Author Archive

Monolog Bersama Iman (x)

Episod lepas: i-viii
Episod lepas:
ix

“Loh, gayanya terkejut banget sih kamu ni Sar.” Iman menegur.

“Mestilah. Ingat apa. Macam dengar berita bila exam ke?” Aku berbunyi agak emosi. Sungguh aku masih terkejut Annas ini yang dimaksudkannya. “Tak naklah Man. Orang Arab tu. Tak nak, tak nak.” Sempat aku membuat muka kepada Iman.

“Yang benar, Sar!” Iman kelihatan terkejut. “Ini baik orangnya ni. Yang bisa aku panggil soleh orangnya. Yalah aku ni bukan senang-senang mahu promote segala tapi yang ni aku kerat jari bisa jadi suami. Huh, udah empat hari dia bilang sama aku ni. Tapi aku je yang tak kemari nemu’in kamu.”

“Kenapa pulak saya yang dia tanya pada awak? Tu Imen dengan Ines ada. Tak pun tu budak Morocco tu ada. Siapa hentah tu nama dia. Jesmin ke apa. Maha ke, Noura ke. Tu ramai lagi set-set Arab yang dia boleh tanyakan. Melayu gelap ni je ke yang dia nampak.” Aku tahu aku berbunyi agak garang dan tegas. Aku sengaja itu. Setidak-tidaknya aku memberikan gambaran ketegasanku tentang hal ini.

“Begini Sar. Annas ini nampak kamu sejak kamu duduk di sinilah. Usamah yang alim tu pun setuju kalau kamu yang Annas mahu.”

“Eh, sat. Usamah tu abang ke adik? Saya tak cam sangat”, aku memotong percakapan Iman.

“Usamah tu abangnya. Ibrahim tu adik. Yang lagi kurus tu. Hmm… Gimana ya. Annas nyuruh’in aku tanyakan kalo-kalo kamu ni udah sedia belum untuk nikah kalo udah ada yang mahu. Aku lalu tanyalah sama dia, apa dia sungguh-sungguh atau mahu book dulu. Yalah. Lalu dia kata mahu nikah teruslah. Buat apa mahu book dulu kalo udah ada di sini depan mata. Banyak fitnah hidup di sini. Ada isteri, fitnah terjaga dan separuh daripada agama pun sempurnalah gitu.”

Iman berhenti seketika. Aku pula diam. Sebetulnya aku mendengus kecil. Terasa rimas dan yang paling tepat aku masih rasa seperti diheret ke dalam sebuah situasi yang aku tidak mahu. Tidak mahu terjadi lagi. Belum masanya lagi.

“Sar, aku tahulah kamu ni gimana orangnya. Tapi aku tanya’in juga kok apa yang dia tahu tentang kamu. Apa yang dia pandang pada kamu. Aku pun tak mahulah kalo aku nolong orang yang main-main aja sama kamu, Sar. Aku tak mahulah kok nanti lewat aku juga dapat dosanya.”

Aku cepat-cepat memotong lagi. “Jadi apa dia kata? Yang peliknya, dari mana dia kenal saya, Man? Setahu saya, saya pernah cakap dengan Usamah tu je kot. Tu pun sekali je. Waktu malam raya lepas. Waktu tukar-tukar kuih tu. Tuuuu je.” Aku menegaskan.

“Heh. Kamu salahlah tu. Yang kamu nukar’in kuih tu Annaslah tu! Huh. Mata di lutut apa, Sar.” Iman ketawa besar. Siap menepuk dinding luar rumahku lagi. Aku kepelikan. Terpinga-pinga sekejap.

“Eh, eh. Apa ni? Biar betul, Man?” Aku pula yang terkaget. Aku salah orangkah selama ini? Aku sangka ketika bertukar-tukar kuih raya dengan muslim daripada beberapa buah negara lain pada malam raya yang lalu Usamahlah orangnya. Aku memang tidak memandang sangat orangnya. Aku menyerahkan bekas kuih raya dari kami serumah dan dia menyerahkan sepinggan manisan Arab yang tak kuketahui namanya. Cuma kalau tidak silap aku, Bakhla namanya. Entahkan iya, entahkah tidak.

“Sar, Sar. Tu Annaslah tu. Loh, cinta kuih raya rupanya deh! Kelakar bangat ni. Baru aku tahu kamu tak sedar tu Annas.” Iman kubiarkan gelak dulu. Aku menahan geram saja. Tapi dek kerana aku ingin mendengar cerita seterusnya, aku biarkan saja Iman ketawa percuma di atas kecuaianku mengenal pasti si penerima kuih itu dulu.

“Annas itu udah kenal kamu sejak Ramadhan lepas, Sar. Waktu tu, Usamah nanya’in aku siapa imam Tarawikh untuk perempuan di floor ini. Aku sebutlah nama kamu, Sar. Bila Usamah nanya’in lagi yang mana satu, aku gambarkanlah sih mana yang aku boleh.”

“Yang pakai spect. Yang rendah-rendah. Yang muka comot, serius tu.” Aku memotong dan sekali gus mencebekkan muka.

“Ceh, dasar amat sih kamu ni Sar. Enggaklah. Aku khabar’in kamu yang sekuliah sama Annas itu. Yang pagi-pagi selalu gerak sama-sama ke hospital. Ya itulah. Lagi aku khabar’in yang kamu tak pakailah baju fit-fit macam yang lain. Pakai stokin. Gitulah. Tapi lepas tu Annas kata dia kenal kamu. Kenal banyak. Banyak yang gimana tu aku enggak tahulah, Sar. Tapi lepas solat Tarawikh tu, aku dengar dia ngomong sama Usamah. Aku dengar nama kamu dia sebut-sebut’in. Pasal apa tu, aku tak tahu Sar. Tapi sejak tulah aku tahu Annas ni sudah aim kamu, Sar. Hmm…”, Iman menghela nafas. Aku diam lagi.

“Iman, saya tak sukalah macam ni. Dia tu orang baik-baik. Siapalah saya ni yang dia nak pandang. Lagipun, macam tak logik je nak kahwin time ni. Belajar pun tak habis lagi. Orang Arab pulak tu. Takut saya dengar. Yang lagi tak bestnya, nanti kekok pulak dah kalau terjumpa kat mana-mana. Tak sukanya macam tu, Man. Tapi sungguh ni. Dia tu terlalu baik. Alim. Tak layaknya saya ni, Man.” Aku menjawab jujur. Inilah yang aku rasakan.

“Sar, kamu pernah dengar enggak cerita seorang askar dengan seorang perempuan cantik? Aku banyak kali dah dapat dalam email. Pernah enggak?” Iman bertanya dengan serius.

“Tak pernah pulak. Macam mana tu?” Aku sangat berminat untuk mendengar. Kaki kiriku terasa berdenyut kerana telah lama berdiri di situ. Bertahanlah kaki. Aku tahu ada ilmu yang bakal aku pelajari dari kisah ini.

………………………………………………………………………………………………………….

Bersambung…

Nota: Saya jadi takut untuk terus meng-update cerita ini kerana saya takut dengan harapan/jangkaan yang terlalu tinggi daripada kamu semua tentang penyudahnya. Saya ni tak pandai menulis. Saya dah mula rasa kurang seronok untuk sudahkan kerana saya takut penyudahnya tidak memuaskan hati kamu semua. Tapi tadi saya menelefon rumah. Emak bertanya, bilalah saya hendak habiskan cerita Monolog Bersama Iman ni. Emak lebih berminat hendak mengetahui aktiviti cuti saya di Moscow. Emak kurang berminat dengan benda-benda alah bahasa ni. Jadi nak tak nak, saya kena menghabiskan secepat mungkin cerita ni supaya saya tidak berhutang lagi dan dapat pula saya menceritakan aktiviti cuti saya di sini yang sebenarnya biasa-biasa saja.

Esok emak dan ayah akan menghantar Kaklong ke Kuala Lipis. Kaklong akan menyambung Kursus Perguruan Lepasan Ijazahnya di sana (KPLI). Saya kagum dengan Kaklong. Bukan dia tidak ada kerja yang bagus. Gajinya setiap bulan besar dan dia juga ada ditawarkan bekerja di tempat bagus-bagus yang lain untuk meneruskan kerjaya Chemist/Reseacher-nya itu. Tapi, jiwa Kaklong adalah guru. Dua hari lalu, kami bermesejan. Saya tanya Kaklong apa yang buat dia betul-betul berminat menjadi seorang guru. Balas Kaklong semula:

“Kaklong suka mengajar. Kaklong nak bagi budak-budak pandai Sains. Pandai English. Tak semua orang untung macam kita Ngah. Kaklong nak jadi macam Cikgu Sali (seorang cikgu kami ketika menengah rendah yang sangat berdedikasi) dan macam Cikgu Liza waktu Kaklong di Ihsan yang buat Kaklong jadi minat sangat dengan Kimia. Dan yang paling penting, Kaklong nak jadi macam Emak. Emak idola Kaklong, Ngah. Awak pun tahu macam mana Emak sangat suka mengajar.”

Kaklong, Ngah sayangkan awak. Ngah kagum dengan semangat awak yang tak pernah jemu belajar. Endlessly! Ngah doakan awak terus cemerlang di Kuala Lipis nanti. Terus cemerlang macam awak yang dulu. Ngah doakan sungguh-sungguh. Awak contoh terbaik untuk kami semua.

Posted on January 14th, 2008 by Sarah  |  19 Comments »

Monolog Bersama Iman (ix)

Episod lepas: Sini

“Sar, kalo aku tanya, kamu jawab biar jujur ya.” Iman memulakan kata. Air mukanya kelihatan sedikit nakal dengan senyuman sejemput yang terkandung seribu makna. Aku tersenyum mendengar soalannya itu. Pasti ada sesuatu yang melucukan ni.

“Pernah ke saya main-main dengan awak ni?”, jawabku semula. “Tapi kalau soalan tu tak kena gayanya, saya tak nak jawablah ye.” Aku tergelak kecil kemudiannya.

“Aku serius ni. Aku senyum sebab aku terfikir apa kamu akan jawab’in nanti. Tapi kalo lagi enggak mahu, tak apa-apa. Cuma jawab jujur-jujur ajalah. Tu aja yang aku mahu.” Iman membulatkan mata kononnya hendak meyakinkan aku bahawa dia serius.

“Yelah, yelah. Ada apa ye? Pasal apa? Suspen je awak ni, Man.”

“Erm, Sar. Aku ni nanya’in bukan sebab aku mahu sibuk-sibuk. Kamu kenal aku. Bukan tak pernah kita discuss pasal hal ni dulu. Kamu tolong aku banyak dah.” Begitulah muqaddimahnya.

“Eh, yelah. Tapi pasal apanya ni?”, aku memotong kerana Iman meleret terlalu lama.

“Ok, ok. Sorry, Sar. Kamu ni udah ada yang punya enggak? Aku serius mahu tahu ni! Aku ada berita mahu nanya’in ni. Aku serius sungguh-sungguh ni!” Aku tergelak kecil selepas Iman bertanya. Iman oh, Iman. Tidak sangka pula soalannya berkaitan status diriku.

Memang aku dan Iman selalu sahaja berkelahi mulut tentang hal ini. Kadang-kala, falsafah cintanya pelik. Aku selalu membangkang. Bila aku pula memberikan pendapat, dia pula membangkang. Tapi tidak dinafikan, ada banyak juga persoalan yang kami sehaluan dan sefahaman.

“Oh, la. Ingatkan pasal apalah tadi. Awak ni Man. Tak habis-habis lagi nak ungkit pasal hari tu ke? Saya dah lupa dah pasal tu. Tak ambil hati sikit pun.” Aku menegaskan tanpa menjawab persoalan pokok yang diajukan.

Kira-kira seminggu yang lalu, ketika bertemu di dewan kuliah untuk subjek Radiology, kami duduk bersebelahan. Ketika itu, Iman terlihat aku membaca sebuah novel Inggeris bertajuk I Woke Up Married. Bermula dari situ, kami berbahas tentang sanggupkah kita berkahwin dengan orang yang tidak dikenali. Penat aku dikenakan bertubi-tubi oleh Iman dek kerana jawapanku yang dia tidak berpuas hati.

Kataku, apa salahnya kalau tidak kenal sangat pun dengan pasangan itu kerana selepas berkahwin, bolehlah belajar untuk mengenalinya dengan lebih. Sejujurnya, aku sekadar berbasa-basi memberikan pendapat itu. Sekadar cukup syarat aku memberikan respon pada soalannya. hakikatnya, aku rasa untuk membina sebuah ikatan perkahwinan, biarlah kita kenal hati budinya dengan jelas supaya perkara-perkara yang tidak diingini tidak terjadi dipertengahan jalan di kemudian hari. Memang betul kita boleh mengenali pasangan dengan lebih selepas berkahwin tetapi akhlaknya walaupun bukan warna sebenar telah dapat kita hadam untuk diterima sebagai pasangan hidup. Menyesal aku kerana menjawab ala kadar padanya. Sudahnya penat aku dibebel Iman ketika waktu rehat sesi kuliah Radiology itu.

“Sar, aku lagi serius ni.” Iman menekanku semula.

“Ish. Saya takde siapa-siapa lagilah, Man. Ni kenapanya ni? Iya-iya je serius. Nanti saya juga yang kena bebel hentah apa-apa lagi. Jadi kaunselor jelah Man.” Aku menjawab sambil terkekek kecil memeluk tabung kutipan derma itu.

Iman mengacah dengan menjegilkan matanya. “Tidak main-main tidak boleh apa dia ni”, sungut Iman kemudiannya dalam slanga Indonesianya yang pekat.

“Sorry, sorry. Iya Man. Saya single je lagi. Takde oranglah yang nak pandang saya ni pun. Lagipun, siapalah yang ada sangat kat Moscow ni. Eii… Kenapanya tiba-tiba tanya pasal ni?” Aku mula berubah melihatkan air muka Iman yang separa serius. Aku bukannya apa. Kalau aku mengambil serius soalannya itu, alih-alih nanti dia akan mengenakan aku pula. Serik aku. Sifat Iman itu sudah aku hafal sejak kami mula rapat 3 tahun yang lalu.

“Sar, kalau Annas mahukan kamu, kamu mahu enggak?” Tanya Iman dengan serius.

“Ha. Annas mana ni? Mahu yang macam mana tu?” Kaget juga aku mendengar soalan Iman. Ikutkan hati, bertubi-tubi soalan yang hendak aku ajukan. Tapi kata akalku, rasional dan bertenanglah.

“Mahu ambil sebagai isterilah. Ya ampun. Mahu apanya lagi kalau udah laki namanya, Sar.” Iman mengucap panjang dengan soalan bodohku. Bodohkah soalanku? Aku rasa tidak. Aku mahukan penjelasan saja.

“Tapi Annas mana ni?” Tanyaku semula.

“Itu Annas yang duduk di situlah yang ada abang dan adiknya sekali tu, Sar!” Iman menunding ke arah pintu rumah Annas yang bertentangan dengan pintu rumah sebelahku. Hampir saja dengan rumahku. Aku merenung pintu itu dengan diam. Cuba membayangkan wajah Annas yang hampir setiap hari beriringan denganku menuju ke hospital. Wajahnya putih bersih dan berjanggut sejemput. Kaca mata yang dipakainya menampakkannya seorang yang serius. Tapi aku pernah melihatnya tersenyum dan ketawa bersama kawan-kawan di dalam dewan kuliah Neurology. Annas kacak dalam erti kata tersendiri. Atau mungkin lebih tepat menurut penilaianku bahawa dia punya wajah yang tenang dan sejuk mata memandang.

Tiba-tiba pintu rumah bernombor 212 itu terbuka. Dan Annas berdiri tegak di situ memandang kami berdua. Aku memalingkan muka buat-buat memandang pintu rumahku. Dia lalu tersenyum menghulurkan ucapan salam buat Iman dan berlalu. Mungkin dia punya agenda tersendiri.

Dan aku di situ berdiri kaku dan takut.

Dalam hatiku berkata, “Annas ni???”

…………………………………………………………………………………………………………

Bersambung…

Nota 1: Ini kisah ketika saya di tahun 4. Jangan cepat melatah lagi. Dan saya yakin pasti ada yang sudah dapat mengaitkan siapa Annas ini jika ada membaca kisah Hari Raya Haji yang lalu.

Nota 2: Siapa di Moscow ini yang ada novel Zahrah De Tigris? Boleh saya pinjam? (walaupun tahu ini agak mustahil sebab novel ini agak baru) 🙁 Jika sesiapa ada novel ni, tolong bagitahu saya ya. Saya akan ke tempat kamu untuk meminjam. Terima kasih.

Posted on January 12th, 2008 by Sarah  |  21 Comments »

Monolog Bersama Iman (viii)

Episod lepas:
Monolog Bersama Iman (i)
Monolog Bersama Iman (ii)
Monolog Bersama Iman (iii)
Monolog Bersama Iman (iv)
Monolog Bersama Iman (v)
Monolog Bersama Iman (vi)
Monolog Bersama Iman (vii)

Usai solat Maghrib berjemaah bersama adik-adik serumahku, aku khatamkan empat muka Al-Quran dan kemudian menjenguk ke dapur melihat mereka semua sedang memasak. Pasti meriah jamuan potluck mereka malam ini. Ini baru bahagian mereka. Bagaimana pula dengan bahagian yang disediakan oleh pelajar-pelajar lelaki kumpulan mereka.

Lalu aku kembali ke meja studiku semula. Aku lihat di telefon bimbitku ada mesej yang kuterima. Iman pengirimnya.

“Sar, di bilik kn? Aku ke sana terus ya?”, tanya Iman yang mungkin tertunggu-tunggu informasi daripadaku sama ada telah sampai ke bilik atau tidak.

“Ye Man. Dtg la. Sy ada je kat bilik ni”, balasku semula. Aku menyiapkan diri. Memakai tudung dan sarung kaki. Wajib itu. Kalau sekadar tudung dan kakinya tidak dijaga, kurang juga kesempurnaannya di situ.

Sementara menanti pintu diketuk, aku melayari internet. Memeriksa emel dan melihat senarai rakan-rakan yang sedang online. Nama kakak dan adikku tiada. Sudah jam 1 pagi lebih di Malaysia. Pastilah mereka sudah tidur.

Tidak lama kemudian, pintu kedengaran diketuk. Aku yakin sekali itu Iman yang datang bersama duit yang hendak didermakan. Aku menuju keluar dengan membawa tabung kutipan derma untuk Palestin itu, sebahagian daripada projek Persatuan Perubatan Islam Malaysia di sini.

Aku membuka pintu dan salam dihulur oleh Iman. Pada mulanya kukira Iman sekadar hendak menyerahkan duitnya saja. Tetapi Iman menanyaku, “Sar, punya masa enggak? Aku ada benda mahu discuss ni.”

“Oh, boleh je. Ada apa ye? Ni bukan pasal orang Tunisia tu kan?”, soalku sambil menyarung selipar dan bergerak keluar. Pintu kututup untuk mengelakkan rakan-rakan serumah dilihat oleh Iman. Aurat mereka, amanahku juga. Sebenarnya Iman berhajatkan kepada Ines, kawanku yang berasal daripada Tunisia. Yang pertama kali ditemuinya pada bulan Ramadhan yang lalu. Iman selalu bertanyakan tentang Ines melaluiku sementelah aku agak rapat dengan Ines itu.

“Ya ampun. Tidaklah. Lagi mahu ditanya apa kalo beritanya tetap tidak ada. Ini aku mahu nanya’in. Kamu tahu enggak kiraan zakat penghasilan tu gimana?” Berkisar tentang zakat rupanya.

“Zakat penghasilan tu maksud awak zakat pendapatan kan?”, saya memulangkan soalan kepadanya. Untuk memahamkan maksud soalan.

“Ya, ya. Zakat pendapatanlah bagi kamu. Aku di sana sebutnya zakat profesi.”

“Baru je bulan lepas saya ada contact seorang ustaz saya dulu tanyakan pasal ni. Seingat saya dia kata kadar zakat tu ikut tempatlah. Macam di Malaysia, 2.5% daripada hasil kita. Orang yang nak kena bayar zakat ni pun kalau hasilnya cecah nilai emas lebih kurang 85 gram. Nilah setakat yang saya tahu. Kenapa ni Man? Aik. Tak kerja lagi, dah mula fikir pasal zakat ke?” Aku menjawab dan bertanya semula.

“Eh iyalah. Aku kan udah kerja di kedutaannya. Part time. Tu dikira kerja juga kan. Mati aku kalo dimakan’in hasil tak bersih. Ke neraka aku nanti. Nak jumpa kamu di syurga pun tak dapat”, jawab Iman dengan selorohnya yang tak sudah-sudah.

“Heh. Iyalah tu. Macamlah saya ni masuk syurga sangat. Tapi nanti saya confirmkan semula dengan ustaz tulah. Nanti saya bagitahu awak semula ok.”

“Oh, ok. Bagus. Kalo aku nanya’in sendiri, tahun depan pun belum tentu tahu. Kawan aku rock stars semua. Kalo ditanya, dijawabnya lain. Iyalah. Udah namanya pun star-star gitu.” Sempat pula Iman berfalsafah denganku.

Dalam pada Iman berseloroh hebat, pintu rumah hadapan terbuka dan keluar seorang lelaki Arab. Warga Lubnan. Di celah jari tangan kanannya terselit sebatang rokok. Dia berseluar sukan hitam dan bersinglet biru tua cuma. Aku memandang sekilas dan kemudian Iman turut memandang. Iman menghulurkan tangan untuk bersalaman.

Rokok bertukar ke tangan kiri dan tangan kanannya menyambut huluran salam Iman. Khabar ditanya di dalam Bahasa Rusia, biarpun hakikatnya Iman boleh bertutur di dalam Bahasa Arab sungguhpun tidak sefasih ayahnya. Iman sebenarnya berdarah kacukan. Ibunya warga Indonesia dan ayahnya berdarah campuran Indonesia-Arab. Makanya, wajah Iman tidak terlalu keindonesiaan. Kulitnya cerah dan matanya coklat cair. Andai tidak didengari slanga Indonesianya, ramai yang akan tersilap menjangka bahawa Iman merupakan bangsa Arab campuran yang sedikit Pan Asia kulitnya.

Setelah lelaki Arab itu berlalu menuju ke zon merokok, Iman berpaling semula dan tersenyum. Dari cara Iman itu, aku tahu ada sesuatu yang ingin dia katakan.

………………………………………………………………………………………………………..
Bersambung…

Posted on January 11th, 2008 by Sarah  |  22 Comments »

Makluman Ringkas

Assalamualaikum wbt

Entry lepas betul-betul menikam saya semula ya. Penat saya menjawab spekulasi kamu semua. Amboi-amboi kamu semua ni. Pantang saya termelalut sikit saja, teruk saya dikenakan ya. Nampaknya saya tidak boleh tulis begitu lagi lepas ni. Mati saya nanti. Itu baru acah-acah saja. Kalau betul-betul, lagilah teruk agaknya. 🙂

OK. Entry ini sekadar intro untuk entry seterusnya yang akan saya kemaskinikan selepas ini. Sambungan Monolog Bersama Iman. Kisah ini adalah cerpen yang saya tulis pada April 2007. Sebenarnya sudah sempurna 100% tapi atas masalah yang tidak dapat dielakkan, cerita yang saya simpan di dalam laptop lama itu hilang bersama fail-fail lain ketika laptop lama itu rosak. Sedih betul.

Jadi saya guna pakai cuti saya ini untuk menulis semula beberapa episod terakhir kisah itu. Siapa yang tidak berminat, tak payahlah baca. Nanti ada yang geli pula dengan bahasa novel-novelan yang diguna. Bak kata orang sekarang, bahasa jiwang. 🙂 (Yeke jiwang? Saya rasa itu formal). Terpulanglah pada tafsiran masing-masing. Saya akan cuba kemaskinikan setiap hari untuk memastikan hutang saya terbayar. Maafkan saya kalau ada yang jemu membaca. Nanti saya sediakan link-link pautan untuk episod-episod yang lepas.

Posted on January 11th, 2008 by Sarah  |  5 Comments »

Cinta Di Platform 5

Redup petang di kota Kuala
Membawa aku menapak ke sana
Ada wajah redup hendak kusantap
Ada mata bening untuk kutatap
Meredah kota sangguplah aku
Menuju Puduraya bertemu cintaku

Setia si wajah menunggu di bangku
Menunggu walau penatnya seribu
Tersenyum aku
Merenung balas bening matanya
Saat aku duduk di sisinya

Dunia hanya bagai kami
Duduk di situ saling mengerti
Mengerti bahasa mata dan hati

Manusia meribut yang kalut
Tidak mencuri meragut
Dunia kami yang hening
Di Puduraya itu yang bising

Tiba masa beriringan kami
Menuju bas si hijau putih
Tepat masa akan bersilih
Janji dipatri lagi
Esok masih ada buat kami
Menyambung kisah cinta di sini

Di Platform 5
Di pinggir Puduraya
Dunia kami di sebalik sesak kota Kuala

Assalamualaikum wbt

Jangan salah faham ya. Ini bukan kisah cinta saya. Sajak ini dedikasi khas buat Uncle KS (Kassim Selamat) dan isterinya. Sajak ini adaptasi daripada kisah cinta mereka yang termeterai di Platform 5, Puduraya. Walaupun kini duduk mereka tidak sama tinggi, apatah lagi berjalan berlari, namun kasih Auntie Ain buat Uncle KS tiada tandingannya walau bagaimana sekalipun keadaan Uncle KS kini. Didoakan yang terbaik buat mereka berdua. Syurga atas kasih si isteri yang setia di sisi. Jannah atas cinta suami yang tidak berbelah bahagi.

Buat muslimin semua, SALAM MAAL HIJRAH 1429. Jangan lupa ditutup tahun ini dengan bacaan doa akhir tahun dan dibuka tahun baru dengan doa awal tahun. Semalam saya melapangkan masa mengkaji semula kisah pembukaan Kota Constantinople. Semangat Sultan Muhammad Al-Fateh perlu kita contohi. Sejak akil baligh, beliau tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat rawatib dan solat tahajjud. Lantas menjadikan beliau mempunyai ciri-ciri pemimpin yang digariskan oleh Rasulullah s.a.w. “Sebaik-baik pemimpin adalah sebaik-baik tentera dan rakyat” Itulah dia Sultan Muhammad Al-Fateh [untuk rujukan, ada banyak buku dan website. Tapi yang teringkas yang boleh difahami untuk rujukan: sini]. Jika dalam usia muda beliau sudah boleh mengetuai batalion perang dan pintar sekali akalnya, malulah kita yang semakin menginjak usia tetapi masih kurang pengorbanan buat agama. Sudah punya azam? Saya ada 11 tapi saya khuatir ada yang tidak tercapai. Hmm.

Nota 1: Maaf ya saya tidak dapat menjenguk rumah kawan-kawan semua sangat. Saya demam pula di kemuncak musim sejuk ini. Selepas makan malam semalam, saya terus tidur. Bangun di tengah malam untuk solat Isyak dan makan ubat sahaja. Lepas ini mahu sambung tidur semula. Sakit itu kafarah dosa kan 🙂

Nota 2: Uncle KS, lagu LOST ini buat KS dan isteri. Semoga tabah dan ceria selalu 🙂

Nota 3: Cinta saya pula di platform minyak kot, bukan di Platform 5. Ngeehee~ (Nak jugak tu! Adeh) v(^_^)v

Posted on January 9th, 2008 by Sarah  |  50 Comments »