Archive for the ‘Babble’ Category

Arkitek

Assalamualaikum wbt

Semakin saya menggilai seni binaan dan seni kreatif hiasan bangunan, semakin saya rasakan mereka yang bergelar arkitek itu adalah seorang yang cool. Cuma itulah fasalnya. Setakat pemerhatian saya, sangat kurang arkitek yang berblog (kecuali sepupu saya yang seorang tu saja yang saya tahu berblog). Kalau tak, bolehlah saya tahu banyak tentang kehidupan harian dan skop kerja dari kaca mata seorang arkitek. Ada tak arkitek yang singgah di sini? Hehe. Teringin juga hendak kenal. Paling habis, nanti saya boleh kata pada kawan saya: Kawan saya si Polan(ah) bin(ti) Polan(ah) tu seorang arkitek. Cool kan? Entah kenapa, saya suka melihat seni melukis yang ada pada mereka. Kagum. Sebab itu saya kata mereka cool~

Cool itu bagi saya maksudnya bergaya. Jadi, pada kaca mata saya, seorang arkitek itu sungguh bergaya dengan caranya tersendiri. Setuju tak? =) Saya undi setuju!

Posted on October 22nd, 2008 by Sarah  |  31 Comments »

31 Julai 2008

Assalamualaikum wbt

Cerita 1
Tengahari tadi saya keluar ke bandar untuk ke bank. Menaiki bas saja. Kan saya pernah nyatakan dulu bahawa saya tidak tahu tambang dari rumah saya ke pusat bandar kerana jarang menggunakan bas. Jadi tadi saya menyediakan RM2 kerana seingat saya tambangnya sama ada RM1.10 atau RM1.30. Sebaik saya turun dari bukit rumah saya, terus ada bas. Saya menahannya dan sebaik naik, saya menghulurkan RM2 itu. Pakcik itu berkata: Takde syiling ke, dik? Saya jawab tiada. Sebetulnya ada tapi terperosok di dalam beg sandang belakang yang saya suka bawa itu. Lalu pakcik itu membalas: Ambik la lagi seringgit tu. Awak ni RM1.10 je. Kecik lagi. Saya pun mengucapkan terima kasih dan terus duduk. Kepala saya ligat berfikir. Eh, seingat saya, untuk bas berhawa dingin, RM1.10 untuk kanak-kanak. Saya terus tersengih seorang. Saya ni dikategorikan sebagai kanak-kanakkah? Hehe. Mentang-mentanglah saya bawa beg sandang belakang saja tadi, terus saya ni disangka budak-budak pula :p

Cerita 2
Dah lama tidak menangis bersungguh-sungguh. Tadi petang memang saya menangis sangat-sangat. Sampai basah kuyup muka dan terisak-isak. Bukannya apa. Saya memang sangat bengang, geram, sakit hati dan terkilan jika keberadaan saya di sebuah negara yang bernama Rusia dibanding-bandingkan dengan orang lain yang menuntut di US, UK, Australia atau di tempat-tempat lain. Yang saya sedihkan, yang membanding-bandingkan itu bukan orang lain. Orangnya dekat dengan saya. Kalau dulu saya di tahun pertama atau kedua dan saya diberi provokasi yang sebegini, saya memang boleh goyah dengan keputusan untuk meneruskan perjuangan hidup di Rusia. Tapi sekarang saya sudah di tahun akhir. Lagi mahu diteruskan dengan provokasi yang sebegitu. Siapa yang tidak geram. Bila saya balik rumah, saya menangis sambil menghidangkan makanan untuk emak berbuka. Bila saya masuk ke bilik air untuk membasuh muka dan kaki, ayah yang mungkin terdengar saya menangis keluar dari bilik dan bertanya kepada emak. Saya tidak tahulah apa yang emak jawabkan pada ayah. Yang pasti, saya sudah lama tahan sabar dengan beberapa orang itu yang seperti tidak pernah jemu hendak buat saya rasa rendah diri sebab dihantar belajar di Rusia. Untuk pengetahuan semua, sewaktu interview dengan JPA dulu, saya sendiri yang menamakan Rusia sebagai negara pilihan pertama. Saya ada alasan yang tersendiri. Jadi, apa masalah dia? Kalau saya yang dikatakan kolot kerana memilih Rusia sebagai tempat pilihan, saya rasakan orang sepertinya yang kolot kerana masih melihat Rusia itu sebagai sebuah negara Komunis atau apa. Sepatutnya sebagai orang yang dekat dengan saya, dia sepatutnya memberi saya semangat dan motivasi. Lebih-lebih lagi saya cuma ada kurang dari setahun saja lagi untuk tamat. Tapi tidak pernah sekalipun saya merasakan diberikan motivasi atau semangat atau apa saja yang berbentuk positif dan membina olehnya. Oklah. Dia tidak pernah membawa manfaat kepada saya. Jadi tak perlu saya ambil kisah dengan apa yang dikatakannya.

Cerita 3
Tadi adik-adik saudara dari Dungun balik ke rumah Tok. Begitu juga dengan keluarga Mak Andak yang baru tiba dari Egypt. Maka malam ini berkumpullah 3 orang Nana di rumah ini. Bak kata Syakira, ada 3 orang Kakak Nana. Nabiha Farzana (Nana 1), Nurul Jannah (Nana 2) and Ngah Sarah (Nana 3). Kepada Nini, Sila jangan jealous ye. Malam ni Nana dikerumuni oleh si kenit-kenit ini. Habis SMS Nana pun diorang baca. Huhu.

Cerita 4
Saya rasa nak berhenti berblog. Macam dah tiada mood… Kalau saya nak update pun, tengok keadaan dululah.

Nota 1: Mohd. Shamsul Amir, nama awak disebut-sebut oleh adik-adik saudara saya ni. Kredit yang baik-baik diberikan kepada awak. Hehe.

Nota 2: Hidayah, cepat-cepat sembuh ok. Semua risau pasal kaki awak tu. Mak awak asyik sebut-sebut aje.

Posted on August 1st, 2008 by Sarah  |  44 Comments »

Mahu Jadi Cantik Dan Kacak?

Assalamualaikum wbt

(i)
Tadi ke pejabat pos. Perlu perbaharui lesen memandu. Sebaik keluar dari ruang utama, ada jurujual kad Touch ‘n’ Go menghampiri. Saya tak sempat mengelak, banyaklah yang encik itu cakapkan. Saya dengar sajalah. Di pertengahan penerangannya, saya menolaklah dengan cara baik. Sudahlah ditahannya saya di tengah panas terik. Kot ye pun, jemputlah ke khemas operasi mereka di tepi itu. Bukannya tidak boleh, kan. Sebaik berjaya memberikan alasan itu ini, saya hendak terus pergi. Tapi disapanya lagi: Nama cik ni Siti kan? Cik Siti nanti datanglah booth kami lagi ye. Boleh la pergi minum ke, makan ke. Dalam hati saya rasa meluat betul. Saya tidak rasa orang awam suka ditegur begitu. Kan? Lagi pula, saya rasa dia kurang beretika dalam melaksanakan tugasnya. Dan dalam hati juga saya berkata: Inikah lelaki Malaysia sekarang?

(ii)
Saya singgah di sebuah farmasi. Sebaik keluar, saya melalui sebuah kedai runcit. Tiba-tiba saya disapa: Mak aih… Lajunya jalan. Boy friend tak lari la dik. Adik lambat pun dia sayang jugak. Saya kerling sekilas. Mereka sedang bercakap dengan sayakah? Tiada orang di belakang saya. Di depan saya pula hanya ada seorang pekerja restauran yang sedang duduk-duduk berehat di luar kedai. Dalam hati saya berkata: Habis tu, nak saya jalan lenggang-lenggok Mak Minah balik bendang? Agaknya mereka ni memang suka kalau dapat tengok perempuan jalan melenggang kangkung kot.

(iii)
Sebelum balik, saya ke kedai telefon. Sebaik keluar dari kedai itu, ada gerai burger dan air yang terletak betul-betul di hadapannya. Kedai itu memang penuh dengan budak lelaki melepak kosong. Tiba-tiba ada suara: Masam je. Kerut lagi dahi tu. Hahaha… Saya rasa hangin sangat waktu tu. Dalam hati saya berkata: Tak tegur tak boleh ke? Tak kuasa saya nak jalan tengah panas macam ni dengan muka senyum. Tambah pula sedang bengang kuasa dua dengan dua lelaki sebelum ini. Budak-budak di kedai tu memang cari pasal dengan saya nampak gayanya. Saya balas: Kalau masam pun pelik apa AKAK. AKAK kejar masa, bukan macam korang duduk telan angin. Sengaja saya bahasakan diri sebagai akak. Memang mereka semua itu lebih muda dari saya. Tak memasal disebabkan mereka adalah sumber kebengangan saya kuasa tiga, jadi merasalah mereka kena bebel dek saya. Dalam hati saya berkata: Geli betul dengan perangai budak lelaki yang macam ni.

Kisah i, ii dan iii mesti pernah dirasai oleh ramai lagi golongan wanita, kan. Kadang-kadang saya geram. Sudahlah muka tak berapa nak kacak, akhlak pun takkanlah hendak dibiar tak berapa nak segak juga. Yang melepak pun satu hal. Tidak bolehkah duduk diam-diam di situ dan jangan mengganggu orang lain? Saya memang pantang orang yang suka melepak begini. Tambah pula dengan perangai suka tegur-tegur anak dara orang yang lalu berhampiran. Merokok di khalayak ramai juga satu lagi halnya. Saya teringat insiden sewaktu tingkatan 3 dulu. Di perhentian bas. Saya baru pulang dari tuisyen. Lelaki di sebelah saya merokok dan hembusannya di arahkan pada saya kerana dia menyengetkan badannya menghadap saya. Di tengah-tengah alam yang penuh orang baru pulang dari Pekan Sehari, saya bangun dan menegur lelaki itu: Kot ye pun nak merokok, pergi merokok kat belakang tu tak boleh ke? Ni hembus-hembus merata macam ni. Selepas cakap, terus saya pindah tempat. Waktu itu saya memang tengah geram dan tak pasal-pasal, saya melepaskan marah saya pada lelaki yang kurang sensitiviti itu. Yang ajaibnya, lelaki itu bangun dan pergi ke tepi tandas awam di tepi perhentian bas tersebut. Rasa bersalah juga. Tapi siapa suruh dia yang sesedap hati menghembus asap rokok sebegitu. Mungkin baginya merokok itu tidak salah. Saya juga tidak menyalahkannya kerana merokok. Itu pilihannya. Tapi sensitiviti tentang asap rokok itu perlulah dipertimbangkan. Kalau-kalau saya ini ada lelah, tak pasal-pasal saya sesak nafas di situ.

Saya sedih kerana yang buat perangai dalam insiden i, ii dan iii semuanya adalah lelaki Melayu Muslim. Begitu juga yang kurang sensitiviti ketika merokok itu. Sungguh sayang kerana kacaknya lelaki itu bukan letaknya pada muka. Kacaknya lelaki itu jika akhlak dan agama menjadi hiasan peribadinya. Bukan wanita saja yang selalu dinilai begini. Lelaki pun sama. Jadi, marilah kita hiasi peribadi untuk menjadi wanita dan lelaki yang cantik dan kacak. Ini kempen “Akhlak Kita, Wajah Kita” di My World (^^,)v

‘Siapa itu Melayu
bukan kiranya pada belacu
adalah sutera taruhan budi
tatapan sejagat insani’

Nota 1: Buat Nabil Mohammad Azmi, Selamat Hari Lahir (070708). Terlewat sedikit. Saya sudah tiada nombor telefon awak tau Nabil lepas telefon saya dulu rosak. Semoga sukses selalau! Buat Khairul, Selamat Hari Lahir yang ke-20! KS sentiasa doakan yang terbaik untuk Adik Kecik yang seorang ni 😉

Nota 2: Wah! Visitors counter My World sudah hampir mencecah 100000 pelawat. Siapa yang lawat blog ni dan dia sedar dia adalah pelawat ke 100000, silalah beritahu saya ye =) Counter tu telah bermula sejak 14 Mei 2007 dan saya telah exclude-kan kiraan lawatan daripada IP address saya di Moscow. Terima Kasih semua yang sudi menyinggah di sini. Nanti kita open table di alam maya ye. Hehehe (~~,)

Posted on July 8th, 2008 by Sarah  |  28 Comments »

Ilmu Hisab

Assalamualaikum wbt

Soalan 1:
Saya bercuti di Malaysia kali ini selama 65 hari (terpaksa belek kalender untuk kira berapa hari :p). Saya telah berada di rumah selama 6 hari dan pada hari yang keenam, saya telah gembira sebanyak 3 kali sehari. Jika sekiranya saya masih berbaki 59 hari lagi dan setiap hari saya akan gembira 3 kali, berapa kalikah saya akan gembira sepanjang cuti ini?

Penyelesaian:
= (59 hari + 1 hari) x 3 kali
= 180 kali

Kesimpulan:
Pulang bercuti kali ini adalah sangat berbaloi dan menggembirakan jika kira-kira ini sama dengan yang dikirakan atau lebih dari itu.

Soalan 2:
Apakah penaakulan mantik yang boleh dikeluarkan daripada soalan 1? Jawapan mestilah mempunyai julat kesalahan kurang daripada 0.05%.

Soalan 3:
Apakah model graf yang mempunyai kebarangkalian tertinggi untuk menerangkan jawapan soalan 1?

Saya seperti merapu saja. Tapi sungguh. Memang gembira. Ok. Nanti siang saya kemas kinikan blog. Sekarang mahu tidur dulu. Mahu bangun menonton EURO 2008 final jam 2.30 pagi nanti. Malam ini saya bertemakan hitam-kuning-putih. Selamat malam Malaya =)

Posted on June 30th, 2008 by Sarah  |  20 Comments »

Penyakit Keturunan

Assalamualaikum wbt

Semalam saya menelefon rumah seperti biasa. Bual dengan ayah. Bual dengan emak. Emak memberitahu serba sedikit keputusan peperiksaan pertengahan tahun adik-adik. Kata emak, adik-adik semuanya rendah-rendah saja Bahasa Melayunya. Pelik. Maka saya pun berbual dengan adik-adik yang di rumah kecuali Aiman. Sudah tidur awal kerana hendak bangun tengok bola katanya. Yang ada hanyalah Adam dan Azizi.

Selidik punya selidik, mereka semua ni sama saja. Adui. Apa nak jadi. Bahasa Inggeris semuanya tinggi tapi Bahasa Melayunya pula rendah. Selepas membebel pada Adam yang akan mengambil PMR pada tahun ini, saya megomel-ngomel pada emak pula. Kenapalah pelik sangat adik-adik ni. Nak dikata tidak cakap Melayu, hari-hari pun berbahasa Melayu. Emak jawab:

“Diorang ni semua kan kaki lagu. English je la hari-hari. Faham-faham je la, Ngah. Budak laki ni lain. Kena pantau, duduk sebelah dia, baru nak buat. ” Adui la… Itukah alasannya. Gelak sajalah saya dan emak. Saya tanya emak, saya dulu-dulu macam mana ye. Kena dikerah semua ke baru hendak buat? Emak jawab:

“Awak bertiga dulu, sampai Nan, tak pun. Duduklah masing-masing memerap dalam bilik masing-masing, buat kerja masing-masing. Tak exam pun belajar jugak.” Wah. Terus ketawa-ketawa kami semalam mengingatkan Kaklong, saya dan Adnan dulu-dulu. Kami bertiga yang di atas ni kiranya budak baiklah. Huhu. Tiba-tiba saya teringat waktu saya dalam tingkatan 2, ketika itu saya sudahpun berada dalam pasukan bahas sekolah. Satu hari cikgu bahas saya menegur saya. Kebetulan dia adalah guru kelas kepada Adnan. Katanya:

“Sarah, apa nak jadilah dengan adik kamu si Adnan tu. Bahasa Melayu dia rendah. Bahasa Inggeris je asyik A. Kakaknya pembahas, adiknya Bahasa Melayu pun C.” Cikgu itu menegur bukan marah, tapi dalam keadaan ketawa-ketawa. Tapi nak buat macam mana. Bukannya saya boleh tukar Nan untuk jadi macam saya, kan. Dah kelebihan dia waktu itu adalah pada Bahasa Inggerisnya. Kebetulan, dia wakil syarahan Bahasa Inggeris ketika itu.

Dalam hati baru saya dapat kaitkan, ini penyakit keturunan ni. Abangnya yang teratas pun ada masalah dengan Bahasa Melayu dan ‘mematsaleh-celupkan’ diri, patutlah adik-adik pun sama. Haa… Inilah perangai anak lelaki. Liat sikit. Perlu disuruh, diteman, dipujuk suruh buat, barulah hendak buat. Tapi bab-bab makan dan ‘mengusha’, tak suruh pun tak apa. Ups…

Semalam kan, saya duduk studi dari jam 6 pagi sampai ke 5.30 petang. Rehat setakat gitu-gitu aje. Makanan pertama yang masuk ke perut pun ketika sudah pukul 7 petang. Sebelum makan dan sebelum menelefon rumah, saya berangan. Saya terbayang sedang berada di atas rumput belakang rumah dekat dengan ampaian belakang. Saya terbayang saya duduk melihat langit dengan Aiman. Kronik betul saya ni. Siap boleh terbayang berhindustanrama dengan adik di atas rumput pula!

Esok exam terakhir sebelum naik taraf bergelar pelajar tahun akhir. Tak sabar mahu balik rumah (^^,)v

Ayah, selamat hari ayah!

Posted on June 15th, 2008 by Sarah  |  20 Comments »