Kenapa Rumah Saya Diminati Pengintip?

Assalamualaikum wbt

Waktu zaman sekolah rendah dulu sehingga menengah rendah, bila hari sudah malam, saya dan Kaklong biasanya duduk meneman emak melipat baju di dapur. Sambil itu, ada peluanglah kami menonton TV lagi. Sepatutnya, TV sudah tidak boleh ditonton selepas pukul 9.30 malam. Itu syarat ayah. Tapi sambil melipat baju, berborak dengan emak, mata pun menjeling-jeling TV lah jawabnya.

Jika malam itu ayah balik lewat, ada banyak perkara yang boleh kami dengar. Saya tidak tahulah kenapa, rumah saya selalu menjadi mangsa intipan orang. Ada orang menghendap di tingkap belakang bilik emak. Tiada siapapun yang merokok di rumah kami. Tetapi hampir tiap-tiap malam yang ayah tiada, kami dapat mengesan bau rokok dari belakang rumah.

Pernah saja kami adik beradik menyergah orang itu dengan menjerit-jerit di semua tingkap bilik yang menghadap ke laman belakang rumah. Seketika kemudian, kami akan mendengar orang menyusup berlari meninggalkan kawasan rumah kami.

Jika terdesak, emak akan menyuruh kami menelefon ke rumah Tok yang terletak di depan rumah kami, di atas bukit yang sama. Emak menyuruh adiknya, Ayah Tam, untuk tolong memeriksa dari arah luar rumah. Maka, Ayah Tam akan datang dengan kain pelikatnya membawa lampu suluh dan parang. Selepas diyakini tiada apa-apa, barulah Ayah Tam akan balik semula.

Untuk setiap malam yang berlakunya insiden ada orang datang, keesokannya itu kami adik beradik akan ke laman belakang rumah untuk memeriksa. Waktu itu, masing-masing pun hendak menjadi hero untuk menyelesaikan keadaan. Pelbagai teori ala-ala X-Files mahupun CSI kami keluarkan. Yang paling tepat ialah, orang itu memanjat pagar belakang rumah kami yang memisahkan kawasan rumah kami (dan rumah Tok) dengan kebun buah di sebelahnya. Kebun buah itu milik saudara mara kami juga. Tapi anak beranaknya hanya balik pada musim buah saja. Kawasan itu sudah nyatalah semak dan penuh merimbun dengan juntaian dahan pokok-pokok rambutan yang banyak. Ada satu bahagian pada pagar itu kendur kerana menjadi tempat panjat mereka.

Di tepi longkang belakang rumah juga, kami menjumpai puntung rokok. Ini membenarkan firasat kami yang terbau-bau asap rokok dari dalam rumah. Saya rasa, mesti Nan dan Lan masih ingat perkara ini. Biasanya, saya beraktiviti begini dengan mereka berdua. Kami belek-belek puntung rokok itu untuk mengenal pasti jenamanya dan bermacam-macamlah tanggapan yang kami buat. Siap ada hajat hendak menghantar puntung rokok itu untuk disiasat lebih lanjut lagi tu! Ok. Yang tu memang angan-angan kosong sajalah. Tak pernah buatpun sudahnya. Kami juga melancarkan strategi zalim kami. Kami menabur kaca pecah di bawah bahagian pagar yang kendur itu. Matlamat kami, hendak menyerang balas secara tak terlalu terpuji. Huhu.

Dulu, kami adik beradik cukup suka bermain rounders. Emak tak bagi main di padang sekolah berhampiran, jadi kami pakat bermain di halaman depan rumah pun cukup. Hendak dijadikan cerita, pada suatu hari, dua keping tingkap bilik saya yang paling bawah pecah terkena bola itu. Eh, sekejap. Rounders itu bola lisutlah, kan? Hehe. Terasa macam cerita Doraemon pula. Nobita dan kawan-kawan kan suka bermain bola lisut. Hehehe.

Disebabkan cermin itu sudah pecah, emak memanglah marah. Untuk malam itu, emak memesan suruh menurunkan dua keping tingkap yang teratas untuk menutup tingkap di bahagian bawah. Dapatlah mengelakkan kucing masuk ke rumah. Tapi saya dan Kaklong yang masih tinggal sebilik pada waktu itu (sekolah rendah) tidak membuatnya pun. Kami hanya mengambil surat khabar, dibuka luas dan menutup bahagian tingkap yang pecah itu sementara menunggu keesokannya untuk meletakkan tingkap baru.

Saya seorang yang sensitif dengan sebarang bunyi dan kepanasan sewaktu sedang tidur. Saya tidur di katil tingkat atas waktu itu. Di tengah malam itu, saya terjaga kerana kepanasan. Kaklong sudah menutup kipas waktu itu. Saya melompat turun untuk menghidupkan semula kipas. Bila saya menaiki semula tangga ke tingkat atas, saya terdengar bunyi di luar rumah. Bilik saya menghadap ke arah beranda di tepi rumah yang mengarah ke laman hadapan. Di beranda itu, ada sofa yang diletakkan betul-betul di luar tingkap bilik saya. Juga ada almari kasut di tepinya.

Saya yakin ada orang di luar rumah pada waktu itu. Sambil duduk di hujung katil saya di tingkat atas, saya memandang ke arah tingkap yang ditutup dengan surat khabar yang berada di hujung katil Kaklong. Betul-betul di tepi tangga untuk naik ke katil atas. Tiba-tiba, ada sesuatu menolak surat khabar yang kemas menutup tingkap pecah itu. Surat khabar itupun membonjol ditolak dari arah luar. Saya juga dapat mendengar bunyi nafas orang itu. Saya jadi sangat cuak. Saya sedang jaga dan segar. Sudah pastilah saya dapat melihat semuanya terjadi depan mata dengan jelas. Saya lihat, ada tangan menyeluk dan tangan itu memakai sarung tangan buruh kasar berwarna hijau gelap.

Tindakan refleks saya waktu itu ialah saya menyapa orang itu: Siapa tu? Sepantas kilat, tangan itu ditarik keluar semula dan selepas itu, saya mendengar orang berlari menyusup meninggalkan beranda rumah saya. Saya dengar bunyi penutup longkap dipijaknya. Saya melompat turun dari katil. Oh. Saya memang melompat terus kalau hendak turun. Hendak naik, baru menggunakan tangga. Saya kejut Kaklong. Kami kejut emak ayah. Ayah buka pintu dapur yang terus menghadap ke arah beranda tepi rumah. Tiada apa-apa. Maka, semuanya pun terus masuk tidur semula.

Esok paginya, itulah topik yang diriuhkan kepada adik-adik ketika kami semua sedang bersiap untuk ke sekolah. Sebetulnya, kami ada memelihara dua ekor kucing pada waktu itu. Tom dan Jerry. Tom kerana di mukanya ada tompok hitam berbentuk T di bahagian dahi dan hidung kucing itu. Jerry kerana ekor kontotnya yang bengkok berwarna hitam dan bertompok hitam satu di atas ekornya itu membentuk huruf J. Saya pelik juga pada malam itu. Biasanya, kucing-kucing ini akan bising jika ada orang datang. Tapi ketika ada orang di beranda malam tadi, kenapa tidak berbunyi langsung.

Ketika kami hendak mengambil kasut di dalam almari kasut, saya tidak ingat siapa yang menyedarinya, sama ada Kaklong, Nan atau Lan yang nampak ekor hitam Jerry tersepit di antara lantai dan lantai almari. Masya Allah. Ruangnya sangat kecil. Mustahil untuk Jerry yang gemuk itu masuk dengan sendirinya. Di saat itu barulah kami tahu bahawa Jerry telah dibunuh. Diracun barangkali. Ayah mengeluarkan bangkai Jerry dari bawah almari. Jerry sudah keras.

Ketika di awal tingkatan satu, Tok mengajak mengacau dodol di rumahnya. Berkumpullah kami semua di tepi dapur rumah Tok. Rumah saya pun kosong. Tapi sudah dikunci semua pintunya. Semua berkumpul di tepi kawah dodol. Tetapi adik-adik lelaki saya seperti biasa sibuk bermain entah apa-apa. Kebetulan waktu itu, Nan sedang berada berhampiran dengan pokok manggis di dapur rumah Tok yang boleh nampak ke rumah kami. Tiba-tiba Nan menyedari ada orang berlari dari arah belakang rumah kami ke arah pagar yang memisahkan kawasan rumah kami dengan pagar sekolah di sebelah itu dan juga rumah di bawah bukit belakang rumah kami.

Kecoh. Kami berkejar balik ke rumah. Semua pintu diperiksa. Alhamdulillah semua masih berkunci elok. Cuma, kunci pintu untuk pintu belakang sudah hilang. Di luar pintu, ada sehelai kertas ditinggalkan. Kertas itu digunakan untuk menadah kunci yang dijolok jatuh dari lubang kunci dan kertas itu ditarik keluar untuk mendapatkan kunci itu. Sayangnya, orang itu tetap tidak dapat masuk ke rumah kerana pintu itu kami telah selak dari arah dalam. Alhamdulillah.

Sebenarnya, saya tidak faham kenapalah dulu-dulu rumah saya selalu menjadi mangsa intipan orang. Bukan sekali dua. Banyak kali. Entah emak ayah ingat lagi atau tidak semua kisah ini. Sudah lama benar. Tapi sampai ke hari ini saya masih pelik. Bukannya rumah saya tersergam macam istana ke apa. Bukannya ada kolam renang sebagai tanda kami orang kaya-raya. Tiada juga lampu kristal atau apa di luar rumah itu yang boleh dijadikan alasan kami ni nampak kaya. Tiada semua tu. Setakat ada rumah arnab sebuah saja. Apa dia ingat ayah saya masih tauke ladang arnab berkandang-kandangkah? Orang itu silaplah. Dia lupa sejarah banjir besar 1989 kot. Saya patut letak buku sejarah banjir-banjir besar di Pahang kot di luar rumah saya tu. Hahaha. 😆

Tetapi Alhamdulillah. Sekarang, setakat setiap kali cuti dan saya berada seorang diri di rumah pada sebelah pagi dan berjaga menjadi burung hantu menghadap internet di sebelah malamnya, tiada apa-apapun yang terjadi. Aman damai saja. Saya rasa, orang dah takut hendak datang kerana memikirkan di rumah saya ada ramai lelaki.

Oh. Janganlah main-main dengan adik saya Adlan dan Adam. Kedua-duanya gagah perkasa. Adlan macam… Erm… Ebby Saiful. Haha. Dan Adam macam Fahrin Ahmad! Dan ayah saya pula? Erk. Ayah macam Ahmad Tamimi Serigar versi perut naik sikit sudahlah ya! Lariiiiii!

Tapi sungguh ni. Saya tidak faham, kenapalah rumah saya sangat diminati pengintip?

Nota 1: Kenyang makan karipap Wanie je hari ni. Sedap Ya Rabbi!

Nota 2: Malam ni saya tak nak tidur. Nak study!

Nota 3: Sudah lama tidak menulis panjang begini. 😉

Posted on April 1st, 2009 by Sarah  |  29 Comments »

Rules Of Befriending People

Assalamualaikum wbt

1. When you barely know someone, don’t pretend that you know everything about him/her. That makes the person sick of you.

2. Give some space for people around you to breathe. Continuous irritation will make them even sicker. Oh yes. Some people hate purposeless conversations and lame questions. Please avoid them.

3. Keep professionalism as your priority. Not everyone in the world can accept jokes and casualness at the first meeting. Oh yes. There are two types of jokes. Acceptable and unacceptable. Do tell the acceptable one.

4. Remember, absence makes the heart grows fonder. In other words, keep yourself away is never too bad. One day, they will surely miss you.

5. But don’t cross the border. They will hate you. Even when you disappear, they won’t care anymore.

Note 1: Think harder to understand, ok. 🙂

Note 2: I acknowledge intelligent talks/responses. Otherwise, I ignore. This is me. Sorry.

Posted on April 1st, 2009 by Sarah  |  16 Comments »

Kisah Sebuah Pelarian

Assalamualaikum wbt

Apabila saya mengejar, dia lari. Apabila saya lari, dia tak pula mengejar. Sebaliknya, mereka yang lain pula mengejar-ngejar sehingga saya terkejar-kejar melarikan diri.

Dikejar saat hati sebetulnya hendak lari adalah satu perkara yang menyesakkan hidup.

Hey, larilah jauh-jauh. Kejar-kejar buat apa. Saya sudah lari jauh-jauh. Janganlah kejar dekat-dekat pula. Saya sudah penat. Apa kamu semua tidak penatkah? Awak pula tidak usah cakaplah. Sudah lama awak penat. Atau, awak memang tidak pernah mengejar langsung?

Saya lari bawa dirilah. Eh, memang sudah lama saya lari bawa diri. Jadi, nasihatkan orang-orang awak untuk berundur dari mengejar. Jangan lari-lari lagi. Jangan kejar-kejar lagi. Duduk diam-diam. Buat kerja masing-masing.

Pertandingan tamat. Siapa pemenang? Semuanya kalah. BOOM!

Nota: Fahamkah? Tidak, kan. Yeay!

Posted on March 31st, 2009 by Sarah  |  25 Comments »

Tutup

Assalamualaikum wbt

Tadi saya membelek-belek blog lama saya. Ada beberapa entri yang buat saya tersenyum dan ketawa sendirian. Juga ada entri yang berjaya membuatkan air mata saya bergenang. Entri yang buat rasa marah meluap-luap pun ada juga.

Tetapi saya sudahpun mengambil keputusan, blog lama itu akan ditutup kepada umum secara mutlak. Biar cerita lama saya menjadi hak saya. Biar saya yang simpan semuanya.

ds

Nota 1: Ada banyak benda dalam hidup ni yang perlu kita bertegas dalam menghadapinya. Takpun, jadi saja pengabai yang tegar.

Nota 2: DMA episod hari ini masih belum keluar. Penantian itu satu penyeksaan!

Nota 3: Malam tadi tak boleh tidur. Sakit-sakit badan. Sehinggalah ke hari ini.

Posted on March 30th, 2009 by Sarah  |  32 Comments »

Sarah MS 1

Assalamualaikum wbt

Setiap Ahad, saya akan menghabiskan masa selama tiga jam di meja pingpong. Latihan berbentuk intensif. Sakit-sakit di setiap hujung jari kaki. Kesimpulan yang saya buat, untuk bermain pingpong, kita tidak sesuai menggunakan kasut potongan B. Kasut potongan B akan menyebabkan jari kaki tidak rapat dan lebih banyak ruang untuk bergerak-gerak. Sebaliknya, jika kasut potongan A yang lebih tirus, jari kaki akan rapat dan kaki akan kurang sakit dan lenguh selepas bermain.

Dalam permainan pingpong, badan akan selalu dibongkokkan sedikit ke hadapan sebagai persiapan untuk menerima bola dari pihak lawan. Jadi, kaki akan dibukakan untuk mendapatkan kestabilan badan dan bahagian pinggang ke bawah banyak digunakan untuk mengawal pergerakan mengejar bola. Jika kasut tidak kena dengan kaki, aktiviti ini akan menjadi amat menyakitkan.

Mulai minggu depan, saya terpaksa mengeluarkan semula kasut Adidas yang saya gunakan untuk bersukan dulu-dulu. Tadi konon-konon nak tunjuk kuat. Saya hanya memakai kasut Skechers yang biasa saya gunakan ke hospital. Sekarang kaki semua sakit-sakit. Padanlah muka sendiri, kan. Oh. Bukan saya seorang. Padan muka Wanie juga. Dia pun sama saja macam saya. Hahaha.

Oh ya. Baru teringat. Saya masih berhutang 70 Ruble kepada Wanie untuk duit teksi dan roti yang dibayarkannya tadi. Mahu ke bilik Wanie sekarang juga.

“Hai orang sebelah, orang di sini nak datang bayar hutang”, laung Sarah kepada Wanie yang sedang menekun di mejanya. Mari lihat jersi saya tahun ini. Ini jersi peribadi. Bukan jersi pasukan lagi. Senyum~

sarahms

Nota 1: Hari Isnin saya cuti sehari. Dapatlah qadha’ study.

Nota 2: Takziah untuk keluarga junior saya, Addi Mokhtar, atas pemergian ayahnya tengahari tadi. Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang yang beriman.

Nota 3: Saya seriau bila mendengar berita begini. Semoga emak dan ayah sihat-sihat saja di rumah. Esok Ngah telefon, ok.

Posted on March 29th, 2009 by Sarah  |  22 Comments »