Archive for the ‘Life’ Category

Gian

Assalamualaikum wbt

Saya rasa sekarang saya gian. Gian hendak membaca novel-novel karya Hlovate. Walaupun di dalam novelnya mempunyai unsur-unsur pencemaran bahasa sedikit (saya ni pencinta Bahasa Melayu yang tegar), namun teknik penceritaan, susunan plot yang menarik dan selitan tazkirah-tazkirah yang boleh menyedarkan kita perkara-perkara asas sebagai Muslim betul-betul membuatkan saya tertarik dengan novelnya. Hlovate bermula dengan menulis e-novel dan kini novel-novelnya dibukukan. Tunas telah saya tamatkan. Dan oh! Saya tak sabar hendak membaca aA+bB pula.

Eh, Cik Sarah. Awak tu ada masa sangat ke bulan depan nak membaca segala benda alah ni? Hehe. Hobi tetap hobi.

Hari ni saya dapat pelepasan. Tak perlu ke hospital. Maka saya umumkan hari ni sebagai hari operasi membuat kuih raya. Yeay! Erm, boleh saya bersuasana raya dah? Teringinlah nak dengar lagu raya dah. Hehe =)

Nota untuk emak: Mak, mee hailam beres! Warna je tak cukup hitam. Kedekut kicap punya pasal. Kena berjimat. Kekekeke =p

Posted on September 25th, 2008 by Sarah  |  18 Comments »

Kenangan Ramadhan Di Moscow

Assalamualaikum wbt

Ketika tiba di sini pada Oktober 2003, saya merasakan Moscow ini kusam. Daun kekuningan saja. Kereta pun macam berdebu je. Saya tersilap tafsir sebenarnya. Rupanya, begitulah keadaan lazim di musim luruh. Bukannya pokok-pokoknya tak cukup zat, tapi musim luruh sudah bermula. Kereta pula macam berdebu kerana di penghujung musim panas, memang banyak debu.

Di penghujung November, Ramadhan bermula. Kebetulan hari pertama berpuasa adalah hari yang mempunyai kelas sehingga petang. Waktu itu, jarak di antara hostel dan bangunan akademik pelajar tahun satu adalah sekitar 1 jam setengah perjalanan menggunakan bas dan metro.

Pada sebelah petang, saya mempunyai kelas Biologi. Waktu itu musim sejuk sudahpun bermula. Waktu berbuka ketika itu ialah jam 4.33 petang. Saya masih ingat akan hal ini. Kelas tamat pada jam 4.30 sepatutnya tapi kami dilepaskan sedikit awal sekitar 3.50 petang. Maka saya dan kawan-kawan sekumpulan berangkat balik ke hostel terus. Sampai saja di Stesyen Bibliateka Imini Lenina, stesyen di tengah-tengah Moscow yang menghubungkan 4 laluan utama metro yang menjadi tempat pertukaran utama, jam telah menunjukkan pukul 4.25. Di dalam stesyen itu terdapat sebuah kafe kecil yang menjual makanan segera. Saya memnag tidak mempunyai apa-apa bekalan makanan seperti coklat atau apa-apapun kecuali setengah botol air mineral yang dibawa untuk buat syarat saja bila berbuka. Tapi kesemua ahli kumpulan saya yang lain tidak mempunyai apa-apa bekalan. Jadi mereka ke kafe itu dan membeli 3 cawan besar coke dan kami menunggu saja di tepi jam dinding dalam stesyen itu sehingga tepat jam 4.33. Kami 11 orang berbuka bersama dengan berkongsi 3 cawan air coke (o.5 liter secawan) termasuklah 3 orang rakan group kami yang berbangsa Cina dan India. Setelah kosong ketiga-tiga cawan, barulah kami menyambung perjalanan.

Dan pernah juga saya hanya berbuka dengan coklat Snikers (kecil) ketika berada di dalam kelas General Chemistry. Disebabkan saya bukan penggemar coklat, kebiasaannya sebatang coklat itu akan saya kongsi bersama Meor, lab partner saya. Mula-mula dulu, cikgu kami pun tak faham. Jadi kami makan curi-curi saja. Tapi setelah dia faham, dia memberikan masa rehat yang fleksibel mengikut waktu berbuka. Dan namanya adalah Fetisova, seorang cikgu yang sangat baik hati dan keibuan.

Pernah juga berbuka hanya setelah 1 jam waktu berbuka berlalu. Ini gara-gara tersekat dalam kesesakan jalan raya dalam perjalanan menuju ke hostel. Dan lazimnya, kami di sini tidaklah berbuka dengan lauk-pauk dan hidangan mewah yang lengkap dengan kuih dan sebagainya. Ada 2 benda wajib untuk menu berbuka. Lauk utama, ayam, daging atau ikan, dan sejenis sayur. Kuih hanya bergantung kepada kelapangan masa. Sewaktu tahun satu dan dua dahulu, hanya di hujung minggu saja barulah sempat hendak menyediakan manisan mulut yang semestinya adalah kuih-muih tradisional.

Saya akui, hidup di luar ni lebih mengajar untuk menghayati erti Ramadhan yang sebenar. Apabila terpaksa bersusah-payah memasak sendiri segala juadah yang kita hajatkan dan berpenat-penat memasak beramai-ramai untuk majlis berbuka puasa di kedutaan, inilah pengalaman yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.

Nota: Saya rasa satu hari nanti saya boleh buka katering saya sendiri dah kot. Kalau memasak untuk 400 orang makan, tu rasanya dah tak jadi masalah dah. Hehe.

Posted on September 24th, 2008 by Sarah  |  6 Comments »

Season Finale Bermula

Assalamualaikum wbt

Jangan terkejut. Saya berniat untuk menyambung coret-coret saya kembali. Mempertimbangkan ini adalah tahun terakhir saya di sini yang pastinya akan menjadi satu memori yang hendak saya kenang selamanya.

Season finale kisah pengembaraan hidup di Moscow pastinya penuh suka-duka yang menjanjikan saya menjadi lebih matang dalam membina diri dan masa depan.

Nota peribadi untuk dikenang, saya di sini sedang berpuasa hari yang ke-23 di musim luruh yang sangat sejuk suhunya. Dan ini merupakan Ramadhan dan murim luruh terakhir saya untuk tempoh 6 tahun permukiman saya di sini.

Dan dalam entri ke-333 pada tanggal ke-23 Ramadhan yang jatuh pada 23 September ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Lahir yang ke-23 buat sahabat baik saya Nurul Faaiqah Jainuddin =)

Daa~

Posted on September 23rd, 2008 by Sarah  |  16 Comments »

Hijau

Assalamualaikum wbt

Saya ini budak kampung. Lahir di kampung (tak sempat dibawa ke hospital) dan membesar pun di kampung. Nasib saja bersekolah di bandar sejak kecil. Bila remaja, tercampak ke Klang dan kemudian terhumban ke Moscow. Saya mula tinggal di rumah saya ini sejak 17 tahun lalu. Rumah ini dibina oleh emak dan ayah pada tahun 1991. Saya di tadika. Dan sejak itu, keliling rumah saya dipenuhkan sedikit demi sedikit dengan pokok pelbagai jenis. Saya rasa, kalau rumah saya tiada pokok-pokok ini semua, pasti lain keadaannya dan suasana tidak sehijau dan setenang sekarang.

Pokok langsat di tepi rumah. Berbuah tak putus-putus.

Pokok limau kasturi di belakang rumah. Dulu saya panggil ini pokok Kaklong. Sebab sewaktu kecil dulu, pokok ini di bawah seliaan Kaklong. Saya ada sebatang pokok belimbing madu dan Nan pula sebatang pokok jambu batu. Tapi pokok saya dan Nan telah ditebang kerana akarnya memecahkan longkang belakang rumah. Terlalu besar.

Langsat di belakang rumah. Pokok ini menggantikan tapak pokok belimbing saya.

Ada yang tak kenal ini pokok apa? Ini pokok pinang. Tumbuh di tepi pagar belakang rumah.

Ini pula pokok kunyit. Kalau perlukan daun kunyit, kutip saja dari pokoknya.

Bunga pokok palma. Bertandan-tandan penuh malayut di pelepahnya.

Pokok kelapa gading. Pokok yang ini renek saja. Belum cukup tua. Tumbuhnya di hadapan rumah. Pokok kelapa biasa tak usah ceritalah. Terlalu banyak. Siap ada sarang burung tempua bergayutan lagi.

Jejarum merah di laman hadapan, bersebelahan bunga pagar.

Jejarum kuning di laman hadapan, berhampiran pokok manggis.

Bunga ini kami panggil bunga pasir. Entahlah nama betulnya apa. Kami pakai sebut je sebab bunga ni selalu tumbuh di kawasan berpasir. Bunga ini kembang di waktu hari masih berembun saja. Gambar ini adik saya, Adam, yang ambil.

Rambutan juga sudah banyak berjuntaian. Adam yang rajin mengait dan memanjat setiap petang. Kalau ada Adi, dialah yang paling rajin mengumpulkan buah-buahan yang ada di sekeliling rumah.

Isi rambutan yang dikupas seperti telur ayam. Ingat yang saya katakan dulu? Mesti ada yang tahu bagaimana hendak membuatnya. Renyah sedikit. Baik tak usah buat. Sudahnya masuk ke mulut juga, kan.

Manggis si hitam manis. Ini hasil pokok tertua yang ada di depan rumah, antara rumah saya dan rumah Tok. Di sinilah saya selalu berkumpul bersama Mak Tam dan Tok Chik. Ada 3 batang lagi pokok manggis. 2 di hadapan rumah, sebatang lagi di tepi pokok nangka di sebelah garaj.

Si raja duri. Kami kenduri durian pada malam semalam. Semua ahli rumah di bukit letaknya rumah saya berkumpul di beranda rumah saya. Ayah sengaja beli banyak supaya kami dapat berkumpul makan beramai-ramai. Tadi petang, Mak Tam sediakan pulut dan kuah serawa durian. Makan sewaktu hujan, fuh… Syurga!

Untuk merasakan dunia kita tenang, kita memang memerlukan persekitaran yang bersih dan hijau. Dan untuk mendekati dan berinteraksi dengan alam yang hijau, kita perlulah diam. Daa~ Salam.

Posted on July 23rd, 2008 by Sarah  |  45 Comments »

Mahu Jadi Cantik Dan Kacak?

Assalamualaikum wbt

(i)
Tadi ke pejabat pos. Perlu perbaharui lesen memandu. Sebaik keluar dari ruang utama, ada jurujual kad Touch ‘n’ Go menghampiri. Saya tak sempat mengelak, banyaklah yang encik itu cakapkan. Saya dengar sajalah. Di pertengahan penerangannya, saya menolaklah dengan cara baik. Sudahlah ditahannya saya di tengah panas terik. Kot ye pun, jemputlah ke khemas operasi mereka di tepi itu. Bukannya tidak boleh, kan. Sebaik berjaya memberikan alasan itu ini, saya hendak terus pergi. Tapi disapanya lagi: Nama cik ni Siti kan? Cik Siti nanti datanglah booth kami lagi ye. Boleh la pergi minum ke, makan ke. Dalam hati saya rasa meluat betul. Saya tidak rasa orang awam suka ditegur begitu. Kan? Lagi pula, saya rasa dia kurang beretika dalam melaksanakan tugasnya. Dan dalam hati juga saya berkata: Inikah lelaki Malaysia sekarang?

(ii)
Saya singgah di sebuah farmasi. Sebaik keluar, saya melalui sebuah kedai runcit. Tiba-tiba saya disapa: Mak aih… Lajunya jalan. Boy friend tak lari la dik. Adik lambat pun dia sayang jugak. Saya kerling sekilas. Mereka sedang bercakap dengan sayakah? Tiada orang di belakang saya. Di depan saya pula hanya ada seorang pekerja restauran yang sedang duduk-duduk berehat di luar kedai. Dalam hati saya berkata: Habis tu, nak saya jalan lenggang-lenggok Mak Minah balik bendang? Agaknya mereka ni memang suka kalau dapat tengok perempuan jalan melenggang kangkung kot.

(iii)
Sebelum balik, saya ke kedai telefon. Sebaik keluar dari kedai itu, ada gerai burger dan air yang terletak betul-betul di hadapannya. Kedai itu memang penuh dengan budak lelaki melepak kosong. Tiba-tiba ada suara: Masam je. Kerut lagi dahi tu. Hahaha… Saya rasa hangin sangat waktu tu. Dalam hati saya berkata: Tak tegur tak boleh ke? Tak kuasa saya nak jalan tengah panas macam ni dengan muka senyum. Tambah pula sedang bengang kuasa dua dengan dua lelaki sebelum ini. Budak-budak di kedai tu memang cari pasal dengan saya nampak gayanya. Saya balas: Kalau masam pun pelik apa AKAK. AKAK kejar masa, bukan macam korang duduk telan angin. Sengaja saya bahasakan diri sebagai akak. Memang mereka semua itu lebih muda dari saya. Tak memasal disebabkan mereka adalah sumber kebengangan saya kuasa tiga, jadi merasalah mereka kena bebel dek saya. Dalam hati saya berkata: Geli betul dengan perangai budak lelaki yang macam ni.

Kisah i, ii dan iii mesti pernah dirasai oleh ramai lagi golongan wanita, kan. Kadang-kadang saya geram. Sudahlah muka tak berapa nak kacak, akhlak pun takkanlah hendak dibiar tak berapa nak segak juga. Yang melepak pun satu hal. Tidak bolehkah duduk diam-diam di situ dan jangan mengganggu orang lain? Saya memang pantang orang yang suka melepak begini. Tambah pula dengan perangai suka tegur-tegur anak dara orang yang lalu berhampiran. Merokok di khalayak ramai juga satu lagi halnya. Saya teringat insiden sewaktu tingkatan 3 dulu. Di perhentian bas. Saya baru pulang dari tuisyen. Lelaki di sebelah saya merokok dan hembusannya di arahkan pada saya kerana dia menyengetkan badannya menghadap saya. Di tengah-tengah alam yang penuh orang baru pulang dari Pekan Sehari, saya bangun dan menegur lelaki itu: Kot ye pun nak merokok, pergi merokok kat belakang tu tak boleh ke? Ni hembus-hembus merata macam ni. Selepas cakap, terus saya pindah tempat. Waktu itu saya memang tengah geram dan tak pasal-pasal, saya melepaskan marah saya pada lelaki yang kurang sensitiviti itu. Yang ajaibnya, lelaki itu bangun dan pergi ke tepi tandas awam di tepi perhentian bas tersebut. Rasa bersalah juga. Tapi siapa suruh dia yang sesedap hati menghembus asap rokok sebegitu. Mungkin baginya merokok itu tidak salah. Saya juga tidak menyalahkannya kerana merokok. Itu pilihannya. Tapi sensitiviti tentang asap rokok itu perlulah dipertimbangkan. Kalau-kalau saya ini ada lelah, tak pasal-pasal saya sesak nafas di situ.

Saya sedih kerana yang buat perangai dalam insiden i, ii dan iii semuanya adalah lelaki Melayu Muslim. Begitu juga yang kurang sensitiviti ketika merokok itu. Sungguh sayang kerana kacaknya lelaki itu bukan letaknya pada muka. Kacaknya lelaki itu jika akhlak dan agama menjadi hiasan peribadinya. Bukan wanita saja yang selalu dinilai begini. Lelaki pun sama. Jadi, marilah kita hiasi peribadi untuk menjadi wanita dan lelaki yang cantik dan kacak. Ini kempen “Akhlak Kita, Wajah Kita” di My World (^^,)v

‘Siapa itu Melayu
bukan kiranya pada belacu
adalah sutera taruhan budi
tatapan sejagat insani’

Nota 1: Buat Nabil Mohammad Azmi, Selamat Hari Lahir (070708). Terlewat sedikit. Saya sudah tiada nombor telefon awak tau Nabil lepas telefon saya dulu rosak. Semoga sukses selalau! Buat Khairul, Selamat Hari Lahir yang ke-20! KS sentiasa doakan yang terbaik untuk Adik Kecik yang seorang ni 😉

Nota 2: Wah! Visitors counter My World sudah hampir mencecah 100000 pelawat. Siapa yang lawat blog ni dan dia sedar dia adalah pelawat ke 100000, silalah beritahu saya ye =) Counter tu telah bermula sejak 14 Mei 2007 dan saya telah exclude-kan kiraan lawatan daripada IP address saya di Moscow. Terima Kasih semua yang sudi menyinggah di sini. Nanti kita open table di alam maya ye. Hehehe (~~,)

Posted on July 8th, 2008 by Sarah  |  28 Comments »