilik itu, terhidang sebuah buku di depan saya. La Tahzan versi hawanis. Hati saya tersentak. Dalam saya memerlukan suara orang memujuk dan memberikan kata-kata semangat, datang ayat-ayat nasihat yang cukup lembut. Terus saya tidak jadi bersedih.

La Tahzan. La Tahzan. La Tahzan.

Kadang-kadang saya rasa, seorang HO itu maksudnya ialah Hamba Orang. Dan kau tidak punya dunia lain selain kerja dan menghambakan diri. Dan kau tidak punya hak ke atas diri sendiri. Padanlah muka kau siapa suruh memilih kerja begini.

Nota 1: Abang Wan, I miss you!

Nota 2: Malam ini post call. Tidur. Tidur. Tidur. Siapa berani mesej ke, telefon ke, jagalah. Hari tu, saya tak on call pun menyibuk je nak call. Sekarang saya memang allergic betul dengan bunyi handphone. Huh.

Posted on October 14th, 2009 by Sarah  |  16 Comments »

Cerita Raya

Assalamualaikum wbt

Oh. Saya geram bila membaca entri kawan-kawan di Google Reader saya. Semuanya bercerita tentang raya. Haa. Ni saya nak cerita tentang raya saya pula. Hahaha.

Raya saya tahun ini sangat istimewa. Ketika berbuka puasa di hari terakhir Ramadhan, saya sempat memecut balik berbuka di rumah bersama seluruh ahli keluarga. Kaklong, Nan dan Adi sudahpun berada di rumah. Selesai berbuka ala kadar, tidak sempat lagi mendengar alunan takbir di TV, saya sudah memecut kembali ke hospital. Oh ya. Sejak mula bekerja, saya memang menjadi perempit terhebat. Dalam masa 10 minit, saya sudah tiba di hospital semula.

Sekitar 8 malam itu, saya sudah mula membuat night review di wad. Tiba-tiba saya terdengar suara seorang pesakit saya menyapa: Selamat hari raya, doktor. Doktor tak cuti ke? Dia tersenyum-senyum ke arah saya. Eh, baru saya teringat malam itu adalah malam raya. Ya. Itulah ucapan raya yang pertama sekali saya terima untuk tahun ini. Saya mengucapkan yang sama kepadanya. Saya menambah: Saya tak cuti. Tahun ni kita beraya sama-samalah di wad ye, Pakcik. Dia tersenyum saja kepada saya.

Apabila saya sampai ke cubicle saya yang paling hujung (ini cubicle untuk subacute cases), saya terdengar sayup-sayup suara takbir di ruangan TV di sebelah cubicle itu. Saya menjenguk ke situ setelah selesai membuat review di bilik itu. Beberapa orang pesakit saya yang stabil dan boleh berjalan sedang menonton TV di situ. Mereka terus menyapa: Selamat hari raya, doktor. Saya pun membalas dengan ucapan yang sama kembali. Mereka sedang mendengar alunan takbir.

Waktu itu saya terasa sangat sayu. Sayu kerana mengenangkan inilah kali pertama saya mendapat ucapan raya daripada pesakit sendiri dan meraikan malam raya saya di hospital bersama mereka. Keduanya, saya merasa sayu kerana terkenangkan ahli keluarga saya yang sedang berkumpul di rumah. Tak sangka pula saya, tahun ini saya tetap tidak dapat meraikan raya bersama mereka. Malam itu, walau ke wad mana pun saya, ada saja pesakit yang mengucapkan Selamat Hari Raya. Berbeza sungguh perasaannya, tau.

Keesokan paginya, selesai saja Subuh, saya sudah meninggalkan rumah. Waktu itu, hanya emak, ayah dan Kaklong saja yang sudah bangun. Sebelum pergi, emak menyuruh saya menjamah Laksa Penang yang emak sediakan. Haa. Rumah saya memang terkenal dengan Laksa Penang setiap kali hari raya. Untuk tidak kempunan, saya menjamah beberapa sudu laksa itu. Kemudian, saya menyalam emak dan ayah. Selepas itu, saya terus bertolak ke hospital. Ada satu rahsia tau. Ketika di dalam kereta pagi itu, saya termenangis sikit. Sebak tak pasal-pasal saja pagi tu. Maklum sajalah. Banyak sangat lagu raya yang syahdu-syahdan berkumandang di radio. Sampai buat saya terfikir banyak kali: Kenapalah saya jadi doktor.

Selepas selesai ward round pagi itu, sekitar 11 lebih, saya dibenarkan rehat agak lama. Kata kawan-kawan sekerja yang bertugas di hari raya itu, mereka akan cover kerja saya. Mereka suruh saya pergi menikmati raya. Hehe. Terharu betul saya dengan kawan-kawan saya ni. Yang saya ingat, waktu itu, Dr. J dan Dr. K yang berbangsa India yang mengambil alih kerja saya sehingga jam 2 petang. Kebetulan, memang tiada apa sangat pun dah. Semuanya sudah selesai dan tiada discharge summary pun yang perlu disiapkan. Jadi, saya pun pulang ke rumah dengan perasaan yang sangat gembira.

Sampai saja di rumah, meriahnya suasana! Berbelas-belas buah kereta tersadai di atas bukit rumah saya. Semua emak saudara, ayah saudara dan sepupu-sepapat sedang makan-makan di rumah Tok, Tok Cik dan Mak Tam Chinor. Di rumah saya juga sedang penuh. Sebaik saja masuk ke rumah, semuanya menyerbu saya. Yang kecil-kecil ni lagilah. Semua datang nak bersalam. Sayangnya, tiada duit raya pun yang saya hulurkan. Muahahahaha.

Saya berkumpul bersama emak, ayah dan adik beradik. Kami bersalaman sesama kami dulu. Dan HOYEAH! Saya mendapat duit raya daripada Kaklong dan adik saya Nan. Maklum sajalah. Mereka berdua ni dah lama bekerja. Hihi. Selesai bersalaman, saya terus ke rumah Tok saya. Bertemu Tok dan emak serta ayah saudara. Rumah Tok buat nasi minyak. Terus saya menjamah sedikit. Kemudian sesi bergembar bersama sepupu-sepupu. Besar-besar dah kami semua. Betapa lamanya dah saya tidak rasakan suasana begini.

Kemudian, saya ke rumah Tok Chik dan Mak Tam Chinor saya yang berdekatan. Di rumah Tok Chik, saya bertemu Adha. Dua pupu saya merangkap teman bermain sewaktu kecil dulu. Masya Allah. Saya tak cam langsung bahawa itu adalah Adha! Lainnya dia. Dah macam ayah orang. Hahaha. Begitu juga beberapa orang yang lain. Sampaikan, ada beberapa orang adik saudara sebelah Tok Chik langsung saya tidak kenal.

Balik saja ke rumah, saya terus masuk bilik dan tidur. Hahaha. Nak buat macam mana. Malam sebelumnya tu, saya balik rumah pukul 1.30 pagi. Pukul 5 pagi sudah bangun. Saya sangat tak cukup tidur. Masuk saja Zohor, saya bangun solat dan terus bersiap untuk ke hospital semula. Sekitar pukul 6 petang, specialist saya menyuruh saya balik saja. Katanya: You pergi enjoy raya puas-puas dulu. Dulu you belajar pun tak dapat raya. Sekarang dah balik Malaysia pun tak dapat raya. Sudah, sudah. You balik. I’ll get someone else to get your job done.

Muaaaaah! Thank you Dr. Cheong and Dr. Tin!

Balik saja ke rumah, saya terus ke dapur mencari laksa emak. Masya Allah. Kuahnya dah tinggal serdak saja. Saya terus mencapai mangkuk dan melantaklah saya seorang diri di dapur. Elok saja selesai Maghrib, saya sudah masuk tidur. Keesokannya, saya sudah meninggalkan rumah seawal 5.45 pagi.

Kebetulan, selepas raya, saya berkesempatan merawat bekas ustaz saya sendiri. Pada hari beliau dibenarkan pulang, isterinya yang juga merupakan bekas ustazah saya datang menghampiri. Beliau menghulurkan sebungkus plastik berisi sesuatu. Kami bersalaman tanda perpisahan. Ustazah mengucapkan terima kasih atas perhatian yang saya berikan ke atas suaminya sepanjang beliau ditahan di wad. Saya terharu menerima ucapan terima kasih daripada ustazah saya. Beliau menyuruh saya menerima plastik yang diberikannya itu. Katanya, itu rezeki raya saya kali ini. Sebaik saja ustazah berlalu, mata saya terkebil-kebil seketika. Saya menerima sebekas kuih raya daripadanya. Dunia ini penuh asam garam. Saya sendiri tidak pernah menyangka akan merawat guru-guru saya sendiri. Mungkin, inilah bentuk khidmat bakti yang boleh saya kembalikan buat mereka.

Pada Sabtu minggu lepas, keluarga saya membuat rumah terbuka. Emak menjemput rakan-rakan guru, kawan-kawan emak ayah dan teman sekolah adik-adik untuk ke rumah. Sayangnya saya tiada di rumah pun pada hari itu. Eh, silap. Adalah kejap saya di rumah pada petang itu. Saya cilok balik ke rumah sekejap untuk mengambil baju kerana pada malam itu saya on call. Kata emak, orang tak putus-putus bertandang. Menu pada hari itu ialah nasi minyak. Huuu… Saya terlepas suasana meriah itu. Cuma sebelum saya bertolak balik ke hospital semula, saya sempat bertembung dengan segerombolan cikgu-cikgu yang datang bersama keluarga masing-masing.

Dan raya kali ini, saya hanya sempat bertakbir sebanyak satu pusingan saja. Saya agak terkilan akan hal itu. Tunggu. Tunggu Raya Haji nanti. Saya mahu bertakbir sepuas-puasnya. Insya Allah.

DSC_0331

2

3

4

5

Nota: Saya ada cerita tentang saya masuk wad. Maksud saya, saya sendiri yang ditahan di wad. Huhu. Tungguuuuu~ :mrgreen:

Posted on October 8th, 2009 by Sarah  |  10 Comments »

Dalam Dilema

Assalamualaikum wbt

Baru saja dua hari lepas saya kata saya tak pernah bercuti sejak mula bekerja ni. Alih-alih, semalam saya cuti mengejut dan begitu juga hari ini. Saya demam panas. Pakej lengkap dengan batuk-batuk, selesema, sakit tekak, muntah-muntah, kurang darah merah dan tekanan darah rendah. Daripada sehari, cuti saya ditambah lagi dua hari.

Tapi rasanya esok saya tetap akan pergi kerja. Bukan apa. Walaupun cuti, ramai betul yang telefon tak sudah-sudah. Sedangkan saya sudah memberitahu operator bahawa saya tidak bertugas pada hari semalam dan hari ini. Tapi tetap juga menderu-deru orang yang telefon.

Kalau ikutkan, nak saja saya tutup telefon. Nak rehat sungguh-sungguh. Tapi kalau tutup telefon, nanti hal-hal peribadi pula yang tergendala. Betullah kata senior-senior. Bila sudah mula bekerja, maknanya saya tiada kehidupan peribadi. Personal life. Nombor telefon semua doktor wajib diberikan kepada operator. Ada apa-apa, semua orang boleh menelefon operator minta untuk disambungkan terus kepada kami. Kadang tu, baru saja hendak solat di surau, ada panggilan dari hospital. Wajib angkat. Bila dijawab, rupa-rupanya dari Kecemasan. Minta datang untuk clerk case. Masalahnya ada dua oang lagi partner saya sebagai 3rd call pada hari yang sama. Di mana mereka? Terpaksalah saya bergegas solat dan kemudian berlari menuju ke Kecemasan. Berlari ok. Bukan berjalan laju-laju.

Walaupun saya masih MC pada hari ini, saya tetap ke hospital pagi tadi. Seminggu yang lalu, seorang pasekit saya telah dibenarkan balik tetapi dia sudah mempunyai temujanji untuk U/S HBS dan CT Thorax (malas pula saya nak terangkan apa dua benda alah ni =p ). Tarikhnya pada hari ini. Untuk CT Thorax, doktor perlu mengiringi pesakit. Jadi pagi tadi saya ke hospital untuk bertemu pasakit saya ini dan juga anaknya. Pakcik ni sudah menjadi pesakit saya sejak dia mula-mula ditahan di wad dulu. Jadi, saya sangat mengambil berat akan perkembangannya. Selesai semuanya tadi, baru saya bertolak pulang.

Kebetulan saya masih demam dan pening-pening. Saya singgah di Klinik Kesihatan Daerah saja untuk mengambil ubat muntah. Tapi tak pasal-pasal, ramai pula yang menghubungi. Tanya kenapa saya MC. Berapa hari saya MC. Dah beritahu specialist ke belum. Tadi kenapa datang hospital. Esok kerja ke tidak. Hari ni dah rasa sihat ke tidak. Petang ni datang kerja boleh ke tak. Ya Rabbi. Bercampur aduk perasaan saya waktu tu. Hendak saja saya marah kalau ikutkan rasa tidak sabar. Macam saya ini adalah seorang pesalah kerana bercuti sakit. Bukannya saya pinta-pinta sakit ini.

Saya sudahpun memberitahu specialist. Malah, specialist saya sangat mengambil berat atas apa yang terjadi ni. Iyalah. Dia risau saya H1N1 positif. Kalau ikutkan, MC saya masih berbaki satu hari lagi. Tapi nampak gayanya, dengan desakan bertalu-talu dari orang sekeliling, saya tetap akan pergi kerja juga pada hari esok. Memang secara peribadi saya hendak pergi juga esok sebab saya tidak betah duduk di rumah apabila teringatkan pesakit-pesakit saya di wad. Sampaikan termimpi-mimpi pasal mereka. Dengan emak ayah pun saya asyik bercakap tentang mereka saja.

Tapi asakan dari luar betul-betul buat saya rasa saya ni tiada hak untuk diri saya sendiri. Kadang tu bukan apa, saya rasa saya sangat kerdil di jabatan saya tu. Sampai saya rasakan, setiap yang saya buat adalah salah. Entahlah. Saya harap saya dapat buang perasaan yang begini secepatnya. Kalau tidak, saya tidak akan ada rasa yakin untuk bergerak dengan sendiri. Asyik rasa saya sedang buat salah saja.

Tapi lain pula keadaannya sewaktu sedang on call. Saya rasa lebih yakin walaupun berseorangan saja ketika itu. Walaupun letih, mengantuk dan segalanyalah yang lembik-lembik, tapi saya tetap bersemangat hendak melalui tempoh on call saya sehingga ke esok pagi dan kemudian menyambung tugas harian di waktu pagi di wad saya seperti biasa. Tiada perasaan serba salah menghantui saya. Tapi bila diapit oleh hal-hal luar yang menyesakkan, saya mula akan rasa goyah. Saya rasa tidak senang untuk bergerak dan membuat kerja. Entahlah.

Apabila membaca dilema yang diutarakan oleh Hakimah, saya sangat menyetujuinya. Hakimah ni kawan saya sejak di PASUM dulu. Dia kini berkhidmat di Melaka juga di Medical. Setiap apa yang diceritakannya, hampir semuanya saya rasai juga.  Cuma setakat ini, saya tidak pernahlah pula dimarah teruk-teruk atau kena maki hamun. Alhamdulillah saya masih terhindar dari bencana itu.

Tapi, perihal solat dan kesempatan bermesra dengan Tuhan adalah sangat terbatas. Sejak bekerja, saya biasanya solat Zohor sekitar 3 lebih. Untuk Asar pula, sudah pukul 6, baru sempat menjengah ke surau. Biasanya saya akan duduk rehat di surau sehingga Maghrib masuk. Tapi kalau dipanggil ke Kecemasan atau ada kes yang perlu di review di wad-wad lain, maksudnya Maghrib saya di hujung waktulah. Terlepas waktu pun pernah. Waktu itu saya di Kecemasan sedang menguruskan kes Epilepsy + Intracranial Bleeding 2′ to uncontrolled HPT (saya malas nak terang panjang lebar eh =p ). Kalut benar keadaan waktu itu. Bila keadaan sudah stabil, saya lihat jam, Masya Allah, sudah terlepas Asar rupanya. Dah nak masuk Isya’ dah pun. Saya meminta kebenaran daripada MO saya untuk berehat sekejap. Saya berlalu ke surau dalam keadaan penuh kesal.

Saya jelas duduk perkara ini jatuh dalam hukum darurat untuk kami semua dan ada rukhsahnya yang tersendiri. Tapi secara peribadi, saya tidak gemar dan terasa amat bersalah sekali kepada Tuhan. Mengaji pula, Ya Allahu Ya Rabbi. Selepas Ramadhan, saya tidak lagi berkesempatan menghadap Al-Quran setiap hari. Selang-selang hari. Itupun kejap saja. Besar sungguh dilema yang saya rasakan. Sebab saya berubah menjadi seorang yang lain sejak memikul jawatan ini.

Jadi, saya sangat memahami apa yang sedang Hakimah rasai. Semuanya serba-serbi sama dengan apa yang saya rasa. Mungkin kerana kami dari latar belakang yang hampir sama. Jadi apabila tersepit dalam situasi yang sebegini, rasa bersalah semakin menjadi-jadi. Saya pun nak berazam sepertinya. Walau sibuk yang bagaimana sekalipun, saya akan mengutamakan solat dan akan meluangkan masa untuk mengaji setiap hari.

Saya tidak mahu menjadi saya lain hanya kerana tanggung jawab yang sedang dipikul ini. Sedangkan, tanggung jawab ini sepatutnya menjadikan saya sebagai seorang pengumpul pahala yang lebih cekap mengatur dan mencuri masa.

Ya Allah. Cepat-cepatlah Kau buangkan rasa tidak selesa ini dari hati saya. Dan jatuhkanlah saya semula kalau ketinggian ini makin menghinakan saya di mata-Mu, Ya Tuhan.

Rabbi yassir wa la tu’assir.

Nota: Kalaulah saya boleh meminta-minta, saya tidak mahu bersuamikan seorang doktor dan tidak mahu anak-anak saya menjadi doktor. Hahaha. 😆

Posted on October 6th, 2009 by Sarah  |  11 Comments »

Kehidupan Baru

Assalamualaikum wbt

Selamat seminggu berkursus. Selesai sudah semuanya. Banyak yang terjadi di sana tapi episod cuti-cuti, jalan-jalan, makan-makan memang tidak ada sangatlah. Tapi, ada satu petang ketika di Pangkor, saya berkesempatan pergi berbasikal mengelilingi kawasan pulau, masuk kampung Cina dan main air sekejap di pantai bersama Nadia dan Baiz.

Selebihnya hanya program di dalam dewan, taklimat dan sebelah senjanya berbuka puasa bersama kawan-kawan. Malam, sebaik selesai program, masuk bilik terus tidur. Penat. Tidak sempat hendak buat apa-apa pun.

Dan esok, satu kehidupan baru akan bermula. Saya akan melapor diri di Jabatan Kesihatan Negeri dan kemudian terus melapor diri di hospital.

Jangan sebut pasal raya depan saya. Saya tidak akan beraya, tidak ada cuti raya dan tidak ada masa lapang langsung pun raya ini walaupun saya ditempatkan dekat saja dengan rumah.

Jadi, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat beribadah di hari-hari terakhir Ramadhan dan Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Maafkan segala silap dan salah saya selama ini. Semoga kamu semua bergembira di pagi Syawal nanti tanda kemenangan kita melawan hawa nafsu selama sebulan ini.

Insya Allah, kalau ada masa, saya akan menulis cerita-cerita terbaru saya sepanjang menjalani housemanship nanti. Didoakan semuanya baik-baik saja ya sama ada di pihak saya mahupun kamu semua.

Nota 1: Terima kasih kepada semua yang ada berkongsi pendapat, pengalaman dan segalanya untuk dua entri sebelum ini. Saya tak ada masa hendak membalas semuanya.

Nota 2: Dunia saya ni akan menjadi dunia terbengkalai untuk sementara waktu. Tak payah jenguk sini pun tak apalah ye.

Posted on September 15th, 2009 by Sarah  |  24 Comments »