Senior HO

Assalamualaikum wbt

Seminggu berlalu begitu saja. Saya sudah semakin hampir ke penghujung posting yang pertama ini. Saya sudah selesai bertugas di ketiga-tiga buah wad medical, Klinik Pakar dan periferi. Sekarang saya kembali semula ke wad pertama saya dulu. Wad yang selalu membuatkan saya rasa macam separuh gila tu. Tapi yang pastinya sekarang, ada dua perkara yang membuatkan saya gembira berada di sana semula.

Dr. P sudah tiada di situ. Dan sekarang saya bekerja bersama dengan Dr. F.

Dr. F ini kawan lama yang saya kenali hampir tiga tahun lalu ketika masing-masing masih bergelar pelajar. Entah macm mana, sekarang ini kami bekerja di tempat yang sama pula. Memang ngam habis bekerja dengan dia. Sebab hanya kami berdua saja Melayu di wad itu. Kalau saya banyak kerja, dia tolong cover-kan. Kalau dia banyak kerja, saya tolong cover-kan. Hendak pergi rehat pun kami boleh bergilir-gilir.

Kalau dulu, hendak pergi kerja pagi-pagi tu, saya akan terasa berat hati sungguh. Terasa seperti satu paksaan saja. Sebab mengenangkan apalah pula kritikan atau beban kerja yang saya bakal terima. Huhu. Sampai macam tu sekali! Awal-awal lagi sudah berfikir tentang kebarangkalian yang mungkin ada. Tapi sekarang lain sama sekali. Kerana apa?

Kerana sekarang sayalah antara empat orang the most senior HO dalam jabatan saya. Hahahahhaha. Takde faedah betul awak ni, Sarah!

Saya sudah banyak berbeza berbanding saya yang dulu. Dulu saya jarang makan. Sekarang ni, sempat atau tidak, tengahari saya mesti akan menyempatkan juga diri untuk turun makan sekejap. Kalau tidak sempat, saya akan bungkus nasi bawa naik ke wad dan makan laju-laju di pantri wad saja. Hasilnya, sekarang saya sudah gemuk semula. -___-

Tentang gaji pula, Alhamdulillah memang puas hati rasanya bila dapat memberi emak dan ayah duit hasil titik peluh kita sendiri. Tapi selain daripada tu, saya hanya gunakan duit untuk membayar kereta, bil telefon dan Astro. Saya tiada masa hendak keluar berbelanja atau apa. Jadi duit gaji saya berkepuk sajalah tersimpan di dalam bank. Bagus juga hidup penuh kesibukan ni. Sebab kita tidak terdedah kepada risiko berbelanja sakan. Huhu. Tapi saya memang bukan jenis yang begitu pun. Daripada saya beli barang-barang atau baju yang belum tentu saya suka 100%, baik saya beli makanan. Hahahaha.

Tapi satu amalan saya yang masih kekal sampai sekarang ialah setiap bulan saya akan membeli sepasang baju kurung baru untuk menambah stok baju bekerja. Saya tak reti hendak pakai baju glamour-glamour ni. Semuanya baju kurung biasa saja. Bukan yang jenis berlabuci bagai tu. Tak reti saya macam mana hendak pakai. Huhu. Sebab saya pergi kerja memang berbaju kurung. Hatta keluar santai-santai dengan adik-adik pun saya berbaju kurung. Jadi mestilah saya mahu ada koleksi yang lebih sikit. Kalau tidak, ulang pakai baju yang sama sajalah dek non oi.

Oh ya. Hari ni sambutan Hari Natal. Kamu cuti? Eleh. Saya pun cuti juga! Hahahaha. Tapi cuti kamu semua memang sah-sahlah cuti percuma sebab ini cuti umum, kan. Saya pula terpaksa mengambil cuti untuk bercuti pada hari ini. Ops. Bukan hari ini saja. Saya bercuti sampai Ahad!

Insya Allah esok saya hendak menghadiri majlis perkahwinan kawan saya di Perak. Hey hey hey oghang Peghok, ate ni Yong dah maghi dah ni! =p

Nota: Happy! :mrgreen:

Posted on December 25th, 2009 by Sarah  |  7 Comments »

Isikan Biar Terisi

Assalamualaikum wbt

Akhir-akhir ini, di saat hidup orang lain di sekeliling saya semakin terisi, saya rasa hidup saya semakin kosong. Sangat kosong. Balik dari kerja, saya makan nasi sambil menghadap TV dan kemudian terus menuju ke bilik dan tidur. Komunikasi hampir zero. Fantasi lebih aktif berbanding aktiviti lisan. Diam memang teman saya.

Tertekan dengan kawan-kawan yang kuat membuli di tempat kerja pun satu lagi halnya. Tak pernah-pernah saya mengamuk, baru-baru ini habis saya hentak-hentak steering kereta kerana marahkan seseorang. Tapi bila berhadapan, semua itu tak terluahkan. Terpaksalah saya menjadi mangsa buli di tempat kerja. Dikerah melakukan apa yang tak perlu dilakukan pun. Cuti sayapun lebur begitu saja. Sehingga saya terlepas mengikuti perkara-perkara penting dalam keluarga. Termasuklah sebuah episod istimewa untuk emak dan ayah.

Tak apalah. Hidup ini, ada ubi ada batas. Tiba suatu hari nanti, semua ini pasti terbalas.

Cara saya menghiburkan hati, saya mendengar Radio Klasik Nasional setiap pagi. Saya boleh tersenyum seorang mendengar lirik lagu dulu-dulu. Ada satu lagu yang hari-hari menitir di bibir saya. Gurindam. Datin Rafeah Buang. Selalunya, saya turut bergurindam sama seiring dengan dendangan radio.

“Langit cerah awan membiru, di dinihari embun pun jatuh, sakit menanggung rindu, di dalam air, di dalam air badan berpeluh.”

Gurindam lama memang dahsyat. Metafora berganda-ganda. Sampaikan di dalam air pun badan boleh berpeluh, ya. Indahnya, indahnya.

Kalau ada caranya, saya mahu jalan cerita hidup ini berubah. Menjadi penuh semula. Menjadi ada daripada tiada apa-apa. Jangan kosong. Isikan biar terisi. Yang kosong mudah dibisiki syaitan dan nafsu. Yang kosong mudah dibelenggu sadis dan jemu.

Nota: Saya post call. Wajib tidur sekarang walaupun baru pukul 9 lebih. Menguap tak sudah-sudah dah ni. Hmm… Inilah hidup saya setiap hari. Selamat malam Malaya.

Posted on December 7th, 2009 by Sarah  |  19 Comments »

Pindah-Randah

Assalamualaikum wbt

Baru saja semalam saya cerita tentang perpindahan saya ke wad baru. Genap seminggu sejak Isnin lepas. Tiba-tiba pagi tadi, selesai saya membuat round di wad, saya mnerima panggilan telefon. Waktu itu, saya sudah selesai round bersama MO saya. Kerja-kerja semuanya sudah selesai. Jam belumpun pukul 9 pagi lagi. Gilalah awal saya siapkan semuanya termasuk discharge summary.

Ok. Berbalik kepada panggilan telefon. Saya menerima panggilan daripada ketua HO Medical. Dia memberitahu bahawa mulai hari ini saya mula ditempatkan di bahagian Klinik Pakar pula. MOPD Clinic. Pergh. Menyirap darah saya. Suka betul buat kejutan di saat-saat akhir. Minggu lepas pun sama. Saya sudah selesai semua benda, baru nak beritahu. Hari ini pun sama. Saya dah siap semua benda di wad, baru nak berithau saya perlu ke MOPD pula.

Jujur saya katakan, saya sangat suka bekerja di wad saya tu. Walaupun baru seminggu, tapi saya sangat suka dengan kondisi di sana. Sangat-sangat suka. Kerja memang banyak. Ward round TDS per day. TDS maksudnya tiga kali sehari. Punyalah menyesakkan masa, kan. Tapi segalanya lebih teratur. Mungkin kerana diri saya sudah lebih terurus dan cara kerja saya semakin teratur dan berkualiti.

Baiklah. Berhenti sekejap hendak makan Dunkin Donut.

Ok. Sudah kenyang. Boleh sambung cerita. Dan sekarang ni, saya perlu turun ke klinik pula. Saya berimpresi yang kurang baik pada mulanya. Pertama, kerana saya tahu, pesakit di klinik memang ramai dan penuh dari awal pagi sehingga petang. Kedua, kerana saya bertugas dan di kelilingi oleh MO-MO dan pakar-pakar yang lain. Matilah saya kalau ada terbuat salah. Hahaha.

Tetapi, sebaik turun ke Klinik Pakar, saya dikerah oleh Dr. R (Abang Long saya. Masih ingat, kan?) untuk merawat pesakit secara bersendirian. Tidak perlu dipantau MO. Fuh. Terasa merdeka sekejap. Hahaha. Saya diletakkan di sebuah bilik. Hanya saya seorang di situ. Maka bermulalah saya bertemu dengan pesakit-pesakit yang mempunyai temujanji di bahagian Klinik Pakar. Sumpah ramai. Hampir jam 11 pagi, pakar saya ketika di wad Kenanga 14 muncul di bilik itu. Saya cukup suka bertugas di wad lama saya tu kerana pakar saya memang cool habis! Dr. AI namanya. Tup-tup, saya ditempatkan di bilik yang sama dengan pakar saya itu. SUKANYA! Tapi dalam pada suka-suka tu, ada ramaaaaaaaaai pesakit yang saya rawati hari ini. Sampai pening kepala saya melayan kerenah mereka.

Sekitar jam 2.15 petang, tiba-tiba saya sudah tidak ada kerja. Iya. Memang secara tiba-tiba saja saya sudah menjadi jobless. Hahahahaha. Pertama kali dalam hidup sebagai HO ni saya menjadi jobless yang sebegini sekali. Saya macam mati kutu. Saya bertanya kepada staff nurse di situ. Apa lagi yang perlu saya buat. Kata mereka, buat masa ni tiada apa-apa. Sekejap lagi saya perlu menyudahkan TCA (temujanji) untuk kes-kes rujukan daripada hospital-hospital lain saja.

Saya semakin mati kutu. Saya berjalan tanpa arah tujuan. Ceh ayat tak boleh dipercayai sangat. Huhu. Saya berjalan menuju ke kafe. Dan tak semena-mena, saya telah termakan nasi di kafe walaupun sebenarnya saya tidaklah lapar manapun. Tapi kerana jobless, saya makan jua. Huahuahua. Sekitar 3.15 petang, baru saya naik semula ke klinik. Partner saya pula entah ke mana menghilang. Saya menyudahkan kerja-kerja YANG SANGAT MUDAH DAN VERY ADMINISTRATIVE TIADA PRAKTIKAL-PRAKTIKAL pun dengan perasaan yang aman damai. Haha.

Hampir ke pukul 4 petang, saya ditelefon oleh Dr. RM. Ini MO saya ketika di wad sebelum ini. Ayahnya sudah saya kenal sejak zaman saya kecil-kecil dulu. Siapa ingat cerita yang saya terbakar kecil-kecil dulu, ayah D. RM inilah yang menjadi doktor saya. Dr. RM memanggil saya datang ke Unit Hemodialysis. Hari ini ada pakar dari Kuantan datang untuk bertemu pesakit. Saya diminta untuk membantunya di bahagian klinik di sana.

Saya tiba di sana. Saya diperkenalkan kepada pakar itu. Introduksinya yang basis-basis saja. Tetapi penyudah ayatnya cukup membuatkan saya mengucapkan syukur untuk hari ini.

“She’s a competent HO in Medical, so far.”

Terima kasih, Allah. Kau pemilik segala ilmu dan kebolehan ini.

Nota 1: Hari ini emak tiada di rumah. Ada kursus di KL. Balik saja kerja, saya menjadi macam emak-emak pula di rumah. Bancuh air, mop lantai (saya memang pantang kalau lantai tidak selesa dipijak) dan menguruskan makan minum adik-adik. Errr… Hal-hal sebegini hanya boleh dilaksanakan kerana sekarang saya bekerja mengikut waktu pejabat, 8-5. 😉

Nota 2: Baru saja semalam saya membebel tidak suka membuat presentation, slide dan seala bagai benda alah tu. Tiba-tiba bangun pagi tadi baru saya teringat ada satu Mortality Review yang perlu saya siapkan dalam bentu powerpoint dan dihantar pada Rabu ini. Uwaaaa!

Nota 3: Kaklong dah sampai rumah. Bahang Raya Haji semakin terasa. 😉

Posted on November 23rd, 2009 by Sarah  |  15 Comments »

Catatan Di Hujung Minggu

Assalamualaikum wbt

Hari Rabu lepas, saya perlu membuat pembentangan ketika CME jabatan saya. Kiranya, Ketua Jabatan, semua pakar, MO dan HO berkumpul waktu itu di dalam bilik yang sama. Sebelum tibanya hari Rabu tu, setiap malam saya tunggang terbalik menyiapkan slide presentation. Punyalah tertekan. Saya buat setakat yang saya mampu saja. Tak kuasa saya nak buat sesempurna mungkin. Sudahlah penat balik kerja. Malam kena berjaga nak siapkan segala mak nenek powerpoint tu pula. Tertekan betul jiwa raga waktu itu.

Elok saja selesai pembentangan saya, malam itu selepas saja Maghrib, saya sudah tidur. Mana tidaknya. Malam sebelumnya itu, saya tidur sekitar satu jam saja. Sudah macam on call pula tapi berada di rumah. Memang mengganggu kualiti hidup betul rutin membuat pembentangan bergilir-gilir ni. Saya cukup tak suka betul. Tak tahulah kenapa. Saya memang tak berkenan bila kena hadiri mesyuarat itu ini sedangkan pada masa yang sama, di wad masih ada banyak kerja yang perlu diselesaikan oleh kami yang HO-HO ni. Yang atas-atas tiada hallah, kan. Suruh saja itu ini. Yang melaksanakannya siapa lagi. Jadi, bila masa telah diperuntukkan untuk hal lain hampir dua jam, sudahnya kena balik lambatlah petang itu. Huhu. Merungut macam mak nenek pula saya ni.

Tapi selepas habis giliran saya membuat pembentangan Rabu lalu, saya rasa MERDEKA. Lepas ini saya sudah tidak perlu serabut-serabut fikir perlu menyediakan powerpoint slide lah, perlu buat research lah. Tak kuasa betul saya. Huhu. Nampak sangat saya memang tidak boleh bekerja di bahagian R&D, kan.

Sekarang saya sudah dipindahkan lagi ke wad lain. Bukan lagi di wad tingkat atas. Saya sudah berada di wad ketiga untuk jabatan saya. Selepas ini, saya akan bertugas di periferi pula. Nampaknya, tempoh saya di Medical sudah tidak lama. Tinggal sebulan lebih sikit saja lagi. Selepas ini ke manalah pula saya. Tapi cuak sungguh ni. Ada final assessment. Matilah saya kalau dalam otak input macam setitis air laut saja. Ada potensi kena extend (dipanjangkan tempoh posting) nampak gayanya ni. T_____T Tapi nauzubillah. Harapnya segalanya dipermudahkan Allah.

Tapi Alhamdulillah. Sekarang ni, datanglah segala apa dugaan pun, saya layankan saja. Tak kuasa dah nak fikir-fikir sangat atau nak tertekan ke apa dengan semua tekanan luaran yang ada di tempat kerja. Target saya, saya kerja dengan senang hati, prestasi kerja saya baik, selesai semua kerja tepat pada masanya, setiap hari ada peningkatan, mesti belajar benda baru paling kurang tiga perkara sehari, balik dengan lapang hati, sampai rumah makan nasi dan lepas Maghrib terus tidur. HAHAHAHA.

Yang sebetulnya, baru tiga kali saya pernah makan nasi di kafe hospital. Selebihnya, saya memang makan nasi di rumah selepas balik kerja. Nasib malang, pernah saja balik rumah lauk yang tengahari sudah habis dan emak tak merancang hendak memasak untuk malam. Muncung masam kelaparanlah saya. Biasanya hal-hal begini terjadi di hari Jumaat. Tapi lepas itu ayah akan ajak keluar pergi makan atau beli masakan panas di luar dan makan ramai-ramai di rumah. Huhu.

Apabila hidup sudah stabil begini, selera makan saya pun semakin menjadi-jadi. Sehari kalau tak dapat nasi, boleh kebulur saya dibuatnya. Saya tidak makan benda lain ketika seharian bekerja. Saya hanya membawa bekal sebotol air masak. Jadi saya sangat memerlukan nasi. Dan disebabkan terlalu letih, waktu makan nasi senja tu di rumah sambil menghadap Discovery Channel ke apa, saya boleh terlelap! Kadang-kadang tu, sampai kering jari baru saya tersedar: Eh eh, tertidur ke tadi? Hahahaha.

Tapi, setakat ni, masih tidak berapa ketaralah yang badan saya sudah naik semula. Huhuh. Seingat saya, sewaktu saya mengenakan jeans saya yang selalu dipakai ketika di Moscow dulu, saya kena belit tali pinggang sampai selilit setengah. Kena selit di bahagian belakang. Punyalah kerempeng rasa pinggang. Huhu. Jam tangan yang diketatkan sebelum kerja dulu, sangat longgar berputar-putar di pergelangan tangan. Maksudnya, tidaklah naik sangat lagi, kan. Maksudnya boleh makan nasi lagilah, kan. Hehe.

Entri hari ini sangatlah carca merba, kan. Semalam saya on call. Tengahari tadi, saya balik rumah terus makan nasi. Tapi tertidur pula ketika sedang makan. Selesai Zohor terus masuk bilik, turunkan langsir dan tidur. Cuaca pula mendung. Memang asyik sungguh tidur. Saya hanya terjaga sebaik emak dan ayah saya sampai dari Kuala Lumpur. Oh ya. Tahniah untuk adik saya, Adnan. Tak payahlah cerita dulu sebab apa tahniah-tahniah ke dia ya. Suatu hari nanti baru saya cerita bila sudah ada mood.

Oh ya. Hari tu saya ada mendapat pangilan telefon ketika di hospital. Nombor hospital sayalah. Saya terus menjawab sebab saya bertugas di Day Care pada hari itu. Rupa-rupanya ada seorang warga kerja hospital ini yang bertugas di bahagian operator yang mengikuti blog ini. Tanyanya: Doktor, bila nak update blog? Bila nak sambung cerita pasal Dr. A? Hahahaha. Nak tergelak saya waktu itu. Sebenarnya, dia menghubungi saya untuk menyambungkan panggilan dari bahagian Klinik Pakar kepada saya.

Hendak tahu cerita pasal Dr. A ya? Haha. Di saat saya ditanya tentang Dr. A tu, sebenarnya dia baru saja membelikan air untuk saya dari kafe. HAHAHA. Yang lagi parah, kami bertugas di wad yang sama sekarang ni. Hahahaha. Baiklah, baiklah. Tak payah tahu sangatlah pasal dia. Saya pun tak faham kenapa dikaitkan dengan dia pula. Sangat tak relevan, ok.

Kerana, tiada siapa yang relevan di hati saya buat masa ini. Adios.

Nota 1: Mahu mengemas bilik yang macam tongkang separuh pecah pula. Terkejut ternampak ada sawang kat tepi almari. HAHAHAHA. Perempuan jenis apa awak ni, Sarah. :mrgreen:

Nota 2: Sejak emak membeli kereta baru, rumah saya seperti mengalami lambakan kereta. Haha. Nak reverse kereta pun dah susah dah sekarang ni. Haiya.

Posted on November 22nd, 2009 by Sarah  |  9 Comments »

Bekerja Di Luar Hospital

Assalamualaikum wbt

Ahad minggu lepas, saya bertugas di luar kawasan. Saya perlu mengikuti Mobile Clinic (Klinik Bergerak) untuk program Tabung Darah. Kawasan yang dituju hari itu ialah di Tadika Mengkuang di Triang. Sebuah kawasan orang Cina. Tak sangka betul, ramai yang datang untuk menderma darah pada hari itu. Dan disebabkan sayalah satu-satunya doktor yang bertugas pada hari itu, cubalah bayangkan betapa penatnya saya. Kering tekak memberi penjelasan itu ini ketika membuat pemeriksaan kesihatan ke atas penderma-penderma yang datang dari pagi hingga ke petang.

Tapi saya cukup teruja melihat rekod derma setiap yang datang. Hampir 80% daripada mereka mempunyai rekod sebagai penderma yang kerap. Memang bagus. Ada seorang akak Cina ni. Dia ni bisu dan tinggal sendirian. Dia sudah menderma berkali-kali. Saya kagum dengannya. Walaupun dia mempunyai kekurangan, tapi hatinya pemurah. Kita yang sempurna ni patut mencontohinya. Dan akak itu merupakan orang pertama yang sampai di tempat derma darah itu. Terharu betul saya. Belum apa-apa lagi, baru saja hendak memanaskan enjin untuk hari itu, saya sudah terharu.

Tengok gambarlah sikit. Kebetulan saja saya ada membawa kamera di dalam beg pada hari itu.

DSCN3633

Inilah situasinya di dalam Dewan MCA di situ. Kami membawa portable bed untuk digunakan ketika penderma direhatkan sebelum mula menderma darah.

DSCN3641

Err… Ini tak payah ceritalah siapa. Huhu. Ada ramai yang kata: Biasanya doktor-doktor yang mari sini sudah tua-tua, tapi doktor ini hari manyak muda woo.

DSCN3643

Inilah staf-staf saya untuk hari itu. Kesemuanya staf Tabung Darah dan Makmal. Ada dua orang lagi staf lelaki tetapi mereka menaiki van lagi satu. Mereka sangat banyak membantu saya pada hari itu. Seronok bekerja bersama mereka semua. Terima kasih akak-akak sekelian! ^____^

Hari ini pula, saya dikehendaki bertugas di Global Diebetic Walk. Ada Walkaton dianjurkan untuk orang ramai di daerah Temerloh. Jabatan yang bertugas semestinyalah Jabatan Perubatan. Saya diberitahu oleh specialist saya pada hari semalam. Tapi sebelum ke Dataran Temerloh, saya tetap ke wad dulu di awal pagi tadi untuk membuat round seperti biasa. Tema Global Diabetic Walk ini ialah biru. Hampir 100 peserta menjayakan Walkaton hari ini.

DSCN3647

Sebelum Walkaton bermula, ada senamrobik dijalankan. Kekok betul saya dengan senamrobik segala bagai ni. Saya mana reti. Hahaha. Habis cacat rentak saya. Buat malu saja. Nasib baik duduk di belakang sekali. Errr. Tapi malulah pada Dr. A sebab dia di sebelah saya saja. Aik aik. Siapa Dr. A ya? Hahaha. Abaikan. :lol:

DSCN3648

Saya bertugas bersama specialist wad saya sendiri di check point kedua. Tugas kami ialah memberi epal kepada semua peserta yang melalui check point kami. Inilah kumpulan pertama yang tiba di situ.

DSCN3649

Apabila kesemua peserta trelah habis merentasi check point itu, saya pun turut serta dalam Walkaton itu. Kiranya, saya hanya berjalan kaki sekitar 3 km saja. Saya ni sudah terbiasa berjalan laju di wad dan kawasan hospital. Jadi, saya tidak sempat langsung rasa penat sepanjang 3 km berjalan kaki laju-laju itu. Siap memotong orang di depan saya yang berjalan perlahan pula. Kalau ikutkan, total saya berjalan kaki di hospital dalam sehari lebih dari 5 km. Sungguh ni. Tu sebab tak bersenam pun tak apa. Haha.

DSCN3650

Ok. Selesai saja program tersebut, kami pun duduk bersantai sebelum pulang semula ke hospital. Ini antara doktor-doktor Jabatan Perubatan yang berada di Dataran Temerloh pagi tadi. Ada lagi beberapa orang yang tiada dalam gambar. Kasihan saya. Sayalah antara sukarelawan malang yang tidak mendapat t-shirt program kerana kehabisan stok. T______T Sudahlah jenuh pagi tadi saya hendak mencari t-shirt bertema biru. Sudahnya, saya kebas sajalah t-shirt Tweety tu. T-shirt tu saya guna untuk tidur saja sebenarnya tapi dah terdesak sangat, hentam sajalah. Dahlah baju tu dah lama benar dah. Saya beli di Batu Feringgi ketika tingkatan 4. Tulah. Lain kali jangan suruh saya pakai biru dah. Saya tiada stok. Huhuhu. Oh ya. yang bertudung putih dan doktor lelaki yang paling tepi itu adalah antara specialist di jabatan ini. Muda-muda, kan. ;-)

Nota: Tahniah untuk Abang Khairil dan Kak Salwa atas kelahiran anak pertama mereka, Imran. Semoga Imran menjadi orang baik-baik seperti emak ayahnya, insya Allah. :smile:

Posted on November 14th, 2009 by Sarah  |  14 Comments »