Jika Naif Tuntutlah Ilmu

Assalamualaikum wbt

Saya masih ingat lagi apa yang berlaku dalam ujian bulanan untuk kali pertama ketika saya berada dalam darjah satu. Saya bersekolah di sebuah sekolah swasta agama. Salah satunya ialah subjek Akhlak. Untuk ujian itu, semua soalannya objektif (seingat saya). Cuma soalan-soalannya semua ditulis dalam Jawi. Tulisan itu bukan masalahnya. Saya kira semua soalan-soalan yang ada ketika itu semuanya senang belaka.

Tapi, ada satu soalan yang sehingga hari ini akan buat saya tersenyum bila teringatkannya. Terutamanya ketika hendak tidur.

Soalan berbunyi: Kita disunatkan untuk tidur menghadap ke arah:

a) Sejadah     c) Kiblat

b) Dinding     d) Bantal

Kisahnya, sebelum saya berpindah ke rumah yang sekarang, saya dan keluarga menetap di sebuah rumah sewa sementara menunggu rumah kami siap dibina. Rumah sewa itu terletak berdekatan dengan rumah Tok. Di kaki bukit rumah Tok. Ketika itu saya di tadika. Rumah kami siap sekitar Ogos tahun itu juga.

Ketika di rumah sewa itu, saya ditempatkan sebilik dengan Kaklong. Katil kami saiz permaisuri kerana kami memang permaisuri emak ayah. Haha. Mengarut. Saya bersebelahan dinding dan Kaklong tidur di bahagian yang tidak berdinding. Di tepi katil kami ada ruang untuk solat. Tapi biasanya kami akan solat di bilik solat yang bersebelahan dengan pintu ke dapur. Kami kena solat di situ sebab emak hendak memeriksa bacaan dalam solat kami. Kalau salah, kena titik jari. Kalau betul? Bolehlah keluar cepat dari situ dan boleh tengok TV cerita Thailand bersiri ‘Mi Ek’. Menangis-nangis tengok cerita tu. Kalau sebelum tu dah kena titik jari sebab salah hafalan bacaan dalam solat, menangisnya tu lebih banyaklah, kan.

Kisahnya lagi, kedudukan bilik solat tu dari bilik saya hanya bersebelahan saja. Kiranya, di sebelah dinding tempat saya menyandar dari atas katil bahagian saya tidur ialah bilik solat tu. Arah kiblat di rumah itu lurus saja. Kalau masuk dari pintu utama, terus sajalah kiranya. Terus menghadap kiblat. Nak solat di beranda depan pintu rumah pun boleh juga kalau nak. Dari pintu utama juga boleh terus nampak ke pintu bilik saya.

Di dalam bilik, katil diletakkan secara melintang. Mesti penat kamu semua nak membayangkan segala rajah pintu rumah, arah katil, arah kiblat semua ni kan? Tak mengapa. Teruskan saja baca kalau larat. Bila katil diletakkan melintang dari muka pintu bilik, bermaksud arah kiblat juga sudah berubah menjadi di sebelah kanan saya jika saya berbaring. Dinding pemisah dengan bilik solat juga sudah berada di sebelah kanan saya.

Apabila tidur malam, emak terangkan dengan ayat lurusnya: Hadaplah ke kanan. Ke dinding tu. Jadi saya dan Kaklong yang masih kecil ni pun faham bahawa eloknya tidur kita tu ialah mengiring ke kanan dan menghadap ke dinding.

Dah dapat meneka apakah jawapan saya untuk soalan ujian bulanan subjek Akhlak tu? Ya. Jawapan saya ialah b) Dinding. Punyalah yakin saya menjawab soalan tu. Dalam hati saya waktu tu, saya terbayang-bayang kedudukan katil saya ketika di rumah sewa itu dulu. Terbayang-bayang keadaannya saya berbaring di atas katil saiz permaisuri zaman Puteri Hang Li Po tu. Memang yakinlah jadinya saya ni, kan. Padahal, keyakinan yang sesat lagi menyesatkan. Kalaulah emak tahu inilah yang saya bayangkan ketika menandakan jawapan saya itu, mesti saya kena titik jari lagi. Mana tidaknya. Emak mendidik anaknya tidur menghadap kiblat dan mengiring ke kanan. Yang saya percaya, tidur perlu mengiring ke kanan dan menghadap dinding.

Jadi selepas daripada ujian itu, saya dapat satu lagi ilmu. Tidur menghadap ke arah kiblat itu adalah sunat. Ada hikmahnya. Kalau-kalau kita mati dalam tidur, kita mati menghadap ke arah yang sepatutnya. Bersiap-sedia. Dan bila dah besar panjang, belajar pula bidang perubatan, saya dapat tahu pula hikmah tidur mengiring ke kanan.

Dapat mengelakkan heart and lung congestion. Situasi di mana jantung kita overload atau dilimpahruahkan dengan kitaran darah yang lebih banyak dikembalikan ke jantung ketika kita berbaring. Disebabkan kita mengiring ke kanan, proses melimpahruahkan darah ke jantung yang terletak di sebelah kiri akan terbantut. Lung congestion pula ialah situasi paru-paru kita menjadi terlebih lembap gara-gara heart congestion tadi. Paru-paru yang lembap boleh menyebabkan kita batuk dengan teruk dan semput nafas dengan teruknya di waktu malam. Sebab itu, eloknya kita tidur dengan meninggikan sedikit paras kepala daripada dada.

Hidup ini untuk terus belajar. Kalau kecil-kecil dulu penuh dengan ajaran sesat yang kepala sendiri tafsirkan (sampaikan saya pernah percaya tak gosok gigi sebelum tidur boleh mengundang lipas datang menggigit bibir sedangkan faedahnya adalah untuk kebersihan mulut dan mengelakkan caries gigi), tapi semakin kita membesar, semakin kita penuhi diri kita dengan ilmu.

Tolabal ilmu minal mahdi ilal lahdi. Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad.

Dulu saya naif. Emak mesti terkejut membaca pengakuan saya yang satu ini. Emak nak titik tak jari Ngah bila Ngah balik nanti? 😉

Nota: Bila menyebut tentang rumah sewa kami tu, saya akan teringat dua peristiwa. Nan terkena kejutan elektrik yang teruk di tangannya dan kisah saya dan Kaklong belajar masak nasi sehingga terbakar tikar getah di dapur pada umur 6 dan 8 tahun.

Posted on February 8th, 2009 by Sarah  |  27 Comments »

Siapa Melayu

(I)
Lelaki Melayu itu
yang berbaju melayu segak
butangnya lima
agamanya hebat
kerjanya kuat
sifatnya berani
hemahnya tinggi
mahirnya berbudi.

Yang cakap dan benar
yang tutur dan buat
yang janji dan kota.

Maka disempurnakan sebuah kehidupan
dibekalkan mereka pelengkap keindahan.

(II)
Gadis Melayu itu
yang berbaju kurung
butangnya satu
bajunya lurut
kainnya labuh
rambut hitam
sinarnya di dalam.

Yang sifatnya malu
santunnya sipu
senyumnya lembut
tuturnya ilmu
langkahnya gagah
tak mudah mengalah.

Maka diindahkan sebuah kehidupan
dibekalkan mereka untuk menyempurnakan.

(III)
Siapa itu Melayu
bukan kiranya pada belacu
adalah sutera taruhan budi
tatapan sejagat insani.

Sarah Mohd Shukor
Moscow City, RF
28 Mei 2008

Assalamualaikum wbt

Sajak ini saya tulis di pertengahan tahun lalu. Alhamdulillah, sajak ini (dan sebuah lagi sajak saya) telah dibukukan dalam sebuah Antologi Puisi 50 Penulis Luar Negara berjudul Bahasa Bumi pada bulan Ogos lalu.

Sajak ini ada seruan. Mengajak kita menjadi Melayu yang utuh Islamnya. Bukan sekadar Melayu pada namanya. Supaya nanti orang bertanya siapa itu Melayu, kita tak tersipu-sipu malu nak mengaku diri kitalah Melayu. Melayu yang Islam. Yang zahir pada luaran kita dan diserikan kemelayuan dan keislaman kita itu pada akhlak kita.

Nota 1: Alangkah indahnya Malaysia kita jika pemimpin kita yang Melayu sempurna Melayu dan Islamnya. Fikir dalam-dalam. Jangan kata saya racist. Tidak. Saya sangat terbuka dengan konsep berbilang kaum. Dapat makan limau percuma. Ke kedai mamak makan tosai dan macam-macam lagi. Tiadalah ini semua di tempat lain kan. Cuma bila kita berdiri atas nama Melayu semata-mata, kita terlupa tentang kaum lain. Tapi bila kita berdiri atas agama, kita sedar agama kita luas cabangnya dan toleransilah salah satu daripadanya.

Nota 2: Jawa, Banjar, Minang, Kampar semua tu pun dari rumpun Melayu juga ye 🙂

Posted on February 7th, 2009 by Sarah  |  48 Comments »

Kebejatan Otak

Assalamualaikum wbt

Di saat saya menulis ini, ada empat orang anak dara rumah ni yang datang menempek di tepi meja saya. Mentang-mentanglah meja belajar saya ni baru diubah kedudukannya, terasa bilik saya ni seperti pejabat pula.

Meriah pula rasa berkumpul berlima pada pukul 12.15 tengah malam ni sambil makan roti bawang putih (garlic bread lah tu) buatan Fatt. Saya ada misi untuk baki cuti dua hari yang tinggal ini. Nantilah baru saya beritahu kalau misi ni dah berjaya.

Saya sebenarnya rasa bersalah sangat ni. Saya periksa email. Banyak pula email dalam masa seminggu ni. Tapi hampir semuanya saya abaikan dan tak dibalas (ada yang tak dibaca pun lagi). Bersalah sungguh rasa. Tapi maaflah (kalau kamu membaca). Saya tak tahu apa kebejatan yang melanda otak saya sepanjang cuti ini. Saya jadi tak berminat nak membaca apatah lagi memberi respon kepada semua email yang diterima. YM apatah lagi. Dah berzaman lama dah saya tak ber-YM dengan orang.

Jadi kalau ada yang kata saya ni banyak sangat masa ber-online dengan orang, fakta itu adalah sangat salah. Dalam hidup saya buat masa ini, saya hanya online di hujung minggu dengan dua orang kawan saja. Yang pasti bukan dengan YM. Itu pun kalau berkesempatan. Masing-masing pun sibuk dengan studi dan kerja.

Sekarang sudah hampir 12.30. Eloklah saya melelapkan mata sebagai token menikmati hari-hari terakhir cuti yang hampir tamat. Sebelum saya mula terbayang ada benda berdiri di atas bangunan bank sebelah rumah ni, baik saya menutup mata. Eh, baru teringat. Meja saya sekarang sudah diubah membelakangi tingkap. Nanti mesti saya tak terbayang ada benda berdiri di atas bangunan tu dah tapi saya terbayang ada benda berdiri di belakang saya pula. Haha.

Mengucap. Allah tu Yang Maha Esa dan Agung.

Nota 1: Saya dah mula tak suka menulis secara serius. Membazir betul domain ni saya kerjakan. Apapun, tetaplah terima kasih banyak kepada Nan sebab hadiahkan saya domain ni dulu.

Nota 2: Boleh tak kalau Pak Lah tu bertegas dan menjadi berkaliber banyak sikit di saat akhir sebelum dia menyerahkan kuasa kepada si Najib tu? Kumpulkan kesemua pemimpin negara, baik BN atau PR. Cuba capai kesepakatan secara berbincang secara baik dan demi masa depan negara. Ini tak. Lagi besar pengaruhnya, lagi banyak soalnya. Baik BN atau PR itu sendiri mesti ada buruknya. Tapi tolonglah. Rakyat dah menyampah dengan segala benda yang terjadi dalam politik negara. Tolonglah lagi banyak bekerja untuk membentuk dan membangunkan negara daripada banyak berhujah sana sini tapi hasilnya tiada. Tolonglah buang ego dan kepentingan peribadi demi kesejahteraan negara. Kawan Russian saya kata, Malaysia ni kecil saja tapi masalahnya banyak gila. Sepakat tak pernahnya dapat. Antara ketua dengan ketua semuanya ada kepala masing-masing. Terasa Ya Rabbi bila dia kata macam ni. Malu pun iya juga. Maka, tolonglah wahai pemimpin-pemimpin sekian. Kalian buat saya rasa nak pergi terjah mana-mana rancangan yang sedang on-air di TV dan buat seruan secara terbuka supaya dapat didengar dan diberi perhatian oleh semua. Kiranya macam meraih perhatian secara gerila di TV. Pohon rayu pemimpin-pemimpin kita supaya duduk berbincang demi kesejahteraan bersama. Ada yang nak buat bersama saya? Seorang ke RTM, seorang ke Media Prima, seorang ke Astro. Cukuplah tu. Ok. Tawaran masih terbuka untuk 2 orang lagi. 😉

Nota 3: Aik. Tadi saya kata dah tak nak menulis hal serius. Tapi tertulis juga dah. Untuk yang terakhir kali dah ni kot. Nanti ada lagi stalker yang hentam saya. Hentam-hentaman macam baling batu ketika melontar jamrah. Huhu.

Posted on February 7th, 2009 by Sarah  |  37 Comments »

Moscow Yang Cantik

Assalamualaikum wbt

Punyalah saya berkobar-kobar hendak menulis tengah malam tadi (maklum sajalah, dah dua hari perasaan nak menulis tu tak berapa muncul), tapi saya mengalami hosting problem sekejap. Disebabkan itu, kerja saya ialah membelek-belek gambar sepanjang musim cuti ini termasuklah aktiviti kami serumah semalam.

Selepas solat Asar sekitar 2.45 petang, Wanie dan Diba sudah bertolak dulu menuju ke Pejabat Dekan kerana hendak menyelesaikan urusan visa. Jadi kami semua berpakat untuk berjumpa di stesyen metro yang terdekat saja. Saya ada meminta tolong mereka menghantarkan buku kredit (buku rekod kelas dan peperiksaan) saya ke Bahagian Pelajar.

Tapi kemudian, Diba menelefon saya mengatakan bahawa Bahagian Pelajar tidak mahu menerima buku kredit saya kerana saya tidak memenuhi semua credit hours lagi. Saya kepelikan. Kelas pun tak pernah ponteng, exam pun tak pernah pending, macam mana boleh jadi begini. Terasa bengang juga tapi saya terus bersiap dan ke sana. Rupanya ada sedikit salah faham waktu itu. Bahagian Pelajar tersalah rupanya. Ikutkan hati, memang boleh semakin moody dengan apa yang terjadi (Ya lah. Kita tak salah tapi dipersalahkan pula) tapi disebabkan ayat akhir Elena tu, saya betul-betul rasa gembira.

Dipendekkan cerita, maka saya bersama Pena, Fatt, Wanie, Diba dan Mily pun terus ke Yiponskaya Kuhniya (Japanese Kitchen) di Okhodny Ryad (Center). Aktiviti makan-makan bermula. Kadar tukaran Ringgit ke Ruble sekarang ialah RM1 bersamaan 10 Rubles. Sangat menguntungkan kami. Kalau dulu nak makan diluar, kami semua akan berkira jugalah. Jadi kedekut sangat sebab selalu buat kami rasa tak berbaloi. Elok masak sendiri dan makan puas-puas di rumah. Tapi dengan rate Ringgit-Ruble yang setinggi ini, kami rasa lapang dada bila hendak membeli barang. Bak kata kawan, terasa macam orang kaya sekejap. Sekejap sajalah. Nanti krisis ekonomi berakhir, sakitlah semula kami di sini.

dd

Kemudian kami mengambil keputusan untuk berjalan-jalan di sekitar Center saja. Punyalah lama kami tidak masuk ke GUM, sebuah pusat beli-belah yang sangat berprestij di Moscow. Ya lah. Buat apa masuk pun kalau nak beli air pun buat kita berfikir 7-8 kali. Memang berprestij sungguh. Tapi kami masuk untuk berjalan-jalan saja dan menikmati hiasan dalaman bangunan itu yang sangat cantik. Konsep bangunan ini ialah bandar lama (premis-premis yang ada berbentuk tingkap dari laluan pengunjung dan bertingkat-tingkat siap dengan jambatan dan segalanya). Yang menjadikannya bukan bandar betul ialah kedudukannya di dalam bangunan. Tapi jika dilihat bumbungnya, penuh dengan lampu lip-lap gantung-gantung tu seperti yang kita rasai bila melalui depan bangunan Sultan Abdul Samad atau keadaan jalan raya ketika malam Merdeka.

cc

Kami keluar melalui pintu belakang GUM dan terus menuju ke St. Basil Cathedral yang terletak di laman Red Square. Walaupun suhu sangat sejuk semalam, tapi semangat kami untuk bergambar sakan tetaplah tidak luntur (ceh ayat!).

bb

Dan apabila telah sejuk sampai tak sanggup lagi hendak memegang kamera di tangan, tak sanggup lagi berjalan di atas muka bumi beratapkan langit (ceh lagi sekali), kami mengambil keputusan untuk singgah minum kopi panas di Coffee House di Manezh Underground Shopping Complex. Kali ini kami masuk ke bawah tanah pula. Kami berada di tingkat -3. Maksudnya, tingkat terdalam sekali di kompleks itu.

aa

Selesai minum kopi panas (macam orang tua saja bunyinya), kami pun pulang. Bila sampai di rumah, masing-masing sibuk membelek internet mahu mencari harga telefon yang mereka ada fikir-fikirkan untuk membuat perbandingan harga. Mana tidaknya! Jika dulu harga iPhone 8G di sini ialah 18000 Rubles (bersamaan RM2800) tapi sekarang dengan rate yang ada, harga 18000 Rubles itu maksudnya iPhone itu hanya RM1800 saja! Tapi saya bukan kaki kumpul gadget atau mengikuti perkembangan semasa. Cukuplah telefon saya ni boleh digunakan untuk menelefon dan menghantar mesej. Oh ya. Saya teruja tentang satu benda saja. Nokia N95 harganya hanya RM850 saja! Waiyoooo! Bulat mana melihatnya! Masya Allah. Ini memang murah Ya Rabbi ni. Ok ok. Kena mengucap banyak-banyak bila menyebut tentang benda-benda ni. Tak cukup iman, tak pasal-pasal nanti ada yang memiliki Sony Ericsson baru pula. Yang pasti, Nokia kita boikot.

Sampai di rumah, saya menerima bungkusan DHL kiriman emak ayah. Dapat kad hari lahir (cukup dah koleksi saya enam tahun di sini) beserta kad bank. Alhamdulillah. Terima kasih emak, ayah.

Kesemua kolaj gambar untuk entri kali ini adalah hasil susunan Wanie. Saya malas dan tak berseni dalam bab menyusun kolaj secantik ni. Wanie memang kreatif bab-bab ni. Kalau nak lihat lebih banyak gambar aktiviti kami sepanjang cuti musim sejuk 2009 ini, boleh baca di sini dan tengok di sini. Tapi yang terkahir ni ialah Rumah Hansel And Gretel yang saya janji-janjikan. St. Basil Cathedral dilitupi salji!

ee

Nota 1: Apa yang Bahagian Pelajar (Elena) di Pejabat Dekan katakan ialah: “Awak tu tunggu masa nak grad je dah”. Bagi saya ayat tu betul-betul menggembirakan saya! *menari mencucuk langit*

Nota 2: Saya sentiasa menyukai Moscow ketika musim sejuk. Terlalu cantik untuk mata saya. Nanti mesti saya akan merindui Moscow yang cantik ini.

Posted on February 6th, 2009 by Sarah  |  9 Comments »

Terapi

Assalamualaikum wbt

Rasanya baik saya buang moody saya ni jauh-jauh. Selama ini, saya ada dua pilihan bila saya tengah moody. Sama ada saya melawat bangku rahsia saya tempat saya selalu duduk seorang diri di depan Kremlin atau bersushi rama.

Kalau hendak ke kerusi tu, percuma saja. Tapi kalau nak pergi makan sushi, mestilah kena guna duit. Tapi memandangkan cuti dah nak berakhir, Wanie dan Diba berhajat hendak ke sana. Maka saya, Fatt dan Pena pun hendak turut serta.

Sehari lebih dah tak keluar rumah. Tak sabar rasanya nak meredah salji, bernafas dalam dingin dan lepas tu berbuka dengan sushi. Mungkin lepas tu hendak ke St. Basil. St. Basil yang dilitupi salji memang sangat cantik!

Posted on February 5th, 2009 by Sarah  |  22 Comments »