Ramadhan Di Malaysia
Assalamualaikum wbt
Diam tak diam sudah sepuluh hari kita semua berpuasa. Dan itu bermakna selama itu jugalah saya tidak mengemaskinikan blog ini. Ikutkan hati hari-hari saya mahu menulis tapi disebabkan saya tidak dapat online dari laptop saya di dalam bilik, maka perasaan hendak menulis dan bercerita itupun terbantut.
Apa nikmatnya berpuasa kali ini? Bagi saya ada dua nikmat yang paling utama. Pertamanya, sepanjang sepuluh hari ini, baru hari semalam saya menyentuh dapur. Mana tidaknya, hari-hari emak memasak untuk berbuka dan bersahur. Sedikitpun saya tidak memasak sepanjang cuti sekolah seminggu ini. Hari semalamlah merupakan hari pertama saya masuk ke dapur semula untuk memasak sepanjang Ramadhan ini. Itupun sekadar hendak menyediakan puding karamel. Menu utama tetaplah juga dimasak oleh emak.
Kalau dulu di Moscow, balik saja dari hospital setiap petang, siapa yang bertugas memasak pada hari itu akan kelam kabutlah memasak di dapur supaya dapat menyempatkan menu utama siap dimasak sebelum waktu berbuka tiba. Menu pun sangat sederhana. Sejenis lauk, sejenis sayur, buah tembikai dan kurma. Kalau ada yang rajin dan berkesempatan, barulah ada pencuci mulut seperti kuih-muih tradisional, bubur atau pai.
Keduanya, Ramadhan kali ini saya berada dalam keadaan lapang. Jadi, waktu untuk bertadarus dapat diperuntukkan dengan banyaknya. Selepas sahur mengaji. Selepas Subuh mengaji. Selepas Zohor pun mengaji. Selepas Maghrib mengaji lagi bergitu juga selepas selesai Tarawikh. Pendek cerita, laju betul dapat membaca kali ini. Dalam masa lima hari sudah tamat sepuluh juzuk.
Kalau di Moscow dulu, hanya selepas sahur, Maghrib dan di tengah malam sebelum tidur saja sempat mengaji. Keterikatan dengan jadual hospital, tanggung jawab di rumah dan ulangkaji serta persediaan sendiri di bilik membataskan segalanya. Bila sudah di hujung-hujung Ramadhan, kadang-kadang tu masih berbaki sepuluh juzuk. Maklum sajalah. Orang perempuan ada fitrah daruratnya yang tersendiri. Jadi akan ada beberapa hari yang tertinggal untuk bertadarus. Maka di saat akhir itulah, sanggup bersengkang mata bangun sahur awal dan tidur lewat semata-mata untuk menamatkan bacaan Al-Quran dalam tempoh sebulan Ramadhan. Alhamdulillah. Kelapangan kali ini sangat bermakna rupa-rupanya.
Bercerita tentang makanan pula, saya makan apa saja yang emak saya masak. Apa saja. Kalau emak masak telur dadar sajapun mungkin saya akan makan padahal saya tidak suka telur pun. Tapi sebab emak yang masak, mesti sedap punyalah. Pasar Ramadhan pun setiap selang sehari saya akan jengah. Saya sudah dapat makan semua kuih yang saya teringin kecuali dua. Badak berendam dan Puteri Mandi. Jenuh saya mencari di tempat saya ni, tiada pula yang menjualnya. Mungkin kurang mendapat sambutan jadi tiada yang menjualnya kali ini. Oh ya. Sebenarnya sudah hampir tujuh tahun saya tidak ke Pasar Ramadhan. Kali terakhir saya ke Pasar Ramadhan ialah ketika musim SPM di penghujung tingkatan lima di Klang dulu. Nostalgia sungguh.
Tapi setiap kali ke Pasar Ramdhan, saya akan pergi bersama adik-adik dan Kaklong. Jadi saya akan mengutamakan apa yang adik-adik selerakan. Biasanya mereka lebih berhajatkan air daripada kuih-muih. Apa tidaknya. Kalau beli kuih sekali pun, yang dijamah mereka hanya seketul seorang dari seringgit setiap jenis kuih. Bukankah membazir? Sudahnya, baki kuih akan kami bungkus dan bawa ke masjid untuk moreh. Sejak itu, adik-adik pun kurang gemar hendak membeli kuih lagi dan hanya mencari sesuatu yang mereka hajati saja. Conothnya kebab atau tau fu fa.
Dan pada hari ini, negara kita meraikan sambutan Hari Kebangsaan yang ke-52. Besar maknanya sambutan kali ini buat saya. Mana tidaknya. Sudah lima tahun saya tidak berada di Malaysia pada tarikh ini. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur atas nikmat keamanan dan keharmonian yang masih dikekalkan-Nya buat kita semua. Moga-moga Malaysia kekal berdiri atas nama Malaysia berdaulat, rakyat berbilang kaum masih tetap bersatu dan saling menghormati antara satu sama lain, agama Islam dijunjung di samping tidak menghina dan mengabaikan hak agama lain. Semoga Allah terus memelihara negara kita.
Nota: Ada lagi cerita-cerita lain akan menyusul. Apapun sekarang nak kena keluar isi minyak kereta dulu. Nak kasi penuh tangki. Harga minyak naik lagilah. Dan-danlah nak naik masa ni kan. =__=