Dalam Renyai Hujan, Dalam Terang Bulan

Assalamualaikum wbt

Sudah seminggu lebih saya tidak membuka blog. Apa tidaknya. Sampai saja rumah, tak sempat lagi membuka tudung, saya memang sudah menghadap internet tapi hanya membuka email dan Facebook. Merayap sekejap membaca beberapa artikel penting (Iya, saya tahu. Malam-malam pun saya kena studi di rumah T____T ), kemudian terus masuk bilik dan tidur. Eh, tak mandi. Haha. Memang kadang-kadang tu tak sempat mandi pun. Letak beg, pegang handphone di tangan untuk memudahkan terjaga keesokannya dan terus tidur. Huhu. Habislah tiada siapa nak kahwin dengan saya. T____T

Sebenarnya ada macam-macam perkara terjadi sejak dua minggu yang lalu. Kisah on call dua minggu lalu. Kisah merawat kenalan keluarga saya yang kebetulan masuk ke wad saya. Kisah ke HKL nenoneno naik ambulan separuh gila nasib baik tak bersepai otak saya di atas jalan raya. Kisah hari Isnin yang gembira. Kisah duduk makan KFC seorang diri macam loser sambil layan lagu Ada Cinta dan kisah jatuh cinta di hospital. Hahaha. Saya tahu, kamu semua dah tak pelik sangat dengan semua cerita tentang hospital melainkan yang terakhir tu. Jeng jeng jeng. Saya tak nak cerita yang itu dulu. Kalau nak tahu, baca dulu cerita-cerita lain ni.

Sewaktu on call dua minggu yang lalu, waktu itu saya adalah 1st call yang bertugas di active ward. Massive admission sungguh malam itu. Bertalu-talu kes baru diusung naik dari Kecemasan. Dalam keadaan bekerja tanpa henti yang memerlukan pergerakan tangan dan kaki yang ligat, saya langsung tidak sempat MAKAN mahupun MINUM selama 24 jam! Nasib baik tiada apa-apa kecemasan yang dahsyat-dahsyat terjadi sepanjang malam itu melainkan seorang patient yang perlu di-intubate di tengah malam itu (Terkini: Patient itu baru meninggal dunia beberapa hari lepas. Al-Fatihah untuk arwah).

Kebetulan, wad yang aktif itu adalah wad baru saya. Keesokannya, saya mula bertugas di wad baru itu. Saya diletakkan di bahagian acute male. Kes-kes yang memerlukan perhatian rapi diletakkan di situ. Saya rasa kepala saya sudah separuh mereng pada waktu itu. Dan saya yakin, mesti ada yang sedar, saya tidak sempat mandi pun pagi itu. Hahahaha. Memanglah ada baju lain yang saya bawa tapi tidak sempat untuk pergi mandi pagi itu. Sewaktu solat Subuh tu, saya hanya gosok gigi, cuci muka tapi tak payah bangun pagi sebab memang tak tidur-tidur sepanjang malam itu.

Alkisahnya, selepas selesai ward round dengan MO dan specialist di wad baru itu, saya ke wad lama saya kerana hendak bertemu dengan pakar di sana. Ada urusan lama yang hendak saya sudahkan. Selesai bertemunya, saya ke tandas. Hajatnya sekejap saja. TETAPI, sedar-sedar saya sudah berada di sana selama hampir setengah jam. Cuba teka apa yang terjadi selama setengah jam itu? Hahaha.

Saya tertidur secara duduk dengan sopan sambil kepala terlentok di dinding tandas yang nasib baik memang sentiasa bersih dan wangi itu! Err. Ok ok. Saya mengaku. Ini bukan kali pertama saya tertidur begini. Hahaha. Ini adalah pengakuan berani mati. Sebelum inipun, saya pernah tertidur duduk begitu kerana kepenatan post-call. Siap pernah duduk berlunjur di dalam bilik air yang bersih itu! Hahaha. Err… Tidak berapa lucu saya kira. Silalah mengasihani saya atas insiden-insiden yang tidak semua orang terpaksa lalui ini. Siapalah yang mahu tidur dalam tandas, kan. Di atas toilet bowl pula tu. T____T

Cerita seterusnya, kebetulan seorang kawan ayah saya telah dimasukkan ke wad saya. Tapi sebelum tu, ini bukanlah kawannya yang pertama. Namapun saya ni berkhidmat di tempat sendiri. Hampir setiap hari saya bertemu dengan orang yang saya kenal. Jadi muka pasarlah saya di hospital ni. Saya kurang berpuas hati dengan diagnosis yang telah kawan saya berikan untuk kawan ayah saya ni. Tapi saya tidak membangkang terus diagnosis itu. Dalam hati, saya tetap memikirkan satu kemungkinan lain. Kebetulan petang hari kedua pakcik itu berada di wad, saya stay back untuk berbincang kes dengan kawan saya di wad walaupun saya tidak on call pada hari itu. Tiba-tiba berlaku kecemasan. Terkejut saya kerana yang sedang tenat itu adalah pakcik itu.

Pakcik itu kemudiannya telah dipindahkan ke bahagian acute male. Kini dia berada dibawa seliaan saya. Keesokannya, saya membentangkan kes itu kepada specialist, saya mengemukakan diagnosis saya, saya berjaya mendapatkan CT Brain urgent untuknya dan TAP! Diagnosis yang saya berikan adalah betul. Subdural Hemorrhage. Pendarahan dalam kepala. Malam itu juga (Saya tak on call, tapi saya stay back. Gilalah rajin, kan. Hahaha), kesnya berjaya dirujuk ke Neurosurgical Unit di HKL. Dan keesokan paginya, selepas saya selesai membuat semua review untuk cubicle saya, saya telah mengiringi pakcik itu ke HKL dengan menaiki ambulan. Ber-nenoneno-lah saya ke sana.

Tapi sumpah saya katakan. PENING! Laju sungguh ambulan hari itu. Tapi yang seronoknya kan, bila mengiringi patient ke hospital lain, saya macam dapat berehat kejaplah daripada segala hiruk-pikuk rutin di wad yang tak berkesudahan kerjanya tu. Huhu. Dalam perjalanan balik, saya duduk sebelah pemandu. Apa lagi. Tidurlah, kan. Dah berbulan tak ada peluang tidur siang, kan. Hehe. Oh ya. Dengan menaiki ambulan, perjalanan Temerloh-KL hanya mengambil masa 1 jam 10 minit saja. Masya Allah… Laju Ya Rabbi. Boleh pula sambil-sambil tu, pemandu ni bercerita dengan saya kisah-kisah ambulan kemalangan ketika hendak menghantar kes ke hospital-hospital lain, ada PPK mati, doktor mati. Huhu. Waktu tu, ambulan pula sedang ber-nenoneno dengan kelajuan 140 km/j. Saya duduk depan. Seram rasanya bila melalui kawasan Bukit Tinggi tu. Huhu.

Ok. Tukar cerita. Ini cerita gembira. Saya sudah mempunyai kereta. YEAY! Disebabkan saya ni tiada masa nak keluar ke tempat kereta tu untuk mengambil kereta tersebut, terpaksalah uncle tu menghantarkan kereta saya terus ke hospital. Huhu. ISNIN PERTAMA DI BULAN NOVEMBER ADALAH SUNGGUH MEMBAHAGIAKAN! Saya menggunakan Gen2. Hitam itu menawan. Cewah! Moga-moga saya cermat dan kereta saya ni dapat bertahan lama dengan saya, insya Allah. Tapi kan, saya tiada gaji lagi. Habislah saya bulan ni.  T___T

Cerita seterusnya. Eceh. Bajet macam Buletin Utama pula. Kebetulan semalam, adik saudara saya yang kemalangan bulan lepas tu teringinkan KFC. Dia meminta saya singgah dalam perjalanan pulang. Alang-alang dah singgah, saya pun belum makan apa-apa lagi sepanjang hari semalam, teruslah saya duduk makan di situ. Seorang diri saja tapi memesan Buddy Set yang untuk dua orang tu. Hahaha. Bukan apa. Saya nak dua ketul ayam. Tapi dapat air pun dua jugalah. Namapun Buddy Set. Tapi makan seorang diri. Duduk di satu sudut menghadap ke arah jalan raya. Termenung sajalah jawabnya. Tak kisahlah apa orang keliling saya nak kata. Saya makan kedua-dua ketul ayam, minum pun kedua-dua gelas air. Haha. Sambil tu, ada lagu Ada Cinta berkumandang. Sempatlah menambah perisa dalam menungan saya tu.

“Mengapa berat ungkapkan cinta padahal ia ada, dalam renyai hujan, dalam terang bulan, juga dalam sedu-sedan. Mengapa sulit mengaku cinta padahal ia terasa, dalam rindu dendam, hening malam, cinta terasa ada.”

Semua sila berhenti menyanyi sekarang. Huhuhu. Tapi puitis dan manis susunan ayatnya, kan. Maka tenggelamlah saya menghayati lirik lagu ini sambil makan KFC seorang diri.

Baiklah. Cerita yang terakhir tu saya sambung lain kalilah ya. HAHAHAHA. Mesti ramai yang bengang, kan. Kalau bengang, sila pergi dengar lagu Bengang. Huhu. Saya nak tidur dah ni. Inipun, sambil menaip entri, sambil makan nasi. Sekarang sudah pukul 11 lebih. Biasanya di saat ini saya sudahpun tidur. Esok pukul 4.30 pagi saya dah nak kena bangun studi sikit dan bersiap pergi kerja. Betul ni. Ni bukan alasan main-main. Saya kena tidur sekarang juga sebab saya dah terlajak waktu tidur yang sepatutnya. Dah lah esok saya oncall 1st call lagi. Nanti tak cukup tidur, siapa yang susah. Saya juga yang akan tertidur di dalam tandas lagi.

Jangan cakap banyak. Mari kita tidur. Selamat malam Malaysia dan Moskva!

Nota 1: Saya rindu dengan sangat pada Bumi Moskva dan seluruh kedinginannya! :cry:

Nota 2: Tajuk entri ni diberikan sebegitu rupa kerana di saat ini sedang hujan renyai dan bulan sedang mengambang penuh. ;-)

Nota 3: Saya memang tak sempat nak membalas komen tapi saya baca kesemua komen dan mesej daripada kawan-kawan. Terima kasih!

Posted on November 4th, 2009 by Sarah  |  36 Comments »

Akibat Terlebih Prihatin

Assalamualaikum wbt

Saya terharu pula dengan respon yang saya terima untuk entri lepas. Tak sangka pula saya, ramai yang selama ini menjadi pembaca secara diam di blog ini mula bersuara. Saya dah pun membuat keputusan.

Saya tidak akan berhenti berkongsi cerita tentang kehidupan di hospital.

Kerana saya teringat semula apa hajat dan niat saya. Saya mahu adik-adik yang masih menuntut dalam bidang ini mendapat gambaran sebenar dunia pekerjaan mereka nanti dan mereka sudah mula tahu apa yang perlu mereka buat dan patut tahu mulai dari sekarang. Terutamanya lepasan luar negara kerana orientasi hospital di Malaysia dan sistemnya jauh berbeza dengan di luar negara. Saya harap mereka dapat bermula pada suatu hari nanti dalam keadaan yang jauh lebih baik daripada saya.

Ok. Tak mahulah ayat yang serius-serius. Ini hujung minggu. Masa untuk bersantai ria walaupun esok saya 1st call di active ward. Ini ada satu cerita. Baru saja berlaku hari semalam, Jumaat.

Wad saya menjadi active ward. Semua kemasukan baru kes-kes medical disumbat ke wad saya. Di awal pagi lagi kami telah menerima seorang pesakit. Saya mendapatkannya untuk membuat full clerking di dalam wad.

Sudah lumrahnya bernama doktor, segala perubahan warna di kulit akan menarik minatnya untuk mengenal pasti apakah itu. Lokasinya juga perlu diberikan perhatian. Mungkin ruam biasa, mungkin ruam berdarah, mungkin palmar erythema, mungkin hematoma, mungkin spider nevi dan macam-macam lagi.

Saya ternampak beberapa tompok merah pada pesakit itu. Seperti lazimnya, saya bertanya sejak bila ada kesan merah itu, ada kemungkinan jatuh atau terhantuk tak, ada rasa gatal-gatal tak. Soalan-soalan yang sebegitulah lebih kurangnya.

Tapi saya pelik. Pesakit tu macam nak tergelak sikit. Dia seakan-akan menahan-nahan ketawa. Akhirnya dia bercakap secara berbisik kepada saya.

“Err… Doktor tak pernah tengok love bite ke?”

Hahahahhahahaa. Ambik kau, Sarah! Padan muka. Attentive sangat lagi. Ngahahahaha. Baru saya teringat. Malam sebelumnya itu adalah malam Jumaat. Tapi, sumpahlah mana saya tahu macam mana rupa love bite tu kan. Muahahaha.

Ok. Yang budak-budak tu kalau tak faham, tak payahlah pula nak google atau apa ye. Pergi main jauh-jauh sajalah ok. Hehe. Pembaca diizikan untuk ketawa. Baiklah. Cerita ini tamat di sini sahaja. :mrgreen:

Nota: Duit dalam bank dah nak kosong. Bila gaji nak masuk ni. Huhu.

Posted on October 24th, 2009 by Sarah  |  42 Comments »

Questionnaire Terhebat

Assalamualaikum wbt

Ini bukan entri biasa. Ini entri luar biasa. Questionnaire Terhebat namanya.

1) Apakah pekerjaan yang tiada belas kasihan?

Doktor. Kamu hendak cucuk orang ke, tebuk-tebuk perut dan dada orang ke, hendak arah-arah orang makan ubat ke, nak gasak-gasak dada atau jantung orang ketika CPR ke, nak jolok-jolok mulut untuk di-intubate ke, nak cucuk-cucuk lubang hidung orang dengan salur makan ke, semuanya boleh. Ada kamu dapat buat semua ni pada orang biasa tanpa kamu bergelar doktor? Tidak sama sekali.

Pekerjaan ini juga tidak mempunyai belas kasihan kepada orang yang bergelar doktor itu sendiri. Kalau bukan on call sekali pun, kamu tetap kena sampai jauh lebih awal sebelum 8 pagi dan balik jauh lebih lewat daripada 5 petang. Makan minum tidak terurus dan tidur bukan satu bentuk rehat yang terjamin.

2) Apakah pekerjaan yang tidak membolehkan anda melawa untuk pergi kerja?

Doktor. Kalau pakai tudung, kamu jangan harap nak gayakan keronsang di bahu. Nak pin-pin di belakang kepala ke atau menggayakan tudung ala selendang yang lilit-lilit di kepala pun tidak boleh. Kesemua fesyen ini tidak membolehkan kamu memasukkan stethoscope dengan cepat dan berkesan. Jadi, kekallah kamu dengan gaya yang sterotaip setiap hari. Tudung lepas ke bawah. Skema dengan pin yang tersusun di depan juga.

Untuk yang tidak bertudung pula, jangan harap nak lepas-lepaskan rambut sesuka hati. Kena ikat rambut dengan kemas dengan gaya yang sangat skema. Macam hari pertama kamu menjejakkan kaki di tadika. Ya. Tocang sebegitulah yang ramai masih kekalkan hanya kerana mereka bergelar doktor. Back to school mungkin.

Tidak ramai yang bersolek untuk pergi kerja. Bukannya tidak boleh. Boleh saja. Cuma ramai yang memilih untuk tidak bersolek kerana mereka tahu belum pun pukul 10 pagi, habis segala tepekan bedak ke, gincu ke, dah cair dan tidak kemas lagi dek kerana berpeluh. Tambahan pula, para doktor bukan sesuka hati boleh mengenakan bedak wangi-wangi dan minyak wangi. Ada pesakit terutamanya pesakit lelah yang alah kepada bau-bau begini. Atas nama seorang doktor, terpaksalh tidak berapa mewangikan diri ketika pergi kerja.

Kasut tumit tinggi? Saya kira, kalau ada doktor yang berkasut tumit tinggi sewaktu kerja, mereka itu pastinya sudah mempunyai klinik sendiri atau bekerja di Tabung Darah. Hahahaha. Inilah dua tempat yang paling boleh goyang kaki. Upsss.

3) Apakah pekerjaan yang memerlukan kamu sentiasa belajar?

Doktor. Yang ni tak payah hurailah. Semua pun tahu kenapa. Tak belajar, tersangkutlah kamu di takuk yang sama, sampai bila-bila. Dan untuk belajar itu pula, adalah satu proses yang sangat menyeksa jiwa.

4) Apakah pekerjaan yang dengannya kita boleh menjana ibadah sungguhpun sudah tidak melakukannya?

Doktor. Merawat orang sakit itu adalah ibadah dan jika orang yang kamu rawat itu sembuh dan segar kembali dan dapat meneruskan kehidupan dan ibadahnya, saham untuk kamu pun ada. Saham kamu berbentuk pelaburan sepanjang hayat. Sangat menguntungkan.

Sekian Questionnaire Terhebat. Jawapan nombor 4 selalu menjadi motivasi untuk saya walaupun dilambaki dengan berpuluh-puluh benda yang boleh menjatuhkan semangat saya.

Doktor itu da’i. Pendakwah. Saya teringat keadaannya apabila saya mula-mula bertugas dulu. Sudahlah pesakit kita ni sakit. Amat jarang pula saya jumpa yang solat. Ahli keluarga yang menemani pun ada yang tidak solat. Sedangkan, ruang katil di hospital ini sangat selesa. Ada tabir yang tersendiri dan ini memberikan privasi yang tinggi untuk setiap pesakit. Sebelum itu saya hendak ingatkan, di Malaysia ni, hanya ada beberapa buah saja hospital yang berkonsepkan Mesra Ibadah. Sepatutnya, hal ini tidak memilih hospital. Semua hospital pun boleh mepraktikkan benda yang sama.

Sewaktu awal-awal bertugas dulu, setiap kali berpeluang, saya akan memberitahu pesakit saya arah kiblat dari katil mereka. Untuk pesakit yang ada ditemani ahli keluarga, saya mengingatkan si anak itu untuk menolong ibu bapa mereka mengambil wudhuk. Saya sekadar memberitahu cara yang paling mudah yang boleh mereka guna pakai. Tapi pelaksanaannya, itu semua terpulang kepada mereka.

Ada sekali dulu, saya merawat seorang ustaz, berpangkat Guru Besar untuk sebuah sekolah rendah di bandar ini, yang juga merupakan saudara jauh saya. Sewaktu dia masuk, saya memberitahunya arah kiblat dari katilnya itu.  Ustaz ini kerap dimasukkan ke hospital kerana serangan lelah (bronchiol asthma). Selang beberapa hari, ustaz itu dipindahkna ke bilik isolasi yang mana bilik itu merupakan bilik di bawah tanggung jawab saya. Sewaktu pergi untuk mengambil darahnya di suatu pagi, dia berkata kepada saya:

“Tak pernah lagi sejak kali pertama saya masuk hospital dari muda-muda dulu, ada doktor yang beritahu saya arah kiblat dan cara nak solat dari katil. Ni kali pertama saya dengar ada doktor yang ingatkan pesakit tentang solat.”

Entahlah. Waktu itu, dalam hati saya, ada satu rasa saja. Saya sebak.

Nota: Kadang-kadang terasa nak berhenti menulis kisah di hospital di blog ini. Saya kurang senang kalau ada rakan sekerja yang membaca coretan saya. Sangat tidak selesa rasanya.

Posted on October 21st, 2009 by Sarah  |  32 Comments »

On Call

Assalamualaikum wbt

Beberapa hari lepas, saya on call sebagai 2nd call. Saya perlu menjaga dua buah wad medical yang pasif. Wad pasif bermaksud wad yang tidak menerima kemasukan kes baru untuk hari itu. Dan saya juga terpaksa menjaga kes-kes periferi di wad-wad lain yang memerlukan medical review.

Pukul 5 petang tu saya ke kafe sekejap. Haus yang teramat sangat. Jadi saya turun untuk membeli air. Tak sampai 15 minit lesap dari wad, saya sudah mula menerima panggilan telefon. Saya berlari naik. SPO2 seorang ventilated patient turun mendadak. Keadaan dapat distabilkan. Jenuh buah suction dan bagging. Waktu tu dah lah waktu melawat. Wad penuh denagn pelawat. Saya rasa sesak nafas dan berpeluh sakan waktu itu.

Baru saja duduk hendak menulis retrospective entry tentang apa yang terjadi, telefon berbunyi lagi. Waktu itu, belum pun pukul 7 malam. Sudah ada dua kes. Kali ini fitting. Sawan. Pesakit tu ada barah otak. Perkara ini memang sudah biasa terjadi. Cuma masalahnya, wad kedua ini terletak di tingkat lain! Berlari saya menuju ke lif dan berlari dari lif menuju ke wad. Buat itu ini, pesakit kembali stabil, saya pun duduk menulis retrospctive entry untuk kes itu pula.

Selesai menulis, waktu Maghrib sudah hampir habis. Saya berlari masuk ke bilik HO on call. Saya solat di situ. Sehelai sepinggang dengan baju kurung yang saya pakai saja. Saya terus menunggu Isyak, terus solat dan kemudian keluar ke wad semula. Saya terus menyelesaikan segala review yang perlu dibuat di situ untuk 40 orang pesakit. Dalam pada membuat review itu, ada beberapa kes yang terjadi. Tiba-tiba baru saya teringat, saya tidak makan langsung lagi sepanjang hari itu. Tengok jam, sudahpun pukul 12.40 malam. Lapar Ya Rabbi kot waktu tu.

Saya berpesan kepada staff nurse. Kalau ada apa-apa kes, telefon saya terus. Saya perlu naik ke wad lagi satu. Saya meredah koridor gelap seorang diri. Tiba-tiba teringat Kimah. Huhu. Saya ni memang penakut tahap gaban. Tapi sejak mula bekerja ni, semua tu dah tak kisah langsung dah. Gelap ke, terasa seram sejuk ke, redah sajalah. Bila pintu lif terbuka untuk saya masuk, saya akan rasa berdebar ada siapa di dalam. Begitu juga bila pintu lif baru hendak terbuka. Lagilah berdebar. Sebab saya sudah mula terbayang-bayang ada apa-apa yang pelik-pelik di luarnya. Hahaha.

Di wad yang satu lagi, saya menyelesaikan review di bahagian acute male dan juga female. Ada juga terganggu sikit apabila ada kes periferi. Terpaksa turun ke wad Ortho dan Surgical untuk review case. Ada kes active bleeding di tempat femoral catheter dimasukkan. Jujur saya katakan, nak masukkan benda alah tu saya retilah. Nak cabut keluar pun lagilah saya reti. Senang sangat nak tanggalkan semula. Huhu. Tapi bila bleeding terjadi dan patient pula memang sedang anemia, saya gelabah kejap. Sudahnya, saya buat pandai-pandai sendiri sajalah. Huhu. Mesti ada yang kata: Aik. Takkan tak tau kot? Meh sini saya nak jawab. Ada banyak benda dalam bidang perubatan ni yang perlu dipelajari berdasarkan pengalaman. Jadi, inilah antara pengalaman yang mengajar saya untuk tahu.

Selesai menguruskan patient itu, saya berjalan di koridor bercahaya suram itu menuju ke lif. Naik ke wad atas semula. Tengok aja jam, wah, sudah pukul 3.15 pagi! Dan perut saya masih kosong. Saya teringatkan roti Gardenia berkrim yang perisa coklat tu. Saya singgah di bilik HO on call wad saya. Di situ adanya beg saya. Saya usung roti itu keluar, meneruskan review sambil makan roti. Huhu.

Tidak lama selepas itu, saya mendapat panggilan telefon daripada wad bawah. Ambik kau. Patient asystole. Berlari macam ribut saya turun ke bawah. Saya sudah menelefon MO saya terlebih dahulu. Sampai-sampai saja, saya terus ambil ABG, dah suruh stat ECG, cardiac monitor, stat Atropine dan CPR. Tapi tak sempat mana dah pun. Patient itu LO. Meninggallah maksudnya tu.

Down betul saya waktu itu. Bukannya down sebab tak dapat selamatkannya. Memang patient itu statusnya sudah dijangka begitu. Tapi saya down sebab apasallah banyak sangat nak terjadi dalam satu malam ni. Sampai semput saya dibuatnya. Sebenarnya ini semua memang bergantung kepada nasib HO yang on call tu. Kadang-kadang tu, menjadi 2nd call adalah sangat santai dan tenang kerana tiada kes-kes mengejut terjadi. Kalau silap haribulan, sampai tiga LO kes dalam satu malam. Jawablah kau di depan MO kau nanti. Huhu.

Malam tu, saya bengang betul dengan seorang waris pesakit ni. Anaknya memang sudah collapse. On ventilator lagi tu. Anaknya ini dirawat kerana Meningoencephalitis dan mempunyai latar belakang HIV dan Hepatitis B +ve. Saya berusaha hendak membetulkan Ryle’s tube (salur makan yang masuk melalui hidung) dan memasukkan Branula (Line atau laluan untuk dimasukkan air/ubat terus ke dalam salur darah) baru di tangannya. Tiba-tiba emaknya seakan meninggi suara kepada saya. Katanya, buat apalah nak cucuk-cucuk benda alah tu untuk masukkan air ke apa. Kan dah cukup dah boleh bagi susu menggunakan tiub makan tu saja.

Eiii. Berapi juga saya waktu tu. Saya ni dah lah nak tolong anak dia. Nak bagi anak dia bertenaga dan tidak dehidrasi (tidak cukup air). Dia nak marah-marah tengking-tengking pula. Saya terangkan sekali lagi itu ini. Dia buat-buat muka pula. Bayangkanlah. Waktu itu sudah pukul 4.50 am. Saya sepicing pun tidak tidur lagi. Anaknya pula tiba-tiba menyentak Branula yang sedia terpasang. Salahkanlah anaknya itu. Kami di hospital ni nak menolong yang terbaik nak selamatkan anaknya itu. Tapi si emaknya pula tak puas hati dengan Branula, cucuk-cucuk amik darah semua ni. Dia tahu tak, ini sudah kira bernasib baik tahap petala langit ke tujuh dah ni yang negara kita merawat penyakit berjangkit secara percuma. Lagi nak marah-marah orang. Adoi. Hangin tau, hangin. Tapi kena bersabar banyak-banyak.

Dari pukul 5 sehingga 7 pagi, saya menyudahkan semua urusan ambil darah yang sudah di pass over oleh kawan-kawan untuk diselesaikan sebelum saya memulakan review saya untuk pesakit-pesakit saya sendiri di wad saya. Sekitar 7.15 pagi, barulah selesai segalanya. Sumpah mata saya sangat lebam keesokan paginya itu. Dan, apa yang lebih mencabar, pagi itu saya bukannya bertugas di wad. Saya bertugas di Mobile Clinic untuk Blood Bank. Saya perlu mengikuti gerakan kempen derma darah. DAN TIADA DOKTOR LAIN YANG BERTUGAS BERSAMA SAYA PADA HARI ITU. Uwaaaa. Semestinya akan penat!

Sebaik saja saya menghubungi MO unit Tabung Darah, dia berkata: Oh. So you’re the lucky HO. Mobile clinic takde hari ni. So hari ni day off lah untuk you ye. Dah, dah. Pergi balik tidur.

Saya pun apa lagi. Pecut kereta, balik rumahlah! Sampai rumah, saya menghantar adik saya ke tuisyen, pandu pulang ke rumah, hampir-hampir terbabas sebab tertidur sambil bawa kereta, dan terus tertidur di sofa dapur di saat semua yang lain sedang makan nasi lemak. Hahaha. Sehari suntuk lebih saya tidak mandi, tidak makan benda berat dan tidak sempat berfikir tentang hal lain melainkan kerja, kerja dan kerja.

Bila terbangun dari tidur, makan nasi lemak dan kemudian saya mendapat panggilan telefon daripada adik saya Adam. Sebetulnya dia keluar sekejap pagi itu. Bila menjawab panggilannya, dia bertanya sama ada saya berada di hospital atau tak. Saya jawablah yang saya sudah berada di rumah sejak pagi tadi lagi. Ni sah-sah kes dia tak nampak saya terbaring di sofa dapur. Tiba-tiba dia memecahkan cerita: Adam kemalangan. Dengan Hafiz (sepupu). Waktu naik motor tadi. Sekarang kat hospital. Adam takde apa sangat. Hafiz yang teruk.

Panik sekejap saya. Kebetulan Nan ada balik. Dengan tak mandinya, saya cuma menukar baju dan terus berkejar ke hospital bersama Nan. Nasib baik ada Nan yang boleh membawa kereta. Kalau nak harapkan saya, serius saya masih mamai dan pening sebab tidak cukup tidur. Di sana, ayah telah sedia menunggu. Adam cedera ringan saja. Hafiz pula cedera agak teruk. Berlaku pendarahan dalaman dan retak tulang pinggul.

Ok. Mari pendekkan entri. Ini tak. Sekali menulis, macam dah tak reti-reti nak berhenti. Hafiz sudah menjalani pembedahan. Dia selamat. Adam juga semakin baik. Saya pula dah semakin stabil dari segala aspek. Sekarang ni, nak keluar jalan-jalan bila ada masa lapang di petang hari pun bersama emak ayah saja.

What a life, right? Huhu. Adios.

Nota 1: Saya bazirkan masa tidur saya untuk menulis entri pasal on call. Aishh. Tak bermakna langsung. Huhu.

Nota 2: Selamat pengantin baru. Salam.

Posted on October 18th, 2009 by Sarah  |  26 Comments »

Mentari Muncul Lagi

Assalamualaikum wbt

Kalau semalam hidup saya mendung, hari ini terasa segalanya terang benderang untuk saya. Serba-serbi mengena. Serba-serbi menjadi. Serba-serbi baik-baik saja.

Sebenarnya, Dr. P kurang sihat hari ini. Kebetulan dia MO 1st call untuk hari ini. Saya lihat dia agak stress. Dia meminta saya memeriksa tekanan darahnya. Iya. Tekanan darahnya tinggi. Saya jatuh kasihan kepadanya. Saya ni bukannya boleh kasihan-kasihan pada orang. Nanti saya boleh jadi sayang pada orang tu. Hahaha.

Jadi dengan tak semena-mena, saya telah membina jalinan mesra dan harmoni bersamanya. Seronok betul saya bekerja hari ini. Sehinggakan, walaupun sudah pukul 7.30 malam, saya sedikit pun tidak terasa terkocoh-kacah hendak pulang lagi.

Sewaktu di dalam lif hendak turun ke bawah, MO yang digelar Abang Long saya oleh akak-akak nurse tu masuk ke lif yang sama.

Dr. R: Eh, on call ke?

Saya: Taklah. Ni nak balik ni.

Dr. R: Baru nak balik? Uih, semangatnya.

Saya: Hehe. Entah. Ralit sangat buat kerja kot tadi.

Dr. R: Tu pasal saya suka awak on call sekali dengan saya. Kerja cepat siap.

Pengajaran hari ini, marilah bekerja dengan rasa penuh ikhlas dan lapang hati. Insya Allah segalanya beres saja.

Saya suka kerja saya! Eh, kejap. Tajuk saya hari ni sangatlah mengada-ngada, kan. Huhu.

Nota: Saya menerima satu panggilan telefon daripada seseorang petang tadi. Insya Allah November ini. INSYA ALLAH! ;-)

Posted on October 15th, 2009 by Sarah  |  11 Comments »