Archive for the ‘Memory’ Category

Budaya Membalut Buku

Assalamualaikum wbt

Waktu kecil-kecil dulu, sebelum sesi persekolahan bermula di awal tahun baru, emak sibuk menolong kami membalut buku. Waktu itu pilihan ada dua saja. Sama ada menggunakan kertas minyak yang bewarna coklat ataupun kertas kalendar tebal yang diterbalikkan dan digunakan permukaannya yang putih.

Saya lebih berminat dengan kertas kalendar. Buku saya nampak kemas dan tebal. Disebabkan permukaan buku saya putih, saya lebih menjaga buku saya supaya tidak kotor atau comot. Saya anak cikgu, maka emak memang memastikan buku kami berbalut. Di sekolah, saya rasa bangga bila buku saya berbalut dan ada kawan-kawan yang tidak membalut langsung buku mereka sehingga hancur bahagian tepi-tepinya kerana terpenyek dan pelbagai alasan lain. Disebabkan buku saya berbalut, nama di bahagian depan juga ditulis dengan lebih besar berbanding jika buku tidak dibalut.

Zaman beredar, plastik lutsinar pula menjadi pilihan untuk membalut buku. Siap ada jenis yang sedia-pakai (ready-made) yang hanya perlu kita sarungkan pada buku tanpa perlu menggunakan pita pelekat untuk melekatkan di setiap penjuru buku. Kawan-kawan saya yang kaya menggunakan yang itu. Saya masih menggunakan pembalut plastik besar 50 sen segulung yang perlu kita potong sendiri untuk membentuk saiz buku kita.

Pembalut jenis itu bertahan menjadi pilihan saya sehingga tingkatan 5. Namun budaya membalut buku itu bukan lagi satu tradisi ketika itu. Masing-masing lebih suka buku tanpa balutan. Saya menulis ini kerana teringatkan buku lejar Karangan Bahasa Melayu saya yang dibalut menggunakan kertas kalendar putih sungguhpun waktu itu saya sudah sembilan tahun meninggalkan zaman darjah 1. Cuma, saya gabung jalingkan penggunaan kalendar dan diluarnya saya balut pula dengan pembalut plastik untuk kekemasan yang lebih tahan lama.

Pada pendapat saya, membalut buku ini perlu dibudayakan di kalangan pelajar sekolah supaya kekemasan buku dapat dijaga. Selain itu, kita dapat mendidik mereka supaya lebih menyayangi dan bertanggung jawab ke atas harta mereka. Kalau buku pun hancur, di manakah nilai menghargai ilmu yang ada di dalamnya? Kita kalau boleh mahu selari kedua-duanya. Menghargai ilmu dan harta benda. Biar anak-anak kita terdidik dengan perkara asas kehidupan ini sejak kecil lagi. Besar nanti mereka menjadi golongan yang menghargai ilmu dan cermat dengan harta mereka.

Nota: Saya tidak gembira apabila harta peribadi saya diceroboh. Kembangkan maksudnya sendiri. Maksud berlapis adalah termasuk dalam ayat ini.

Posted on January 21st, 2009 by Sarah  |  18 Comments »

Kembar (i)

Assalamualaikum wbt

Seingat saya, sejak tingkatan 3 lagi saya mula menjadi seorang yang kuat berimaginasi. Serba-serbi saya bayangkan. Ketika itu, ada sepasang kembar keturunan Syed-Sharifah ni baru masuk sekolah saya. Maka, saya pun mula berangan bahawa saya mempunyai kembar. Lagi unik, saya membayangkan bahawa kembar saya itu seorang lelaki.

Ketika tingkatan 5, saya mengalami sedikit gangguan alam ghaib ketika di sekolah. Waktu itu saya berhenti berimaginasi sekejap. Saya selalu rasa seram jika berangankan kembar imaginasi saya itu sebab ‘benda’ itu akan menyusul tidak lama selepas itu. Saya akan rasa begitu begini, berat kaki dan macam-macam bunyi saya akan dengar. Saya kan penakut (tak guna perkataan mungkin dah). Jadi untuk mengelakkan hal-hal menyeramkan terjadi, saya elakkan daripada berimaginasi tentang apa-apa saja.

Tetapi di sini, saya mula menyambung aktiviti lama yang kuat berimaginasi dan berangan tentang sesuatu yang pelik-pelik. Kembar yang saya cipta dulu kembali wujud dalam kepala saya. Saya selalu membayangkan, kalau saya ke mana-mana seorang diri, saya tidak perlu risau apa-apa kerana kembar saya itu ada bersama saya. Dulu saya pernah menjelajah Moscow seorang diri dan serius pada ketika itu saya tidak rasa langsung bahawa saya sendirian. Kembar imaginasi saya itu ada bersama saya.

Saya tidak tahu bagaimana hendak membayangkan rupa atau sifat si kembar ini. Yang pasti, dulu saya namakannya Safuan. Dari tingkatan 3 sehingga 5. Tapi selepas tamat sekolah saya sudah tidak rasa lagi yang nama Safuan sesuai untuknya sebaliknya saya (yang dalam proses cuba membuang habit suka berimaginasi ini) telah nekad untuk tidak menamakannya apa-apa. Mungkin dengan cara itu saya akan kurang terfikir-fikir tentang kembar imaginasi saya ini.

Yang boleh saya kata, perangai kuat berimaginasi ini bertahan sehingga saya di tahun kedua di sini saja. Waktu itu saya rasa saya perlu betul-betul fokus dengan apa yang saya lakukan. Perlu matang dalam segala aspek dan perlu buang segala sifat budak-budak yang ada. Salah satunya termasuklah si kembar itu. Memang saya tak terfikir langsung dah tentang kewujudan dia dalam minda separuh sedar saya yang telah wujud bertahun-tahun dalam kehidupan saya.

Sehinggalah setahun lebih yang lalu, saya mula mengenali seseorang. Dia bukan orang lain. Orang yang dekat dalam kehidupan keluarga saya. Apabila mengenalinya, saya lihat perangainya lebih kurang seperti kembar imaginasi saya itu. Malah, dia juga seorang yang berimaginasi bahawa dia juga mempunyai kembar. Ajaib betul. Kami sebaya. Tarikh lahir kami hampir-hampir saja. Disebabkan dia lahir terlebih dahulu, jadi dialah abang dan saya adiknya.

Imaginasi saya jadi kenyataan. Kisahnya bukan setakat di sini. Kembar imaginasi saya kini bukan lagi sekadar bayangan tapi benar-benar muncul dalam kehidupan harian. Cuma masih belum ada rezeki agar yang maya menjadi nyata.

Bersambung…

Nota 1: Nama Safuan itu dulu saya beri kerana saya sukakan huruf F. Kalau dah kembar, biasanya huruf awal nama juga adalah sama, kan. Jadi, muncullah Safuan. Kebetulan, nama kembar yang nyata itu juga bermula dengan S dan mempunyai huruf F. Huhu.
Nota 2: Saya menulis entri ini kerana ditanya oleh Khairul apakah yang saya maksudkan dengan kembar imaginasi saya.

Posted on December 29th, 2008 by Sarah  |  49 Comments »

Rahsia Di Sebalik Kisah Abang Pujaan

Assalamualaikum wbt

Saya kira saya sudah terperangkap dengan jawapan saya sendiri pada entri lepas. Macam mana saya boleh terlupa bahawa blog saya ini juga dibaca oleh beberapa budak lelaki batch saya ketika sekolah dulu? Tak pasal-pasal terbongkar cerita lama.

Tetapi saya bukan orang yang masih dibelenggu kenangan. Saya dah berjaya lepasi semua itu walaupun mengambil masa yang sangat lama. Dengan menulis entri ini, maka sahlah bahawa saya ini sebenarnya pernah putus cinta suatu masa dulu. Hahaha.

Kisahnya, bukannya kami mempunyai hubungan menarik seperti pasangan kekasih yang biasa. Kami ini orang yang luar biasa. Segalanya boleh kata bermula kerana usikan dari guru-guru (mungkin) dan saling mengagumi kredibiliti masing-masing ketika di sekolah secara rahsia. Orang kata, mengintai dari jauh sajalah. Tak lebih dari itu. Malah tak pernah disuarakan pada sesiapa pun. Bertegur pun setakat dua kali saja sepanjang dua tahun bermukim di sekolah itu. Tambahan pula, dia adalah senior dua tahun dan merupakan seorang yang berjawatan tinggi di sekolah. Sebab itu timbulnya kisah Abang Pujaan (AP) dulu-dulu.

Segalanya terbongkar ketika saya sedang membuat kursus persediaan di Intec dulu. Di situlah baru mula mengenalinya dengan lebih. Tiadalah lebih sangat pun. Sekadar intro orang kata. Dia minta izin emak ayah untuk berkawan dengan saya. Saya pun sama. Tanya pendapat itu ini terlebih dulu daripada emak. Ok. Orangnya sangat baik. Sempurna akhhlaknya. Susah hendak digambarkan. Dia pelajar jurusan perundangan di UIAM. Sepanjang mengenalinya, saya tak pernah rasa dia ada kekurangan yang boleh mengurangkan hormat saya kepadanya.

Yang saya tahu, dia menyebabkan saya semakin matang dan teguh dengan agama. Percaya tak kami hanya berhubung sekali seminggu? Kan saya sudah katakan. Kami ini lain dari yang lain. Kami pernah bertemu sekali saja sebelum saya ke sini. Itupun ditemani bodyguards yang cukup boleh buat saya rasa malu. Huhu. Kali kedua bertemu adalah di KLIA sebaik sebelum berlepas. Ada keluarga sekali. Tak pernah jumpa berdua saja.

Dan ketika di sini, mungkin ramai yang membuat kesimpulan kenapa berakhir juga hubungan itu kerana jarak jauh yang kami tempuhi. Itu bukan alasan. Boleh saya katakan, jarak bukanlah masalah bagi kami sebaliknya lebih baik begitu. Tapi segala yang terjadi mungkin sudah ditakdirkan untuk terjadi. Maka kekallah kami begitu. Tiada gaduh, tiada selisih, tiba-tiba berakhir. Siapa tak sedih. Membuat keputusan yang sangat menyeksa diri sebegini. Tapi saya yakin, dan dia pun yakin, Allah itu Maha Adil. Dan sejak dari itu, saya lebih mengenali cinta Allah yang saya kurang nikmati selama ini.

Saya mengambil masa empat tahun untuk melupakan semua ini. Jauh di sudut hati, saya menunggu dia sebenarnya. Setia tak saya? Hehe. Saya penuhi hari-hari saya dengan studi. Saya sibukkan diri dari pagi sehingga tengah malam hanya dengan buku-buku dan persatuan. Saya score dalam semua exam semata-mata hendak buktikan bahawa saya tidak terjejas sedikit pun dengan apa yang terjadi. Saya hendak buktikan bahawa saya kuat. Saya bijak mengasingkan emosi dan pelajaran. Apa yang buat saya sedar bahawa cinta manusia tidak akan kekal ialah filem Kiamat Sudah Dekat. Tangis-tangis doa di dalam filem itu mengenalkan saya dengan air mata malu kepada Tuhan. Memang ada sesetengah perkara dalam hidup ini kita tidak perlukan alasan mengapa ianya terjadi. Tapi cukup kita percaya bahawa Allah mahukan ia terjadi dan semestinya ada hikmah di sebalik semua ini.

Sudah. Tidak boleh terlalu detail dan panjang. Cukup ini saja. Yang saya tahu, dia kini sudah bertunang. Alhamdulillah, tunangnya juga saya kenal dan dia sangat cantik orangnya. Cantik sifat dan rupa. Hehe. Tidak tipu. Memang sama padan. Saya tidak rasa ada dendam atau rasa tidak sedap hati atas semua ini. Saya gembira mendengar dia sudah melangkah ke fasa yang satu lagi.

Saya tidak rasa dia mengetahui kewujudan blog saya. Kalaupun dia tahu, saya hendak dia tahu bahawa saya hormati dia sebagai seorang yang sangat berkarisma, teguh agamanya, mulia akhlaknya, sangat menghormati orang tua, pandai membawa diri, sangat bersederhana dan yang paling penting dia sentiasa ada misi dan visi tentang masa depan. Bagi saya nasyid Sebuah Pertemuan menceritakan segalanya tentang dirinya walaupun kini dia dengan dunianya dan saya dengan dunia saya.

-Jangan mengada nak bercinta kalau tak tahu apa itu komitmen.
-Kaji diri dulu, tanggung jawab kita pada Allah sempurna ke tidak? Dan kasih sayang kita pada ibu bapa melimpah ruah ke tidak? Kalau dua perkara ini kita belum ditunaikan, jangan mengada juga nak bercinta.

Nota 1: Entri ini bernada gembira. Jangan baca dengan nada sedih. Kalau terasa seperti sedih, baca semula dengan suasana yang lebih ceria.
Nota 2: Dulu ketika di KISAS saya katakan bahawa saya tidak mahu budak KISAS sendiri. Ironinya Allah temukan saya dengan dia yang saya akui dialah cinta pertama saya. Err. Macam lucu dan geli je sebut dua perkataan tu =p
Nota 3: Saya sukakan orang utara termasuklah Perak Tengah dan Utara. Mungkin kerana saya ada darah utara. Oh, kebetulan sungguh dia itu orang Perak. Rejeki oh rejeki. Harap nanti bertemu rejeki lagi. Oo-lala~ ;D

Oh. Ada update panas. Seorang lagi kawan baik saya ketika di KISAS dulu telah bertunang. Aiyak. Tinggal saya seorang je sekarang. Faiq, Dayah Hassan akan ikut jejak awak dah tak lama lagi. Ni berkat duduk atas pelamin awak la ni. Saya yang pengapit pun idak jugak lagik. Hoho.

Posted on December 19th, 2008 by Sarah  |  63 Comments »

Kisah Seram Di Hospital

Assalamualaikum wbt

Nampaknya, saya memang tidak boleh menulis sesuatu yang berbentuk putus asa atau bersedih. Ramai yang salah faham daripada apa yang saya cuba maksudkan walaupun sudah dinyatakan dengan jelas sama ada pada tajuknya atau di penghujung cerita. Abaikan.

Sekarang jam menunjukkan pukul 4.16 pagi. Saya masih belum tidur sejak semalam. Tadi bertungkus-lumus menyiapkan projek kumpulan saya, Cysticercosis. Sebaik siap, terus diemailkan kepada 2 lagi rakan sekumpulan untuk mereka studi sebelum Khamis ini. Dan seterusnya mengemailkan fail dan video yang berkaitan kepada Assistant Professor kami untuk disemaknya.

Sepatutnya sudah hendak tidur. Tapi kalau sudah berjaga terlebih dari waktu tidur yang biasa, saya sudah rasa segar semula. Sekarang saya bersendirian saja bertemankan lampu meja. Tiba-tiba teringat cerita hantu. Huhu.

Sewaktu melakukan praktikal di Hospital Temerloh ketika pulang bercuti 2 tahun lalu, saya diberi tugasan oncall di Kecemasan bermula jam 5 petang yang sepatutnya tamat keesokan paginya. Tapi, sekitar 10.30 malam, Dr. Min Tien yang saya ikuti (tagging) itu menyuruh saya balik saja. Katanya, saya perempuan. Nanti bahaya hendak balik seorang-seorang di awal pagi.

Alahai. Rumah saya dalam 15 minit saja jaraknya daripada hospital tu. Tetapi memandangkan tiada kes berat di Kecemasan pada malam itu beserta pujukan Dr. Min yang berkali-kali menyuruh saya balik saja, maka saya pun mengambil keputusan untuk balik. Bos dah lepaskan. Kita pun tunggu apa lagi kan. Hehe.

Tetapi, sebelum saya beransur balik, ada kes kematian di wad yang disebut-sebut oleh para MA dan jururawat di Kecemasan. Saya terpasang telinga dan termendengar apa yang disebut-sebutkan. Menurut mereka, ada sesuatu yang agak pelik berlaku. Ok. Saya waktu tu sudah mula rasa tak sedap. Iyalahkan. Saya ni hendak menuju ke kereta yang di parking di kawasan parking yang lengang di waktu malam. Otak saya ni bukan boleh menerima input-input yang menyebabkan saya berfikir. Pantang ada, saya mesti akan berfikir sehingga mengimaginasikan yang pelik-pelik dan dahsyat-dahsyat.

Ketika berjalan menuju ke arah kereta, saya berselawat saja. Takut sebenarnya. Huhu. Hari pula berangin semacam. Tapi saya pujuk hati mengatakan hari hendak hujan. Saya memandu kereta Kaklong pada hari itu. Alat kawalannya rosak ketika itu jadi untuk membuka kunci perlu dilakukan secara manual. Cermin kereta pula tinted. Entah kenapa, saya rasa diikuti. Rasa ada sesuatu berjalan di belakang dan di tepi saya. Saya langsung tidak menoleh.

Jadi, sebaik sampai di kereta, otak saya yang sudah berimaginasi maha dahsyat dengan segala kemungkinan yang bakal muncul, saya memegang kunci kemas-kemas di tangan dan membuat cubaan membuka kunci kereta dengan mata tertutup! Ini gara-gara tidak mahu melihat pantulan imej di cermin tinted itu yang memungkinkan saya melihat atau terlihat apa yang berada di belakang dan di tepi saya! Hahaha.

Yang ajaibnya, saya berjaya membuka pintu kereta dan terus masuk ke tempat pemandu dan mengunci pintu. Beg labcoat, stetoskop dan botol air saya campak ke tepi. Sambil tangan cuba menghidupkan enjin, mata saya melilau melihat cermin pandang belakang untuk memastikan jarak kereta di belakang cukup jauh untuk saya membuat lipatan maut ketika mengundurkan kereta nanti. Beres. Enjin hidup, terus saja saya memecut pergi.

Sebaik menuruni bukit hospital, sekali lagi otak saya berimaginasi. Saya terbayangkan sesuatu sedang melambai-lambaikan tangan melihat saya berlalu pergi dengan penuh ketakutan tanpa perlu dia menjelmakan dirinya di hadapan saya.

Padahal, semuanya hanyalah imaginasi. Imaginasi! Ini semua sebab otak saya yang selalu berfikir ‘lebih sudu dari kuah’. Tapi dalam hati saya bersyukur juga dilepaskan balik sekitar 11 lebih itu. Saya terbayang, jika waktu itu pukul 5 pagi? Mak aih. Mahu agaknya saya menjerit bila rasa diekori dari belakang dan tepi. Hehe.

Jadi, sebaik melepasi jambatan Temerloh, di hadapan stesyen minyak Esso itu saya perlahankan kereta untuk meninjau sesuatu. Ada kereta menaikkan lampu kepada saya dari arah stesyen minyak itu. Tadaa. Dengan perlahan, menyusur keluar kereta Volvo emak yang dipandu oleh ayah. Alkisahnya, malam itu saya balik dengan diiringi oleh emak dan ayah dari belakang. Hahaha.

Sebenarnya pada malam itu ada pasar malam di bandar Temerloh. Sebelum meninggalkan hospital, ayah ada menghubungi saya mengatakan bahawa ayah dan emak ke bandar berdua. Saya maklumkan bahawa saya sudah mendapat kebenaran balik. Jadi ayah sudahpun mengatakan untuk menunggu saya di situ untuk balik bersama.

Sebenarnya, tiada pun hantu-hantu yang muncul dalam cerita ni tapi otak saya saja yang berimaginasi yang bukan-bukan selepas termendengar topik perbualan staf di Kecemasan sebelum itu. Hehe. Saya penakut? Hehe. Mungkin. Itu sebabnya waktu kecil-kecil dulu bila masuk saja ke bilik, benda pertama yang saya lakukan ialah membongkokkan diri untuk melihat ada apa di bawah katil. Kaklong memerli saya. Katanya, hendak senang, potong saja tiang katil tu. Kan dah tiada apa-apa yang boleh menyorok di bawahnya. Hahaha~

Posted on December 10th, 2008 by Sarah  |  39 Comments »

Telefon

Assalamualaikum wbt

Di kemuncak musim sejuk, Isyak masuk sekitar jam 5.45 petang dan Subuh pula masuk sekitar 6.30 pagi. Menjadi kebiasaan ketika cuti musim sejuk, ramai yang solat Isyak di awal waktu, tidur awal dan bangun sekitar 8 pagi kerana masih dalam waktu Subuh.

Ketika di tahun satu, beginilah saya menikmati musim cuti. Masih budak-budak. Asyik fikir hendak tidur saja. Tambahan pula, bila tengok kawan-kawan yang lain tidur, kita pun hilang punca tidak tahu hendak berbuat apa lagi. Paling habis, di malam hari kami menonton filem beramai-ramai dengan rakan se-batch, bermain Uno Card dan bagi kaki ping-pong seperti saya, sangguplah kami turun ke tingkah bawah hostel (Pushkin Hostel) semata-mata untuk bermain ping-pong sehingga jam 3 pagi.

Ketika itu, kemudahan internet hanya boleh didapati di Cyber Cafe di tingkat 4 hostel tersebut. Harganya dahlah mahal. Jadi terpaksalah berfikir dua kali untuk kerap ke sana. Tapi, perkhidmatan telefon sangat murah. Ada pelbagai pakej yang ditawarkan. Ada tiga buah syarikat utama di sini. Megafon, MTC dan Beeline. Saya memilih Megafon kerana perkhidmatannya sangat murah dan ketika itu selalu berlaku crossline yang membolehkan kami menelefon Malaysia dengan percuma.

Kalau crossline sedang berlaku, habis tersebar luas di kalangan kami semua rakyat Malaysia di tingkat 13 dan 14 itu. Semua pun apa lagi. Pakat menelefon keluarga atau kawan masing-masing sementara crossline masih terjadi. Tapi kalau crossline di tengah malam buta waktu Malaysia, untuk orang seperti saya, tak dapatlah hendak menghubungi sesiapa kerana keluarga pun sedang tidur.

Megafon ketika itu menawarkan 3 pakej perkhidmatan (seperti Celcom dulu-dulu). Ada O’lite, Ultralite dan Fix. Saya menggunakan O’lite. Kosnya hanya 1 sen USD per SMS (ke mana saja) dan 3 sen USD per minit panggilan di dalam Moscow. Bagi Ultralite pula, panggilan sesama Ultralite adalah percuma. Cubalah bayangkan. Betapa murah kos penggunaan telefon kami ketika itu.

Tapi, apa kaitannya cuti musim sejuk dengan perkhidmatan telefon semua ini ya?

Hehe. Saya pernah berbual dengan seorang kawan dari pukul 11 malam sehingga 6 pagi ketika musim sejuk dulu-dulu menggunakan perkhidmatan Ultralite yang percuma itu. Saya tiada Ultralite tapi berjaya meminjam abang senior sebelah bilik punya. Dan kawan saya juga tiada Ultralite tetapi dia meminjam kawannya punya. Habis berbual, hari sudah Subuh. Selesai solat Subuh, barulah tidur sepuas-puasnya. Bijak sungguh kami mengguna pakai peluang yang ada!

Sangatlah tiada kehidupan ketika itu, kan. Moscow dulu dan sekarang sangatlah berbeza. Warga Malaysia di Moscow dulu dan sekarang juga sudah sangat berbeza.

Tag dari Kak Inah yang bertangguh lama dah. Gambar kandid spontan katanya. Saya ni masih tak ada kamera baru lagi. Hari tu Fareena tiba-tiba ambilkan gambar ni ketika saya bertugas di bahagian paramedik perempuan untuk Liga Futsal, kira spontan jugalah ye Kak Inah. Ini kenangan dengan Fiza Si Comel. Jangan nangis-nangis dah ye Fiza. Kita orang perempuan ni ada banyak benda yang kena beralah dan jaga =) (simbolik kegemukan yang sedang saya alami!)

Nota 1: Jangan buat macam saya ye. Orang lain bergayut boleh meninggikan diri. Saya bergayut tak tinggi-tinggi juga. Aishh…

Nota 2: Musim sejuk juga kami di sini kuat beribadah. Ramai yang rajin berpuasa sunat. Maklum sajalah. Siang pendek. Hikmahnya juga sangat bagus. Taklah cepat gemuk. Jadi apa lagi. Buat kawan-kawan di Moscow, kita lancarkan kempen puasa sunat ye. Sikitpun tak rugi untuk jasmani apatah lagi rohani. Hehe.

Posted on December 5th, 2008 by Sarah  |  10 Comments »