Assalamualaikum wbt
Kali ini, saya ingin menyambung kisah Cuti-cuti Moscow saya bersama Cik Wanie. Pada hari Ahad lalu, selepas Asar, saya dan Wanie bertolak menuju ke Metro Mayakovskaya. Kami ke sana dengan hajat untuk ke Restoran Pizza Hut bagi mengisi perut. Hajat lain, inilah hadiah saya untuk diri sendiri sempena ulangtahun kali ini. Tapi lain pula jadinya sebaik tiba di sana. Pizza Hut yang biasa saya kunjungi dulu sudah tiada lagi di sana. Sebaliknya, sudah diganti oleh sebuah Restoran Pizzerissimo, juga sebuah restoran berteraskan pizza tetapi lebih berkelas dan pastinya lebih mahal daripada Pizza Hut. Kami mengambil keputusan untuk membelanja diri masing-masing di situ saja. Sudah malas hendak ke stesyen lain untuk mencari Pizza Hut (sebenarnya satu stesyen selepas steyen itu saja).

Bersebelahan dengan restoran tersebut, terdapat sebuah Concert Hall yang digunakan untuk pertunjukan teater dan tarian. Yang pastinya, Concert Hall ini kebiasaannya hanya dilawati oleh golongan atasan kerana kelasnya yang lebih tinggi berbanding dewan teater lain. Dari luarnya saja sudah boleh dilihat lampu bergemerlapan dan karpet merah untuk masuk ke tangga utama.
Kami memesan makanan. Saya memilih Spagetti Ocean and Mountain (berasaskan makanan laut dan cendawan), sebiji pizza tuna saiz kecil dan air Strawberry Syrup Chocolate. Wanie pula memesan Fish Fillet with Baked Potato Puree and Mushroom Souce, sebiji pizza mozarella saiz kecil dan air Vanilla Ice Cream. Ya. Inilah menu kami pada hari itu. Memang banyak. Makanan tiba sedang elok ketika waktu Maghrib pun masuk. Jadi saya pun terus berbuka.
Makanannya sangat sedap. Betul-betul menepati citarsa lidah kami yang Melayu Jati Temerloh dan Melayu Jawa ini. Untuk pengetahuan semua, bila hidup di perantauan ini, salah satu masalahnya adalah untuk menyesuaikan lidah kita dengan citarasa tempatan. Tapi Alhamdulillah, di restoren itu, segalanya sempurna. Saya masih terbayang-bayang hirisan dan serbuk keju halus di permukaan spagetti saya yang mencair sebaik digaulkan dengan kuah sup cendawan berudang yang panas itu. Orang Itali kata: Perfecto! Malangnya, saya hanya dapat menghabiskan separuh saja daripadanya kerana saya mengalami gastrik dengan tiba-tiba. Sebetulnya perut saya telah mula pedih sejak jam 11 pagi tapi saya tetap mahu menghabiskan puasa pada hari itu. Nasib baik Wanie membawa ubat gastrik yang saya bekalkan padanya. Pizza saya hanya jamah sepotong saja dan selebihnya dibungkus pulang.
Lain pula bagi Wanie. Dia berjaya menghabiskan makanannya tetapi 2 potong pizza tetap terpaksa dibungkus pulang saja. Sebelum melangkah keluar, restoran itu mula dipenuhi oleh pengunjung yang baru sudah menonton persembahan di Concert Hall bersebelahan. Semuanya ala-ala Mak Datin. Yang lebih mencuit hati, kami memasang telinga mendengar perbualan beberapa orang pelanggan yang mengagak-agak kadar kalori yang terkandung dalam makanan yang hendak ditempah. Dan mereka membandingkan dengan berat makanan tersebut. Contohnya Cheesy Beef Steak seberat 90 gram satu hidangan. Aduh. Kami berdua ni. Tak sempat dah nak fikirkan kadar kalori semua ni. Nak makan, makan saja. Jangan fikir dah. Hairan betul saya dengan orang yang terlalu menjaga kelansingan badan ini. Hilang satu nikmat. Nikmat menghadap makanan dengan gembiranya!

Dari situ, kami menaiki metro menuju ke stesyen Teatralnaya. Di situ terdapat pertukaran untuk 3 buah stesyen sebenarnya. Ke laluan Merah (Stesyen Okhodny Ryad), ke laluan Biru Tua (Stesyen Plosyad Revolutsy) dan ke laluan Hijau Tua (Stesyen Teatralnaya). Tapi kami tidak membuat sebarang pertukaran. Sebaliknya kami keluar menuju ke arah Kremlin. Ketiga-tiga stesyen tersebut letaknya di tengah-tengah Moscow City, berhampiran dengan The Red Square. Dari situ, kami berjalan kaki menuju ke dataran di hadapan Kremlin. Kebetulan, tempat meluncur ais awam telah mula beroperasi dan suasana sangat meriah pada hari itu. Waktu itu, jam baru menunjukkan sekitar 5.40 petang. Kami berjalan-jalan di sekitar The St. Basil dan sempat bercanda-ria dalam suhu 3 di bawah takat beku. Salji juga sedang turun pada waktu itu tapi tidak sesejuk mana. -3’C masih dikira boleh tahan saja buat kami.
Dalam perjalanan menuju ke metro semula, kami melalui Moscow Historical Museum. Pada hari tersebut, sedang berlangsung sebuah pameran Emas Ketuhanan Seantero Dunia. Sebenarnya tadi kami telahpun melintasi muzium ini tapi tidak berhajat untuk masuk. Tapi setelah lalu buat kali kedua, hati saya dipanggil-panggil untuk menyaksikan pameran tersebut kerana terpujuk dengan kelembutan ayat: Dear Moscow and Guests of Our City yang disebut oleh narator yang membacakan kronologi aktiviti di muzium tersebut. Setelah dua kali mendengarkannya, kami berdua ke kaunter tiket dan menunjukkan pas pelajar kami untuk mendapatkan harga pelajar. Murah saja.
Ketika menyaksikan pameran emas itu, saya kira, kami berdualah pengunjung termuda di dalam dewan pameran tersebut dan kami berdua jugalah yang riuh berceloteh kerana teruja dengan barangan emas sama ada milik agama Kristian, Islam, Buddha dan beberapa agama yang lain. Juga peralatan perang milik anak-anak raja (saya terbayangkan Putera Raja dalam cerita Cinderalla berperang menggunakan perisai emas yang dipamerkan. Hehe), pinggan mangkuk bersadur emas (dalam Islam, ini adalah haram ye 🙂 ), hiasan di dalam rumah para bangsawan, baju-baju bersadur emas, bekas memungut cukai di zaman dahulu yang bersadur emas dan yang lebih dahsyat, saya baru saja mengetahui bahawa ketika sukan Olimpik pada tahun 1980 (atau 1960) yang berlangsung di Moscow, pingat emasnya juga disadur dengan emas tulen dan ia dipamerkan dalam koleksi Emas Seantero Dunia ini juga! Kaya sungguh Rusia pada waktu itu sehingga boleh menyediakan pingat emas tulen ya. Terkejut saya.
Selepas itu, kami menuju ke galeri muzium yang utama. Kisah sejarah manusia yang didahului dengan Teori Darwin yang kemudian disangkal dengan fakta saintifik pensenyawaan sperma dan ovum, bukannya melalui evolusi kaum ungka kepada manusia (Dalam Islam {rujuk Surah Al-Insan}, kita mempercayai manusia berasal daripada keturunan Nabi Adam. Memang kita terbentuk hasil pensenyawaan yang kemudian terbentuklah seketul darah yang lalu menjadi daging dan tulang belulang, tetapi bapa kita Adam adalah manusia pertama yang Allah ciptakan daripada tanah syurga dan ibu kita Hawa daripada rusuknya). Kami menyusuri perkembangan zaman Paleolitik, Mesolitik, Neolitik dan sehinggalah ke zaman pasca modenisasi dan seterusnya Rusia yang moden. Kenapa mereka amat menitikberatkan pengetahuan sejarah ini? Sebenarnya Rusia dan Tanah Siberianya yang melunjur sehingga ke Timur Uzbekistan merupakan antara pusat awal berkembangnya zaman Paleolitik. Di dalam muzium tersebut, ada dipamerkan rangka tulen dua orang dari zaman Paleolitik yang mana ketinggiannya adalah sekali ganda lagi daripada manusia zaman sekarang. Bagi orang bersaiz kecil macam saya, tinggi mereka adalah 3 kali ganda ketinggian saya! Saya terbelek-belek rangka-rangka tersebut sehingga apabila balik ke rumah, saya masih mengingati raut dua rangka tersebut!
Seperti yang telah saya nyatakan dalam entri terdahulu, Bahasa Rusia ini sudah sangat tua usianya. Telah muncul sejak penghujung era Neolitik lagi. Banyak lagi fakta berkisar tentang pembangunan Rusia dan Ukrain (spesifiknya di Kota Kiev) yang diceritakan di dalam muzium tersebut tetap saya dan Wanie sudah pening kepala berlegar-legar terlalu lama di dalam muzium tersebut. Jadi kami pun mengambil keputusan untuk pulang.
Kami terlupa untuk membeli pelekat kebenaran membawa kamera. Jadinya tiada gambar di dalam muzium. Hanya pemandangan dari luar sajalah yang ada.
Akhir kata, SELAMAT HARI LAHIR KE-21 buat CIK WANIE kita. Semoga hidup Wanie sentiasa dalam redha-Nya di dunia dan akhirat (26 Januari, Sabtu).
Nota 1: Maaf. Entri terlalu panjang. Tak reti nak dipendekkan macam mana. Maaf kalau ada yang jemu.
Nota 2: Internet masih rosak dan saya sudah mula terbiasa hidup tanpa internet. Lagipun, kelas akan bermula kurang 2 minggu dari sekarang. Jadi, maaflah saya tidak sempat melawat-lawat blog rakan-rakan. Saya sudah mula memfokuskan diri dengan nota-nota. Saya macam tak percaya telah menghabiskan hampir 6 jam menelaah pada siang tadi!
Nota 3: Welcome Home my dearest housemates! Dan semoga cepat sembuh Ayah!