Dato’ Bahaman

Assalamualaikum wbt

Ada sesiapa yang menonton Majalah Tiga malam tadi? Malam tadi memang episod terbaiklah. Bukan pasal Tengku Mahkota Johor tu. Tapi kisah Dato’ Bahaman yang disiarkan. Ya. Itu moyang saya. Dan segala yang diceritakan¬† dalam episod itu adalah benar. Saya ternanti-nanti juga kalau-kalau ada fakta yang kurang benar. Alhamdulillah semuanya benar belaka. Saya hendak menyambung sedikit kisahnya di sini. Mungkin ini kesinabungan yang mungkin tiada siapa pun pernah tahu.

Saya masih ingat Tok saya (Hajjah Halimah Imam Yusof) bercerita kepada saya suatu masa dulu. Sewaktu Orang Tua Peramu yang dipercayai merupakan Dato’ Bahaman yang tinggal di Peramu, Pekan ditemui kembali, semua yang mengenalinya percaya bahawa itulah beliau. Tapi beliau tidak mahu mengakui dirinya adalah Dato’ Bahaman. Tapi kerabatnya, kenalan terdekatnya yang masih hidup tahu bahawa itulah beliau. Ketika Dato’ Bahaman meninggal dunia, seperti yang dilaporkan di dalam Majalah Tiga, tiada siapa pun tahu di manakah beliau dikebumikan.

Tok saya memberitahu, ketika itu, dia dan Tok Abah saya (arwah Kamaruddin Bin Jantan, cucu Dato’ Bahaman) serta beberapa orang lagi saudara telah ke Peramu untuk menuntut jenazah supaya dapat diuruskan dengan sempurna. Tetapi sebaik sampai di sana, orang kampung memberitahu baru sekejap tadi sebuah van datang dan mengambil jenazah orang tua itu untuk diuruskan.

Menurut orang kampung, semua yang datang menaiki van itu memakai jubah hitam. Jubah berkabung istana. Menurut mereka, itu orang istana yang datang mengambilnya. Tetapi persoalannya, mengapa mereka berbuat begitu dan di manakah arwah disemadikan masih belum dapat saya jawab sehingga hari ini.

Sekarang Tok saya sudah kurang ingat akan peristiwa lama. Tok saya menghidap Alzheimer sejak tiga tahun lalu. Dia masih lagi boleh bercerita tentang sejarah lampau tetapi kadang-kala laluan masanya (timeline) berterabur. Kita yang mendengar ni kena pandai-pandai sendirilah untuk menyusun kronologi cerita tersebut.

Bila saya sudah dalam tingkatan 4 dulu, arwah ayah saudara saya, Chik Joe, pernah memberitahu sesuatu tentang rahsia di sebalik kenapa jenazah arwah dilarikan oleh orang istana dan dikebumikan secara rahsia di tempat rahsia. Menurut Chik Joe, hal ini terjadi kerana jika benar itulah Dato’ Bahaman yang sebenar, pihak istana perlu membayar ganti rugi pada jumlah yang besar kepada waris beliau. Ini kerana, beliau sudah tidak lagi menerima bayaran sebagai pembantu Sultan yang menjaga hasil dan tanah di kawasan Sungai Semantan ini walaupun pada ketika itu beliau masih berkhidmat sebagai Orang Kaya Semantan (orang yang menjaga wilayah dan keamanan kawasan Semantan).

Chik Joe pernah mengumpulkan bukti-bukti ini suatu ketika dahulu. Tapi saya kira usahanya terkubur bergitu sahaja kerana Chik Joe meninggal dunia pada usia yang muda dua tahun yang lalu. Namun begitu, beg berisi bahan kajiannya dulu masih ada cuma saya kurang pasti siapa yang menyimpannya kini.

Bagi saya, segalanya masih tersimpan sebagai rahsia. Kenapa pihak istana hendak sangat menyembunyikan hal ini? Bukannya kami hendak menuntut apa-apa. Paling kurang, beritakanlah kepada mana-mana waris beliau yang masih ada (adik beradik arwah Tok Abah saya masih ada yang hidup, Tok Cik Zan di Durian Tawar, Tok Teh di Kuantan, Tok Lang juga di Durian Tawar dan beberapa orang lagi termasuklah dua pupu emak yang diwawancara malam tadi). Harta benda semua ni sedikitpun tidak menjadi isu. Yang menjadi isu, beliau itu tokoh bangsa, negara dan agama. Kalau mati biarlah ada nisannya. Dan biarlah saudara-mara dapat menziarahinya.

Dan kebetulan, dalam bahagian ketiga episod malam tadi di Majalah Tiga, seorang kenalan baik ayah saya diwawancara pula. Uncle Wan. Ini kawan lama zaman persekolahan ayah (pernah saya sebutkan dalam entri Reunion 070707 ini). Petang semalam ayah dimaklumkannya suruh menonton Majalah Tiga malam tadi. Ada dia, katanya. Uncle Wan ini ada signifikannya yang tersendiri untuk saya. Selain Abang Khairil, Uncle Wan lah orangnya yang membuatkan saya semakin berminat dalam bidang fotografi. Mari kita jenguk Flickr-nya. Mantap!

Nota 1: Saya sangat sukakan sejarah. Dulu sayalah yang paling rajin bertanya itu ini kepada Tok tentang perang, Jepun, komunis dan segala cerita yang berlaku di zaman penjajahan.

Nota 2: Dulu saya reti menyanyi lagu Matahari Terbit, lagu Jepun yang dinyanyikan oleh budak sekolah zaman Jepun dahulu. Tok yang ajar. Tapi sekarang sudah lupa. Nantilah akan belajar semula kalau Tok masih ingat.

Nota 3: Kalau arwah Tok Abah pula, dia sangat anti-komunis. Keluarganya ramai yang diseksa komunis dan ayahnya sendiri (Tok Jantan) ditanam hidup-hidup oleh komunis. Dia sendiri juga terpaksa menyorok di dalam sungai, bernafas menggunakan batang keladi yang ditimbulkan di permukaan air, menyorok bawah jeti, perahu dan macam-macam lagi.

Nota 4: Pernah ada yang menghubungi saya secara personal bertanyakan apa hubungan saya dengan Dato’ Bahaman. Jadi inilah jawapannya.

Persoalannya, adakah anak muda zaman sekarang menghargai kemerdekaan yang didapati hasil derita orang lama?

Posted on July 19th, 2009 by Sarah  |  55 Comments »