Cerita Dari Volgograd (i)

Assalamualaikum wbt

Perjalanan ke Volgograd petang Khamis lepas memang amat meletihkan. Tetapi Alhamdulillah, tiada sebarang masalah yang kami lalui. Perjalanan kali ini mengambil masa 16 jam tepat. Sebaik sampai, kami berkejar ke stadium untuk perarakan kontijen yang bertanding dan selepas itu, pasukan pingpong dan badminton terus bertolak ke stadium khas untuk dua acara ini. Penat memang masih belum hilang lagi waktu itu.

Saya malas hendak menulis panjang lagi. Gambar pun masih belum ada pada saya semuanya. Cuma saya hendak kongsikan keputusan perlawanan hari itu. Untuk pingpong, baik lelaki atau wanita, kedua-dua pasukan universiti saya mendapat tempat kedua. Untuk pasukan wanita, kami agak kecewa jugalah. Mana pernah kalah dalam lima kejohanan sebelum ini. Tapi dapat membawa pulang pingat untuk pihak universiti buat kesekian kalinya sudah cukup memuaskan hati kami berlapan. Bagi pasukan lelaki, aduhai, lagilah kami terkilan. Tapi tak mengapalah. Kita simpan cerita di belakang sudah. Tak mahulah ungkit-ungkit. Huhu. Apa yang penting, MMA Pingpong Team 2009 is the best! (Saya akan rindu Anet, Wanie, Rou Theng, Ron, Nicholas, Lowell dan Izzi!!!)

dscn3066

(Tiada dalam gambar: Izzi The Great)

Pada hari kedua dan ketiga, saya sudah tidak mempunyai sebarang acara. Jadi, apa lagi. Jadi tukang sorak sajalah. Sampai serak-serak tekak. Dan separuh masa bertugas membantu paramedik di gelanggang bola keranjang.

dscn3099

(Inilah geng makan-makan ketika di Intec dulu: Farhana, Dyana, saya dan Huda. Banyak sungguh kami mengimbau kenangan zaman muda-mudi dulu. Hihu~)

Dan pada hari kedua, saya berkesempatan melawat rumah kawan saya, Dyana Nizar. Serius sungguh lama tidak bertemu Dyana dan yang lain. Dan pada hari itu, saya bersama Dyana, Huda dan Farhana berkunjung ke Mamaev Kurgan atau Mother Russia; monumen yang saya katakan seperti Statue of Liberty itu. Gambar ini baru acah-acah saja. Ada banyak lagi gambar di sana. Huhu.

dscn3097

Ok. Tengok gambar sikit ni dululah. Nanti ada masa baru saya letakkan gambar-gambar yang lain.

Hoyeah! Dapat pingat perak pun cukup dah. Paling kurang, pengalaman tahun akhir saya masih manis dan penuh warna-warni bersama kontijen universiti saya ke Volgames’09 kali ini. Dan yang paling seronoknya, bas no.2 dari MMA adalah sangat happening dan best! You guys rock!

Nota: Ada banyak sangat gambar. Maka, bersambung… :mrgreen:

Posted on April 27th, 2009 by Sarah  |  19 Comments »

Kelana Merentas Rusia

Assalamualaikum wbt

Exam sudahpun selesai. Alhamdulillah, markah yang cemerlang. Sekejap saja viva pagi tadi. Yang lebih menguntungkan, semua soalan saya berkaitan Cardiology. Bidang yang paling saya suka. Saya ingatkan, kemungkinan besar saya akan kena tanya banyak soalan-soalan berkaitan Pulmonology. Tapi satu pun tiada saolan berkaitan paru-paru. Huhu.

Yang penting, satu group saya semuanya sudah lepas bahagian ini. Ada beberapa orang lagi juga mendapat markah cemerlang. Sekarang ini, hanya tinggal empat posting pendek (seminggu lebih setiap satu) yang akan kami lalui sebelum kelas tamat secara rasmi pada 1 Jun nanti. Selepas itu, barulah bahagian paling penting untuk State Exam akan bermula. Makin cuak rasanya.

Ok. Abaikan kecuakan sekejap.

Dua jam daripada sekarang, kontinjen universiti saya akan bertolak menuju ke Volgograd. Volgogames akan bermula pada hari esok. Perjalanan ke sana mengambil masa paling kurang 16 jam menaiki bas dari Moscow. Ada 3 buah bas dari sini. Haa. Silalah bayangkan bagaimana keadaannya. Saya pernah balik Malaysia termasuk transit pun hanya mengambil masa 14 jam. Ini sampai 16 jam tu! Huhu.

Saya, Wanie dan Pena baru saja siap memasak bekal makanan untuk dibawa di atas bas. Semoga untuk sukan kali ini, tiada lagi insiden diarrhea secara berjemaah dalam perjalanan balik nanti. Kenangan tahun 2005 dulu masih belum saya lupakan. 😆

Dan saya yakin, saya akan tidur mati di atas bas nanti. Sesungguhnya, saya sangat tidak cukup tidur dalam tempoh seminggu ini.

Nota 1: Yeay! Saya akan bertemu dengan Dyana Nizar, dormmate dan classmate saya di KISAS dulu. Dia menuntut di Volgograd. Dah lama tak berjumpa dengannya.

Nota 2: Insya Allah akan ada gambar-gambar menarik sepanjang berkampung di Volgograd nanti. Pernah lihat Statue of Liberty versi Rusia? Ada sebuah di Volgograd. Jauh lebih besar. Nantikan ya!

Nota 3: Tak penting pun nota ni. Cuma nak kata, saya akan merentas ladang gandum di sepanjang perjalanan nanti. Auw. Saya suka!

Posted on April 23rd, 2009 by Sarah  |  15 Comments »

Rindu

Assalamualaikum wbt

Barangkali ini lumrahnya orang berjauhan. Tidak rindu, tidak sah. Bila rindu, air mata jadi murah. Senyum jadi payah. Suara jadi mahal. Hati jadi sebal. Jiwa jadi separuh. Jasad jadi luruh.

Bila terlalu rindukan keluarga, apa yang dimarah oleh ayah dulu-dulu pun saya jadi rindu. Emak membebel itu ini pun saya jadi rindu. Inikan pula ketika bersama-sama mereka membuat aktiviti bersama-sama. Mencuci kereta bersama-sama pun saya jadi rindu. Apatah lagi jika teringat bersalaman dengan mereka. Terus jadi rindu serindu-rindunya.

Dengan Kaklong pula, teringat semula kami bertekak kecil-kecil dulu pun saya rindu. Inikan pula saat-saat berkongsi hidup tanpa rahsia antara kami berdua. Dengan Nan, saya rindu dia memberi nasihat pendek. Sampaikan, apa yang kami jerit-jeritkan waktu bergaduh dulu-dulu pun saya jadi rindu. Lan lagilah saya rindu. Sudah lama tak mendengar beritanya. Bila saya rindu, segala apa yang digaduhkan semuanya buat saya semakin rindukan dia. Mungkin dalam ramai-ramai di rumah, saya paling rindukan dia. Sebab jika teringat dia, air mata saya boleh tumpah tiada sukatannya.

Dengan Adi, saya rindu dia membuat jenaka. Saya rindu semua cerita peliknya. Sampaikan, saya boleh terbayang-bayang mukanya menyerengih setelah berjaya membuat lawak bersahaja. Saya rindu usikannya. Saya juga rindukan ketenangan Adam. Saya rindu suara yang diam itu. Saya rindu untuk mendengar dia menyanyi bila bersendirian. Saya rindu untuk melihat wajah Adam yang tenang.

Saya rindu Azizi dan Aiman. Dalam setiap detik saya bersendirian hari ini, saya terbayang-bayang Azizi dan Aiman tersenyum riang. Azizi tersenyum dengan pipinya yang bulat. Aiman tersenyum dengan giginya yang jelas dapat dilihat. Saya rindu senyuman dua budak kecil itu.

Saya tidak tipu. Bila rindu, air mata jadi sangat murah. Dan hati jadi sangat goyah. Mungkin, rindu inilah kekuatan yang akan menemani saya untuk exam siang nanti.

Nota: Bila rindu, saya akan rasa pedih dalam tekak. Perasaan itu tak dapat digambarkan. Tapi rasa perit dalam tekak itu menyebabkan: Saya tak boleh bercakap banyak. Saya selalu kebil mata untuk menahan rasa pedih itu. Dan kalau saya cuba bercakap juga, cuba melawan kebilan mata juga, saya boleh menangis. Kesimpulannya, rindu itu untuk dihayati. Bukan untuk ditentangi.

Posted on April 23rd, 2009 by Sarah  |  12 Comments »

Ilmu

Assalamualaikum wbt

(I)

Sebulan yang lepas, saya menandakan satu agenda penting untuk saya ikuti pada hari ini di dalam kalendar saya. Awake craniotomy. Tepat jam satu pagi tadi, online webcast bermula. Hanya satu yang boleh saya katakan. Subhanallah!

Craniotomy bukanlah satu prosedur yang ringkas. Kepakaran dalam pelbagai disiplin bekerjasama untuk menjayakannya. Inikan pula untuk satu prosedur yang melibatkan otak yang dilakukan dalam keadaan pesakit itu sedar untuk membolehkan pakar mengakses sama ada prosedur itu mengganggu sistem saraf yang tertentu atau tidak. Jadi, pakar boleh berinteraksi dengan pesakit dan memintanya melakukan beberapa perkara mengikuti arahan untuk memastikan sistem sarafnya tidak terjejas.

Segala puji hanya layak untuk Allah. Tanpa ilmu yang dipinjamkannya kepada kita, semua ini adalah mustahil.

(II)

Kami bertiga di rumah ini bagaikan burung hantu di waktu malam. Bila malam, semuanya segar berjaga menghadap buku masing-masing. Bila siang, kami menjadi burung ciak pula. Awal-awal pagi lagi semuanya sudah berjaga. Pertamanya kerana Subuh masuk seawal 3.30 pagi. Keduanya, untuk sambung membaca.

Tidur memang tidak teratur. Makan pun apa yang sempat saja. Kalau saya, tidur duduk menyandar di kepala katil itu seperti perkara biasa untuk dua, tiga hari kebelakangan ini. Bangun pagi, sakit pinggang macam orang mengandung lapan bulan!

Untuk saya, sengsara ini akan berakhir kurang dua bulan daripada sekarang. Mungkin sudah boleh mula tersenyum sedikit. Tapi masih belum lebar.

(III)

Esok, kami bertiga wajib ke hospital untuk membuat pemeriksaan kesihatan sebagai atlit. Eceh. Macam atlit profesional pula. Kami akan bertolak meninggalkan Moscow pada petang Khamis ini.

Saya tidak sabar hendak keluar dari rumah. Sudah empat hari saya terperuk di dalam rumah saja. Otak sudah separuh mati.

Nota: Saya sangat rindukan keluarga di Malaysia.

Posted on April 22nd, 2009 by Sarah  |  6 Comments »

Dinamika Hidup

Hidup, dengan hati berat-terikat
bagai angin tak reti bertiup
air tak reti mengalir.
Terpekung menadah sisa-sarat
menuntun hidup penuh darurat.

Hidup, kalau dibiar indah
ada yang dengki, datang membenci
tangan tak hulur, mulut memaki.
Yang berat lagi membeban
yang terikat lagi bersimpul.

Inikah manusia?
Datang dengan hasad
pergi dengan suka?
Alasannya:
“Oh, aku terlupa.
Maafkan aku.
Akukan manusia.”

Angin dibiar hentap
lama-lama berkepam.
Air dibiar bertakung
lama-lama membusuk.
Lepaskan mereka
Hidup lebih bahagia tanpa ini semua.

Cari angin yang kuat
air yang deras
hidup dihempuk asakan
ubatnya pada nyaman dan segar.
Sehabisnya, dinamika itu ada.
Lebih baik begini.

Sarah Mohd Shukor
20 April 2009
16-205, Bolshaya Piragovskaya.

Nota: Akhirnya, terisi juga buku sajak tu.

Posted on April 20th, 2009 by Sarah  |  5 Comments »