Zaman Dulu Kala
Sejak adanya entri tentang permainan tradisional yang saya tulis pada tahun lepas, entri itu menerima hit tertinggi daripada mereka yang mencari maklumat tentang permainan tradisional (setakat yang saya sedar). Jadi, saya teringat semula pada kisahnya kami sepupu-sepupu dulu yang rajin sangat bermain tuju selipar apabila semua balik berkumpul di Temerloh. Kawasan rumah Tok yang luas memang sangat strategik. Dicampur dengan halaman rumah Tok Cik, Mak Tam Chinor dan halaman rumah saya sendiri menjadikan bukit rumah kami cukup luas untuk kami semua lari bertempiaran bermain ketika cuti. Terutamanya cuti hujung tahun. Ini aktiviti wajib keluraga Bahaman ini.
Tapi baru-baru ni saya merajinkan diri membelek Friendster adik saudara saya. Ada pula gambar ketika mereka semua sedang bermain. Dan mentang-mentanglah geng sepupu-sepupu perempuan kebanyakannya semua sudah besar panjang, geng sepupu-sepupu lelaki telah curang dan memulakan tradisi baru pula. Ragbi. Sungguh tak aci. Manalah kami yang perempuan boleh main. Bila saya melihat gambar tu, walaupun saya tiada di sana ketika itu, saya dapat merasakan kemeriahannya. Dalam gambar di atas, cuma anak lelaki keluarga Mak De Aida saja yang tiada wakil. Mungkin Mak De tidak balik waktu itu. Oh. Terlupa nak cerita. Kami semua 29 orang jumlahnya.
Ini gambar ketika raya bulan 10 lepas. Aksi sepupu-sepupu dan adik saya. Merepek je. Ada telinga tutup, ada mata tutup, ada mulut tutup. Hehe.
Ini antara sepupu perempuan yang geng universiti. Ada lagi 2 orang yang seangkatan dan sangat rapat dengan saya dan Kaklong sejak kecil tapi tiada pula gambar mereka. Sekarang, kami sepupu-sepupu telah dipecahkan kepada 3 kumpulan. Geng universiti, geng sekolah menengah dan geng sekolah rendah beserta si kenit-kenit yang lain. Bila teringat kenangan kecil-kecil dulu, terasa betapa cepatnya masa berlalu. Dulu, kami semua boleh duduk berkumpul bawah selimut besar yang dikembangkan dengan kipas angin sambil bercerita hantu dan macam-macam lagi. Ayah Andak pernah merakamkan video aksi kami berkoir menyanyikan lagu Negaraku dengan memakai baju tidur. Kenangan tidak tidur malam kerana teruja dengan persediaan majlis perkahwinan Mak Andak dan kenangan tidur dalam kelambu bilik Tok sebelum rumah lama tu terbakar pada tahun 1998.
Saya rindu zaman kanak-kanak dulu! Membesar bersama Hidayah dan Linda, berlumba dalam peperiksaan bersama Nisa dan Mirul yang sebaya dengan saya, bermain bersama-sama adik-adik lelaki saya tak ingat dunia, intip Nan memancing di jeti Tok Cik, tengok adik-adik dan kawan-kawan mereka bermain lumba kereta Dash Yankuro, main banjir dengan Kaklong, ikut ayah pergi mandi sungai dan macam-macam lagi. Seronoknya…!
Dan lagu yang ada ini lagu Cantik. Lagu di zaman saya sekolah rendah. Mesti Kalong dan Nan ingat lagu ni, kan? Nan, Ngah rasa awak mesti ingat lagi lagu Casey. Yang kita selalu nyanyi waktu naik buai di rumah Tok Penang.