Assalamualaikum wbt
Sudah pukul 2.30 pagi. Saya masih belum tidur. Balik saja dari hospital pada hari semalam, saya bertahan menunggu Maghrib masuk dan kemudian terus saya tertidur kepenatan. Saya terjaga sekitar pukul 9 malam itupun kerana mendengar bunyi orang atas bilik saya ni bertukang. Entah apa yang diketuknya pun saya tak tahu.
Saya ada membelek-belek Oxfard Handbook yang sangat sinonim dengan dunia pelajar perubatan. Tapi sungguhlah memang jemu. Baru dua, tiga muka saya baca, mata sudah kuyu. Tapi bila membaca novel sejarah Crime And Punishment karya Fyodor Dostoevsky, sampai berbelas-belas muka sekali hadap pun tak jemu-jemu. Sampai boleh terlepas stesyen metro dibuatnya kerana terlalu ralit membaca.
Kononnya, untuk menghilangkan rasa mengantuk membaca nota-nota ringkas dalam Oxford Handbook, saya menonton filem Selamat pagi Cinta. Pagi semalam, ada kawan memaklumkan di Plurk bahawa cerita itu sudah ada di Youtube. Sumpah saya kata, menyesal sungguh menonton cerita itu. Ada tiga alasan utama:
1. Tak mencerminkan identiti filem kita. Sudah jadi seperti filem Indonesialah pula. Konon-kononnya babak baca sajak segala bagai tu macam cool seperti filem Ada Apa Dengan Cinta kah?
2. Terlalu fantasi. Cinta Ilham-Julia terlalu di-alam-maya-cintamu. Takdir yang kuat ala-ala cerita Serendipity pula.
3. Saya tak suka segala aksi Sharifah Amani yang didukung atau berpakaian seksi. Memanglah itu realiti di Malaysia. Ramai yang tak kisah dah pun tentang semua ini. Tapi janganlah pula semakin ditonjol-tonjolkan di TV atau dalam filem. Semakin menggalakkan orang mengikut jejak berlagak cool dengan fesyen buruk tak cukup kain macam tu. Saya pelik betul, apa nak jadilah dengan anak-anak masa depan.
Pendek cerita, memang menyesallah menonton cerita tu. Manis tak manis sangat (baca: not so sweet). Sedih tak sedih sangat. Entah di mana kemuncak cerita pun tak tahulah. Pengajaran pun tidak jelas. Penyudah? Ya Rabbi. Lagilah saya tak tahu nak kata apa. Hahaha. 😆
Tengah malam tadi, saya menonton satu lagi filem. Wayang. Kawan saya ada menyarankan filem ini kepada saya. Saya tidak memuat turun sebaliknya menunggu saja kewujudannya di Youtube. Tadaa. Tadi saya cari-cari, sudah adapun filem itu. Tentang filem Wayang ini, mesejnya sarat dari awal cerita sehingga ke penyudahnya. Kesimpulan yang paling baik yang boleh saya berikan ialah:
1. Jangan jumud dengan sesuatu perkara termasuk agama. Dan jangan bertopengkan agama untuk memuliakan kesyaitanan diri.
2. Sifat mulia hati dan penyabar.
3. Berbaik sangka dan tidak kedekut ilmu.
Saya tak tahu nak huraikan macam mana tapi yang boleh saya katakan, sudah lama Malaysia tidak mempunya filem bermesej yang sarat dan berat seperti ini. Yang kaya dengan nilai dan pengajaran baik dari segi agama, adat dan kemanusiaan. Dalam tempoh sedekad ini, asyik filem cinta cinta cinta. Tak sudah-sudah dengan cinta saja. Kalau cinta yang membina jiwa dan ada moral yang tinggi tak apa juga. Tapi ini cinta yang kalau diteladani akan merosakkan lagi anak muda. Hancur seh.
Saya bukan hendak membuat review filem di sini. Saya hendak menyatakan pendapat peribadi saja. Kalaulah diadili kedua-dua filem ini, saya tanpa ragu akan menyatakan Wayang jauh lebih baik, bermoral, ada nilai, mesej dan lebih realistik untuk ditonton. Dan yang paling utama, Wayang lebih membawa motif filem kita wajah kita. Tiada unsur keindonesiaan gitu.
Nota 1: Email notification dan Hubungi Sarah sudah berfungsi kembali. Ada masalah hosting sikit 3-4 hari ni.
Nota 2: Semakin ramai orang di sekeliling saya membeli iPhone dan segala macam gadget yang lain. Saya tetaplah macam ni. Saya memang tak berminat sangat dengan gadget. Cukuplah seadanya apa yang saya miliki. Saya tak rasa kita kurang jika tidak up-to-date dengan semua ni kan. Bagi yang membeli kerana memerlukan, tu tak mengapalah. Tapi bagi yang membeli kerana kemahuan, tak eloklah begitu, kan. Bersederhana itukan lebih baik. 🙂