Kisah Sebuah Kehidupan
Malam semalam, saya lelap mata pada jam 2.30 pagi. Itupun baru mula siap-siap untuk naik katil. Entah pukul berapa saya terlelap. Sekitar 3.50 pagi, saya sudah terjaga sebaik mendapat mesej daripada seorang kawan. Hendak tidur semula, mata sudah segar. Hati pulak cuak. Bangun sekejap. Baca nota. Sekitar 5.20 pagi, baru saya rasa mengantuk semula sedangkan saya kunci jam pada pukul 6 pagi (biasanya bangun 6.30 pagi sepanjang cycle ni). Tapi memandangkan ada exam, jam dikunci lebih awal. Malang nasib, disebabkan baru terlelap semula pada jam 5.30 pagi, saya tidak sedar jam berbunyi pada pukul 6. Dan disebabkan sudah biasa setiap hari bangun pada jam 6.30 pagi, walaupun tanpa jam, saya terbangun sendiri. Siap-siap, ulang baca nota untuk habiskan pusingan ketiga, sarapan (minum air je pun) dan bertolak ke hospital.
Alhamdulillah. Exam Trauma siang tadi, saya examted. Susah hendak terang bagaimana prosedurnya tapi pendek cerita Alhamdulillah mendapat markah yang warnanya berterbangan. Sebaik habis exam sekitar pukul 1 tengahari, saya bergegas ke Pejabat Dekan. Perlu menguruskan hal visa (untuk pulang bercuti nanti) dan ada mesyuarat bersama Puan Timbalan Dekan. Ada senggang masa kurang lebih 1 jam sebelum Pejabat Hal Ehwal Pelajar English Medium dibuka. Saya, Farah dan Faisal singgah di McCafe. Saya sekadar lalu minum Iced Cafe dan menjamah seketul muffin coklat. Itu saja.
Bergegas ke Pejabar Dekan. Uruskan visa (Alhamdulillah siap). Farah dan Faisal terus balik sebab mereka berdua tidak terlibat dengan mesyuarat itu. Saya terus menunggu di Pejabat Dekan sehinggalah mesyuarat tamat sekitar 4 petang. Misi berjaya tapi mesyuarat lanjutan bersamanya akan disambung pada Selasa depan. Aduh! Bergegas pulang (Ada insiden terjadi. Ini cerita lain kali ye. Hihi). Sampai sekitar 4.15 petang di bilik. Hanya sempat melepas lelah seketika, air pun tak sempat diteguk, terus saya berkejar ke perpustakaan pula. Wajib. Untuk meminjam buku bagi cycle baru yang akan bermula esok. Bertolak pukul 5 dari bilik dan perpustakaan akan ditutup pada pukul 6. Jadi saya berlari dari bilik menuju ke stesyen metro dan berlari menuruni escalator sedalam 150 meter ke bawah tanah. Di dalam metro tidak dapat duduk. Penuh. Orang pulang dari kerja. Kaki sudah lenguh kerana berlari dan nafas pula semput.
Tiba di perpustakaan 10 minit sebelum pukul 6 petang. Makcik-makcik pustakawan yang bekerja tergelak melihat saya. Makcik, kasihanlah saya ni. Penat tau. Saya jadi pengunjung terakhir perpustakaan petang tadi. Turun ke tingkat bawah perpustakaan untuk mengambil winter coat pada pukul 6.10 petang. Sempat menelefon seorang junior berkenaan hal PPIM. Selesai. Bergegas ke stesyen metro semula. Sambil berjalan, sambil menelefon. Perlu pulang, ada mesyuarat pada pukul 7 malam. Di dalam metro, penuh lagi. Terpaksa berdiri. Saya dapat berpegang pada palang pemegang dengan sempurna. Jadi saya tutup mata. Tidur. Sedar-sedar sudah sampai di stesyen tempat membuat pertukaran. Nasib baik ada seorang jejaka Rusia menegur sama ada saya hendak turun di stesyen itu atau tidak. Jika tidak, dia minta saya berikan laluan sebab dia hendak keluar. Oh. Saya juga hendak keluar, kata saya. Kami melangkah keluar bersama-sama ratusan lagi yang turun membuat perukaran di situ.
Sampai di stesyen tempat tinggal saya, saya keluar dan berjalan laju. Singgah di kedai runcit seketika. Terlalu haus. Wajib beli air. Nescafe X-press jadi pilihan. Lihat jam. Oh tidak! Saya sudah lewat untuk mesyuarat. Mahu telefon pengerusi maklumkan keberadaan saya di luar. Periksa kredit telefon. Oh tidak! NEGATIF! -9 ruble! Patutlah saya tidak dapat menghantar mesej sewaktu di dalam metro. Ini gara-gara menelefon seorang kawan di Malaysia sampai tak ingat dunia tadi. Saya lihat diut kecil baki tadi hanya ada 30 ruble. Saya topup telefon di mesin topup dengan 30 ruble saja. Tak pernah hayat buat begitu. Tapi cukuplah dulu. Saya menelefon pengerusi persatuan. Suruh dia teruskan dulu mesyuarat. Katanya, baru tengah berkumpul semuanya. Aik, sudah 7.30 masih belum berkumpul semua ke? Saya jalan laju-laju.
Pukul 7.40 malam saya sampai di bilik. Terus bermesyuarat. Secara online. AJK semuanya tinggal di tempat yang berbeza. Mudah begini. Sambil menyuarat, saya teguk Nescafe X-press. Habis! Mesyuarat, mesyuarat dan mesyuarat sehingga jam 10.30 malam. Saya sudah terlalu penat. Urus-urus diri. Masuk dapur, baru tersedar saya belum makan apa-apa lagi hari ini melainkan muffin coklat tenghari tadi. Saya ambil sekeping roti. Saya keluarkan serunding. Letak serunding atas roti, kepitkan roti dan makan. Makanan rasmi saya hari ini ialah muffin coklat dan roti dengan serunding. Gabungan budaya timur dan barat, kan?
Apa motif entri ini? Sebenarnya, saya hendak minta maaf sebab otak masih belum mampu untuk menulis entri review tentang pilihanraya itu. Hati membuak-buak. Tapi untuk menulis satu topik yang berat, tidak boleh sambil lewa. Saya menulis, ada kawan-kawan yang baca. Setidak-tidaknya, mesti ada ilmu yang dikongsikan. Mana boleh menulis yang sambil lewa. Ye dak? Jadi, saya minta maaf. Otak saya sudah keras untuk malam ini. Esok pagi saya akan bangun pagi. Saya akan tuliskan entri itu sebelum bertolak ke hospital. Esok cycle baru bermula. Lebih dahsyat kali ini. Kelas dari 9 pagi hingga 4.30 petang. Setiap hari. Alhamdulillah hospitalnya sekitar kawasan ini saja. Subjek Pediatrics dan Psychiatry. Permisi dulu. Saya mahu tidur. Sudah 3 malam tidur saya macam ayam main kenyit-kenyit mata dengan itik.
Selamat malam dari Moskva yang dingin. Katil bujang saya sudah memanggil-manggil.
Rabbi yassir wala tu’assir…
