Kenapa Rumah Saya Diminati Pengintip?

Assalamualaikum wbt

Waktu zaman sekolah rendah dulu sehingga menengah rendah, bila hari sudah malam, saya dan Kaklong biasanya duduk meneman emak melipat baju di dapur. Sambil itu, ada peluanglah kami menonton TV lagi. Sepatutnya, TV sudah tidak boleh ditonton selepas pukul 9.30 malam. Itu syarat ayah. Tapi sambil melipat baju, berborak dengan emak, mata pun menjeling-jeling TV lah jawabnya.

Jika malam itu ayah balik lewat, ada banyak perkara yang boleh kami dengar. Saya tidak tahulah kenapa, rumah saya selalu menjadi mangsa intipan orang. Ada orang menghendap di tingkap belakang bilik emak. Tiada siapapun yang merokok di rumah kami. Tetapi hampir tiap-tiap malam yang ayah tiada, kami dapat mengesan bau rokok dari belakang rumah.

Pernah saja kami adik beradik menyergah orang itu dengan menjerit-jerit di semua tingkap bilik yang menghadap ke laman belakang rumah. Seketika kemudian, kami akan mendengar orang menyusup berlari meninggalkan kawasan rumah kami.

Jika terdesak, emak akan menyuruh kami menelefon ke rumah Tok yang terletak di depan rumah kami, di atas bukit yang sama. Emak menyuruh adiknya, Ayah Tam, untuk tolong memeriksa dari arah luar rumah. Maka, Ayah Tam akan datang dengan kain pelikatnya membawa lampu suluh dan parang. Selepas diyakini tiada apa-apa, barulah Ayah Tam akan balik semula.

Untuk setiap malam yang berlakunya insiden ada orang datang, keesokannya itu kami adik beradik akan ke laman belakang rumah untuk memeriksa. Waktu itu, masing-masing pun hendak menjadi hero untuk menyelesaikan keadaan. Pelbagai teori ala-ala X-Files mahupun CSI kami keluarkan. Yang paling tepat ialah, orang itu memanjat pagar belakang rumah kami yang memisahkan kawasan rumah kami (dan rumah Tok) dengan kebun buah di sebelahnya. Kebun buah itu milik saudara mara kami juga. Tapi anak beranaknya hanya balik pada musim buah saja. Kawasan itu sudah nyatalah semak dan penuh merimbun dengan juntaian dahan pokok-pokok rambutan yang banyak. Ada satu bahagian pada pagar itu kendur kerana menjadi tempat panjat mereka.

Di tepi longkang belakang rumah juga, kami menjumpai puntung rokok. Ini membenarkan firasat kami yang terbau-bau asap rokok dari dalam rumah. Saya rasa, mesti Nan dan Lan masih ingat perkara ini. Biasanya, saya beraktiviti begini dengan mereka berdua. Kami belek-belek puntung rokok itu untuk mengenal pasti jenamanya dan bermacam-macamlah tanggapan yang kami buat. Siap ada hajat hendak menghantar puntung rokok itu untuk disiasat lebih lanjut lagi tu! Ok. Yang tu memang angan-angan kosong sajalah. Tak pernah buatpun sudahnya. Kami juga melancarkan strategi zalim kami. Kami menabur kaca pecah di bawah bahagian pagar yang kendur itu. Matlamat kami, hendak menyerang balas secara tak terlalu terpuji. Huhu.

Dulu, kami adik beradik cukup suka bermain rounders. Emak tak bagi main di padang sekolah berhampiran, jadi kami pakat bermain di halaman depan rumah pun cukup. Hendak dijadikan cerita, pada suatu hari, dua keping tingkap bilik saya yang paling bawah pecah terkena bola itu. Eh, sekejap. Rounders itu bola lisutlah, kan? Hehe. Terasa macam cerita Doraemon pula. Nobita dan kawan-kawan kan suka bermain bola lisut. Hehehe.

Disebabkan cermin itu sudah pecah, emak memanglah marah. Untuk malam itu, emak memesan suruh menurunkan dua keping tingkap yang teratas untuk menutup tingkap di bahagian bawah. Dapatlah mengelakkan kucing masuk ke rumah. Tapi saya dan Kaklong yang masih tinggal sebilik pada waktu itu (sekolah rendah) tidak membuatnya pun. Kami hanya mengambil surat khabar, dibuka luas dan menutup bahagian tingkap yang pecah itu sementara menunggu keesokannya untuk meletakkan tingkap baru.

Saya seorang yang sensitif dengan sebarang bunyi dan kepanasan sewaktu sedang tidur. Saya tidur di katil tingkat atas waktu itu. Di tengah malam itu, saya terjaga kerana kepanasan. Kaklong sudah menutup kipas waktu itu. Saya melompat turun untuk menghidupkan semula kipas. Bila saya menaiki semula tangga ke tingkat atas, saya terdengar bunyi di luar rumah. Bilik saya menghadap ke arah beranda di tepi rumah yang mengarah ke laman hadapan. Di beranda itu, ada sofa yang diletakkan betul-betul di luar tingkap bilik saya. Juga ada almari kasut di tepinya.

Saya yakin ada orang di luar rumah pada waktu itu. Sambil duduk di hujung katil saya di tingkat atas, saya memandang ke arah tingkap yang ditutup dengan surat khabar yang berada di hujung katil Kaklong. Betul-betul di tepi tangga untuk naik ke katil atas. Tiba-tiba, ada sesuatu menolak surat khabar yang kemas menutup tingkap pecah itu. Surat khabar itupun membonjol ditolak dari arah luar. Saya juga dapat mendengar bunyi nafas orang itu. Saya jadi sangat cuak. Saya sedang jaga dan segar. Sudah pastilah saya dapat melihat semuanya terjadi depan mata dengan jelas. Saya lihat, ada tangan menyeluk dan tangan itu memakai sarung tangan buruh kasar berwarna hijau gelap.

Tindakan refleks saya waktu itu ialah saya menyapa orang itu: Siapa tu? Sepantas kilat, tangan itu ditarik keluar semula dan selepas itu, saya mendengar orang berlari menyusup meninggalkan beranda rumah saya. Saya dengar bunyi penutup longkap dipijaknya. Saya melompat turun dari katil. Oh. Saya memang melompat terus kalau hendak turun. Hendak naik, baru menggunakan tangga. Saya kejut Kaklong. Kami kejut emak ayah. Ayah buka pintu dapur yang terus menghadap ke arah beranda tepi rumah. Tiada apa-apa. Maka, semuanya pun terus masuk tidur semula.

Esok paginya, itulah topik yang diriuhkan kepada adik-adik ketika kami semua sedang bersiap untuk ke sekolah. Sebetulnya, kami ada memelihara dua ekor kucing pada waktu itu. Tom dan Jerry. Tom kerana di mukanya ada tompok hitam berbentuk T di bahagian dahi dan hidung kucing itu. Jerry kerana ekor kontotnya yang bengkok berwarna hitam dan bertompok hitam satu di atas ekornya itu membentuk huruf J. Saya pelik juga pada malam itu. Biasanya, kucing-kucing ini akan bising jika ada orang datang. Tapi ketika ada orang di beranda malam tadi, kenapa tidak berbunyi langsung.

Ketika kami hendak mengambil kasut di dalam almari kasut, saya tidak ingat siapa yang menyedarinya, sama ada Kaklong, Nan atau Lan yang nampak ekor hitam Jerry tersepit di antara lantai dan lantai almari. Masya Allah. Ruangnya sangat kecil. Mustahil untuk Jerry yang gemuk itu masuk dengan sendirinya. Di saat itu barulah kami tahu bahawa Jerry telah dibunuh. Diracun barangkali. Ayah mengeluarkan bangkai Jerry dari bawah almari. Jerry sudah keras.

Ketika di awal tingkatan satu, Tok mengajak mengacau dodol di rumahnya. Berkumpullah kami semua di tepi dapur rumah Tok. Rumah saya pun kosong. Tapi sudah dikunci semua pintunya. Semua berkumpul di tepi kawah dodol. Tetapi adik-adik lelaki saya seperti biasa sibuk bermain entah apa-apa. Kebetulan waktu itu, Nan sedang berada berhampiran dengan pokok manggis di dapur rumah Tok yang boleh nampak ke rumah kami. Tiba-tiba Nan menyedari ada orang berlari dari arah belakang rumah kami ke arah pagar yang memisahkan kawasan rumah kami dengan pagar sekolah di sebelah itu dan juga rumah di bawah bukit belakang rumah kami.

Kecoh. Kami berkejar balik ke rumah. Semua pintu diperiksa. Alhamdulillah semua masih berkunci elok. Cuma, kunci pintu untuk pintu belakang sudah hilang. Di luar pintu, ada sehelai kertas ditinggalkan. Kertas itu digunakan untuk menadah kunci yang dijolok jatuh dari lubang kunci dan kertas itu ditarik keluar untuk mendapatkan kunci itu. Sayangnya, orang itu tetap tidak dapat masuk ke rumah kerana pintu itu kami telah selak dari arah dalam. Alhamdulillah.

Sebenarnya, saya tidak faham kenapalah dulu-dulu rumah saya selalu menjadi mangsa intipan orang. Bukan sekali dua. Banyak kali. Entah emak ayah ingat lagi atau tidak semua kisah ini. Sudah lama benar. Tapi sampai ke hari ini saya masih pelik. Bukannya rumah saya tersergam macam istana ke apa. Bukannya ada kolam renang sebagai tanda kami orang kaya-raya. Tiada juga lampu kristal atau apa di luar rumah itu yang boleh dijadikan alasan kami ni nampak kaya. Tiada semua tu. Setakat ada rumah arnab sebuah saja. Apa dia ingat ayah saya masih tauke ladang arnab berkandang-kandangkah? Orang itu silaplah. Dia lupa sejarah banjir besar 1989 kot. Saya patut letak buku sejarah banjir-banjir besar di Pahang kot di luar rumah saya tu. Hahaha. πŸ˜†

Tetapi Alhamdulillah. Sekarang, setakat setiap kali cuti dan saya berada seorang diri di rumah pada sebelah pagi dan berjaga menjadi burung hantu menghadap internet di sebelah malamnya, tiada apa-apapun yang terjadi. Aman damai saja. Saya rasa, orang dah takut hendak datang kerana memikirkan di rumah saya ada ramai lelaki.

Oh. Janganlah main-main dengan adik saya Adlan dan Adam. Kedua-duanya gagah perkasa. Adlan macam… Erm… Ebby Saiful. Haha. Dan Adam macam Fahrin Ahmad! Dan ayah saya pula? Erk. Ayah macam Ahmad Tamimi Serigar versi perut naik sikit sudahlah ya! Lariiiiii!

Tapi sungguh ni. Saya tidak faham, kenapalah rumah saya sangat diminati pengintip?

Nota 1: Kenyang makan karipap Wanie je hari ni. Sedap Ya Rabbi!

Nota 2: Malam ni saya tak nak tidur. Nak study!

Nota 3: Sudah lama tidak menulis panjang begini. πŸ˜‰

Posted on April 1st, 2009 by Sarah  |  29 Comments »

Ultimatum Kebahagiaan

Assalamualaikum wbt

Beberapa hari lepas, saya ada bermain teka-teki dengan Azam, rakan sekumpulan saya, ketika di hospital. Salah satu daripada soalan yang diajukan oleh Azam, saya panjangkan kepada adik saya di Malaysia. Adik saya ni penuh dengan humor orangnya. Sengaja saya hendak melihat sejauh mana akalnya berfikir untuk menjawab soalan itu. Saya jangka, Adi akan menjawab sepantas kilat. Tapi agak lama saya menunggu, dalam perjalanan balik dari hospital barulah dibalasnya.

Sebaik terbacakan jawapannya, saya tergelak seorang. Jawapannya tidak seperti dia yang selalu. Terlalu skema dan logik. Luar biasa pula Adi kali ini. Dalam hati saya membuat kesimpulan. Budak-budak lepasan SPM memang beginilah agaknya. Otak masih skema. Huhu.

Sampai di rumah, Adi ada menghubungi saya semula. Bunyinya seakan merajuk sebab saya tidak membalas mesejnya semula. Saya sedang memasak sebenarnya pada waktu itu. Sewaktu jam sudahpun menunjukkan pukul 11.45 malam di Malaysia, saya terus menelefon Adi. Tapi tak pula berangkat. Dan keesokkanΒ  harinya, saya menelefon Adi sekali lagi untuk menebus kesalahan tidak membalas mesejnya.

Rupa-rupanya, Adi sedang berbuka puasa dengan emak pada waktu itu. Dia berpuasa nazar katanya. Sempatlah saya berseloroh itu ini dengannya. Saya menegurnya, kenapa dia gelak berbeza dengan dulu. Saya kata, macam nyah saja. Dia lagi gelak. Sabar betullah budak ni. Dia kata, takkanlah nak gelak berdekah-dekah. Tak sopan langsung. Aiseh. Saya lagi rela dia tergelak besar daripada gelak seperti itu. Bila saya menegur, lagi dibuat-buatnya gelak itu. Sabar banyak-banyak, Sarah.

Tadi saya menelefon rumah. Hajatnya hendak bercakap dengan emak. Tapi Adi yang menjawab. Katanya, dia yang baru balik dari kerja pun pelik. Rumah kosong. Tidak tahulah emak dan adik-adik ke mana. Lalu, berbual lamalah saya dengan Adi. Dalam pada berbual itu, kami merancang satu projek untuk dijayakan bersama. Apa projeknya, ahha! Itu kena tunggu.

kecik5

Yang saya ingat, saya ceritakan tentang perbalahan Kaklong dan Adnan di Facebook tentang gambar waktu kecil-kecil dulu yang saya tag dengan nama mereka. Masing-masing mengatakan diri masing-masing paling comel. Laju Adi membuat kesimpulan: Awak ni macam tak tahu je, Ngah. Diorang tu mana nak mengalah. Mesti nak mengaku diorang lagi comel. Hahaha. Ambil sekali, Kaklong, Nan!

Informasi terkini tentang keluarga di rumah:

1. Rumah sedang diubah suai (lagi!). Ada cat sana sini sikit-sikit. Tukar semua pintu. Emak ayah ni macam nak buat kenduri besar saja gayanya.

2. Emak kata, raya tahun ni mesti meriah. Sebab semuanya ada. Kaklong pun sudah membeli tiket kapal terbang untuk balik bercuti raya nanti. Wah! Maju, handal, tangkas, cekap dan amanah betul Kaklong!

3. Adi kata, business ayah maju sekarang ni. Alhamdulillah.

4. Ayah bagi gaji/upah yang agak besar untuk Adi. Ini bagi sayalah. Huhu. Tapi yang bagusnya, duit minyak untuk kereta Kaklong yang digunakannya, dia tanggung sendiri. Bagus ni.

5. Adi sedang menunggu panggilan kemasukan ke universiti. Moga-moga dipermudahkan Allah.

6. Adlan sudahpun bekerja. Kerja elok-elok ya, Lan. Nanti nak kena ambil exam untuk naik lagi.

7. Adam mengambil aliran Akaun. Nampaknya, dialah yang pertama sekali mengambil aliran ini di kalangan kami semua.

8. Adik yang masih bersekolah tu semuanya tuisyen. Habislah emak! πŸ˜›

9. Adi kata, malam ni mereka semua akan bergelap untuk Earth Hour. Saya bertanya, akan berlilinkah mereka nanti. Jawabnya, buat apa. Sejam saja. Nak bergelap, biar gelap terus. Bila lagi nak buli adik-adik ikut suka hati. Weh, salah guna kuasa betul Adi ni! Ayah, baik ayah suruh Adi jadi imam solat Isyak malam ni. Lepas tu, suruh dia conduct wirid lepas solat Isyak tu lama-lama sikit. Kata dulu selalu jadi imam di asrama kan. πŸ˜€

Apakah tanggung jawab kita sebagai seorang anak? Berusaha menjadi yang terbaik untuk keluarga kita dalam apapun bidang yang kita ceburi, mendoakan kesejahteraan serta kebahagiaan ibu bapa dan keluarga kita. Juga menjaga maruah keluarga secara total. Jika pincang satu, kita patut malu untuk menghadap ibu bapa kita dan Allah suatu hari nanti.

Ya Allah. Semoga adik-adik saya menjadi insan berguna untuk keluarga, bangsa dan agama.

ngahadi

Nota: Kadang-kadang internet boleh menjadi sangat menjengkelkan. Percayalah.

Posted on March 28th, 2009 by Sarah  |  28 Comments »

Diari Seorang Guru (i)

Assalamualaikum wbt

Untuk entri kali ini, saya ada co-author dari Sarawak nun. Kali ini, blog ini milik Kaklong. Ini hasil nukilan Kaklong tentang pengalamannya berkhidmat di kawasan pedalaman. Setiap kali mendengar cerita Kaklong, saya tak habis-habis teruja. Ternyata apa yang saya bayangkan selama ini lebih kurang saja dengan apa yang Kaklong kongsikan kali ini. Oh ya. Gaya bahasa pun lain sikitlah ya. Kaklong ni menulis ikut suka hati dia je. Saya cuma kemas kinikan saja. πŸ˜†

dsc04524

1st pic – Tu la gambar boat dari Daro ke Sarikei aka express. Dari Sarikei ke Tg. Manis pun lebih kurang begitu jugalah botnya. Nampak tak ada budak perempuan meniti di tepi-tepi bot tu nak masuk ke dalam bot tu? So same goes to me. Hehehe. Dulu mula-mula gayat tapi lama-lama ok je. Nampak tak juga kat side sebelah kanan pic tu ada tempat parking speed boat. Hahaha. Jangan tak tahu. Tu la tempat parking speed boat. Speed boat kecik la dari yang express tu. :mrgreen:

dsc04527

2nd pic – Ini view dari depan hotel masa di Daro. Bosan ok tunggu lebih 3 jam petang tu. So snap jelah apa-apa yang patut. Dah la kena check out awal masa tu. Macam hampeh je kena duduk bawah pokok masa tu. Tu masa air surut. Gigihkan pakcik tu mengayuh sampan tengah-tengah panas. Huhuhu. Memang sangat panas masa tu. Rasa macam menyengat-sengat kulit ni. πŸ™„

dsc04530

3rd pic – Ini pula view dari dalam bot dari Sarikei ke Tg. Manis dah. Bot kami entah apa-apa la pulak bertawaf keliling kapal besar gabak ni. Ingatkan nak ambil anak kapal ke, ape ke. Tapi takde apa-apa pun. Masa tu ada jugak la terfikir kena hi-jack ke apa. Hahahahaha. Terpengaruh betul!!! <—- [Bukti Kaklong memang kuat berangan! Kahkahkah] Tapi sumpah, besar sungguh kapal tu. Tak tahu dia angkut apa entah. Saja je nak snap. πŸ˜‰

dsc04532

4th pic – Haaaaaaaaaaaaaaaaa!!!!!!!!!!!! Inilah lantai rumah yang roboh tu. Bayangkanlah betapa seksanya jiwa raga bila kaki terperosok masuk dalam tu. Ni yang nak komen kat tuan rumah ni. Hahaha. Macam la berani!! Hehehe. Tak berani pun. Ini bukan disebabkan berat badan bertambah occay!! πŸ˜› Memang kayu tu dah reput. Huhuhu. Sakit… sakit… πŸ˜₯

Oklah. That’s all for now. Nanti tambah-tambah lagi ok. Lots of love from Jerijeh.

-Kaklong

Nota 1: Penat saya nak edit ejaan dia ni. Sabar jelah dengan Kaklong ni. Hahaha.

Nota 2: Perbualan sengal dengan Kaklong tadi (SMS)

Saya: Long, nanti Ngah guna email awak untuk update pasal awak ye.
Kaklong: Huhu. Ok. Guna jelah. Takde benda sangat tu.
Saya: Tapi Ngah bukan nak update sekarang. Karang-karang sikit. Ni nak tidur dulu ni.
Kaklong: Ok, ok. Kaklong pun nak tidur jugak ni.
Saya: Moh tidur, moh. Tutup lampu bilik cepat. Kipas arahkan ke Ngah lebih sikit ok.
Kaklong: Yelah. Yelah. Nanti pasang air-cond jelah bilik kita ni ye.

Disebabkan kami berdua saja anak perempuan dan kami ni anak rantau di rumah tu, jadi bila dah besar-besar ni kami dikongsikan bilik. Sekarang bilik kami kosong sajalah sebab dua-dua tiada di rumah. Tapi bila kami berdua ada di rumah, nak tidur malam je, mesti ada yang mengeluh sebab kena bangun dari katil untuk menutup lampu. Kaklong tak suka berkipas sangat. Yang saya pula, tak suka berselimut sangat dan menggunakan khidmat kipas untuk mengelakkan gigitan nyamuk (erk… saya alah dengan gigitan nyamuk!) Bilik kami tiada air-cond lagi. Boleh pula masing-masing buat lawak sengal dalam SMS tadi. Macamlah nak tidur dalam bilik yang sama, kan. Padahal jauh beribu batu. πŸ˜† Oit orang di sana, orang di sini rindu sama orang di sana. 😎

Posted on March 6th, 2009 by Sarah  |  11 Comments »