Kenangan Persediaan Ketika Mengandung Dan Berpantang

Assalamualaikum wbt

Hari ni saya nak mengimbas semula pengalaman membuat persiapan bersalin dan tempoh berpantang ketika mengandung dan melahirkan Izz dulu. Seingat saya, kami berdua mula membeli kelengkapan bayi dan keperluan untuk berpantang itu ketika saya sedang bercuti sebelum berpindah ke Hospital Kuala Lipis. Sebelum mula membeli, kami sudah membuat tinjauan dan seterusnya menyediakan senarai barang yang menjadi kewajipan, keperluan tapi bukannya kemahuan.

Waktu itu usia kandungan baru mencecah 25 minggu. Tapi kami membuat perancangan awal dan persediaan secara sedikit demi sedikit pun dibuat awal. Bukan apa. Nanti bila sudah berpindah ke Lipis, saya di sana, suami di Putrajaya. Entah bila lagi dapat keluar untuk membelek barang bersama-sama. Jadi bila ada saja masa ketika cuti itu, kami ronda kedai-kedai yang telah disenaraikan untuk mencari apa yang telah kami senarai pendekkan.

Saya tak mahu cerita sangat tentang persiapan fizikal. Sebab saya rasa hampir semua orang pun sama saja keperluan asas yang disediakan untuk menyambut kelahiran bayi. Bagi yang tak tahu, rajin-rajinkanlah untuk membaca daripada pelbagai sumber yang boleh didapati dewasa ini. Yang saya nak kongsikan di sini ialah persiapan mental dan rohani. Sebab ini jauh lebih penting untuk menyambut generasi muttaqin yang baru lahir.

Sebenarnya, sewaktu masih dalam tempoh mabuk yang teruk dulu, saya ada menonton satu kisah di Wanita Hari Ini (WHI). Saya menonton dengan emak pada ketika itu. Tentang seorang budak lelaki yang buta tapi dalam proses menghafaz Al-Quran. Umurnya kalau tidak silap saya sekitar sepuluh tahun. Dia hanya disedari buta oleh ibu bapanya ketika berumur 2 atau 3 bulan (kalau tak silap saya) kerana ibunya mendapati dia tidak respon kepada warna-warna dan objek-objek yang berada di depannya. Setelah rawatan lanjut dibuat, memang sah, anak itu adalah insan intimewa yang dilahirkan buta sejak lahir lagi.

Kisah itu sangat meninggalkan kesan di hati saya. Kalau hampir semua ibu mengandung terpsiko memikirkan bagaimanakah rupa dan fizikal anak yang bakal lahir, jujur saya katakan, saya lebih terpsiko memikirkan kesempurnaan pancaindera anak yang bakal dilahirkan.

Jadi, sebagai manusia biasa, kepada Allah jualah tempat saya meminta. Setiap hari saya akan membaca doa sihat tubuh badan. Tapi saya akan menggantikan kata nama dalam doa saya kepada ‘kami’. Bererti, saya juga mendoakan kesihatan badan, pendengaran dan penglihatan untuk anak saya. Saya juga memanjangkan doa saya itu dengan menambah doa untuk kesihatan akal, lisan dan juga hati.

“Allahumma ‘afina bi badanina, Allahumma ‘afina fi sam’ina, Allahumma ‘afina fi basorina, Allahumma ‘afina fi ‘aqlina,¬†Allahumma ‘afina fi lisanina,¬†Allahumma ‘afina fi qulubina”

Alhamdulillah. Sehingga ke hari ini, saya masih membacakan doa ini untuk Izz saban hari sebelum tidur. Juga saya niatkan untuk kesihatan tubuh badan adik baby dalam kandungan ini.

Saya akui, saya memang tak mempunyai kehidupan sosial seperti orang lain. Ada masa nak pergi shopping, keluar makan dengan kawan-kawan, release tension pergi tengok wayang. Saya tak ada masa untuk semua itu. Jadual kerja saya ketat. Dan naluri saya sendiri pun bukan ke arah itu. Wayang pun tak pernah masuk lagi sehingga saat ini. Jadi, saya ada banyak masa di rumah bersama emak pada waktu itu. Saya selalu merengek memberitahu emak yang saya stress dengan kerja di saat tengah mabuk tak tentu hala dulu.

Jadi, emak menasihatkan, balik kerja terus mandi air suam supaya segar, solat, kemudian terus mengaji. Memang setiap hari saya akan mengaji. Tapi sejak emak menasihatkan saya begitu, saya menggandakan bacaan saya sehinggakan kadang tu tertidur sambil memegang Quran kecil di tangan. Bila sudah duduk sendirian di Lipis pula, lagilah banyak masa yang saya ada untuk mengaji. Saya tidak melompat-lompat membaca surah-surah terpilih seperti yang sesetengah orang amalkan. Saya baca keseluruhan Al-Quran. Selepas khatam dua kali, saya amalkan surah Yasin sehingga cukup 40 kali sebelum saya bersalin dulu.

Amalan kesihatan pula? Tiada apa yang istimewa. Di peringkat awal kehamilan, saya memang makan folic acid dengan doa dan ikhtiar untuk mengelakkan anak mendapat kecacatan saraf terutamanya Spina Bifida. Itu ikhtiarnyalah. Saya juga mengambil Obimin untuk membantu menaikkan jumlah hemoglobin di samping mengamalkan buah delima sebagai buah rutin saya.

Tapi masa mengandung memang saya kuat gilalah makan buah. Hari-hari makan buah. Tak pernah putus stok buah di rumah. Setiap pagi saya akan makan madu, kismis dan kurma. Tapi saya ni memilih sikit. Nak kurma yang lembap saja. Jenis kering saya tak lalu nak makan. Huhu. Untuk perut pula saya sapukan dengan minyak zaitun. Langsung tak guna minyak-minyak atau losyen-losyen moden atau body butter yang ada di pasaran. Dengan mengamalkan minyak zaitun dilumurkan di kulit, Alhamdulillah tiada sebarang stretch mark pun di kawasan perut sepanjang mengandungkan Izz. Murah pun murah. Efektif pun efektif. Sunnah pun sunnah. Hehe.

Lagi, saya terpsiko tentang 5Ps yang perlu untuk memastikan kelahiran normal yang selamat, dengan izin Allah. Ni kalau tanya budak-budak medik ni, kalau tak tahu 5Ps ni memang nak kena ni. Haha. Power (produced by uterine contraction), Passanger (the fetal size), Passage (women’s pelvic bony structure), Practitioner (the midwife/HO/MO/Specialist involved during the delivery), Preparation (mental, physical, knowledge, any pain reliever to assist as emotional stabilizer during delivery).

Haaa. Jadi 5 perkara ni memang saya selalu fikirkan. Siap buat estimation CPD (cephalopelvic dispropotionate) ke atas diri sendiri sebab sedar diri ini adalah pendek. Muahaha. Dan Alhamdulillah, dengan izin Allah semuanya lancar dan kelahiran Izz adalah secara normal.

Apa yang saya buat ketika berpantang? Ini bahagian yang paling menarik. Definisi berpantang bagi saya ialah tempoh mengembalikan diri ke status asal fisiologi badan kita ke fasa sebelum hamil. Sebab fisiologi orang mengandung dan tak mengandung banyaaaaaaaaak sangat bezanya. Yang paling asas boleh saya ceritakan ialah jumlah cecair dalam badan dan komposisi hemoglobin/hematocrite juga berbeza. Ini yang asas. Ada banyak lagi perubahan fisiologi yang lain.

Perghhh. Saya akui, dalam tempoh mengandung memang otak saya laju dan sentiasa memikirkan perubahan-perubahan fisiologi yang terjadi pada badan saya. Selalu saya beri lecture percuma subjek fisiologi kepada suami untuk membolehkan dia sama-sama faham apa yang terjadi pada orang mengandung. Kenapa tidur mengiring ke kiri lebih baik, kenapa kena cukup air, kenapa kena cukup paras hemoglobin, kenapa senang rasa susah nafas, rasa se’eh perut dan lain-lain. Bila dia faham itu semua, dia akan lebih berpada-pada dan sama-sama saling mengingatkan tentang apa yang perlu dilakukan. Nasiblah ye abang dapat isteri suka bab fisio ni. Haha.

Jadi, dalam tempoh berpantang tu, badan kita dalam proses nak kembali ke level asal sebelum mengandung dulu. Ia proses yang mengambil masa. Paling kurang 4 ke 6 minggu. Jadi dalam tempoh seminggu yang pertama, saya memang ikut betul proses berpantang secara tradisional yang boleh membantu menyegarkan kembali badan saya.

Saya bertangas, bertungku, mandi serom dan berurut. Pakai bengkung je saya culas. Panas. Saya malas. Haha. Err… Bertangas tu apa? Haaa. Bertangas tu kita baring/duduk berselubung dengan kain dan dari bahagian bawah tempat kita baring/duduk tu ada bara api yang memberikan haba panas untuk memanaskan badan. Saya tak ada set khas apapun. Cuma memang kebetulan di beranda belakang rumah emak ayah saya, ada sebuah katil lama yang diletakkan di situ. Masih elok sebenarnya. Boleh dibuat baring-baring lagi (tiada tilamlah). Jadi ayah sediakan katil itu sebagai tempat baring, dialas dengan 2 helai (kot) kain batik untuk mengelakkan melecur kepanasan. Di bahagian bawah katil itu diletakkan sebuah dapur arang mudah alih yang bentuknya macam baldi itu tapi diperbuat daripada tanah liat. Kamu semua boleh bayangkan ke? Huhu. Takpe. Layan jelah ye cerita ni. Jadi, ayah akan membakar arang di dalam tempat bakar tu, bila dah menjadi bara, baru saya akan naik untuk baring di atas katil itu. Mula-mula tu memang macam ulatlah kejap. Tak tahan rasa panas. Tapi bila sudah hari kedua, waaaaa, selesanya rasa. Suam-suam panas. Badan rasa selesa sangat! Yummeh! Waktu saya lihat kakak saya bertangan selepas melahirkan anak sulungnya, saya pernah terfikir lecehnya nak kena bertangas bagai ni. Mesti panas. Tetapi rupa-rupanya, bertangas adalah syurgaaaaaa gitu!

Bertungku pula dikakukan serentak sambil-sambil berbaring ketika bertangas tu. Masa-masa lain saya tidak bertungku dengan batu sungai yang dibakar tu sebab malas nak bakar sendiri batu tu. Jadi saya hanya guna warm pad atau tungku elektrik saja untuk disendal di bahagian-bahagian badan. Dengan bertungku, proses pengecutan rahim lebih cepat, proses aliran keluar lochia (darah nifas) lebih lancar dan perut pun kempis. Hehe. Tu sebab saya malas berbengkung. Hahaha. Alasan!

Mandi serom tu pula apa? Mandi serom ni ialah air mandian campuran hampir 20 jenis daun-daun herba yang mudah saja didapati di kawasan kampung. Saya dulu bab mandi serom ni diuruskan oleh emak saudara saya. Dia pergi carikan daun-daun tu semua (antaranya daun mengkudu, serai wangi) dan dimasakkan dalam air panas. Ayah yang tolong masakkan air daun-daun tu sebelum ayah pergi kerja. Selepas air itu suam, saya dimandikan dan daun-daun itu semua dilumur-lumur dan digosok-gosokkan pada badan saya. Apa rasanya? Masya Allah segar gila tau! Memang sangat segar. Badan rasa panas dan proses pengeluaran susu pun jauh lebih lancar. Memang secara teorinya jika badan kita panas saja, susu akan lebih mudah untuk dikeluarkan dan tidak menyebabkan bengkak susu yang menyakitkan. Lancar dan laju saja susu keluar. Sebagai mak-mak, memang seronoklah bila susu laju je keluar. Huhu.

Dari segi pemakanan, memang emak ada menyediakan makanan orang berpantang secara tradiosional tu macam yang berasaskan banyak bawang putih dan lada hitam. Memang sedap! (Sebab saya ni hantu segala jenis lauk berasaskan lada hitam sejak kecil lagi). Tapi emak tak menolak segala jenis menu yang tinggi protein untuk membantu proses baik pulih luka selepas bersalin. Keju semua saya bedal. See. Mak saya moden jugalah. Hehe. Cuma saya memang tak makan yang pedas bertumis lada sebab nak elakkan sakit perut dan nak elakkan anak juga dapat kesan daripada pemakanan saya. Makan ikan haruan atau minum patinya tak? Saya cuba makan tapi allergik. Jadi saya tak makan. Huhu. Lagipun, saya pun tak jumpa informasi yang boleh memberi penjelasan secara klinikal apa yang menyebabkan ikan haruan ni dikatakan bagus. Setakat yang saya tahu, protein ikan haruan boleh menyebabkan parut luka (sama ada bekas jahitan episiotomy atau pembedahan di kulit perut) menjadi keloid yang tebal. Juga ada risiko boleh menyebabkan adhesion (lapisan dalam abdomen melekat-lekat) bagi yang melalui pembedahan. Wallahu a’lam.

Buah-buahan pula memang tak ada pantang larang. Saya makan semua buah untuk melancarkan penghadaman. Tapi emak dah pesan awal-awal, elakkan buah yang boleh buat saya rasa sakit badan. Setelah dieksperimentasi, saya dapati badan saya tak sesuai dengan tembikai dan saya memang tak sentuh langsung nangka sebab saya tahu saya boleh muntah jika makan nangka.

Bila badan segar dan bertenaga, saya boleh melakukan banyak aktiviti sendiri. Pada hari kedua selepas bersalin, saya mandikan anak sendiri. Boleh berlunjur memandikan Izz tanpa dibantu. Saya rasa segar. Memang ada hikmah menggunakan khidmat labor epidural ketika bersalin. Saya segar sejak selepas bersalin sehinggalah bila sudah pulang ke rumah keesokannya tu. Ditambah pula dengan penjagaan ketika berpantang secara tradisional yang bagi saya sangat membantu untuk menyegarkan kembali badan.

Orang tua-tua kata, jangan minum air banyak sangat ketika berpantang. Nanti badan kembang. Badan kembang, berat susah nak turun. Huk huk huk. Saya tak berpegang pada nasihat itu. Malah emak juga mengatakan tidak kepada petua itu. Dalam pantanglah kita kena minum air dengan banyak untuk memastikan susu dapat dihasilkan dengan cukup. Tak ada air atau kurang air dalam badan, susu takkan terhasil dengan baik. Jadi memang kena minum air. Tapi jangan minum aislah ye. Sakit badan nanti. T______T

Jadi perkongsian pengalaman ini sekadar sebagai satu garis panduan kepada kawan-kawan perempuan semua, yang kita kena ada ilmu dengan setiap apa yang kita pilih untuk dibuat atau diamalkan. Sama ada ketika mengandung atau berpantang. Jangan ikut dan buat membuta tuli saja. Kena tahu kenapa dan apa kesannya. Kena faham apa kebaikan dan keburukannya. Bab penyusuan lebih-lebih lagi. Kena ada ilmu. Kena timba ilmu. Cari, baca dan tanya. Jangan tunggu untuk disuap saja. Dah nak jadi mak-mak ni tak bolehlah malas. Suami pun sama. Kena banyak membaca untuk mengumpul ilmu.

Kalau setakat di mulut kata nak menyusukan anak dengan susu ibu tapi tak membuat persediaan mental dan fizikal serta niat di hati yang tak kuat gitu, memang inilah antara punca yang boleh menggagalkan penyusuan selama dua tahun seperti yang disarankan dalam Al-Quran. Kita kena ada ilmu dulu sebelum nak buat sesuatu tu. Bila ada ilmu, kita lebih bersedia untuk menempuh apa saja cabaran dan jika ada masalah mendatang, kita tahu bagaimana nak tanganinya.

Niat dan kesungguhan tu kena selari dan kuat. Kalau ada niat tapi kesungguhan cuma ala kadar, tetap tak boleh jadi juga. Suami kena beri sokongan dan doa yang berterusan untuk isteri. Kalau isteri yang bekerja, lagilah besar cabarannya. Jadi sokongan daripada suami sangatlah penting sebenarnya.

Saya tidak katakan yang ibu-ibu yang terpaksa memberikan susu formula sepenuhnya atau campur susu ibu dan di top up dengan susu formula adalah tidak bagus. Rezeki setiap daripada kita memang berbeza. Tapi sebelum terpaksa memberikan susu formula, marilah kita cuba sehabis baik dulu, seoptimum mungkin dulu, untuk menyusukan anak-anak kita dengan susu ibu. Gagal pada anak yang pertama tak bermakna kita tidak boleh mencuba dan berusaha untuk anak yang seterusnya. Kan?

Sekian karangan hari ini. Berjumpa lagi di karangan yang lain jika kertas kajang masih ada. Ngeeeee~ ^______^

Posted on April 30th, 2014 by Sarah  |  17 Comments »