Bengang (ii)

Assalamualaikumw bt

Saya pernah beritahu dulu. Jangan nasihat-nasihat saya bab kahwin dan cari pasangan ni. Saya pantang sikit bab-bab ni. Boleh naik marah jadinya. Jadi bengang sangat. Siapa yang betul-betul kenal saya, tahulah macam mana saya boleh naik angin kalau dinasihatkan banyak-banyak tentang hal ini. Saya memang cukup pantang. Kalau sedang berdepan, bila-bila masa saja saya boleh tinggalkan orang itu bercakap seorang diri.

Kosong tu ada banyak maknanya. Kenapalah erti kosong tu selalu diinterpretasikan sebagai ‘keseorangan’? Kosong yang saya maksudkan memang kosong. Lifeless. Tiada kaitan dengan berteman, berdua atau yang seumpama dengannya.

Lagi satu. Saya memang peminat lagu-lagu Melayu lama. Lagu klasik. Siapa yang mengenali saya tahu akan hal itu. Lirik lagu Gurindam tu tiada kena mengena dengan saya merindu dendam pada seseorang. Tak ada masa untuk itu. Saya memang kagum dengan indahnya kiasan, metafora dan perumpamaan yang sarat dalam lagu-lagu Melayu lama. Kalau sedar, lagu menimbang rasa di sisi blog ini tak bertukar sudah berbulan-bulan. Sebab apa? Sebab saya suka. Alunan telefon bimbit saya lagu apa? Lagu Dara Pujaan. Sebab apa? Sebab saya memang suka sangat yang teramat sangat. Lagu yang saya simpan dalam telefon bimbit saya lagu apa? Lagu Suka Sama Suka nyanyian Rafeah Buang dan Omar Suwito. Sebab apa? Sebab saya memang suka liriknya.

Habis sesi saya melepaskan kebengangan saya. Sepanjang hari ini saya memang bengang saja. MO saya cari pasallah. HO partner saya ni pun sama saja. Semua kerja diserahkan kepada saya. Semuanya saja mahu buat saya bengang. Entah apa pasal saya bersabar sangat dengan mereka semua ni. Sudah sampai rumah, staff nurse pula cari pasal. Baru nak bagitahu ada discharge summary hendak dibuat. Apa pasal tidak bagitahu saya awal-awal? Bila Surgical sudah discharge, bagitahulah Medical awal-awal. Ini tak. Orang sudah sampai rumah pukul 6.30 petang, baru terhegeh-hegeh hendak bagitahu. Memang bengang. Ingat saya ni tak payah rehat ke apa? Seharian saya tak makan apa-apa dari pagi melainkan air nescafe sacawan dan air masak segelas. Sampai pening-pening kepala. Apa saya ni tak perlu rehatkah?

Bengang. Memang bengang. Siapa cari pasal lagi dengan saya malam ni, memang sajalah tu. Esok pula on call lagi. Sampai Sabtu. Apasal bila hujung minggu saja, saya on call? Apasal? Apasal? Apasal? Ini tak aci! Bengang ok. Bengang!

Nota 1: Saya memang tengah bengang secara serius. Jangan harap nak tengok saya senyum hatta di rumah sekalipun.

Nota 2: Ini kali kedua saya menulis entri bengang. Saya menulis begini bila kebengangan berada di tahap kemuncak.

:evil: :evil: :evil: :evil: :evil: :evil: :evil: :evil: :evil: :evil: :evil: :evil: :evil: :evil: :evil: :evil: :evil: :evil:

Posted on December 10th, 2009 by Sarah  |  21 Comments »

Isikan Biar Terisi

Assalamualaikum wbt

Akhir-akhir ini, di saat hidup orang lain di sekeliling saya semakin terisi, saya rasa hidup saya semakin kosong. Sangat kosong. Balik dari kerja, saya makan nasi sambil menghadap TV dan kemudian terus menuju ke bilik dan tidur. Komunikasi hampir zero. Fantasi lebih aktif berbanding aktiviti lisan. Diam memang teman saya.

Tertekan dengan kawan-kawan yang kuat membuli di tempat kerja pun satu lagi halnya. Tak pernah-pernah saya mengamuk, baru-baru ini habis saya hentak-hentak steering kereta kerana marahkan seseorang. Tapi bila berhadapan, semua itu tak terluahkan. Terpaksalah saya menjadi mangsa buli di tempat kerja. Dikerah melakukan apa yang tak perlu dilakukan pun. Cuti sayapun lebur begitu saja. Sehingga saya terlepas mengikuti perkara-perkara penting dalam keluarga. Termasuklah sebuah episod istimewa untuk emak dan ayah.

Tak apalah. Hidup ini, ada ubi ada batas. Tiba suatu hari nanti, semua ini pasti terbalas.

Cara saya menghiburkan hati, saya mendengar Radio Klasik Nasional setiap pagi. Saya boleh tersenyum seorang mendengar lirik lagu dulu-dulu. Ada satu lagu yang hari-hari menitir di bibir saya. Gurindam. Datin Rafeah Buang. Selalunya, saya turut bergurindam sama seiring dengan dendangan radio.

“Langit cerah awan membiru, di dinihari embun pun jatuh, sakit menanggung rindu, di dalam air, di dalam air badan berpeluh.”

Gurindam lama memang dahsyat. Metafora berganda-ganda. Sampaikan di dalam air pun badan boleh berpeluh, ya. Indahnya, indahnya.

Kalau ada caranya, saya mahu jalan cerita hidup ini berubah. Menjadi penuh semula. Menjadi ada daripada tiada apa-apa. Jangan kosong. Isikan biar terisi. Yang kosong mudah dibisiki syaitan dan nafsu. Yang kosong mudah dibelenggu sadis dan jemu.

Nota: Saya post call. Wajib tidur sekarang walaupun baru pukul 9 lebih. Menguap tak sudah-sudah dah ni. Hmm… Inilah hidup saya setiap hari. Selamat malam Malaya.

Posted on December 7th, 2009 by Sarah  |  19 Comments »

Raya Haji

Assalamualaikum wbt

Akhirnya dapat juga kami sekeluarga balik beraya bersama di Penang. Muka Tok Yam memang gembira tak terkata. Semua cucunya berkumpul di rumahnya pada hari itu kecuali keluarga Makcik Liza sekeluarga. Saya pun tak sangka. Meriah sungguh rupanya sambutan raya haji di Penang ya.

Tok saya membuat korban. Begitu juga dengan Tok Lang saya. Jika di sebelah siangnya rumah Tok saya diserbu saudara mara kerana Laksa Penang yang disediakannya, di sebelah malamnya, rumah Tok Lang pula yang menjadi tumpuan. Mereka menyediakan bihun sup dan daging panggang. Meriah sungguh suasana di perkarangan rumah Tok Lang di sebelah malam itu.

Seperti yang ramai sudah tahu, saya ni alah kepada daging merah. Jadi, kali ini saya membawa balik ubat. Saya memang menghentam habis-habisan segala jenis lauk daging-daging ni. Bermula dengan rendang daging di malam raya, sup daging pada hari raya itu, daging bakar dan basamah daging di sebelah malamnya dan apabila sampai semula ke rumah saya pada hari raya kedua itu, saya terus makan nasi berlaukkan basamah daging yang Tok saya bekalkan.

Setiap kali selepas makan ubat, saya pun tidur. Makan kemudian tidur. Apa maknanya? Huhu. Membesarkan badanlah, kan. Tapi, emak-emak saudara saya semuanya kata saya makin mengecil. Adoi. Sebenarnya saya dah mengembang semula dah ni. Dah tak sekecil mana. T____T

Tapi cuti kali ini tak rasa secuti mana pun. Hari pertama saya memandu balik kampung. Sampai di tol Juru, kesesakan jalan raya sangatlah teruk. Dalam perjalanan balik pula, jalan sangat sesak di Rawang sehingga ke Sungai Buloh. Dengan hujan lebatnya. Memang menguji kesabaran. Dan pada hari semalam, saya dan Kaklong bermarathon kenduri kahwin. Dari satu kenduri ke satu kenduri kami pergi. Huhu.

Baiklah. Saya macam tiada cerita sangat yang hendak dikongsikan. Cuma sekarang ni, saya rasa rindu pada adik-adik saya si Adam, Azizi dan Aiman. Mereka bertiga tinggal di rumah Tok Yam di Penang. Khamis ini baru mereka bertiga akan pulang ke sini. Sunyi rumah ini tiada suara budak-budak itu.

Nah tengok gambar sikit-sikit. Oh ya. Rumah Tok saya terletak di Kepala Batas. Betul-betul di kelilingi bendang yang menghijau dan ban kecil yang mengairi kawasan sawah di sekelilingnya.

DSC_0826

Suasana selepas Solat Raya. Ramai yang menyerbu rumah Tok.

DSC_0873

Suasana di sebelah malamnya. Berkumpul ramai-ramai makan bihun sup dan daging panggang di perkarangan rumah Tok Lang.

DSC_0879

Ini tukang-tukang bakar dan kipasnya. Huhu :mrgreen:

DSC_0901

Oh. Inilah yours truly yang sibuk nak meredah bendang sebelum balik ke Pahang semula. Jakun betul minah ni. :lol:

Nota: Esok on call. Dan sekarang dah mula bersin-bersin, batuk-batuk. Manyak menci ooo.

Posted on November 30th, 2009 by Sarah  |  21 Comments »

Comel

Assalamualaikum wbt

Sebenarnya, seronok bekerja di klinik. Saya menikmati masa bekerja seperti orang pejabat. Boleh bertolak lambat dari rumah. Sempat bersarapan bersama kakak dan ayah. Di sebelah petangnya boleh pulang awal ke rumah. Cuma waktu sesi bertemu pesakit, memang kepenatanlah. Dalam sehari, hampir 70 orang pesakit yang datang untuk temujanji.

Balik saja dari kerja petang semalam, saya keluar makan bersama keluarga. Memang makan besarlah. Ayah yang memilih tempat makan. Malam tadi, kami menyuruh Lan yang membaca doa makan. Elok saja dia selesai membaca doa makan, habis semua orang mengucapkan syukur sambil tergelak-gelak. Huishhh. Kalau nak tahu, inilah adik yang paling keras kepala. Jadi, bila dia boleh mengetuai baca doa untuk kami semua, semua pun berkata: Sejuk perut emak mengandung. Hahahaha. Selesai makan, habis semua orang tersandar kekenyangan. Tapi emak dan Nan tiadalah bersama untuk kali ini. Kami hantar MMS sajalah kepada mereka.

Selesai makan, saya bersama Kaklong, Adi dan Adam pergi ke Lurah Semantan. Mulanya sekadar berhajat hendak mengisi minyak kereta. Tapi ternampak ada Bazar Raya pula. Kami pun singgah. Dan tak semena-mena saya telah membeli beberapa bekas kuih raya. Hahaha. Nampak sangat saya kemaruk tak beraya dulu.

Baru sekejap tadi, emak baru sampai dari Kuala Lumpur. Kursusnya sudah tamat. Nan yang membawa emak pulang. Nan sudah mula bercuti. Dan, mulai petang ini, saya juga mula bercuti raya sehingga Ahad ini! Kami sekeluarga akan pulang ke Pulang Pinang untuk Raya Haji kali ini. Tak sabarnya hendak balik kampung. Dan saya sangat gembira sebab saya akhirnya dapat bercuti dengan senang hati selama empat hari.

Oh ya. Alhamdulillah. Gaji saya sudah masuk. Bolehlah buat saya tersenyum dan terharu. Kalau dulu setiap tiga bulan saya menerima duit biasiswa JPA. Kali ini, bila saya melihat nilai yang tertera pada buku bank saya yang dikemaskinikan, saya betul-betul terharu. Saya perlu bekerja susah-payah selama tiga bulan ini, dan apabila melihat jumlah yang ada, siapalah yang tak terharu, kan.

Ok. Malam ini hendak berbual-bual dengan puas bersama emak dan Kaklong. Esok pagi kami sekeluarga akan bertolak balik. Kalau ada sesiapa yang terserempak dengan saya di mana-mana, tegur-tegulah ya. Nanti kita bersiaran dari Penang pula dengan entri bergambar berlatarkan bendang dan kampung nan permai.

Aik. Kenapa tajuk entri ni comel? Sebab Dr. A kata, muka saya ni macam orang yang blur sikit tapi comel. Ngeheee~ Ok ok. Tak menarik pun. Tak menarik pun. Mari pergi makan kuih raya ramai-ramai.

Selamat Hari Raya Aidil Adha buat semua. 🙂

Nota: Baru je dapat gaji, spect pula patah. Melebur duit. Power pun makin naik. Huhu. :cool:

Posted on November 25th, 2009 by Sarah  |  40 Comments »

Pindah-Randah

Assalamualaikum wbt

Baru saja semalam saya cerita tentang perpindahan saya ke wad baru. Genap seminggu sejak Isnin lepas. Tiba-tiba pagi tadi, selesai saya membuat round di wad, saya mnerima panggilan telefon. Waktu itu, saya sudah selesai round bersama MO saya. Kerja-kerja semuanya sudah selesai. Jam belumpun pukul 9 pagi lagi. Gilalah awal saya siapkan semuanya termasuk discharge summary.

Ok. Berbalik kepada panggilan telefon. Saya menerima panggilan daripada ketua HO Medical. Dia memberitahu bahawa mulai hari ini saya mula ditempatkan di bahagian Klinik Pakar pula. MOPD Clinic. Pergh. Menyirap darah saya. Suka betul buat kejutan di saat-saat akhir. Minggu lepas pun sama. Saya sudah selesai semua benda, baru nak beritahu. Hari ini pun sama. Saya dah siap semua benda di wad, baru nak berithau saya perlu ke MOPD pula.

Jujur saya katakan, saya sangat suka bekerja di wad saya tu. Walaupun baru seminggu, tapi saya sangat suka dengan kondisi di sana. Sangat-sangat suka. Kerja memang banyak. Ward round TDS per day. TDS maksudnya tiga kali sehari. Punyalah menyesakkan masa, kan. Tapi segalanya lebih teratur. Mungkin kerana diri saya sudah lebih terurus dan cara kerja saya semakin teratur dan berkualiti.

Baiklah. Berhenti sekejap hendak makan Dunkin Donut.

Ok. Sudah kenyang. Boleh sambung cerita. Dan sekarang ni, saya perlu turun ke klinik pula. Saya berimpresi yang kurang baik pada mulanya. Pertama, kerana saya tahu, pesakit di klinik memang ramai dan penuh dari awal pagi sehingga petang. Kedua, kerana saya bertugas dan di kelilingi oleh MO-MO dan pakar-pakar yang lain. Matilah saya kalau ada terbuat salah. Hahaha.

Tetapi, sebaik turun ke Klinik Pakar, saya dikerah oleh Dr. R (Abang Long saya. Masih ingat, kan?) untuk merawat pesakit secara bersendirian. Tidak perlu dipantau MO. Fuh. Terasa merdeka sekejap. Hahaha. Saya diletakkan di sebuah bilik. Hanya saya seorang di situ. Maka bermulalah saya bertemu dengan pesakit-pesakit yang mempunyai temujanji di bahagian Klinik Pakar. Sumpah ramai. Hampir jam 11 pagi, pakar saya ketika di wad Kenanga 14 muncul di bilik itu. Saya cukup suka bertugas di wad lama saya tu kerana pakar saya memang cool habis! Dr. AI namanya. Tup-tup, saya ditempatkan di bilik yang sama dengan pakar saya itu. SUKANYA! Tapi dalam pada suka-suka tu, ada ramaaaaaaaaai pesakit yang saya rawati hari ini. Sampai pening kepala saya melayan kerenah mereka.

Sekitar jam 2.15 petang, tiba-tiba saya sudah tidak ada kerja. Iya. Memang secara tiba-tiba saja saya sudah menjadi jobless. Hahahahaha. Pertama kali dalam hidup sebagai HO ni saya menjadi jobless yang sebegini sekali. Saya macam mati kutu. Saya bertanya kepada staff nurse di situ. Apa lagi yang perlu saya buat. Kata mereka, buat masa ni tiada apa-apa. Sekejap lagi saya perlu menyudahkan TCA (temujanji) untuk kes-kes rujukan daripada hospital-hospital lain saja.

Saya semakin mati kutu. Saya berjalan tanpa arah tujuan. Ceh ayat tak boleh dipercayai sangat. Huhu. Saya berjalan menuju ke kafe. Dan tak semena-mena, saya telah termakan nasi di kafe walaupun sebenarnya saya tidaklah lapar manapun. Tapi kerana jobless, saya makan jua. Huahuahua. Sekitar 3.15 petang, baru saya naik semula ke klinik. Partner saya pula entah ke mana menghilang. Saya menyudahkan kerja-kerja YANG SANGAT MUDAH DAN VERY ADMINISTRATIVE TIADA PRAKTIKAL-PRAKTIKAL pun dengan perasaan yang aman damai. Haha.

Hampir ke pukul 4 petang, saya ditelefon oleh Dr. RM. Ini MO saya ketika di wad sebelum ini. Ayahnya sudah saya kenal sejak zaman saya kecil-kecil dulu. Siapa ingat cerita yang saya terbakar kecil-kecil dulu, ayah D. RM inilah yang menjadi doktor saya. Dr. RM memanggil saya datang ke Unit Hemodialysis. Hari ini ada pakar dari Kuantan datang untuk bertemu pesakit. Saya diminta untuk membantunya di bahagian klinik di sana.

Saya tiba di sana. Saya diperkenalkan kepada pakar itu. Introduksinya yang basis-basis saja. Tetapi penyudah ayatnya cukup membuatkan saya mengucapkan syukur untuk hari ini.

“She’s a competent HO in Medical, so far.”

Terima kasih, Allah. Kau pemilik segala ilmu dan kebolehan ini.

Nota 1: Hari ini emak tiada di rumah. Ada kursus di KL. Balik saja kerja, saya menjadi macam emak-emak pula di rumah. Bancuh air, mop lantai (saya memang pantang kalau lantai tidak selesa dipijak) dan menguruskan makan minum adik-adik. Errr… Hal-hal sebegini hanya boleh dilaksanakan kerana sekarang saya bekerja mengikut waktu pejabat, 8-5. 😉

Nota 2: Baru saja semalam saya membebel tidak suka membuat presentation, slide dan seala bagai benda alah tu. Tiba-tiba bangun pagi tadi baru saya teringat ada satu Mortality Review yang perlu saya siapkan dalam bentu powerpoint dan dihantar pada Rabu ini. Uwaaaa!

Nota 3: Kaklong dah sampai rumah. Bahang Raya Haji semakin terasa. 😉

Posted on November 23rd, 2009 by Sarah  |  15 Comments »