Assalamualaikum wbt
Hari ini genap sebulan insiden barang-barang saya dicuri. Ini bermakna, genaplah sebulan saya mendapat sumber kewangan penuh daripada emak dan ayah saya.
Sewaktu mula-mula dihantar ke sini dulu, pelajar-pelajar tajaan JPA dan MARA hanya menerima 200 USD untuk perbelanjaan sebulan. Saya pernah ceritakan di sebuah entri khas dulu tentang hal ini. Kisah bagaimana kami hidup cukup-cukup makan saja dengan duit yang ada. Itu 5 tahun dulu di mana kos hidup tidaklah setinggi sekarang.
Tapi setakat ini, sepanjang sebulan saya bergantung sepenuhnya kepada bank emak ayah saya yang punya, saya hanya membelanjakan RM600 saja dan masih lagi berbaki. Serius. Saya pun tidak tahu bagaimana saya boleh hidup dalam keadaan begini. Tapi hakikatnya, saya bukan jenis orang yang makan di luar. Atau kalau diajak pun buat masa ini, saya lebih selesa menolak. Jangan harap saya hendak membazirkan duit saya sesuka hati. Saya pun bukannya jenis yang sukakan makanan ringan atau makanan sampingan seperti biskut dan kudapan yang lain. Bila teringin sangat saja baru saya beli. Untuk sarapan, siapa yang mengikuti blog saya sejak dari dulu lagi akan mengenali tabiat saya yang suka bersarapan dengan roti kosong dicelupkan ke dalam nescafe panas. Makan nasi sekali saja sehari. Lain-lain waktu, saya jarang mengunyah. Rusia ini lain. Musim sejuknya lebih lama daripada musim-musim yang lain. Kalau banyak makan, kadar glycogenolysis lebih rendah daripada kadar glycogenesis. Nanti makin gemuk pula kalau tidak diiringi senaman yang cukup.
Tadi sedang saya menjamah nasi, baru saya sedar ayah ada menghantar mesej. Tanya ayah: Duit ada lagi ka? Saya jawab: Ada berlebih lagi ni. Boleh guna hingga Jumaat depan. Dalam hati saya berkira-kira, kalau tidak berbelanja, memang boleh bertahan sehingga Jumaat depan. Tapi tadi saya singgah membeli ayam dan sayur kerana hari ini giliran saya memasak. Saya beli ayam seberat 1.3 kg. Harganya ialah 170 rubles! Sekitar RM24! Kebetulan ada Rodo dan Maryam bersama saya di kedai itu tadi. Makcik kedai memberitahu kami bahawa pada hari esok dan Isnin, harga ayam akan naik lagi. Hmm. Apalah nasib kami di sini. Harga melambung-lambung naik. Yang paling pasti, setiap kali masuk tahun baru, tarif baru untuk segala benda akan bermula. setiap tahun begini. Harga barang naik. Begitu juga harga top up kad metro, pas bas bulanan dan segala yang lain.
Kadang-kala, bila kita dalam kesempitan kewangan dan terpaksa berjimat semaksimumnya, barulah kita betul-betul menghargai susah-payah ibu bapa kita membesarkan kita selama ni. Seperti situasi saya sekarang, saya rasa tak sanggup hendak meminta pada emak ayah. Kalau sudah terpaksa sangat, barulah saya minta. Kasihan emak dengan ayah. Anaknya dah besar panjang ini pun masih perlu ditampung macam adik-adik lagi 🙁
Kalau saya sambung senarai saya tentang times that my parents stood up for me mesti saya akan menangis. Satu hari nanti saya pasti akan sambung. Ada banyak lagi yang saya hendak kenang semula susah-payah emak dan ayah sepanjang membesarkan saya.
Nota: Kesimpulannya, Moscow ini sangat mahal. Ya. Maha mahal.
Posted on November 15th, 2008 by Sarah | 8 Comments »
Assalamualaikum wbt
Seperti yang dijangka, saya insomnia lagi malam ini. Saya kaji masa tidur saya. Memandangkan saya selalu tidur pada pukul 1 ke atas, dan terbangun semula tidak lama selepas itu, jadi saya cuba membuat teori sendiri. Seandainya tidur lagi awal tapi akan terjaga pada masa yang sama, pun sudah kira cukuplah masa tidur saya. Maka, saya pun bereksperimentasilah di tengah malam tadi.
Pukul 12.45 saya sudah menutup fail yang tebal dan meletakkan di atas para dan terus saya tidur. Tapi, selang 5 minit, saya terjaga. Waktu itu sudah hampir pukul 1 pagi. Rakan sebilik saya tidak sedap badan. Dia pening kepala dengan tiba-tiba dan hendak muntah. Saya gagahkan diri bangun dan melihat-lihat mana yang patut. Selepas menggosok-gosok sedikit belakang badannya dan menunggu sehingga dia selesai makan ubat, saya pun kembali ke katil dan cuba untuk tidur semula. Susah hendak tidur semula. Sebelum tertidur, yang saya sedar jam menunjukkan pukul 1.50 pagi. Dan pada pukul 4.45 tadi saya sudah terjaga semula. Cuba untuk tidur semula tetapi sudah tidak boleh.
Hari ini perlu ke Infectious Hospital for Pediatrics. Jauh sangat. Awal-awal dah kena bertolak. Harapnya di dalam metro akan dapat tempat duduk. Boleh tidur. Petang nanti ada latihan di Pusat Sukan di Yugo Zapadnaya. Sebelum pergi kena memasak dulu untuk kami serumah. Sampai rumah malam nanti pukul berapalah agaknya. Tapi saya target hendak berlari semahu-mahunya hari ini. Hendak menjaga stamina dan hendak memeluhkan diri ini. Musim kegemukan sudah bermula. Kalau tak bersenam, alamatnya berat boleh mencecah 50 lebih. Baik jangan. Opsyen lain, berlari turun naik tangga bangunan ini sehingga mamat Arab, Brazil dan Rusia yang selalu melepak di tepi ini muntah hijau kebosanan melihat saya lalu-lalang. Hah. Siapa suruh merokok di tepi ni. Merosakkan alam betul.
Nota: Orang lain seronok menyusun agenda cuti Sabtu Ahad, saya pula sudah mula kefobiaan akan kebosanan tahap maksimum lagi. Ironi sungguh hidup ini.
Posted on November 14th, 2008 by Sarah | 15 Comments »
Assalamualaikum wbt
Saya rasa, sejak Ramadhan yang lalu, saya kembali mempunyai masalah tidur. Jika sewaktu Ramadhan dulu, saya bangun sahur sekitar 5 pagi. Ada masanya tertidur semula selepas Subuh tapi kebiasannya memang tidak tidur kerana saya perlu berangkat awal ke hospital.
Sejak dari itu, hampir setiap hari saya akan terjaga sekitar 4.45 pagi dah berjaga sehingga Subuh masuk. Kadang-kala, saya tidak dapat berbuat apapun ketika mata tidak boleh lelap. Dan sekarang ini semakin teruk pula. Saya akan terjaga seawal 3.30 pagi. Cubalah bayangkan. Saya naik ke katil pukul 1.30 pagi. Tak sampai 2 jam tidur, dah pun terbangun semula. Subuh masuk lambat kerana sudah pun musim sejuk. Hendak studi pun tak boleh sebab otak letih, badan letih, segalanya letih tapi tidur saja yang tidak boleh. Seperti malam tadi. Pukul 1 lebih baru hendak tidur tapi sekitar 3.40 saya sudah terjaga. Cuba tidur semula, tapi tidak boleh-boleh. Sehinggalah pukul 8.30 pagi baru terlelap semula. Nasib baik hari ini rutin saya bermula jam 12. Kira sesi petanglah. Saya bangun semula pukul 10 pagi tu dalam keadaan pening. Mata pun macam panda. Eheh. Kalau hari biasa-biasa pun mata saya memang macam panda.
Kalau dulu-dulu (2004), memang logiklah saya ada masalah tidur waktu itu. Bilik saya ada sesuatu yang datang dari bilik depan di hostel lama. Hehe. Sampai 6 hari saya insomnia. Tidak tidur walau sepicingpun. Emak siap kirimlan air bacaan doa dari Malaysia. Seronok juga waktu tu. Berat badan turun sangat. Merasalah diri ini kekurusan barang sebulan.
Tapi sebenarnya, terseksa sangat bila tak cukup tidur. Otak rasa macam keras dan badan pula tak bersemangat untuk membuat sesuatu dengan aktifnya. Bilalah akan elok semula ya? Setakat yang saya sedar, insomnia saya datang setiap kali musim sejuk bertandang. Alah. Kalau saya balik Malaysia yang tiada musim sejuk pun, saya insomnia juga. Malam-malam mesti saya jadi burung hantu berjaga seorang diri. Tapi semuanya atas pilihan sendiri. Berinternet aja kerjanya kalau di rumah! Qadha’ semua mana yang patut. Huhu. Oklah. Kalau saya insomnia lagi malam ni, saya sambung rapuan saya di dunia saya ni. Daa~
Posted on November 13th, 2008 by Sarah | 15 Comments »
Assalamualaikum wbt
Sejak hampir setengah jam yang lalu, saya berbalas mesej dengan Anwar Haroon Khan itu. Saya paksa dirinya supaya memberikan saya alamat laman web yang dimaksudkan. Saya bercakap dengan cara baik. Bukanlah saya memaksa dengan segala sumpah seranah atau apa. Selepas hampir 4 kali saya meminta, dia tetap memberikan alasan itu ini. Bila saya tanya, kenapa perlu dia rasa takut berikan laman web itu kalau betul seperti yang dikatanya laman web itu baik-baik saja, bukannya ada yang tidak senonoh atau apa, hanya selepas itulah dia mengaku bahawa dia sebenarnya mendapat nombor saya daripada seseorang di Moscow ini.
Ha. Terjawab sudah. Saya dah agak dah. Manalah ada orang nak guna gambar saya yang tak cantik langsung ni untuk dijaja di dalam laman web yang berbentuk apa sekalipun. Tiada nilai komersil langsung. Pendek, gelap, hidung penyek, muka Melayu tulen yang makan belacan, telan tempoyak pula tu. Takde maknenye orang nak guna letak di laman web lain.
Cuma saya pelik, siapalah yang nak kenakan saya ni. Teori Joe dalam komen di entri sebelum ini mungkin ada benarnya. Kebetulan saja Joe mengomen di entri itu ketika saya sedang berbalah dalam mesej dengan Anwar itu. Memang pada kad debit handphone saya ada di dalam purse saya yang hilang itu dan memang sah-sah dalam purse saya itu ada pengenalan diri saya. Contohnya kad insurans, kad pelajar antarabangsa dan kertas pengenalan diri sementara.
Tapi apa-apapun, saya sudah anggap hal ini selesai. Saya sudah katakan padanya, saya tidak berminat untuk terus dihubungi dan saya berlaku jujur, saya rasa terganggu dihubungi dengan cara itu.
Tamatlah kisah Bai Khan saya itu. Wassalam.
Posted on November 12th, 2008 by Sarah | 11 Comments »
Assalamualaikum wbt
Dan langit pun menggugurkan perlahan-lahan.
Dan kami pun kegirangan.
Dan tangan pun didepangkan.
Menyambut tiap guguran.
Salji putih menawan.
Selamat tinggal musim luruh.
Selamat memutih musim sejuk.
Keluar saja dari bangunan hospital tadi, saya yang kebetulan berkot hitam menjadi tumpuan tamparan kawan-kawan kerana di kot saya kelihatan dengan jelas butir-butir salji yang tumpang menempel. Hari ini hari pertama salji turun. Ya. Musim sejuk terakhir untuk saya di sini. Kali terakhir saya akan berhibernasi dalam suhu serendah -30’C. Semuanya untuk kali terakhir. Selamat datang musim sejuk.
Nota: Saya suka winter =) Layan syahdu seorang diri best tau.
Posted on November 6th, 2008 by Sarah | 20 Comments »