Surat: Apa Khabar Orang Kampung
Emak dan ayah,
Apa khabar semua di rumah? Ngah doakan semuanya sihat-sihat saja. Petang tadi, selesailah segala pertarungan di Oncology Hospital. Sengaja Ngah tidak khabarkan bahawa Ngah menduduki Credit Day pada hari ini. Ringkas cuma coretan untuk emak dah ayah. Sekadar hendak mengkhabarkan bahawa Ngah telah lepas dengan baik dan pembentangan kes juga dapat dibuat dengan baik. Ya. Baik pada penilaian dan kepuasan diri sendiri. Emak dan ayah jangan khuatir. Anak yang seorang ni tak memonteng sekali pun, tepati masa dan sanggup berjaga malam semata-mata hendak memastikan nota lengkap, ringkasan kes dikemaskinikan, persediaan hari berikutnya dibuat dan blog dikemaskinikan untuk ditatap oleh emak dah ayah. Nampak gayanya, emak dah ayah perlu sentiasa menjenguk ke mari agar tidak terlewat membaca repekan terkini daripada Ngah. Agak-agak, emak masih berebut PC di dapur tak dengan adik-adik? Hehe.
Emak dan ayah,
Ngah ada satu cerita yang hendak dikongsikan. Tadi, Dr. Alexei bertanyakan nama Ngah. Siapa Dr. Alexei? Dialah yang menjadi fasilitator untuk posting kali ini. Antara 10 orang, nama Ngah saja yang ditanyanya. Sarah. Jawab Ngah. Biarlah kalau orang nak kata Ngah perasan atau apa sekarang ini tapi Ngah gembira kerana kerja keras untuk posting kali ini berbaloi dan ‘dilihatnya’. Tentu emak dan ayah faham apa yang Ngah maksudkan, kan. Dengan perhatian yang diberikan oleh Dr. Alexei sejak Isnin lalu sehingga tadi, Ngah rasa segalanya terbayar, tiada apa yang menggusarkan hati lagi. Keranya jugalah Ngah rasa bersemangat untuk meneruskan posting yang lain pula dan menyudahkan tahun akhir ini dengan sebaik-baiknya. Kalau Ngah punya gambar Dr. Alexei, pasti Ngah titipkan di sini. Biar emak dan ayah kenal siapa pendorong semangat anak yang seorang ini.
Balik dari hospital petang tadi, Ngah balik bersama Azam. Dalam kami berbincang pelbagai isu, dia ada menyatakan sesuatu. Ngah terkesan dengan apa yang dia katakan. Katanya: Jadilah seperti ikan. Biar hidup di air tawar, ia tetap tidak tawar. Biar hidup di air masin, ia tetap tidak masin. Dalam maksudnya, kan. Ngah tahu emak dan ayah faham apa yang Ngah maksudkan di sini. Insya Allah, ini janji Ngah. Mahu jadi seperti ikan.
Emak dan ayah,
Cukup di sini dulu untuk kali ini. Esok Ngah akan bercuti sehari sebelum memulakan posting Autopsy yang sekejap saja tu pada hari Jumaat nanti. Kalau makan ikan patin masak tempoyak ataupun asam pedas ikan pari, jangan lupakan Ngah ya! Salam buat adik-adik di rumah. Katakan pada Adam dan Adi, doa Ngah tak putus untuk PMR dan SPM mereka.
Nota: Ayah, lucu pula bila baca email ayah. Operasi Tebuan namanya ye. Tak sangka pula sampai terpaksa panggil JPA3 untuk menurunkan sarang tebuan di atas pokok nangka di tepi garaj tu. Meriah juga nampaknya gambar-gambar ketika operasi tu ye. Maklum sajalah. Jarang-jarang ada insiden begini terjadi, kan =)
Salam dari Moscow,
Ngah.
