Archive for the ‘Life’ Category

Kisah Dua Beradik Perempuan

Assalamualaikum wbt

Apa khabar semua? Lama pula saya meninggalkan blog kali ini. Memang tidak boleh dielakkan. Terlalu penat. Setiap hari sampai saja ke rumah, badan memang lembik dan kaki memang sakit. Menyebut pasal sakit kaki, saya teringat kisah sewaktu kecil dulu yang betul-betul buat saya sakit kaki dan badan.

Waktu itu saya dalam darjah 2. Kaklong pula dalam darjah 3. Kami mengikuti kelas Al-Quran di sekolah selepas solat Zohor sehingga petang. Kami sekolah swasta. Jadi tiada sesi fardhu ain dan kelas Al-Quran di sebelah petang ini adalah atas pilihan sendiri. Ini sekolah agama. Sebenarnya dalam silibus pendidikan di sebelah pagi sudah ada subjek Al-Quran dan Hafazan tapi saya dan Kaklong masih mengikuti kelas Al-Quran di sebelah petang. Dua pupu kami, Kak Nawwar, pun bersekolah di situ. Sebelah pagi, kami berempat (termasuk adik saya Nan yang berada dalam darjah 1) akan ke sekolah dengan dihantar oleh ayah. Kak Nawwar sekelas dengan Kaklong. Sebelah petangnya, saya, Kaklong dan Kak Nawwar akan dijemput oleh Pakcik Sohaimi, ayah Kak Nawwar. Nan pula tidak mengikuti kelas Al-Quran dan dia akan dijemput balik oleh ayah selepas waktu sekolah.

Pada suatu petang, Kak Nawwar terus balik selepas waktu sekolah dengan dijemput oleh ayahnya kerana emaknya baru bersalin. Mereka terus ke hospital kalau tidak silap saya. Jadi, selepas sudah mengaji, saya dan Kaklong menunggu dalam kawasan sekolah bersama-sama Saddiq, Nabil, arwah Kak Ridzu, Hayat dan beberapa orang lagi. Ramai pada mulanya. Kami bermain galah panjang dan cuit tiang bersama-sama sementara menunggu ibu bapa masing-masing. Tapi lama-kelamaan, hanya tinggal 3 orang saja. Saya, Kaklong dan Saddiq. Tidak lama kemudian, ayah dan emak Saddiq sampai. Ayahnya bertanya, kami akan balik dengan siapa. Kaklong jawabkan, kami akan tunggu ayah. Memang kami yakin ayah akan datang menjemput kerana kami rasa ayah sudah tahu bahawa Pakcik Sohaimi ada hal pada petang itu. Selepas, menemankan kami seketika, mereka pun bertolak pulang. Tinggallah saya dan Kaklong saja dalam kawasan sekolah. Hari hujan pada waktu itu. Jadi kami duduk di bawah atap beranda surau sekolah.

Jam hampir menunjukkan pukul 4.45 petang. Kami cuba menelefon kedai ayah. Waktu itu, ayah saya mempunyai sebuah kedai fotostat yang terletak dalam Kompleks Pejabat Daerah Temerloh (belum Perbandaran lagi). Itulah kedai pertama ayah. Berkali-kali kami cuba menelefon, tapi tiada siapa yang jawab. Akhirnya kami nekad untuk berjalan kaki ke bandar menuju ke kedai ayah. Di pintu surau, ada payung yang ditinggalkan. Kami mengambil payung itu dan mula berjalan berdua keluar dari kawasan sekolah. Rumah kami pula masih belum ada telefon pada waktu itu. Rumah pun masih agak baru jadi telefon bukanlah satu keperluan asas yang diperlukan. Jadi kami memang tiada sumber untuk menghubungi rumah. Saya masih ingat lagi, dalam dompet mengkuang kecil berzip warna oren yang emak belikan ketika berjalan-jalan di Padang Kota dulu, saya ada RM3. Semuanya duit syiling. Ini duit belanja yang dikumpul. Kaklong juga saya rasa ada jumlah yang sama dalam dompetnya. Kami terus berjalan. Jarak antara sekolah ke pusat bandar adalah 3 km. Dan jangan tidak percaya, kami berdua berjaya sampai ke pagar Kompleks tersebut dan di saat itu, hujan sudah reda.

Namun, sebaik kami mendekati pagarnya, jaga mengatakan kawasan kompleks sudah tidak boleh dimasuki. Kami bertanya, ada atau tidak dia terlihatkan ayah kami. Kami berdua tahu, jaga-jaga pastilah mengenali orang yang keluar masuk dengan kenderaan masing-masing setiap hari di situ. Jaga itu mengatakan, ayah sudah lama keluar. Waktu itu, jam sudah menunjukkan hampir pukul 5.30 petang lebih kurang. Saya dan Kaklong memang tidak tahu hendak buat apa pada waktu itu. Kami tidak pernah menaiki bas dan memang tidak tahu untuk menggunakan perkhidmatan bas. Dan sebenarnya, tidak terlintas langsung dalam otak kami untuk menaiki bas pada waktu itu.

Rumah saya letaknya di kawasan kampung. Berdekatan dengan rumah Tok. Rumah yang emak dan ayah bina selepas berpindah dari Perak. Namanya Kampung Tanjung Kerayong. Sebuah kampung kawasan sejarah zaman Tok Bahaman dan pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Letaknya 9 km dari bandar. Bagi kami, memang tidak jauh sebab dengan menaiki kereta, dalam masa 10-15 minit, kami sudah sampai ke sekolah. Jadi, dengan tidak berfikir panjang, saya dan Kaklong mengambil keputusan untuk berjalan kaki pulang. Jarak 3 km boleh kami lalui dengan mudah, jadi 9 km itu bukanlah apa-apa sangat bagi kami berdua.

Hujan memang sudah reda pada waktu itu. Kami hanya memegang saja payung tadi dan di bahu masing-masing ada beg sekolah dan beg Al-Quran yang kami jinjing. Saya sedikit pun tidak merasa takut atau sedih. Begitu juga Kaklong. Bagi kami, itu bukanlah masalah besar dan kami memang boleh berjalan pulang dengan sendiri. Ketika melewati pondok gerakan Rukun Tetangga di Bukit Angin, saya masih ingat kami menyenaraikan nama-nama kampung yang akan kami lewati di sepanjang Jalan Triang itu. Kampung Pengkalan Manggis, Tengah, Buntut Pulau, Pangsenam, Kuala Kujan, Durian Daun, Tenggoh, Baru, Pengkalan Jaya dan barulah Kampung Tanjung Kerayong. Kami memberikan pendapat masing-masing, jarak antara kampung ke kampung tidaklah jauh. Sebelum Maghrib, kami pasti akan tiba. Kami terus berjalan melewati bawah jambatan Temerloh dan seterusnya melepasi stesyen minyak Esso.

Ketika kami melalui Kampung Pengkalan Manggis, seorang pakcik yang menaiki basikal berhenti di tepi kami. Rupanya Ayah Teh Hasan. Orang kampung kami juga. Dia bekerja sebagai jaga di bandar dan berulang alik menggunakan basikal saja. Dia hidup susah tapi memang rajin bekerja. Dia kenal akan kami sebagai cucu-cucu arwah Cikgu Kamarudin atau cucu-cucu Mak Che. Dia bertanya itu dan ini mengapa kami berjalan kaki. Setelah menjelaskan keadaan sebenar, dia sendiri tidak tahu hendak berbuat apa. Dia kasihan melihat kami berdua hendak berjalan balik tapi dia sendiri tidak punya kenderaan untuk menumpangkan. Tapi dengan tiba-tiba dia ternampak seseorang melintasi kawasan itu dengan menaiki kereta menuju ke arah bandar. Dia melambai-lambaikan tangannya. Orang itu berpusing dan berhenti di depan kami semua.

Rupa-rupanyanya, itu adalah kawan kepada Ayah Teh Hasan. Saya tidak ingat apa namanya. Tapi Ayah Teh Hasan telah menerangkan padanya situasi kami dan dia meminta kawannya itu menghantarkan kami pulang. Kawannya memberitahu Ayah Teh Hasan dia tidak keberatan untuk menghantar kami tapi dia terlebih dahulu perlu pulang ke rumah untuk solat Asar kerana hari semakin senja. Ayah Teh Hasan bersetuju saja. Dan dia memberi jaminan kepada kami berdua jika sekiranya dia sampai dulu ke kampung kami, dia akan ke rumah kami dan memberitahu emak dan ayah di mana kami berada.

Pakcik itu membukakan pintu keretanya. Kereta volvo panjang jenis lama yang sudah uzur. Kami berdua masuk dan pakcik itu dengan ramah bercerita itu dan ini kepada saya dan Kaklong. Pada mulanya saya agak ragu-ragu dan takut. Kalau ikutkan, saya lagi rela berjalan kaki terus tapi ini arahan daripada Ayah Teh Hasan. Jadi, saya ikut sajalah. Tambahan pula, ini kawannya. Saya berdoa dalam hati, harapnya, tiada apa-apa yang terjadi. Pakcik itu memandu keretanya menuju kawasan perumahan di hadapan R&R di tepi jambatan Temerloh (Bukan R&R di lebuhraya sekarang. Dulu, Temerloh ada sebuah lebuhraya yang menjadi jalan utama ke Kuantan). Kami kira, rumahnya di taman perumahan itu tapi kami silap. Rupanya, di belakang taman itu, ada sebuah kampung yang memang saya tidak pernah sampai. Rumah pakcik itu di atas bukit. Kecil saja rumahnya. Rumah papan yang di hadapannya ada sebuah pokok bunga kertas yang besar. Dia menjemput kami masuk dan berehat dulu sementara dia solat Asar. Saya dan Kaklong masuk juga walaupun takut-takut. Isterinya baik menyambut kami. Dia menyuruh kami berehat sebentar di sebuah bilik. Terharu sungguh saya melihat keadaan bilik itu. Hanya ada tilam di atas lantai yang pintu biliknya bagaikan pintu rumah jepun. Tilam itu bergulung dan bantalnya disusun di tepi. Dalam bilik itu juga penuh dengan kotak-kotak berisi kordial buah.

Seketika kemudian, isterinya datang membawa air untuk kami. Air limau kasturi. Sedap kordialnya. Baru kami berdua tahu bahawa pakcik itu pengedar kordial buah. Saya masih ingat muka makcik itu bercerita tentang suaminya. Air mukanya tenang saja. Dan sebenarnya di saat saya menulis ini, saya teringat-ingat perasaan saya menolak pintu bilik itu. Saya sebak sebenarnya sebab rumah itu kecil saja dan saya terbayangkan kesusahan hidup mereka.

Lebih kurang setengah jam di situ, kami mula bergerak untuk dihantar pulang. Kami menyalami tangan makcik itu dan mengucapkan terima kasih banyak-banyak. Di dalam kereta, pakcik itu bertanya tentang emak dan ayah. Namanya apa, kerja di mana dan macam-macam lagi. Pakcik itu memang lembut saja suaranya. Saya masih ingat itu. Ketika melalui Kampung Pangsenam, sebuah kereta Nissan memotong kereta pakcik itu yang sememangnya bergerak perlahan. Saya dan Kaklong berteriak serentak. Itu kereta ayah! Pakcik itu bertanya 2 kali untuk betul-betul mendapatkan kepastian. Kami sungguh-sungguh mengiyakannya. Pakcik itu pun apa lagi. Terus membunyikan hon bertalu-talu dan dalam masa yang sama memecut sedikit keretanya supaya jaraknya dekat dengan kereta di hadapan.

Kereta di hadapan berhenti. Begitu juga dengan kereta yang kami naiki. Betul! Kelihatan emak dan ayah keluar. Kami keluar dan mendapatkan emak. Emak peluk cium kami berdua bersungguh-sungguh. Emak usap-usap belakang kami dua beradik. Ayah pula kelihatan berbual-bual dengan pakcik itu. Tangan saling menggenggam. Dan ayah menepuk-nepuk bahu pakcik itu. Saya tahu, ayah mengucapkan terima kasih dengan bersungguh-sungguh padanya. Saya sudah agak kabur dengan keadaan pada waktu itu. Yang saya ingat, sebelum beredar masuk ke dalam kereta, kami menyalami pakcik itu dan mengucapkan terima kasih. Pakcik itu berlalu ke keretanya dan mengeluarkan dua botol kordial. Dia menghadiahi kami dua botol kordial limau kasturi yang saya dan Kaklong suka tadi.

Sebaik tiba di rumah, hari sudah hampir Maghrib. Selesai mandi dan solat Maghrib, saya masih ingat saya minum susu panas pada malam itu. Emak yang bancuh. Kaki dan badan sakit-sakit dan lenguh-lenguh. Waktu itu barulah kami tahu rupanya ayah tidak tahu bahawa isteri Pakcik Sohaimi bersalin siang tadi dan ayah tidak mendapat sebarang pesan. Jadi, ayah tidak datang menjemput kami di sekolah pada sebelah petang. Tetapi setelah hari sudah hampir pukul 6, emak dan ayah bergegas mencari kami di sekolah dan teramat terkejut kerana kami tiada di sana. Dan sudahnya kami semua bertemu di pertengahan jalan pula.

Begitulah kisahnya. Kisah saya dan Kaklong cuba berjalan kaki pulang ke rumah kerana tidak dijemput. Hampir 5 km juga kami berjalan kaki di usia 8 dan 9 tahun. Sebetulnya selepas insiden itu, hanya sekali saja ada berjumpa semula dengan pakcik itu. Sewaktu bertemu semula dengan pakcik itu, saya sudah di sekolah menengah. Sudah besar. Ketika itu di pekan sehari hari Ahad. Saya sudah lupa mukanya tapi jasanya pada saya dan Kaklong tidak akan saya lupa selama-lamanya.

Saya juga masih ingat raut muka emak yang kebimbangan. Tapi raut muka ayah tidaklah sebimbang mana. Mungkin ayah tahu dan yakin bahawa anak-anak perempuannya yang berdua ini sangat berani dan tidak akan berbuat sesuatu yang membahayakan diri sendiri walaupun pada logiknya, kisah yang berlaku pada kami berdua ini amatlah tidak selamat untuk dilakukan pada zaman ini. Mana tidaknya, silap hari bulan, sudah ke Siam agaknya kami dijual untuk meminta sedekah atau sebagainya. Dan atas keberanian yang terserlah sejak kecil itulah, ayah sentiasa percaya pada kami berdua untuk membuat keputusan dalam apa saja. Terima kasih emak, ayah atas kepercayaan yang kalian berikan.

Posted on March 27th, 2008 by Sarah  |  32 Comments »

Tinggal Dulu

Assalamualaikum wbt

Saya sangat sibuk dalam masa terdekat ini. Saya undur diri dulu buat seketika. Minggu depan mungkin akan lega sedikit. Sepeninggalan ini, saya ingin berkongsi lagu pilihan saya kali ini. Lagi tepat, lagu kegemaran saya yang terkini. Bukan setakat suka kerana lagunya cantik tetapi juga kerana bahasanya indah dan penuh nasihat.

Tidak mengira manusia sama saja
Di dalam diam ada hati ingin bercinta
Orang muda menanggung rindu
Orang lama menanggung ragam
Carilah, pilihlah yang sepadan

Jika bercinta jangan hanya ikut rasa
Guna akal, guna fikiran, berwaspadalah
Sesal dahulu pendapatan, kemudian tidak berguna
Terlajak tindakan merana

Mata bertentangan mata
Bak minyak disambar api
Janganlah asyik bercinta
Semua kerja tak jadi
Seperkara usah lupa
Memohon izin doa restu
Saudara, ayah ibu

Berenang-berenang di muara
Hati-hati dilambung ombak
Dah berzaman asyik bercinta
Entahkan jadi entahkan tidak

Disebut-sebut peribahasa
Habis manis sepah dibuang
Usahlah begitu hendaknya
Terlanjur bercinta berkekalan

Kenapa saya sibuk? Saya ada majlis besar di hujung minggu ini. Anual General Meeting of Islamic Medical Association of Malaysia – Moscow Student Chapter (IMAM-MSC) (Boleh rujuk sini: Blog Rasmi PPIM-MMA). Juga hendak study dengan intensif. Saya agak serabut dan sibuk kebelakangan ini. Kalau saya tidak gagah dan macho, agaknya saya sudah tertekan dengan ujian yang tak seberapa ini.

Tinggal dulu. Daa~ Salam.

Posted on March 22nd, 2008 by Sarah  |  30 Comments »

Dia, Kekasih Dari Langit

Assalamualaikum wbt

Sebaik tiba dari hospital pada petang tadi, saya terus menuju ke kedai roti. Dalam perjalanan, saya terserempak dengan David, warga Israel, beragama Yahudi, kekasih kepada bekas jiran saya di Hostel Pushkin dulu. Dia senyum dan mengangkat tangan kiri tanda menyapa saya ketika berselisih. Sebenarnya, dari kejauhan lagi, saya seakan ada konflik di dalam diri. Sama ada hendak menegurnya seperti dulu atau tidak.

Sebaik berselisih, saya hanya membalas dengan senyuman kecil. Cukuplah itu saja. Dalam hati, saya masih teringat-ingat keakraban saya bersama kekasihnya, Ziva, yang berjiran selama setahun dengan saya dulu. Saya membalas senyuman itu dengan niat yang saya pusatkan hanya sekadar menjaga hubungan sesama manusia.

Selepas Maghrib tadi, saya duduk-duduk saja di atas sejadah. Hati terdetik, 12 Rabiul Awal sudah. Tarikh lahirnya seorang insan agung. Dan tak dilupa tarikh perginya insan itu meninggalkan kita semua. Dia Muhammad. Nabi Muhammad s.a.w. Terus saya teringatkan sirah baginda bersama dengan seorang Yahudi buta.

Ketika hayatnya, Rasullah tidak pernah terlepas pergi memberikan makanan pada seorang Yahudi buta yang bermukin di sudut pasar. Ketika memberikan makanan kepadanya, Rasulullah tidak henti-henti akan mendengar cercaan, hinaan dan sumpah seranah Yahudi tua itu. Sedangkan, si Yahudi itu tidak tahu bahawa dia sedang berhadapan dengan orang yang dibencinya itu.

Selepas kewafatan Rasulullah, Abu Bakar datang bertemu anaknya Aisyah yang merupakan isteri baginda. Abu Bakar bertanyakan Aisyah apakah kelaziman yang Rasulullah tidak pernah abaikan. Aisyah meyakinkan bahawa tiada satupun kelaziman baginda yang tidak diketahui oleh Abu Bakar kerana ayahnya itu adalah sahabat baik suaminya Muhammad. Namun ada satu perkara yang dikhuatiri Aisyah. Lalu Aisyah mengkhabarkan perihal Rasulullah yang setiap hari membawa makanan buat si Yahudi buta itu.

Keesokannya, Abu Bakar membawa makanan menuju ke pasar dengan niat untuk menjadi penyambung kepada kelaziman Rasulullah itu. Sebaik dihulurkan makanan kepada Yahudi buta itu, dia menolak makanan itu dan berkata: Kau bukan orang yang membawakan makanan buatku setiap hari. Abu Bakar kehairanan lalu bertanya: Apa bezanya? Yahudi buta itu menjawab: Setiap kali dia datang, dia tidak pernah akan menyusahkan aku untuk mengunyah makanan ini. Dia akan menghaluskan makanan itu untukku dan kemudian menyuapkan terus ke mulutku.

Abu Bakar menangis di saat itu juga. Lalu Abu Bakar bertanya: Tahukah kau siapakah orang itu, wahai si tua? Yahudi itu menjawab tidak. Lalu Abu Bakar membalas: Dengan nama Tuhanku, juga Tuhannya, dialah Muhammad, orang yang kau keji-keji selama ini. Dan Muhammad itu sudahpun meninggal dunia.

Dengan nama Allah, di saat itu juga lelaki Yahudi buta itu menangis-nangis. Dan terus, dengan disaksikan oleh Abu Bakar, si Yahudi itu melafazkan syahadah. Tanda Tuhannya kini sama dengan Muhammad, Abu Bakar dan muslimin sekeliannya.

Selepas teringatkan kisah itu, saya rasa sedikit lega. Sungguh Yahudi itu musuh kita semua namun dalam keadaan yang tidak diancam, ambillah contoh akhlak Rasulullah untuk kita jadikan tauladan. Semoga satu hari nanti, David akan mengerti dan tidak tuli dengan keindahan akhlak Islam. Akhlak kesempurnaan cerminan peribadi Rasulullah s.a.w.

Buat Kekasihku Muhammad, kelak di akhirat kupohon diberikan syafaat. Salam rindu Ya Rasulullah.

Kekasih Dari Langit

Ada mimpi milik si ahli kitab
Juga dakwa mereka si penjaga mihrab
Dari langit nanti datangnya Nur
Nur penafi sihir si tukang tilik
Nur penyempurna di kala akhlak jahil jelik

Janji Allah pada Al-Masih
Sesudahnya dihantar seorang kekasih
Tiada tandingan wajahnya rupawan
Dihina tidak luak
Dicerca tidak berganjak
Tiada tandingan akhlaknya menawan

Nur itu dari langit
Diseru sekelian suara namanya Muhammad
Muhammad itu penghulu ummat
Muhammad itu pemberi syafaat
Sungguh, Nur itu hadiah dari langit

Muhammad itu namanya kirana
Jiwanya cahaya
Kekasih hati ummat yang bersyahadah
Kekasih terulung di sisi Allah

-Sarah, Moscow City, 190308-

Posted on March 20th, 2008 by Sarah  |  23 Comments »

Persepsi

Assalamualaikum wbt

Entah kenapa, dua tiga hari ini saya teringat-ingat dialog ayah saya suatu ketika dahulu. Ketika itu, ayah baru menjemput Kaklong, saya, Nan dan Lan pulang dari sekolah. Kami masih bersekolah rendah pada waktu itu. Di dalam kereta, kami memberitahu ayah keputusan peperiksaan pertengahan tahun masing-masing. Saya bersungut dengan adik saya Lan yang ketika itu (seingat saya) mendapat nombor 11. Kami bertiga pula masing-masing mendapat 3 tempat teratas di kelas masing-masing. Ayah bersuara.

Ayah: Kalau semua orang pandai-pandai, siapalah yang nak kerja biasa-biasa ni nanti.
Kami: (Diam)
Ayah: Yelah kan. Kalau semua orang jadi doktor, engineer, lawyer, cikgu, siapalah yang nak jadi tukang gunting rambut, tukang kebun.
Kami: (Diam lagi)
Ayah: Kalau semua orang duduk di atas, siapalah yang nak kerja di bawah?
Kami: (Terus diam)

Sewaktu itu, kereta kami melalui jalan di hadapan Mahkamah Temerloh. Di luar pagar mahkamah itu, terdapat seorang lelaki yang bekerja sebagai jurutaip. Yang menawarkan khidmat menaip surat menggunakan mesin taip. Mesin taip lama. Saya sedar, sudah lama lelaki berpangkat pakcik itu beroperasi di situ. Hanya berbekalkan sebuah meja seperti di gerai makan, dua tiga buah kerusi plastik bewarna merah dan mesin taip lama itu. Tidak berpremis dan hanya beratapkan pokok semarak yang kadang-kala berbunga merah pedar.

Saya tersentuh. Dan kebelakangan ini apabila teringatkan dialog ayah itu, saya rasa insaf. Tidak semua manusia itu dilahirkan cerdik pandai dan berbakat. Tapi setiap manusia itu unik dan kita semua saling memerlukan antara satu sama lain.

Posted on March 18th, 2008 by Sarah  |  42 Comments »

Kisah 5 Orang Psiko di Moscow

Assalamualaikum wbt

Selain Pediatrics, saya juga sedang mengikuti cycle Psychiatry sepanjang bulan ini sehingga awal April. Setiap hari memang memenatkan. Tapi setiap kali berada di Psychiatric Hospital, segala topik perbincangan sangatlah menarik. Doktor saya juga menarik. Sudah seperti orang yang psiko juga gayanya. Tapi sungguh. Dia memang menarik. Saya hendak berkongsi kisah-kisah menarik sepanjang di kelas Psychiatry.

Kisah 1:
Seorang lelaki, 53 tahun, telah berada di hospital itu sejak 20 tahun lalu, pernah dibenarkan pulang tetapi kemudian ditahan di hospital kembali. Dulu dia pernah bekerja sebagai Jurutera Aeroangkasa ketika di zaman KGB lagi. Bertugas membuat kapal terbang. Ketika sesi bual bicara bersamanya, antara yang didakwanya ialah sekarang dia berada di teritori USSR. Bukannya Russian Federation. Katanya, USSR itu sebuah kerajaan dan Russian Federation itu pula tidak ada. Atau lebih kurang lagi maksudnya, Russian Federation ini bukan sebahagian daripada pecahan USSR. Dia mendakwa dapat melihat objek secara 4 dimensi. Ketika sedang berbicara dengannya, dia mendapakwa ada 5 buah kamera daripada KGB yang sedang memantau di dinding. Dia juga mendakwa pernah masuk ke syurga yang letaknya di dunia dan sebaik keluar dari syurga itu, dia telah dilantik menjadi Presiden Amerika untuk kawasan itu. Sebaik lelaki itu dihantar pulang ke wadnya, kami membincangkan kes itu bersama doktor kami dan tidak boleh tidak, kami semuanya ketawa. Simptom yang dialami oleh lelaki ini ialah halusinasi dan mengesahkan penyakit Schizophrenia yang dialaminya.

Kisah 2:
Seorang wanita, 31 tahun, telah berada di hospital sejak 4 bulan yang lalu. Mempunyai seorang anak dan tinggal bersama ibu bapanya. Ketika ditemu bual, dia menceritakan pengalamannya kenapa dia boleh berada di hospital adalah disebabkan dia tahu ada sesuatu yang tidak kena dengan otaknya. Dia dapat mendengar suara yang berbual dengannya sejak usianya 20 tahun. Ketika itu dia sedang menuntut di sebuah institut bahasa major dalam Bahasa Jerman. Dia mulai sedar bahawa suara itu mengikutinya ke mana saja sejak terdengarkan suara itu bercakap tentangnya di sebalik dinding di perpustakaan. Sejak itu, suara itu dapat didengarinya dengan jelas walaupun dia mendakwa jaraknya suara itu datang adalah lebih kurang setengah kilometer jauhnya. Penah ketika dia sedang menjalani ujian oral peperiksaan akhir di institut itu, dia menjadi lupa segala-galanya tetapi suara itulah yang menjawabkan segalanya untuknya sehingga dia lulus dari institut tersebut. Suara itu dakwanya suara seorang lelaki. Dia pernah cuba mencari sumber datangnya suara itu tapi tidak ketemu sesiapa. Dan suara itu pernah mengatakan ‘Aku cinta padamu’ di saat dia keseorangan. Dalam kes ini, dia tidak didominasi oleh suara itu sebaliknya dia dapat menguasai mindanya dan dengan itu dia datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Dia pernah berkahwin tetapi bercerai akibat gangguan suara ini. Ketika sesi soalan dibuka, sya bertanya, adakah di saat ini dia masih boleh mendengar suara itu lagi setelah 4 bulan dirawat? Seluruh auditorium hening. Dia kelihatan sedang fokus memandang dinding dan kemudian menjawab: Ya. Suara itu ada di jalan raya sekarang ni. Kami semua diam dan rasa meremang. Wanita ini juga mengalami halusinasi dan Schizophrenia yang dialaminya tidak seteruk Kisah 1 kerana dalam kes ini, dia dapat mengawal minda separuh sedarnya jauh lebih baik berbanding lelaki dalam Kisah 1.

Kisah 3:
Seorang wanita, mengalami trauma di kepala dan mempunyai cognitive disorder (masalah dengan intelektual). Sebelumnya dia merupakan seorang yang cerdik. Soalan diberi (dalam Bahasa Rusia) padanya. Apakah punca kuasa dua bagi 25? (Dalam Bahasa Inggeris: What is the square root for 25?) Dia menjawab: Akar? Nombor mana ada akar. Sebetulnya, ketika saya dan Mustaqim (rakan semeja saya) cuba menafsirkan soalan yang diberikan itu, kami juga menafsirkannya sebagai akar. Adakah kami mempunyai cognitive disorder juga? Oh, tidak. Ini kerana jurang bahasa yang terdapat dalam sistem limbik tempat menyimpan memori kita (language barrier). Bagi wanita ini, dia mengalami Prerequisites Moronic. Dia kehilangan kebolehan berfikir secara abstrak dan dikategorikan sebagai Mild Mental Retardation. Kasihan.

Kisah 4:
Seorang lelaki, mengalami trauma di kepala setelah terjatuh dari ketinggian kira-kira 7 meter. Setelah sedar dari koma, jika ditanya apa yang terjadi, dia akan bercerita kisah dia terselamat daripada insiden kapal terbang terhempas yang mana turut bersama dengannya adalah bekas Presiden Rusia yang pertama dulu. Setelah terhempas, dia dia jatuh ke laut bersama Mr. President itu dan mereka diselamatkan oleh seekor jerung yang berenang berhampiran. Mereka berpaut padanya dan direnangkan ke tepian. Di persisir pantai, mereka sedang ditunggu oleh isteri Mr. President itu. Sadis kisahnya. Lelaki ini akan mengulang-ulang kisah ini saja. Ini kerana dia mengalami Confabulation Paramnesia. Dia hanya mengingati memori fantasinya yang pernah diimejinkan olehnya sebelum berlakunya trauma tersebut.

Kisah 5:
Seorang wanita, mengalami mimpi-mimpi bersiri yang menceritakan episod percubaan membunuh dirinya. Dimulai dengan ditikam di rusuk kiri dan mengalami pendarahan yang teruk, ditoreh lengan dan cubaan untuk mencampaknya ke dalam gaung batu tajam dan cubaan mengebomnya dan disudahi dengan mencampaknya ke dalam sungai sehingga separuh lemas. Mimpi ini membuatkan dia terasa hidupnya diekori dalam kehidupan harian dan setiasa berwaspada dengan orang yang berjalan di belakangnya. Pernah dia bawa berbincang dengan sorang kawan dan kononnya kawan itu pembunuh yang mencarinya. Tetapi dia menidakkan fakta itu kerana kawan itu didapati menjadi salah seorang mangsa bersamanya dalam mimpi hendak dibom dan dibaling ke sungai. Dalam dia mencari siapakah pembunuh itu, datang seorang kawan yang menceritakan mimpi-mimpi aneh lagi misteri yang dialaminya pula. Tiba-tiba seakan-akan ada persilangan jalan cerita antara mimpi-mimpi mereka. Cross reference. Tapi persoalan tetap tinggal persoalan kerana pembunuh dalam mimpi-mimpi itu tetap tidak dapat dikenal pasti. Tetapi setelah berlakunya satu insiden chantek di satu pagi, mimpi aneh wanita itu hilang dan diganti pula dengan sebuah mimpi yang tidak dapat dihuraikan lagi. Dia tidak mengalami sebarang Psychiatric Disorder tetapi mimpinya terbawa-bawa dalam kehidupan harian dan dia menjadi sangat berwaspada akan hal itu.

Kesimpulannya, kisah 1, 2, 3 dan 4 semuanya adalah kisah yang terjadi di Psychiatric Hospital tempat saya mengikuti kelas Psychiatry. Semuanya kisah benar. Kisah 5 pula adalah kisah yang terjadi di House No. 16, Apartment No. 205/2, Malaya Piragovskaya Street, Moscow. Sebuah kisah yang masih tiada jawapan.

Posted on March 15th, 2008 by Sarah  |  27 Comments »