Raya Yang Tawar

Assalamualaikum wbt

Kronologi kisahnya Aidil Adha kali ini.

Hari rabu yang lalu saya bangun seawal 3 pagi. Solat apa-apa yang patut kemudian terus study semaksimumnya pada hari itu. Hari itu tiada kelas. Jadi saya mengambil kesempatan membuat persiapan gempur untuk exam pada Isnin depan. Maghrib menjelma pada jam 3.50 petang. Membawa cahaya senja Aidil Adha. Memandangkan keesokannnya kesemua teman-teman serumah (kecuali Wanie) akan menghadapi final test, jadi kami makan istimewa pada petang itu. Esok jangan harap kami punya masa untuk semua ini. Sibuk. Jadi, menu kami raya kali ini hanyalah makan malam yang berlaukkan rendang ayam, kuah lodeh, kek coklat dan teh vanila. Itu saja. Tidaklah terlalu istimewa tapi cukuplah sebagai tanda bahawa esok raya.

Malam itu bertakbir pun secara solo saja. Semua orang ada final test keesokannya (tahun 3). Saya pula tidak mendapat sebarang info daripada rakan pelajar tahun 5. Jadi saya pun bertakbir solo di depan laptop sambil terus menyambung study. Tidur seawal 1.20 pagi dan bangkit di pagi Khamis itu pada jam 5 pagi. Solat apa-apa yang patut dan menyambung study lagi.

Di pagi raya, saya hanya bersarapankan nescafe dan roti kosong (memang suka roti kosong saja). Setelah seisi rumah bangkit dan bersiap-siap ke kelas untuk menduduki final test untuk 2 subjek, sempatlah kami bergambar raya bertiga (saya, Emy dan Pena). Gambar saja. Kerana kami serumah nekad walaupun hari semalam sejuk, tetap mahu memakai baju kurung (baca: baju raya).

Kelas saya bermula pada jam 9.30 pagi. Hospital hanya kurang sepuluh minit berjalan kaki dari rumah. 9.20 pagi baru bertolak bersama-sama (baca: kebetulan seiring) dengan Annas, seorang warga Tunisia (yang pernah merisik-risik bertanya khabar suatu masa dulu. Ups. Cerita Monolog Bersama Iman masih belum sudah kan? Hehe). Sebaik tiba di muka pintu hospital, Annas yang bukakan pintu. Ha. Terasa malu seketika. Kenapa? Nantikan konklusinya.

Tiba di kelas, terkejar-kejar mengambil kes dan menyempurnakannya. Selesai membincangkan semua kes secara berjemaah dengan rakan sekelas (tidak dapat berjemaah solat raya, berjemaah menjawab kes sajalah), doktor kami membenarkan kami pulang. Awal sungguh. Jadi, sekitar 11.40 pagi saya sudah berada di pasar pula. Ke sana untuk menghiburkan perut dengan membeli Syaurma (kebab gulung) di sebuah kedai halal di situ. Pakcik tukang kebab sudah bertukar orang. Bukan lagi Azim budak muda dulu. Kini namanya Pakcik Mahmud. Dia bertanya saya ke masjidkah pagi ini. Saya jawab tidak kerana mempunyai kelas. Katanya, di masjid penuh. Luar biasa kali ini. Dia berseloroh, mereka menunggu daging agaknya. Saya senyum saja. Sekali lagi kali ini saya terasa malu. Kenapa? Nantikan konklusinya.

Tiba di bilik, belum sempat rehat habis, kena turun ke bawah untuk latihan kecemasan kebakaran pula. Yang ada hanya saya dan Wanie. Wanie baru saja pulang daripada Kedutaan untuk solat raya di sana. Kami tidak terus bergegas turun. Kami berlengah-lengah kerana hendak solat Zohor dahulu. Kata orang putih, chill.

Sebaik sudah latihan itu, naik ke bilik, saya menyudahkan projek Medical History yang perlu dihantar esok. Kemudian study, study dan study. Disebabkan saya sudah makan Syaurma tadi, saya tidak terasa hendak makan lagi (walaupun Syaurma itu tidaklah sebesar mana). Sambil menyiapkan projek yang hendak di print, saya online bersama kembar. Ha. Jangan tak tahu ya. Saya punya kembar. Kembar sama nama tapi tidak sama jantina. Sembang ilmu. Sembang yang tidak jemu. Ada saja yang direpekkan. Dalam bersembang, kerja jalan juga. Siap sudah projek. Dan kemudian terus study, study dan study.

Sekitar jam 11.15 malam, saya melihat telefon. Ada 5 misscalls. Ya ampun. Saya tidak sedar. Itulah akibatnya bila badan di tempat lain, telinga di tempat lain dan telefon pula di tempat lain. Ketika itu saya baru saja hendak makan malam (pukul 11.15 malam??). Sambil makan, nota ada di tangan. Study lagi. Lauk sangat pedas dan perut pula sangat kosong. Selepas makan, perut pedih. Sangat sakit.

Jam 1.30 pagi, mata terlalu mengantuk. Perlu tidur. Syukur di Moscow tiada nyamuk. Tidak perlu membuat persiapan menyembur Ridsect dan sebagainya sebelum tidur. Ke bilik air berwuduk, naik ke atas katil, berselimut, mengunci jam untuk bangun pagi, membaca mesej lama (huhu) dan doa, terus lelap tidak sedar.

Hari ini bangunnya pukul 4.50 pagi. Solat apa-apa yang patut. Terus study. 6.30 pagi solat subuh dan kini di sini sedang study dan bertakbir. Takbir yang seorang. Takbir itu kuat. Seorang itu hebat. Berhenti seketika untuk menatap laptop. Inilah raya saya tahun ini. Tawar saja. Tiada gula, tiada garamnya.

Konklusinya, apa yang buat saya malu kepada Annas, ketika Annas hendak membukakan pintu untuk kami masuk, saya terdengar dia membaca surah Al-Ikhlas. Terkesima saya.

Kenapa saya malu kepada Pakcik Mahmud, ketika Pakcik Mahmud baru hendak memulakan menghiris daging ayam kebab itu, saya terdengar dia juga membaca surah Al-Ikhlas. Terkesima lagi.

Jadi saya malu. Sebelum saya membuka pintu untuk masuk ke mana-mana bangunan, belum pernah saya mengamalkan bacaan surah ini. Begitu juga sebelum mula memasak. Sekadar lafaz basmalah saja (bimillahirrahmanirrahim). Baik Sarah. Sila ambil perhatian. Jika berkesempatan, sila amalkan. Tiba-tiba saya teringatkan cerita Kiamat Sudah Dekat. Bagaimana Fandy berusaha menguasai ilmu ikhlas sebagai syarat untuk mengahwini Sarah. Eh, melalut pula.

Tawar saja rayanya, kan. Tapi di hujung hari saya belajar sesuatu untuk Aidil Adha kali ini.

Posted on December 21st, 2007 by Sarah  |  46 Comments »

Erti Pengorbanan

Assalamualaikum wbt

Dalam seminggu ini, bermacam-macam perkara telah terjadi. Walaupun tiada angin tiada hujan, ribut melanda juga di sini. Alhamdulillah langit telah cerah kembali. Yang ada hanyalah salji putih yang bakal menemani Aidil Adha kali ini.

Suhu tidak sesejuk musim sejuk tahun-tahun yang lalu. Kebiasaannya, mencecah pertengahan Disember, suhu sudah serendah -15 ke -20 di bawah paras beku. Tapi pada tahun ini sangat luar biasa. Moscow panas. Paling sejuk yang saya sempat rasakan hanyalah -11’C sahaja. Pasti ada hikmahnya.

Pada tahun ini, Aidil Adha tidak disambut serentak dengan Kota Mekah. Saya pelik. Kenapa selalu begini jadinya. Aidil Fitri yang lalu jatuh serentak pula dengan Mekah dan beberapa buah negara yang lain. Tetapi untuk Aidil Adha ini lain pula kiraan kalendarnya. Alhamdulillah semalam saya sempat berpuasa sunat wuquf mengikut kiraan di Mekah, seretak bersama jutaan jemaah haji yang berwuquf di Arafah. Panjang doa yang saya panjatkan ke hadrat Ilahi. Moga-moga dimakbulkannya.

Cerita tentang banjir, keadaan semakin pulih di Pahang. Begitu juga dengan di Temerloh. Beberapa hari lalu, saya bermesejan dengan emak bertanyakan keadaan di rumah. Semuanya elok-elok belaka. Kata emak, dia sedang bermain Sahiba. Ayah, Adi dan Kaklong pula sepasukan sedang menentang Adik Aiman, Adik Zizi dan Shafiq (sepupu dari Terengganu) dalam permainan karom. Inilah hikmah banjir bagi yang tidak terlibat secara total. Merapatkan hubungan kekeluargaan. Teringat kali terakhir saya bermain karom di rumah adalah bersama Nan 5-6 tahun yang lalu. Pasti ada unsur tidak puas hati kerana teknik jentikan Nan yang pelbagai dan ditambah pula taburan serbuk kaca (nama sejenis tepung yang digunakan untuk melicinkan papan karom) adalah tidak sekata. Jadinya, Nan mempunyai kelebihan untuk menang. Alah. Semuanya sekadar alasan. Saya yang tidak cekap bermain, mahu disalahkan Nan pula. Tetapi dalam Sahiba, saya jaguh. Kali terakhir saya bermain Sahiba adalah bersama arwah Chik Joe 2 tahun yang lalu. Bermain bersama Chik wajib menggunakan Bahasa Inggeris. Okay, no problem boss! Semuanya tinggal kenangan.

Dua hari lalu, saya menghubungi Lan. Katanya, dia akan pulang ke Temerloh pada hari ini (Rabu) untuk berhari raya. Seronoknya. Semua akan berkumpul di rumah. Aidil Adha biasanya disambut ala kadar saja di rumah. Selepas solat raya, orang kampung akan berkumpul di tempat yang dijadikan tapak penyembelihan. Teringat zaman kecil-kecil dulu. Jika ada lembu yang dibawa pulang untuk dijadikan korban, sayalah yang bertugas menyediakan air garam untuk ia minum. Sebenarnya sampai ke hari ini saya pelik. Kenapa diberikan air yang bergaram sebagai minuman? Kenapa tidak air tawar saja?

Teringat kata-kata seorang ustaz sewaktu di sekolah rendah. Siapa yang kasihan melihat haiwan dikorbankan, dia tidak boleh makan daging itu. Terus tergambar dalam ingatan wajah seorang kawan Nan yang menangis teresak-esak kerana melihat lembu disembelih. Budak-budak. Apalah sangat yang difahami waktu itu.

Aidil Adha kali ini saya beraya di kelas saja. Esok pagi akan ke hospital pada jam 9.30 pagi. Sekitar 2 petang baru selesai semuanya. Ini pengorbanan kami. Tiada cuti dan beraya di hospital saja. Setiap daripada kita pastinya mempunyai takrifan tersendiri dalam menghayati sirah pengorbanan Ibrahim dan Ismail.

Andai kita diletakkan dalam situasi yang sama, terpaksa menyembelih darah daging yang kita sayangi, sanggupkah kita? Atau ada yang lebih sanggup mendakwa tuhan yang menyuruh melakukan perkara itu dusta belaka? Itulah pengorbanan Ibrahim dan Ismail. Yang saling percaya bahawa itulah perintah Allah yang benar sebenar-benarnya.

Semoga Aidil Adha kali ini mengajar kita erti menjadi kuat dalam kehidupan. Mengajar kita erti berkorban untuk membenarkan kebenaran. Kadang kala kita tidak sedar langsung yang kita pernah berkorban. Kenapa begitu? Kerana kita telah meniatkan apa salahnya berkorban sedikit untuk masa depan yang lebih baik.

Selamat Hari Raya Aidil Adha buat keluarga di Temerloh dan Pulau Pinang. Juga rakan-rakan di seluruh dunia. Buat sahabat baik saya Dr. Nurul Faaiqah yang mengikuti Misi ke Darfur, semoga Allah memberkati budi dan jasa yang ditaburkan buat Muslimin di sana. Buat seorang lagi sahabat yang jauh di mata dekat di hati, teruslah kuat!

Salam Aidil Adha dari Moscow.

Nota: Saya ada exam pada hari Isnin hadapan. Doakan saya.

Posted on December 19th, 2007 by Sarah  |  24 Comments »