Kenapa Saya Benci Media Tradisional
Lama kelamaan, saya semakin benci membaca laman-laman web media tradisional. Milik akhbar mahupun saluran TV tempatan. Sudahlah ini satu-satunya sumber untuk saya mengetahui perkembangan dalam negara secara menyeluruh tetapi hasilnya amat mengecewakan. Siapa tidak geram jika:
1. Penuh dengan berita yang tidak membangunkan minda. Muka depan pun sudah ada dua tiga cerita tentang artis-artis kita. Input yang tidak menambahkan kualiti ilmu sedikit pun.
2. Bila tiba musim-musim tertentu, seperti musim pencalonan UMNO di sana sini, sesebuah media itu seperti bertukar wajah menjadi saluran politik rasmi mereka saja. Penuh tiga empat muka cerita tentang ini. Ini sungguh tidak adil. Berat sebelah. Jika pembangkang dikatakan mengguna pakai media sebagai saluran mereka, pembangkang dikatakan menyalahgunakan kuasa. Siapa yang salah guna ni sebenarnya?
3. Tiada kebebasan bagi para wartawan kita untuk menyampaikan berita dengan sejujurnya. Jelas sangat mereka dikongkong oleh sesuatu. Tak boleh sesuka hati menulis laporan dengan setepatnya. Agaknya atas faktor inilah mereka seperti hilang idea dan sudahnya menghasilkan berita yang tidak berkualiti entah tentang apa-apa.
4. Bagi saluran televisyen pula, bahasa yang digunakan boleh membuat orang menyampah untuk mendengar ulasan lanjut. Bias yang sangat ketara. Sungguh. Memang menyampah.
5. Hanya memaparkan gambar-gambar yang menipu kebenaran. Erm. Contohnya ketika BERSIH dan PRU12 dulu.
6. Saya sebenarnya dah lama tidak suka slot Senyum Kambing tu. Sebab menunjukkan Orang Melayu seperti ada banyak masa untuk bersembang kosong dan mengumpat, menyindir. Kalau tak percaya, cubalah rujuk kesemua slot Senyum Kambing tu.
Jadi, apa pilihan yang ada? Sebab itu saya lebih suka membaca media alternatif yang lebih pantas dan terbuka. Malaysiatoday (atau Malaysiakini) contohnya. Serta blog-blog dan laman-laman web peribadi milik tokoh-tokoh politik negara. Mungkin ada yang mempertikaikan kebenaran sumber ceritanya. Tapi bagi saya, ulasan yang lebih menyeluruh dan jitu itu yang meyakinkan saya untuk membacanya.
Kalau dulu, setiap hari saya membuka laman web akhbar-akhbar tempatan untuk mendapatkan info terkini dalam negara. Tetapi sekarang, saya hanya membacanya pada hari Sabtu. Tapi punyalah geram. Sebab berita yang dipaparkan tidak bernas langsung. Kalau saya tidak baca langsung pun tidak mengurangkan saya apa-apa kalau setakat perihal yang sama diulang cerita berkali-kali selama beberapa hari.
Tetapi bukan semua bersetuju dengan media alternatif. Cuma bagi orang jauh seperti saya ni, tiada pilihan lain yang lebih berkesan untuk mendapatkan maklumat dengan menyeluruh dan cepat. Lagipun, konsep media alternatif adalah ringkas tapi penuh fakta dan bukannya meleret-leret seperti media tradisional yang lain.
Nota 1: Semalam hari yang sangat memenatkan. Sampai rumah malam tadi terus tertidur.
Nota 2: Hari ini saya ada kelas. Rusia menyambut Krismas berdasarkan kalendar Ortodoks iaitu 13 hari lewat daripada kalendar Masihi. Jadi Krismas secara rasminya disambut pada 7 Januari nanti.
Nota 3: Esok saya bercuti sehingga Isnin, ke hospital 2 hari dan kemudian sambung cuti tahun baru pula.


