Nota Kecil Di Bangunan Dekan
Semalam saya berjaya mendisiplinkan diri untuk bangun awal pagi seperti hari lazim ke kelas. Tepat jam 6.15 pagi, jam yang dikunci pun berbunyi.
Pagi masih gelap. Tiba-tiba saya mendapat mesej daripada seorang kawan. Katanya mahu berjumpa dengan segera di lobi bangunan dekan yang terletak di Trubetskaya Street. Tidak jauh dari rumah. Kurang lebih 10 minit saja berjalan kaki. Saya bersiap pantas. Melihat suhu Moscow di internet. Tidak sejuk. -2’C saja. Saya hanya mengenakan blaus biru muda dan tudung biru putih dan disarungkan dengan kot labuh hitam separas lutut. Cukup.
Tibanya di sana, saya melepasi pintu kawalan keluar masuk pelajar. Selepas menunjukkan pas pelajar, mata saya melilau melihat sekeliling lobi. Kawan itu tiada. Saya terpusing-pusing di tangga utama menuju ke Dewan Persidangan Saintifik di tingkat satu. Tak semena-mena, saya didatangi seorang pelajar tempatan yang bertanyakan nama saya. Selepas saya mengiyakan nama saya Sarah, pelajar tahun 5 dari Malaysia, pelajar itu menghulurkan sekeping nota kecil. Katanya, nota buat saya.
Sarah,
Saya tunggu dalam Conference Hall.
Cepat. Nanti awak lambat.
-Kawan-
Saya pelik. Lambat untuk apa pula? Saya tetap mendaki tangga menuju ke dewan itu. Dari jauh saya lihat pintu utamanya yang di hadapan, di sisi kanan dewan terbuka luas. Dari situ, orang di luar boleh melihat pentas dan layar di hadapan. Sebaik tiba di situ, saya tercegat. Melihat satu susuk yang sedang hebat membuat pembentangan di atas pentas. Lengkap dengan sebuah laptop, LCD dan layar putih yang memaparkan projek pembentangan. Dia kelihatan kemas dan bertambah hebat dengan mikrofon yang sedang dipegangnya itu.
Iya. Itu kawan saya. Yang tadi dicari-cari. Berkemeja ungu gelap. Bertali leher kuning cair yang cocok dengan kemejanya. Saya terpegun melihat pembentangannya dari luar dewan. Ya Allah. Hebatnya dia… Siapa-siapa sajalah aku ini Ya Allah… Siap dengan tajuk besarnya tertayang di skrin itu: ‘To Expedite, Confirmation, Maintainance and Follow-Up Projects’. Saya terasa kerdil berdiri di situ.
Tiba-tiba telefon bimbit saya berbunyi. Saya laju mengeluarkannya dari poket dan membuka membuka lipatan flipped phone itu. Nyatanya, setelah menekan satu butang, bunyinya berhenti. Tapi saya tidak mendengar sebarang suara apatah lagi berbual. Yang dapat saya lihat, jam digital pada telefon berkelip-kelip menunjukkan jam 7.15 pagi.
Ya ampun! Saya bermimpi rupanya! Jam 6.15 pagi tadi saya telah terbangun seperti biasa tapi kemudiannya tertidur semula. Hanya saja apabila alarm kedua yang saya setkan pada jam 7.15 berbunyi, baru saya tersedar sepenuhnya.
Logiknya juga, universiti saya masih bercuti. Sangat jarang ada pelajar berlegar-legar di lobi bangunan dekan. Keduanya, universiti saya sebuah akademi perubatan sepenuhnya. Tiada kursus selainnya ditawarkan di sini. Tetapi pembentangan kawan saya itu berkisar tentang bidang kejuruteraan. Dan ketiganya kawan saya itu di Malaysia. Bukannya di Moscow ini.
Kesimpulannya, lain kali terus bangun apabila alarm berbunyi. Jangan snooze. Kelas sudah hampir bermula semula. Bahaya amalkan snooze alarm dah lepas ni. Faham tak, Sarah?
Uwaa… Mimpinya rupanya saya pagi tadi! Oh, hati. Rindukan Malaysiakah kamu? Titik, titik, titik.
