Khabar Dari Moscow
(Entri ini panjang. Abaikan kalau malas baca) =)
Update terkini: Holiday = Have Fun (Pena) dan Lukisan Alam (Wanie)
Pada hari Rabu lepas, saya telah menyertai junior-junior lelaki pergi memancing. Mereka berlima lelaki dan termasuk saya, ada 4 orang pelajar perempuan. Kesemuanya 9 orang. Makanya nelayan-nelayan moden pada petang itu ialah Harjit (Ketua Nelayan), Khairul (Davai), Mani, Mun, Paan, Fatt, Pena, Emy dan saya. Sebelum bertolak, saya memaklumkan ayah tentang aktiviti petang itu melalui sms. Kami bertolak pada jam 4 petang dari rumah. Cuaca memang panas pada petang itu. Saya sendiri tidak membawa sebarang jaket kerana saya tahu cuaca memang panas kerana pada sebelah paginya saya telah ke hospital terlebih dahulu. Sekitar 45 minit menaiki metro, kami tiba di stesyen yang dituju. Dari stesyen itu, kami perlu berjalan kaki menuju ke jalan besar dan menaiki bas menuju ke kawasan kolam yang dimaksudkan. Oh terlupa. Sebelum itu, kami ada tersesat sedikit kerana Harjit terlupa arah yang sebenar. Tak jadi hal. Jalan-jalan tanya orang keliling baru ada rasa mencabar. Oh terlupa lagi. Yang budak-budak perempuan ni pula, sebaik keluar dari stesyen metro, mereka terpandangkan Discount Center. Pusat membeli belah yang menawarkan harga terbaik untuk jenama Adidas, Puma, Nike dan beberapa jenama yang lain. Sabar ajelah oi. Ok. Sambung cerita.
Sewaktu di dalam bas, saya menerima balasan daripada ayah. Tanyanya: Dah dapat berapa ekor ikan? Yang ini buat saya tergelak. Sampai pun belum lagi, ada ke patut ayah tanyakan berapa ekor sudah ditangkap. Hehe. Sebenarnya kami lambat sampai kerana sesat dan jalan sesak. Saya memberitahu itu kepada ayah. Lalu dibalasnya: Kalau nanti tak dapat ikan, balik pergi memancing kat pasar aje lah. Kami semua tergelak apabila saya bacakan kandungan sms dari ayah ini. Sebaik turun dari bas, baru kami tersedar bahawa kami terlajak 1 stesyen. Aduh. Berjalan kaki patah ke belakang semula. Tak jadi hal. Seronok jalan kaki ramai-ramai. Gembira je rasa.
Sebenarnya ini pertama kali saya pergi memancing di sini. Kawasan kolam yang kami kunjungi ini memang banyak ikan. Kolam ini adalah kawasan air yang disalurkan dari Sungai Moscow yang mengalir berhampiran. Kawasan ini namanya Ploshad Andropova yang terletak di Avtozavodskaya-Kolomenskaya. Kawasannya luas dan nyaman. Untuk mendapatkan feel memancing, budak-budak lelaki itu sengaja memilih kawasan yang berpokok untuk kami berkumpul. Maka, terbentanglah tikar kami yang penuh dengan segala jenis makanan. Macam nak berkelah pula. Disebabkan kami ini memancing ikan Rusia, jadinya umpan kami hanyalah roti. Kot-kot dapat menarik selera mereka, kan. Kami gunakan baton (tipikal roti tempatan). Maka selepas budak lelaki siap memasang pancing, kami pun mula memancing. Saya dan Fatt berkongsi pancing. Dan begitu juga yang lain. Berkongsi dan bergilir-gilir menunjukkan kehebatan masing-masing. Termasuklah kehebatan memasang umpan. Hoho.
Dipendekkan cerita, ikan pertama berjaya ditangkap oleh Mani. Kemudiannya diikuti oleh Fatt. Tercabarlah si Ketua Nelayan, Davai dan Mun kerana mereka ini adalah otai-otai memancing. Ada ikan lagi tak lepas tu? Haha. Tiada. Itu sajalah 2 ekor ikan yang berjaya kami tangkap untuk hari itu. Seronok memancing pada petang itu. Kami solat Asar pun di atas tikar di tepi kolam saja. Sambil menghargai nikmat musim bunga dan angin sepoi-sepoi yang datang dari arah sungai.

Ada sesuatu yang saya puji pada junior-junior lelaki saya ini. Mereka semuanya berbudi bahasa (inikah terjemahan terbaik untuk gentlemen?). Contohnya, apabila saya mula bersin-bersin sebab agak sejuk disebabkan angin petang dan begitu juga Fatt (sebab kami berdua je yang tidak membawa jaket), Paan dan Harjit menawarkan sweater masing-masing. Sebaik meninggalkan kawasan kolam itu untuk pulang (sekitar jam 9 malam, Maghrib baru saja hendak masuk), Mani dan Mun bergilir-gilir menjadi orang yang berjalan di belakang sekali untuk keselamatan. Terima kasih semua. KS puji sikap kamu semua. Nak tahu selepas itu kami ke mana? Semasa sesat mencari arah ke tempat itu, kami ada menemui sebuah restauran makanan Jepun dan kami sempat melihat papan menu yang diletakkan di luar restauran. Harganya jauh lebih murah daripada restauran yang biasa kami pergi di Akhodny Ryad! Agaknya kawasan ini adalah di luar kawasan City Center. Kami pun apa lagi. Bagai nelayan pulang petang yang kebuluran menuju ke restauran itu dan jangan terkejut, ada seorang daripada kami yang makan sampai 5 hidangan bayarannya hanya lebih kurang RM100! Sangat murah! Dan ada yang pada mulanya berkira-kira hendak berjimat kerana takut terlebih bajet juga membuat ulangan tempahan kerana harganya memang murah dan sangat sedap. Saya sendiri makan 2 jenis makanan berkongsi dengan Emy. Saya habis tak sampai RM30. Sangatlah murah. Kami duduk di situ sampai jam 11.15. Siap solat Maghrib segala. Antara yang kami bualkan adalah tentang kampung halaman masing-masing. Paan dan Mani yang tak sudah-sudah memberikan info tentang Perak, terutamanya Ipoh dan Batu Gajah. Dan kebetulan saya dan Harjit berasal daripada tempat yang sama, kami bercerita itu ini tentang Temerloh. Kesimpulannya? Kesimpulannya ialah, Temerloh Bandar Ikan Patin yang best! Huhuhu. Jam 12.15 barulah kami sampai semula ke rumah kerana mengambil jalan jauh dengan menaiki metro.




1 Mei juga merupakan tarikh keramat buat saya. 1 Mei 2008 telah genap kisahnya saya terbakar 15 tahun yang lalu (rujuklah entri lama). Terima kasih Allah atas nikmat umur dan nyawa yang dipanjangkan. Dan terima kasih emak ayah kerana menjaga Ngah. Ha. Siapa nak kulit cantik, jangan lupa petua kulit pisang yang pernah saya cerita dulu ye 😉